Ahad, 17 Jun 2012

Bersediakah untuk Tua ?

Penat semasa zaman belajar tidak sama dengan semasa zaman bekerja. Dua dunia yang berbeza. Setelah melalui kedua-dua zaman, saya dapati zaman bekerja ini adalah lebih mencabar. Mungkinkah apabila bersara nanti, saya akan berkata bahawa zaman bersara lebih mencabar? (0.o)
 ·  · 

Khamis, 14 Jun 2012

Bagaimana Cara Bercinta ?




Jatuh cinta itu perkara biasa. Apabila sudah terjatuh yang begini, sukarlah untuk bangun berdiri dalam keaadaan tegak. Masakan tidak kerana fikiran sudah angau. Tutup mata tetapi masih terbayang-bayang. Tutup telinga tetapi masih terdengar-dengar. Dunia dirasakan begitu indah berbunga-bunga. Hari-hari tersenyum sendirian. Syok sendiri.

 Itu kalau mencintai seseorang.

Jika membenci seseorang pula? Mulailah apa sahaja yang diperbuatnya menjadi sakit dan buruk di mata kita. Setiap kali namanya kedengaran, mulailah rasa menyampah di hati kita. Jika boleh tidak mahu lansung bertegur. Sedangkan kita tidak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan.

Tidak mustahil orang yang paling kita cintai akan berubah menjadi orang yang kita paling benci. Lihat sahaja kisah rumahtangga artis-artis yang berkahwin gah bak puteri raja semata-mata kerana lambang cinta.Masing-masing saling memuja dan memuji pasangan seolah begitu sempurna. Hakikatnya mana ada manusia yang sempurna segala-galanya. Rumah tangga mana yang tidak akan diuji ombak. Maka selepas berkahwin, rasa cinta semakin pudar apabila keburukan pasangan mula terdedah. Lebih menyedihkan sekiranya jodoh tidak berpanjangan dan diakhiri penceraian. Pasangan suami isteri mulai saling membenci dan memburuk-burukkan satu sama lain. Kasihan anak-anak, kebingungan dan tersepit di antara ibu dan bapa.

Tidak mustahil orang yang paling kita benci akan berubah menjadi orang yang paling kita cintai. Kita mungkin membenci seseorang kerana terlalu melihatkan keburukan seseorang dan tidak mengetahui kebaikan dirinya. Tetapi apabila mengetahui kebaikan dirinya yang adakalanya sangat sukar untuk ditemui pada insan lain, maka kita akan serta merta berubah hati.

Kesimpulannya, jika mencintai seseorang beserdahanalah dan jika membenci seseorang juga beserdahanalah. Satu lagi, janganlah sombong sangat dan menghina orang lain sesuka hati. Orang yang meludah ke langit, kelak ludahnya terkena muka sendiri.
Fahamkah maksud saya? :)

Di dalam hidup ini, tiada manusia yang sempurna. Semua manusia belajar untuk menjadi sempurna. Belajar.. Belajar.. Dan belajar.. Orang yang paling hampir dengan kesempurnaan adalah orang yang sentiasa memperbaiki diri. Untuk perbaiki diri, perlulah bersedia mendengar teguran kesilapan. Inshaallah :)

Selasa, 12 Jun 2012

Mencari Kekuatan Diri

Usrah tutor.. Sebelum bermula training, dimulakan dengan bacaan Quran dan sedikit pengisian... Semoga jiwa-jiwa kami lebih kuat dan tenang menghadapi ombak hidup..

Hari ini memulakan hari pada pukul 8.30 pagi dengan usrah dan seterusnya training staff mengajar. Sahabat-sahabat inshaallah boleh download rakaman usrah di sini : http://www.4shared.com/music/Ma7PcQyk/Usrah_tutor_2.html?

Selepas tamat training, pergi menemani emak membeli tiles di Ijok.
Kemudian balik mengajar. Malam mengajar.

