Khamis, 31 Mei 2012

Kuatkan Jiwa Dengan Dos Qiamulail



Wahai orang yang berselimut!. (1) Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), (2) Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, (3) Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". (4)
(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). (5)
Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya. (6)
(Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya; (7)
Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan. (8)
Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu. (9)
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik. (10)
Dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang berada dalam kemewahan dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa; (11)
Kerana sesungguhnya di sisi Kami disediakan (untuk mereka) belenggu-belenggu dan Neraka yang menjulang-julang, (12) Serta makanan yang menjadikan pemakannya tercekik dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (13)
(Azab itu tetap berlaku) pada hari bumi dan gunung-ganang bergoncang (serta hancur lebur) dan menjadilah gunung-ganang itu timbunan pasir yang mudah bersepah. (14)
Sesungguhnya Kami telah mengutus kepada kamu (wahai umat Muhammad), seorang Rasul yang menjadi saksi terhadap kamu (tentang orang yang mematuhi atau menolak seruannya), sebagaimana Kami telah mengutus kepada Firaun seorang Rasul. (15)
Maka Firaun menderhaka kepada Rasul itu, lalu Kami menyeksakannya dengan azab seksa yang seberat-beratnya. (16)
(Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia), maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu kalau kamu kufur ingkar (dari azab) hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban? (17)
Langit (yang demikian besarnya) akan pecah belah dengan sebab kedahsyatan hari itu. (Ingatlah), janji Allah adalah perkara yang tetap dilakukanNya. (18)
Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang mengandungi amaran) ini menjadi peringatan oleh itu sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya dapatlah dia mengambil jalan yang membawa kepada Tuhannya (dengan iman dan taat). (19)
Sesungguhnya Tuhanmu yakni Allah (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajud) selama kurang dari dua pertiga malam dan selama satu perduanya dan selama satu pertiganya dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Dia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Dia menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang). Dia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agamaNya). Maka bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. / (20)
Surah Al-Muzzammil 73: Ayat 1 Hingga 20

Rabu, 23 Mei 2012

Sayangku, jangan putus asa!

Berpinar-pinar mata melihat angka-angka di dalam kertas. Saya sukakan matematik tetapi saya tidak suka mengira duit. Rasa bagai nak termuntah setiap kali perlu mengira akaun atau hutang. Bukankah sepatutnya saya mengira untung?

Menjadi majikan tidak sama seperti bekerja makan gaji. Menjadi majikan membuatkan kita sanggup mengikat perut supaya anak-anak buah kita dapat makan. Menjadi majikan membuatkan kita tiada 'office hours' supaya anak-anak buah kita dapat makan. Menjadi majikan membuatkan kita senyum dan bersemangat walaupun pada masa itu lutut rasa lemah dan jantung bagai mahu luruh. 

Setiap hari saya tidak dapat lari daripada memikirkan bagaimana mahu memajukan perniagaan sedia ada. Bagaimana boleh dibantu supaya staf-staf saya menjadi lebih efisien. Bagaimana boleh dibantu supaya pelaja-pelajar saya lebih cemerlang. Bagaimana boleh dibantu supaya manfaatnya lebih besar kepada umat ini.

Masih banyak yang saya perlu pelajari bagaimana hendak menguruskan staf-staf. Saya khuatir tidak dapat menjadi seorang majikan yang baik. Saya khuatir saya ada menyinggung perasaan staf-staf saya. Saya khuatir saya ada terlepas pandang sesuatu perkara dan staf-staf saya takut menegur saya. Saya khuatir saya berada dalam kelemahan yang mana staf-staf abaikan sahaja kerana saya berada di atas mereka.

Janganlah begitu....

Saya masih tetap seorang manusia. Saya tidak akan berada di sini tanpa mereka. Saya tidak akan mampu menguruskan semua ini jika mereka meninggalkan saya. Bagaimana mungkin manusia mampu hidup sendirian....

Saya tahu staf-staf saya berpaut kekuatan kepada bahu saya. Kerana itulah saya tidak boleh lemah. Lalu saya harus berpaut ke mana lagi kalau bukan kepada Allah?

