Apabila kita melihat kembali lembaran sejarah silam kehidupan orang Islam selama lebih 1350 tahun yang lalu, maka kita dapat lihat betapa gemilangnya umat Islam ketika itu. Sedih sekali apabila kita mengalihkan pandangan dari lembaran sejarah tersebut dan cuba pula memerhatikan keadaan umat Islam hari ini maka kita akan nampak bahawa umat Islam hari ini dihimpit dan dipijak. Umat Islam seakan jasad yang sedang bertarung melawan pedihnya sakaratul maut. Tidak cukup dengan serangan zahir bertubi-tubi golongan anti Islam yang membunuh kekuatan negara Islam, umat Islam dijangkiti pula dengan virus-virus Yahudi yang mencacatkan akidah umat Islam. Kecacatan semakin parah hinggakan umat Islam kehilangan jati diri dan hampir tidak dapat dibezakan jati diri mereka berbanding orang bukan Islam. Golongan yang 'Islam' hanya pada kad pengenalan telah mempersendakan prinsip agama Islam yang suci. Mereka mengkritik setiap amalan agama sehingga mereka berkata bahawa syariat yang suci itu tidak lagi sesuai diamalkan. Syariat-syariat ini adalah sia-sia dan tidak berguna lagi pada pandangan mereka. Orang yang anti Islam pula bertepuk tangan dan bersorak gembira melihat anak-anak muda harapan agama yang berjaya dirosakkan pemikirannya. Mereka berjaya mencucuk jarum beracun ke dalam urat-urat muda mudi Islam hingga rosak akhlak dan pemikiran mereka. Besar harapan mereka agar anak-anak muda yang sudah dirosakkan itu sendirilah yang akan merobek-robekkan agama mereka sendiri.
Sungguh menghairankan satu kaum yang dahulunya telah menyirami dunia, mengapa pada hari ini mereka sendiri kedahagaan? Kaum yang suatu ketika dahulu pernah mengajar dunia tentang erti sebenar tamadun dan peraturan hidup kini seolah mereka sendiri hidup tanpa tamadun dan peraturan hidup. Pelbagai jenis ubat sudah dicuba oleh pemimpin-pemimpin bagi mengubati penyakit umat ini namun semakin diubati, semakin parah penyakitnya. Keadaan yang semakin kritikal ini memberi suatu tuntutan kepada kita untuk bangkit dan merupakan suatu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan jika kita memilih untuk berdiam diri. Seandainya masih ada pihak yang boleh bersenang-senang pada saat ini, tunggu sahajalah apabila anak mereka sendiri pulang ke rumah memakai tanda salib di leher.
Walaubagaimanapun, sebelum kita memulakan sebarang tindakan, kita wajib mengenal pasti penyakit akar umbi umat hari ini. Kesilapan mentafsir penyakit sebenar mengakibatkan rawatan yang diberi bukan sahaja sia-sia malah akan memburukkan lagi keadaan yang sedia ada. Pelbagai tafsiran telah di ketengahkan hasil dari analisa pelbagai pihak sama ada mereka yang benar-benar jujur hendak memperbaiki umat atau pun sekadar merungut dan mencela zaman tanpa sebarang usaha memperbaikinya. Hakikatnya, kegagalan mengubati penyakit umat ini adalah kerana beberapa penyakit yang kononnya dikatakan sebagai punca kejatuhan kita, bukanlah penyakit yang sebenar, tetapi hanyalah gejala sampingan atau simptom-simptom yang hadir akibat penyakit sebenar. Jelaslah di sini betapa sia-sianya usaha yang dilaksanakan untuk mengubati penyakit tatkala penyakit sebenar gagal didiognosa.
Kita mendakwa bahawa syariat Islam adalah undang-undang Allah yang syumul yang menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat. Oleh itu mengapa kita masih berdegil mahu mengkaji penyakit umat hanya menggunakan akal manusia yang cetek ini?. Sepatutnya dalam mengenal pasti penyakit umat ini, kita merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah dan mengetahui cara rawatan bersumberkan ilham dan hidayah dari rujukan tersebut. Apabila Al-Quran sendiri merupakan perlembagaan hidup kita hingga ke hari kiamat, maka mengapa kita tidak mahu merujuk kembali kepada Al-Quran tatkala pada saat genting ini? Mengapa masih ada umat Islam yang masih terus berfalsafah dan mengemukakan pelbagai teori untuk masyarakat mendengarnya sedangkan nyata falsafah dan teorinya bertentangan dari Al-Quran?