Kebelakangan ini, saya cuba menjadi kuat. Saya tahu saya tidak akan mampu kuat tanpa keizinanan-Nya dan tanpa bantuan-Nya.

Jadi saya perlu meraih kekuatan itu di  celah-celah keheningan sepertiga malam, bermunajat kepada-Nya.
Saya lemah, jadi saya sangat memerlukan Allah.

Saya perlu meraih kekuatan itu di setiap lembaran kalamNya. Saya mahu setiap butir kalimah itu meresap ke dalam jiwa saya.

Inshaallah... Berada dalam keadaan teruji begini adalah jauh lebih baik daripada berada dalam keadaan senang lenang kelalaian....

Inshaallah...



Ahad, 10 Jun 2012

Hari Yang Tenang


Hari ini merupakan hari yang amaat bermakna buat saya. Awal pagi dalam pukul 8 lagi sudah mula dengan usrah atau lebih dikenali sebagai mesyuarat staf-staf. Kemudian mesyuarat sehingga ke tengah hari. Petang pula menguruskan pendaftaran pelajar. Lewat petang pula pergi melihat staf-staf menyusun atur perabot-perabot dalam kelas tuisyen. Malam pula pergi keluar makan meraikan sepupu-sepupu yang datang ke rumah.

Hari ini saya menyaksikan beberapa peristiwa yang sangat mendamaikan.
Pertama, saya terharu kerana staf-staf saya sangat baik. Ianya membuatkan saya sangat sayangkan mereka.
Kedua, saya terharu kerana beberapa orang pemuda yang tidak dikenali cuba menyelamatkan emak saya malam ini. Saya rasa bersyukur dan gembira kerana hari ini bertemu dengan ramai orang yang baik-baik. Tenangnya rasa....

Alhamdulillah...

Hari ini sibuk, penat dan tenang.
Semoga ketenangan ini berkekalan...

:)

Ya.. Syukur Ya Allah...
Berilah daku kekuatan dan bimbingan dalam menghadapi hidup ini....

Sabtu, 9 Jun 2012

Tetapkanlah hatiku Ya Allah


Cuba kita bercakap kepada seseorang "Jangan bayangkan gajah!"
Pastinya di ruang matanya terbayangkan gajah.
Bukan dia berniat hendak melakukan sesuatu yang kita larang.
Tetapi itu adalah tabiat semulajadi, fitrah.
Jelas menunjukkan bahawa hati ini bukan milik kita. Pemikiran kita juga bukan milik kita.
Disebabkan itulah betapa kita cuba memaksa diri untuk melupakan sesuatu peristiwa, ianya begitu sukar.

Maka siapakah yang sebenarnya mengawal hati kita?
Dialah Allah.
Dialah pemilik hati kita.
Hanya Dia sahaja yang mampu mengawal hati kita, sama ada mahu mencondongkan hati itu ke arah kebaikan ataupun kecelakaan. Semuanya terpulang kepada-Nya.

Maka angkatlah jari jemari kita dan berdoalah kepada-Nya.

"Wahai Yang Membolak-balikkan hati, tetapkanlah daku atas agama-Mu.."

:)



Khamis, 7 Jun 2012

Sentuhan Jiwa di Rumah Orang-Orang Tua


Perasaan bercampur baur sewaktu menatap, mengusap dan mencium kulit-kulit lembut yang kering dan berkedut itu. Raut wajah penghuni-penghuni Rumah Jagaan dan Rawatan Orang-Orang Tua Al-Ikhlas itu benar-benar membekas dalam jiwa saya. Tangan mereka menarik tangan saya supaya saya memegang tangan mereka. Apabila mereka bercakap, mereka mahu saya pandang mereka. Sesekali rasa lucu kerana mereka sudah nyanyuk dan mengulang cerita yang sama beberapa kali. Layan sahaja.... :)

"Rasa  macam nak menangis,"bisik teman saya yang menjadi pemandu perjalanan kami.