Saya mencari-cari secebis kekuatan semoga tetap tenang.. tetap sabar.. tetap teguh...

"Cikgu... I... B.U... emak!" si kecil bersuara.
"Ibu... I.B.U.. Ibu.." saya membetulkan. Sahih si kecil cuma melihat gambar sahaja sewaktu meneka bunyi perkataan. Si kecil tersenyum tersipu-sipu. Ya, pada wajah si kecil inilah kekuatan yang saya cari-cari.Si kecil yang datang secara percuma ini menuntut keikhlasan daripada saya. Beliau tidak membayar apa-apa dan tidak memberi apa-apa kepada saya. Beliau datang 3 kali seminggu dalam keadaan yang mahu selalu cikgunya senyum, sabar, lembut dan ceria. Itulah terapi untuk saya....

"Inshaallah suatu masa nanti Dani akan boleh membaca semua buku-buku yang ada di sini!" saya berdiri menunjukkan buku-buku yang bersusun di dalam almari sepanjang 8 kaki di depan kami..

Maha Suci Allah yang menciptakan kekuatan... Dialah Maha Perkuasa...



Rabu, 16 Mei 2012

Luahan Hati Seorang Cikgu



Cikgu mengajar kamu... bukan kerana cikgu nak duit... 
Cikgu menyayangi kamu... bukan kerana cikgu berharap kamu dapat balas jasa cikgu....

Cikgu sayangkan kamu semua..
Walaupun mungkin ada yang dah tak sayangkan cikgu...
sebab menyangka cikgu sudah berubah dan tidak ambil peduli kepada kamu, kamu silap besar!

Kalau cikgu tak sayangkan kamu.. awal-awal lagi cikgu tidak akan peduli tentang kamu...

kamu semua istimewa di mata cikgu...
sangat dekat di hati cikgu...
yang selalu cikgu ingat ketika cikgu berjauhan..
tapi cikgu tidak sms kamu.. tidak juga telefon kamu..
sebab..
cikgu sentiasa mendoakan kamu...
cikgu mendoakan kamu supaya walau betapa berat ujian hidup kamu, moga kamu cemerlang menempuhinya...
cikgu mahu kamu tahu hidup ini sementara.. kita akan mati sayang!

Mungkin kamu pernah marah pada cikgu..
Mungkin kamu pernah benci pada cikgu...
Ya, cikgu pernah marah kamu tapi cikgu tidak pernah membenci kamu..
Kerana cikgu tahu kamu cuma budak-budak..
Budak-budak yang tidak memaksudkan apa yang difikirkan..
Budak-budak yang tidak tahu bagaimana mahu menyampaikan maksud..
Kamu tidak bersalah...

Cikgu berharap cikgu dapat memberikan yang terbaik untuk kamu..
Mahu menjadi yang terbaik buat anak-anak yang mengelilingi di sisi..
Buat anak-anak yang jauh di mata namun dekat di hati...
Kamu tidak tersisih dalam doa cikgu...
Moga kamu kuat-kuat di sana.. Kuat-kuat dalam menghadapi ujianNya.. Allah sayang kamu!

Cikgu cuma perempuan yang semakin tua. Jangan kerana kelemahan atau kemarahan kamu pada cikgu menyebabkan hidup kamu hancur lebur. Maafkan cikgu.. Cikgu manusia lemah... Kamu boleh marahkan cikgu, tapi jangan sesekali memusnahkan diri kamu..

Cikgu sentiasa doakan kamu.....