Di dalam surah An-Nur ayat 55, Allah telah menyatakan bahawa pemerintahan dan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini adalah untuk orang mukmin.
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan ) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman …” (An-Nur : 55)
Allah juga telah memberi jaminan bahawa orang mukmin sentiasa akan menguasai orang kafir dan mereka (orang kafir) tidak akan mempunyai pembantu seperti yang dinyatakan dalam firmanNya :
“Dan sekiranya orang-orang kafir itu memerangi kamu pastilah mereka berbalik melarikan diri ke belakang (kalah) kemudian mereka tidak beroleh pelindung dan tidak (pula) penolong.” (Al-Fath : 22)
Allah juga telah berjanji untuk membantu orang-orang yang beriman. Persoalannya adakah kita yang kononnya jujur untuk mengislah umat ini benar-benar beriman atau hanya sekadar di bibir imannya.
“…Dan Kami selalu berkewajipan menolong orang-orang yang beriman.” (Ar-Ruum : 47)
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (Ali’ Imran : 139)
“.. Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui.” (Al-Munaafiquun : 8)
Dengan merenung firman-firman Allah di atas, dapatlah kita membuat satu kesimpulan bahawa keimanan merupakan tunjang kekuatan, ketinggian dan kemenangan umat Islam. Sekiranya mereka yang mengakui ingin terlibat dalam usaha pengislahan umat ini benar-benar beriman dengan sepenuh hati kepada Allah dan berniat melakukan usaha agama ini kerana sunnah Rasulullah saw tercinta, maka kejayaan adalah milik mereka,Insya’Allah. Sebaliknya jika mereka yang mengerjakan usaha pengislahan umat ini mengabaikan hubungan mereka dengan Allah dan memandang enteng sunnah Rasulullah, mereka sebenarnya bukan sahaja sedang mensia-siakan diri mereka malah mungkin sedang merosakkan umat tanpa mereka sedari, nauzubillah.
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kebenaran.” (Al-Asr : 1-3)
Wahai saudaraku, andai benar kita telah kehilangan hakikat Islam yang merupakan kunci kebahagiaan dunia dan akhirat maka kita wajib mengetahui punca-punca yang menyebabkan roh Islam tersebut terkeluar dari jasad kita. Lalu menjadikan kita bagai jasad tidak bernyawa. Kita juga perlu tahu cara-cara agar nikmat yang hilang itu dapat dikembalikan.
Merenungi ayat 110 dalam surah Ali Imran menjelaskan betapa tinggi penghormatan yang diberikan kepada umat Rasulullah saw iaitu gelaran sebaik-baik umat. Apakah ada penghormatan yang lebih besar daripada penghormatan yang diberikan oleh Raja sekalian saja? Namun adalah suatu perkara yang cukup bodoh seandainya kita sekadar berbangga kerana lahir sebagai umat Islam tanpa merenungi ayat tersebut sepenuhnya. Di dalam ayat itu telah dinyatakan bahawa keutamaan umat Muhammad saw adalah kerana umat ini telah diberikan satu tugas yang cukup mulia iaitu menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada keburukan. Nah, tugas yang dahulu dipikul oleh para rasul dan nabi kini diserahkan kepada umat Nabi Muhammad saw.
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali Imran : 104)
Dalam ayat di atas telah dinyatakan bahawa kejayaan adalah bagi mereka yang melakukan kerja mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada keburukan.
Dalam sebuah hadith Abu Hurairah telah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: “Apabila umat-umatku membesar-besarkan dunia maka akan dicabut daripada mereka kehebatan Islam dan apabila mereka meninggalkan amar ma’ruf dan nahi ‘anil mungkar, mereka akan kehilangan keberkatan wahyu dan apabila mereka caci mencaci antara satu sama lain mereka akan gugur daripada pandangan Allah swt.” (Hadis Riwayat Hakim Tarmizi)
Imam Ghazali rah. Telah menjelaskan kepentingan dan keperluan usaha dakwah ini seperti berikut : “Tidak syak lagi bahawa amar ma’ruf dan nahi ‘anil mungkar adalah satu rukun agama yang besar. Malahan setiap bahagian daripada agama ada kaitan dengannya. Justeru untuk menyempurnakan usaha tersebut Allah swt telah mengutuskan kesemua nabi dan rasul a.s. Sekiranya tugas amar ma’ruf dan nahi ‘anil mungkar tidak diberi perhatian dan ditinggalkan terus dari segi ilmu dan amalan maka pasti nubuwah (kenabian) tidak akan berguna lagi. Kesan daripada itu, sifat amanah, yang menjadi sifat utama kemuliaan manusia akan pupus dan binasa, sifat malas (untuk beribadat) akan tersebar, jalan-jalan kesesatan dan penyelewengan akan terbuka luas, kejahilan akan berleluasa di ala mini, semua urusan akan mengalami kerosakan, perpecahan antara satu sama lain akan berlaku, masyarakat akan rosak dan makhluk keseluruhannya akan binasa. Kerosakan dan kebinasaan ini akan terbukti semasa berlaku perhimpunan di padang mahsyar apabila kesemua orang dihadapkan dan dihisab di hadapan Allah swt.”