Sewaktu dalam perjalanan balik, saya bertanya kepada anak-anak yang mengikuti kami.
"Mahukah suatu hari nanti supaya emak ditinggalkan di sana?"

Mereka menjawab tidak.

"Jadi... Apa yang perlu kita sediakan supaya perkara itu tidak berlaku?"soal saya.

"Em.. Beramal soleh." jawab si abang.

Saya ketawa. "Itu amalan untuk diri sendiri yang hendak di bawa ke dalam kubur. Cikgu maksudkan apa persediaan kamu untuk pastikan emak kamu tidak dihantar ke sana?"

Mereka diam. Berfikir lama.

Akhirnya saya memberi jawapan.

"Kita perlukan beberapa persediaan.

Persediaan pertama adalah duit. Apabila tua, banyak duit yang diperlukan untuk membeli ubat, pemeriksaan kesihatan dan rawatan di hospital.. Pada masa tua, orang sudah tidak larat bekerja bertungkus lumus seperti zaman muda. Jadi perlu ada simpanan duit. Sebab itulah anak-anak kena belajar bersungguh-sungguh, kemudian bekerja bersungguh-sungguh. Cari duit banyak-banyak. Kalau dengan menjual pisang goreng dapat menghasilkan duit yang banyak, jual lah!

Kedua adalah masa. Kita perlu sediakan masa yang beharga untuk orang tua kita. Apa gunanya kita bekerja siang dan malam sedangkan orang tua kita lansung tidak sempat dijenguk. Mereka kesunyian. Jika kita tiada pilihan maka carikan orang yang dapat memberikan masa untuk mereka. Memberikan masa yang beharga tidak sama dengan menjaga makan pakai dan mencuci berak. Memberikan masa yang berharga contohnya adalah bersembang dan bergurau senda bersama.

Ketiga adalah pasangan. Cari isteri yang boleh terima ibu kamu. Cari isteri yang sanggup jaga ibu kamu. Tanya pada bakal isteri kamu sanggupkah dia menjaga ibu kamu, menukar lampin ibu kamu dan menyuapkan makanan? Jangan sampai sudah kahwin nanti, isteri kamu suruh buang ibu kamu.

Keempat adalah menjadi anak yang soleh. Ibu bapa yang mempunyai anak yang soleh adalah ibu bapa yang paling beruntung dunia akhirat. Jadikan diri anak yang soleh supaya ibu bapa damai di dunia dan akhirat."

Si abang mengangguk faham. Wajahnya serius. Suasana dalam kereta sepi.Masing-masing masih terpengaruh dengan suasana suram rumah orang-orang tua tadi. Sungguh! Tempat itu suram.

"Bukan semua orang yang tinggal di rumah orang tua itu diabaikan anak-anak. Adakalanya mereka tidak berkahwin dan tiada waris. Ada juga yang ada anak-anak tetapi kesemuanya sibuk. Ada juga yang mahu tinggal di sana kerana mereka kesunyian. Di sana ada kawan-kawan. Kita sendiri tidak tahu bagaimana nasib kita apabila tua nanti... "

Kami diam seketika. Kami tersesat ke Putrajaya jadi sempatlah berpusing-pusing meninjau di sana.Suasana dalam kereta kembali ceria.


"Apabila kita tua, kita sudah lemah dan tidak mampu hendak bekerja berat. Kenapa Allah menjadikan begitu? Kerana Allah mahu kita fokus beribadah. Jadi, jika kita tidak sibuk beribadah, kita akan menjadi orang tua yang kesunyian, bersedih, sensitif dan banyak merungut. Jika mahu jadi orang tua yang sibuk beribadah, hendaklah bermula ketika muda. Mustahil kita boleh berubah dalam masa sehari. Jadi perlu bermula sekarang."

Balik itu, saya berazam mahu perbaiki diri. Mahu berubah. :'(
Ya Allah.. Perbaikilah dunia kami dan akhirat kami.

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....