~Moga kau mengerti~
Cikgu Nur Khalilah Rasyidah
1.16 malam
Rabu 16 Mei 2012

Ahad, 13 Mei 2012

Bersinarnya Cahaya Islam


Wajah gadis itu benar-benar menarik hati saya. Adakah benar itu dia? Adakah saya tersalah orang? Saya mengintai-ngintai di celah-celah peserta program untuk mensahihkan firasat saya. Ya, itu dia. Yakin. Tetapi mengapa dia bertudung? Adakah kini dia sudah masuk Islam? Ataupun dia sememangnya sudah dilahirkan sebagai seorang Islam dan cuma baru bertudung? Ataupun mungkin dia orang Melayu tetapi beriras wajah Cina? Pelbagai soalan menerjah ke ruang fikiran saya. Mahu sahaja saya pergi kepada beliau untuk bertanya namun kesibukan mengurus perjalanan program yang menyebabkan niat saya terhalang. Program hari ini agak kucar-kacir kerana penceramah pertama tersesat jalan menyebabkan tentatif program terpaksa diubah secara ‘adhoc’.
Apabila tiba waktu persediaan untuk solat, barulah saya berpeluang menegur beliau.
“Assalamualaikum..” Saya mengukir senyuman. Beliau membalasnya. Wajah beliau tenang dan bertambah indah dengan senyuman lebar.
“Macam pernah jumpa kan..” Saya memulakan perbualan.
“Ya, memang pernah jumpa..” Beliau ketawa kecil. Beliau mungkin sudah boleh meneka apa yang sedang bermain dalam fikiran saya.
“Iftar,”jawabnya ringkas.

“Ya.. masa iftar minggu lepas kan.. Erm, minta maaf sangat-sangat.. Saya ingatkan akak non muslim sebab semasa kami solat, akak tak solat..” saya diburu rasa bersalah.

Dia ketawa lagi.

“Memang pun belum lagi masa tu..” jawabnya tenang sambil tersenyum.
Saya terkejut.

“Oh… Subhanallah…” Terkejut. Saya hilang kata-kata. Saya memandang tepat ke mata beliau.

“Siapa nama akak?”

“Aishah..”

“Siapa yang berikan nama tu?” Soal saya lagi.

“Akak yang pilih..”

Kami sama-sama diam sambil melihat peserta-peserta lain keluar dan masuk ke tandas dan tempat wudhuk. Sesekali adik-adik junior datang ke arah saya mengadukan masalah-masalah mereka. Akhirnya tibalah giliran saya untuk mengambil wudhuk.

 Sementara menunggu imam iqamat, sekali lagi saya menghampiri beliau.

“Kak.. Kenapa akak masuk Islam?” Entah patut atau tidak patut saya bertanya soalan ini.

“Ramai orang selalu tanya soalan ini,” komen beliau.

“Kalau akak rasa tak nak bagi tahu, tak mengapa… Saya faham..” Saya tidak mahu memaksa. Barangkali ianya adalah terlalu peribadi untuk beliau.

“Akak dah lama mengkaji tentang Islam. Akak baca sejarah Islam. Islam yang tulen, yang asli, yang sebenar itu indah.. Wanita-wanitanya sangat dilindungi dan dihormati..” Sambil beliau bercerita, mata kami berdua tertumpu kepada sekumpulan peserta yang sedang bergurau kasar di dalam surau. Saya bingkas bangun dan merapati sekumpulan peserta yang sedang berguling di lantai surau dan mengaturkan barisan jemaah supaya rapat dan teratur. Beberapa orang sahabat lain turut sama membantu. Jauh di sudut hati saya berharap sahabat mualaf tadi tidak mengambil hati atau tersalah faham setelah melihat perangai sebilangan orang-orang Islam yang tidak beradab ini.

Petang itu beliau tidak lagi kelihatan. Barangkali sudah kembali ke kampus. Kebiasaannya pelajar-pelajar Master dan phD hanya akan datang sekejap-sekejap sahaja kerana tugasan yang wajib sedang menanti di kampus. Masih terbayang-bayang kali pertama saya melihat beliau. Ketika itu waktu berbuka puasa. Setiap hari Khamis malam Jumaat, kami akan mengadakan iftar di surau. Ketika itulah saya ternampak beliau berjalan masuk ke surau dan duduk di bucu surau memerhatikan kami menyenduk nasi dan lauk. Kami makan dalam dulang. Dia makan bersama senior-senior saya. Selepas makan, kami bersolat berjemaah kecuali beliau. Beliau duduk di bucu surau memerhatikan kami. Selepas itu, semua muslimat akan bergerak ke ruang solat muslimin kerana ada tazkirah. Ketika itu beliau tidak mengikut bersama. Beliau pulang dalam keadaan tanpa tudung.