Sungguh memilukan melihat umat Islam hari ini yang bercerai berai dan saling mencerca antara satu sama lain. Kerakusan manusia dalam mengumpul harta dan kuasa menjadikan mereka berlaku zalim dan hilang perikemanusiaan. Sungguh susah untuk mencari mereka yang benar-benar mukmin yang sanggup menerima cacian dan makian dalam usaha menunjukkan jalan yang benar.
Imam Ghazali rah turut berkata “sekiranya ada mana-mana lelaki mukmin yang berusaha untuk memperbaiki kerosakan dan kebinasaan, berusaha menghidupkan sunnah dan sanggup berdiri untuk memikul beban usaha dakwah yang diberkati, dengan menyinsing lengan turun ke medan dan menghidupkan sunnah-sunnah maka pastilah dia merupakan orang yang paling istimewa di kalangan manusia dan memiliki peribadi yang paling unggul.”
Wahai saudaraku, keadaan umat kita pada hari ini yang sedang kritikal dengan pelbagai isu dan masalah seharusnya menyedarkan kita kepentingan dan keperluan kerja dakwah ini. Ingatlah bahawa umat Islam seumpama satu badan, sekiranya satu anggota sakit, maka seluruh badan akan terasa sakitnya. Seandainya ada yang berpendapat bahawa kerja dakwah ini adalah kerja ulama sahaja, ingatlah bahawa Islam ada hak yang wajib kita tunaikan iaitu memelihara kesucian agama ini. Dalam sebuah hadis memperingatkan kepada kita :
“Ketahuilah bahawa setiap daripada kamu adalah pengembala dan setiap kamu akan ditanya tentang apa-apa yang kamu gembalakan. Maka ketua kepada orang ramai adalah pengembala dan dia akan ditanya tentang mereka, seorang lelaki adalah pengembala bagi ahli rumahnya dan dia akan ditanya tentang mereka, seorang perempuan adalah pengembala kepada rumah suaminya serta anak-anaknya dan dia akan ditanya tentang mereka. Seorang hamba adalah pengembala terhadap harta tuannya dan dia akan ditanya tentang harta itu. Jadi setiap daripada kamu adalah pengembala dan akan ditanya tentang apa-apa yang kamu gembalakan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Seringkali kita merasakan bahawa kita sendiri tidak beramal dengan perkara-perkara yang baik dan kita juga bukanlah ahli dalam bidang agama maka kita merasakan kita tidak layak untuk menasihati orang lain. Sedarlah bahawa kerja dakwah ini bukanlah salah satu bidang yang ditawarkan di pusat pengajian dan kerja dakwah ini bukanlah sebuah profesion untuk golongan tertentu. Kerja dakwah ini telahpun diperintahkan Allah swt untuk kita yang mengakui diri adalah hambaNya. Sepatutnya kita memulakan kerja dakwah ini dengan menganggap ianya adalah kerana perintah Allah swt dan insya’Allah dengan keikhlasan ini akan menjadi penyebab kepada kemantapan, keteguhan dan istiqamah kita. Ya Allah.. izinkanlah diri kami, keluarga kami dan keturunan kami untuk berada di jalan dakwah yang Engkau cintai ini.. Amin..
aduh. kita semakin lemah. dengan senjata mereka. terkadang tak tertahan nak melawan. hmm.
BalasPadamjika benar kita semakin lemah, sekarang juga kita perlu bangkit & memperbaiki iman kita & iman org d skliling kita.. usah dibiar terus umat ini hancur.
BalasPadam