Saya berbisik dalam hati “Adakah dia belum Islam? Apa yang dia buat di sini bersama kami?” Disebabkan masa yang suntuk dan sibuk, saya membiarkan sahaja soalan itu tanpa jawapan. Akhirnya soalan saya sudah terjawab. Saya sungguh terharu dan sangat-sangat bersyukur. Ianya adalah suatu perasaan yang sangat indah. Sukar untuk saya gambarkan dengan perkataan. Teringin mahu bertemu lagi dengan beliau…

Semenjak itu, kami sering terserempak di kampus. Puas kami bersembang. Beliau sering mengirim soalan melalui sms kepada saya. Adakalanya saya sendiri buntu hendak menjawabnya. Keputusan memeluk Islam yang beliau lakukan tidaklah semudah yang disangka. Beliau mendapat tentangan daripada banyak pihak. Layanan orang sekeliling juga tidak banyak membantu. Saya mengkagumi kakak cina tadi kerana beliau mempelajari sejarah Islam  dan hukum Islam dengan sepenuh penghayatan sehingga akhirnya beliau jatuh cinta dengan Islam. Masih ramai orang yang dilahirkan sebagai Islam tetapi terlalu cetek pengetahuan sejarah Islam dan hukum Islam, lalu bagaimanakah dapat diharapkan untuk jatuh cinta kepada Islam? Muhasabah diri… Masih banyak yang perlu kita perbaiki wahai saudara seislamku...


“Sesiapa yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berjaya mencapai kebahagiaan dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya” (Al-Kahfi : 17)


Penulis : Nur Khalilah Rasyidah bt Abd Karim
Posisi : Timbalan Pengerusi 2 / Tarbiah dan Sahsiah

Rabu, 2 Mei 2012

Mengemis Kasih di Tanah Suci

Menghayati pagi terakhir di Mesir.. Entah ada lagi ke rezeki untuk ke sini. Inshaallah petang ini berangkat ke Madinah. Tiga hari di Mesir ini sarat dengan hikmah yang tersirat dan tersurat.

Sesungguhnya nikmat dunia ini memang indah, namun terlebih indah adalah nikmat di akhirat.

Semoga Allah meneguhkan iman kita semua.

Tanda-tanda kita terlalu bergantung kepada diri & kurang bergantung kepada Allah adalah apabila kita sangat dukacita tatkala ditimpa Kegagalan setelah berusaha. Tanda-tanda kita orang yang redha & tawakal adalah dengan meyakini Allah sentiasa ada perancangan yang lebih baik. Kita cuma berusaha, sedangkan Allah yang berkuasa menentukan segala-galanya. Alhamdulillah... :)
Setelah beberapa kali perancangan untuk mengerjakan umrah di tanah suci terhalang, hati ini semakin tawar. Selagi belum menjejakkan kaki, selagi itulah tidak mengharap. Benar-benar terasa bahawa bukan semua orang mampu ke sana kalau tidak dijemput Allah untuk menjadi tetamunya. Sebelum ke Madinah, kami singgah ke Mesir beberapa hari. Perjalanan dari KLIA menuju ke Cairo mengambil masa 12 jam. Sampai sahaja di Cairo, kami dibawa ke sebuah villa, Rumah Perlis. Pandangan luar macam biasa-biasa sahaja, tetapi sebaik pintunya terbuka terkejut melihat hiasan dalaman villa yang mewah.

Selepas bersarapan kami dibawa ke banyak tempat menarik di sekitar Cairo seperti piramid dan muzium. Semua tempat dikenakan bayaran dan paling tidak boleh lupa ialah menatap mumia-mumia Firaun dan kerabat diraja. Kebanyakkan mumia berkulit hitam kesan daripada proses pengawetan dan keadaan. Namun ada satu mumia yang masih bewarna kulit asal, keperangan dan dikatakan menurut pengkaji terdapat garam yang banyak dalam mumia yang satu ini. Maka kebarangkalian inilah Firaun yang telah dilemaskan oleh Allah sewaktu mengejar Nabi Musa. Benarlah seperti janji Allah dalam Quran yang mahu mengabadikan jasad Firaun ini supaya kita semua mendapat pengajaran.

Hari pertama ini sangat-sangat meletihkan. Malam itu sahabat lama saya datang ke villa untuk menziarahi kami. Beliau ialah Siti Munirah Abd Rashid, seorang penulis buku yang juga sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Aman Pattani. Pertemuan ringkas, mata mengantuk dan akhirnya kami sama-sama ‘speechless’.
Beliau datang bersama suaminya, yang merupakan anak kepada ustaz kami iaitu ustaz Kamaruddin Kassim, seorang aktivis bebas.

Hari kedua di Mesir pula kami pergi ke beberapa tempat bersejarah Islam seperti Kubu Salahuddin Al Ayubi. Paling syahdu apabila dibawa melawat makam beberapa ulama seperti Imam Syafie dan beberapa orang lagi termasuklah makam Imam Hassan Al Banna. Hari ketiga pula, semua peserta ke Alex iaitu kawasan tepi laut yang dikatakan sangat cantik dan lebih tenang dibandingkan dengan bandar Cairo yang berserabut dengan sampah sarap bertimbun. Pemandu pelancong kata bandar Cairo ibarat tong sampah raksasa. Sampah ada di kanan kiri jalan. Kami tidak dibenarkan membeli roti-roti dan makanan yang dijual di kaki lima jalan kerana takut ada yang sakit perut. Puas kami menahan diri daripada membeli. Tapi pada saat-saat akhir ada juga beberapa orang yang sudah membeli. Pemandu pelancong kata “Saya tak tanggung kalau sakit perut.” Hee… seramnya ayat dia.

Hari ketiga ini saya tidak ikut berjalan. Saya duduk sahaja di Villa sepanjang hari bertemankan Quran. Perjalanan ke Alex jauh mengambil masa dalam dua jam lebih jadi kesihatan saya menghalang untuk mengikuti mereka. Seronok duduk dalam villa tu seorang diri sebab makanan ada dan sangat selesa. Nasi tomato Kafe Arau yang terletak di tingkat bawah Villa sangat sedap. Tingkat atas villa menempatkan rumah pelajar-pelajar yang belajar di sana.

Hari keempat pula adalah hari terakhir di Mesir, kami bertolak ke Madinah menaiki pesawat Egypt Air. Perjalanan mengambil masa 3 jam. Sebaik sampai di Madinah, sibuklah lelaki-lelaki Bangladesh mahu mengangkat beg kami. Rupa-rupanya mereka minta bayaran selepas mengangkat. Dan selepas bagi tips mereka minta tambah lagi. Akhirnya ustaz datang dan menyelamatkan kami. Rupa-rupanya di Madinah dan Mekah juga begitu. Kalau ada orang nak tolong, lebih baik tanya awal-awal sama ada kena bayar atau tidak. Semua perlu berbayar.

Daripada lapangan terbang hendak ke hotel, kami menaiki sebuah bas yang telah disediakan oleh ustaz. Berdebar dada sewaktu hendak memasuki kota Madinah. Sambil berdoa sambil menitik-nitik air mata. Kami melalui bukit Uhud. Ustaz bercerita sirah Rasulullah saw sepanjang perjalanan. Rindu kepada baginda saw semakin membuak-buak mendengarkan lipatan sejarah baginda saw. Selepas makan dan mandi, kami berjalan kaki ke masjid Nabawi yang terletak dalam 1 km daripada hotel. Masing-masing tidak bersembang kerana sibuk berselawat. Semakin hampir ke masjid, semakin sebak di dalam dada. Semasa sudah hampir sampai, saya sudah mula merasakan sakit-sakit di pinggang kemudiannya menjalar ke seluruh kaki. Tahan.. Tahan.. Akhirnya saya duduk dan memberi isyarat kepada emak “Tak boleh dah.. Tak boleh..” Emak berusaha memimpin saya kerana kami sudah ketinggalan teman-teman sekumpulan yang sudah hampir ke bahagian masjid yang berhadapan makam Rasulullah saw. Sebaik tiba di masjid, ustaz mengajak kami berdoa dan air mata mencurah… Sebak.. Rindu… Terharu.. Bersyukur.. Semua perasaan bersatu dalam linangan air mata. Sambil berdoa saya perlaha-lahan duduk di lantai kerana sudah tidak mampu berdiri. Rasa sakit hampir membuatkan saya tidak lagi merasakan kaki saya. Selepas semua orang selesai berdoa, saya masih duduk dan saya sudah tidak mampu untuk berdiri semula. Akhirnya malam itu saya mulalah berkerusi roda sehinggalah hari terakhir di Madinah.

Hotel terletak tidaklah jauh dari masjid. Alhamdulillah dapat berjalan berpimpin sehingga sampai ke depan dinding makam yang menghadap arah hadapan wajah Rasulullah..Sampai di sana saya sudah tidak mampu lagi berdiri. Emak pujuk "Takpa..Takpa... Dah sampai dah.. Selawat, selawat.."
Bercucuran air mata ini kerana terharu diizinkan Allah untuk sampai ke sini. Ya Allah, bangkitkan daku di sisi Rasulullah di akhirat.. Wahai kekasih Allah..daku merinduimu...
Perasaan sangat gembira menyebabkan saya lansung tidak merasakan kesakitan itu suatu masalah. Setiap hari saya cuma berpeluang untuk satu kali sahaja ke masjid kerana kalau tiada orang yang menolak, saya akan duduk sahaja di bilik membaca Quran. Hati tidak sedikit pun rasa tercicir atau kekurangan kerana saya bersyukur sekurang-kurangnya saya sudahpun sampai ke sini dan apabila saya membaca Quran, rindu itu terubat. Lagipun saya tidak mahu menyusahkan orang lain.
Malam ini dimudahkan Allah untuk berdoa dan bersolat di Raudhah. Puas. Dada rasa lapang, segala rindu sudah dilepaskan dalam air mata. Selepas selesai barulah tahu disebabkan berkerusi rodalah menyebabkan saya dapat masuk ke Raudhah pukul 10.30 malam, sedangkan teman-teman Malaysia & Indonesia yang lain sepatutnya masuk pada 12malam. Subhanallah. Mak yang menolak tidak dapat masuk ke Raudhah sebab guard ambil alih menolak kerusi roda. Saya disusun paling hujung jadi puas memanfaatkan masa. Syukur ya Allah. Syukur. Balik tu, Mak kata "Doa supaya sihat." Eh, saya lupa.. Lansung tak ingat yang itu. "Kakak doa supaya iman yang sihat."

Ya Allah, jadikanlah apabila semakin hampir daku dengan kematian, maka jadikanlah daku semakin dekat dengan-Mu.

Selepas dua malam di Madinah, teman-teman lain mengajak kami ke Raudhah. Betapa gembiranya hati ingin ke sana kerana Nabi saw kata itu antara taman-taman syurga. Saya banyak mendengar kisah-kisah pengalaman orang lain betapa sukarnya mereka berpusu-pusu hendak masuk ke sana. Lalu saya berhenti berharap kerana saya khuatir roda-roda pada kerusi saya akan menyakiti kaki atau kepala orang lain yang bersujud dan saya khuatir ini akan menyusahkan emak atau adik yang menolak. Akhirnya selepas makan malam, dalam pukul 10 malam kami pun bergerak masuk ke laluan khas untuk ke Raudhah. Raudhah hanya dibuka pada masa tertentu untuk wanita iaitu selepas duha dan selepas isyak. Jadi tentulah ramai orang berebut mahu masuk. Sebaik masuk di laluan pertama, pengawal wanita memberi arahan supaya emak menolak saya ke sekumpulan orang arab. Emak patuh dan agak keliru. Barangkali pengawal itu menyangka emak orang Arab kerana berpurdah. Akhirnya kami bergerak melalui beberapa tapisan. Semua orang Malaysia dan Indonesia ditahan dan disuruh solat sedangkan orang-orang Arab dibenarkan bergerak.

Jauh juga kami bergerak melalui banyak check point tapi tidak sampai-sampai. Sepanjang jalan, saya mendiamkan diri dan berdoa di dalam hati. Adakah Allah akan mengizinkan saya ke sana? Alhamdulillah, dalam pukul 10.30pm saya sudah menjejakkan kaki dalam Raudhah. Sebaik sampai di ‘carpet’ hijau, pengawal wanita itu terus menarik kerusi roda saya daripada emak dan menolak saya ke tempat paling dalam. Emak sudah berpesan supaya sebaik kerusi dihentikan terus solat. Saya patuh, segera mata dipejamkan dan solat!. Air mata saya sebenarnya memang sudah sedia mengalir sepanjang perjalanan masuk kerana hati ini begitu sayu… Ya Allah.. Hamba lemah datang padaMu.. Ya Rasulullah… Umatmu yang lemah datang padamu.. Sudilah menerima diriku ini dalam serba kekurangan…

Sepanjang jalan tidak berhenti doa dan berdoa untuk emak, abah, nenek, atuk, kawan, staf, adik beradik, pelajar-pelajar dan untuk Islam ini. Selepas puas berdoa barulah membuka mata. Pandangan kabur kerana air mata sudah bertakung. Kelihatan pengawal sedang mengeluarkan orang lain yang berkerusi roda daripada Raudhah sedangkan saya duduk paling hujung jadi masuk antara paling awal dan keluar paling akhir. Disebabkan pengawal ingin cepat, maka emak memberi isyarat kepada mereka untuk membantu mengeluarkan saya dari sana. Sebaik terpandang emak, hati sebak… Serta merta berdoa lagi untuk emak. Khas untuk emak. Doa yang paling istimewa untuk insan yang paling istimewa di tempat yang paling istimewa…
Malam terakhir di Madinah.. Berkenalan dengan Ibrahim yang begitu ceria dan aktif. :)

Semasa bertolak ke Mekah, saya sudah boleh berjalan, turun dan naik tangga sendiri serta bersolat berdiri.Ustaz singgah ke medan Badar semasa dalam perjalanan. Subhanallah sangat termotivasi semangat jihad. 
Medan Badar menyaksikan 313 sahabat yang paling terbaik dalam kalangan Islam berjuang melawan 1000 Quraisy. Allah telah menurunkan malaikat membantu dan telah memenangkan Islam. Perang Badar merupakan perang pertama dalam Islam & kali pertama Quraisy telah kalah, sekaligus menaikkan nama Islam di seluruh semenanjung Arab. 14 orang sahabat telah syahid. Khemah nabi bernama Arish telah didirikan di tempat yang boleh menonton medan. Kini sebuah masjid bernama Arish didirikan di sini. :) Alhamdulillah solat zohor & lunch di sini. :) Labbaikallah humma labbaik...
Namun sebaik tiba di Mekah saya mulai rasa sakit semula. Akhirnya terpaksalah saya menelan pil penahan sakit yang mana akan menyebabkan saya menjadi khayal, jantung menjadi laju, emosi tidak stabil serta bakal merosakkan hati dan ginjal dalam jangka masa panjang. Saya dipimpin adik saya untuk turun dari bas sehinggalah ke pintu hotel. Saya gagal berdiri dan terjelepok di depan pintu hotel. Saya malu…… Orang ramai lalu lalang dan saya menghalang laluan. Air mata hampir mengalir dan serta merta saya membuka Al Quran dan membacanya. Di Mesir, saya sudah baca 10 juz, di Madinah pula 10 juz. Saya tidak mahu syaitan mengganggu perasaan saya. Saya tidak mahu syaitan mengambil kesempatan kepada diri saya. Saya tidak mahu lemah, saya mahu jadi kuat! Saya sudah sampai Mekah!
Merentasi padang pasir dari Madinah menuju Mekah. Cuaca panas & kering. Terharu membayangkan pengorbanan para sahabat & umat Islam berjuang menegakkan akidah di sini. Sungguh besar pengorbanan mereka! Semoga Allah meletakkan kita dalam kalangan para nabi, sahabat & syuhada. Semoga kita dapat bertemu mereka di sana. Melihat padang yang luas teringatkan padang mahsyar... Ya Allah.. Serta merta rasa pedih kulit terkena terik suria. Dahaga.

Semoga kita dibangkitkan di sisi Rasulullah. Semoga kita dapat minum telaga Rasulullah. Semoga kita mendapat syafat baginda. Semoga kita mendapat lindungan di bawah arasy Allah...

Alhamdulillah sudah masuk juz 23 hari ke 7.. Pedih mata menangis saat membaca terjemahan yang berulang kali menceritakan tentang pengorbanan para rasul, azab Allah & berita gembira syurga yang mengalir sungai di bawahnya. Bacalah.... Bacalah Quran dan bacalah terjemahannya.... Itu cara kita mengecas iman!! :'(

Hari pertama saya berkurung di dalam bilik hotel bersama Quran sebagai teman. Adik kata biar mereka ke Masjidil Haram dahulu dan melihat keadaan ke sana. Sebaik pulang mereka berkata jalan di sana sempit, sibuk dan berbukit maka sukar untuk membawa kerusi roda. Hati saya lansung tidak merajuk sebaliknya membuak-buak mahu melihat Kaabah. Keesokkan paginya saya bangun awal dan bersiap-siap untuk ke Masjidil Haram. Saya berjalan perlahan. Adik saya memaksa saya menaiki kerusi roda tetapi saya bertegas tidak mahu. Sepanjang jalan saya berdoa “Ya Allah.. Aku datang untuk beribadah, permudahkanlah…” Doa berselang ucapan Labbaikallah humma labbaik…. Alhamdulillah saya dapat buat tiga kali umrah. Semenjak di Madinah saya lansung tidak mengikuti program ziarah kerana saya merehatkan diri supaya bertenaga untuk berjalan kaki bertawaf, bersaie dan bersolat di Masjid. Di Mekah juga saya merehatkan diri di dalam bilik sahaja dan lansung tidak ikut mereka menziarahi tempat-tempat bersejarah. Hari-hari berikutnya dihabiskan dengan beriktikaf di masjid. Selepas khatam Quran, ulang semula bacaan. Kota Madinah dan Mekah didirikan atas dasar keimanan dan manusia datang kepadanya kerana keimanan. Secara logiknya, tiada lansung hiburan yang menarik hati di sini kecuali beribadah. Di sini manusia berlumba-lumba mahu beribadah. Begitulah juga hidup kita seharian, perbaharuilah niat-niat kita supaya sentiasa memulakan sesuatu atas dasar keimanan. Semoga orang-orang yang mendampingi kita juga akan hadir atas dasar keimanan.
Ustaz kata Allah akan menguji kita dengan pelbagai ujian dan semakin lama semakin berat sehingga nyawa-nyawa ikan. Kemudian barulah dihantar pertolongan. Ya, benar.. Seperti di dalam Al Baqarah Ayat 214..

Adakah kamu mengira kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu cubaan seperi orang2 terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan & digoncang sehingga rasul & org2 beriman bersamanya berkata "Bilakah akan datang pertolongam Allah? " Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat...

Gambar : Tingkat 1 Masjidil Haram...

 Akhirnya pada 28 April, kami kembali semula ke Malaysia. Penduduk Malaysia sangat jauh lebih berhemah dan berbudi bahasa jika dibandingkan dengan Mesir, Madinah dan Mekah. Itu membuatkan saya sangat menghargai Malaysia. Dalam masa yang sama juga, saya sangat mencintai Madinah dan Mekah kerana kemuliaan yang Allah berikan kepada tempat-tempat itu. Walaupun sudah kembali ke Malaysia, jarak bukanlah alasan untuk mengurangkan amal ibadah seperti ketika di sana. Hakikatnya Allah itu terlalu hampir dengan diri. Berdoalah dengan rendah hati dan taatilah segala perintahNya dan jauhilah segala laranganNya. Berselawatlah kepada Rasulullah saw, nescaya baginda mendengarnya walaupun jarak beribu batu.

Penulis : Nur Khalilah Rasyidah bt Abd Karim
Posisi : Timbalan Mas'ul 2 / Amanah Tarbiah dan Syakhsiah

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....