muhasabah diri semula..
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Setiap kali kita menerima tanggal 10 Zulhijjah, pastinya lembaran silam akan bermain di lubuk sukma , memutarkan kembali kisah seorang hamba Allah yang taat melaksanakan perintah Al-Rabb , di samping kesabaran seorang anak dan seorang ibu dalam mematuhi perintah Allah.
Betapa agung keluarga ini yang sanggup membuang resah hati seorang insani demi erti sebuah ketaatan. Allah berfirman di dalam Al-Quran menyatakan ketulusan hati Nabi Ibrahim :
وَمَنْ يَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَنْ سَفِهَ نَفْسَهُ وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ * إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ
bermaksud:
Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini dan sesungguhnya dia pada hari akhirat kelak tetaplah terdiri dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).
(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: Berserah dirilah (kepadaKu wahai Ibrahim)! Nabi Ibrahim menjawab: Aku berserah diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
Bayangkan suasana ketika Allah memerintahkan nabi Allah Ibrahim untuk menyembelih anak kesayangannya sendiri, Ismail Alaihimassalam.
Sungguh perintah ini sangat menyayat hati. Hati ayah manakah yang akan tergamak menyembelih darah dagingnya sendiri? Hati ibu manakah yang tidak akan tersentuh apabila anak kesayangannya ditakdirkan mati di tangan suaminya sendiri. Seakan dunia ini sudah tidak punya ertinya lagi seandainya kehidupan ini dilalui tanpa insan tersayang.
وَا حَسْرَةً للْفَتَى ساعَــ ـةً يَعِيشُها بعد أحِبَّائـهِ عُمْرُ الفَتى لو كان في كَفِّــه رَمَى به بعد أوِدَّائـهِ
· alangkah sedihnya bagi seorang yang menemui satu ketika,
· dia hidup tanpa kekasihnya di sisinya,
· kalaulah nyawa itu berada di tapak tangan,
· pasti kan dilemparkan apabila kekasih sudah tiada.
Namun apabila di sana berlaku pertembungan antara tuntutan Allah dan runtunan jiwa, mukmin sejati akan pasrah dan tunduk memuliakan perintah penciptanya. Itulah yang berlaku dalam keluarga soleh ini.
Si ayah melemparkan rasa kasihannya demi kerana Allah.
Si ibu tega menyeka air matanya semata-mata rindu kepada cinta Allah.
Si anak sabar dalam menghadapi ujian kematian semata-mata kerana redha dan menyakini bahawa diri ini adalah kepunyaan Allah.
Namun Allah tidak berlaku zalim terhadap hambanya. Arahan yang dikeluarkan hanya untuk mencuit hati insan sepanjang zaman agar menginsafi erti sebuah pengorbanan.
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ من الصابرين
Yang bermaksud:
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.
Persoalannya adakah kita benar-benar meletakkan ketaatan kepada Allah melebihi segala-galanya? Adakah benar kita telah menjadi seorang yang mempraktikkan ikrar setia harian kita إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ dan ia benar-benar terlaksana?
Kita sedih dengan apa yang menimpa generasi Muslim yang kian parah jati dirinya. Akhlak yang merudum, keperibadian yang kian bernanah memburukkan lagi usaha untuk mencari redha Allah.
Budaya ikhtilat ( pergaulan bebas ) yang menyemarakkan api nafsu di kalangan muda mudi yang sunyi daripada syariat Islam semakin menjadi-jadi. Sang jejaka sudah tidak segan silu untuk menodai sang gadis demi cinta kononya . Kemudahan teknologi dan tamaddun modern yang ada , digunakan bagi memohon murka dan kebencian Allah.
Filem-filem lucah yang mempamirkan aksi berahi sudah jadi sebati dengan jiwa rakyat Malaysia ala Islam Hadhari. Budaya melihat aurat wanita dalam rancangan televisyen seakan tiada mengapa. Kita semakin lupa bahawa mata dan panca indera yang lain merupakan amanah Allah yang akan ditanya di akhirat kelak.
Budaya untuk mengimarahkan rumah Allah semakin dipinggirkan. Rumah Allah sepi tanpa dihiasi dengan solat berjemaah tanda kepatuhan kepada Allah , seakan-akan tidur dan dunia lebih besar daripada menyahut panggilan Allah. Malah rumah Allah semakin mudah untuk disembamkan ke bumi sebagaimana yang berlaku di Kampung Bkt. Berembang baru-baru ini sedangkan lokasi-lokasi maksiat tetap tersenyum bongkak meratah akhlak dan jiwa seorang muslim.
Apakah ini hasil tarbiah atau didikan yang kita timba dalam setiap lembaran 10 Zulhijjah yang menjelma. Apakah ini tanda bahawa ruh pengorbanan nabi Ibrahim sekeluarga sudah mampu untuk kita realisasikan dalam kehidupan kita sehari-hari? Adakah ini model terbaik kepada satu peribadi yang bakal menjadi galang ganti kepada perjuangan para nabi? Nabi SAW menyatakan:
فَوَاللَّهِ مَا الْفَقْرَ أَخْشَى عَلَيْكُمْ وَلَكِنِّي أَخْشَى أَنْ تُبْسَطَ الدُّنْيَا عَلَيْكُمْ كَمَا بُسِطَتْ عَلَى مَنْ قَبْلَكُمْ فَتَنَافَسُوهَا كَمَا تَنَافَسُوهَا فَتُهْلِكَكُمْ كَمَا أَهْلَكَتْهُمْ
yang bermaksud:
Demi Allah! Bukanlah kefakiran yang paling aku takutkan bakal menimpa kamu tetapi aku aku takut seandainya kamu akan dibentangkan dunia di hadapanmu lantas kamu bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya sebagaimana umat sebelummu berusaha untuk mendapatkan dunia lantas dunia menghancurkan kamu sebagaimana dunia telah menghancurkan umat sebelum kamu.
Sudah sampai masanya kita kembali menyatakan ketaatan kita kepada Allah dengan meninggalkan perkara-perkara mungkar yang semakin membarah di kalangan kita agar Allah memberikan peluang kepada kita untuk dipilih menjadi penggerak ummah bertuah ini.
Allah berfirman:
إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ * فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ * إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ
yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).
Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).
Ibadah korban yang disyariatkan pada hari raya Idul Adha ini merupakan simbolik kepada memperingati pengorbanan yang luar biasa yang dipersembahkan oleh Nabi Allah Ibrahim sekeluarga. Korban di sisi Islam dilaksanakan semata-mata mengharap redha Allah Taala berbeza dengan korban yang dilaksanakan oleh masyarakat jahiliyyah yang dipersembahkan kepada Al-Lata dan Al-Uzza.
Allah tidak menginginkan darah serta daging binatang yang disembelih namun keikhlasan yang lahir daripada hambaNya akan menganugerahkan penerimaan ibadah tersebut. Menifestasi pengorbanan ini perlu diserapkan untuk mendarah daging dalam setiap jiwa umat Islam.
Namun, seandainya kita meneliti realiti keadaan umat Islam hari ini, kita akan dapati betapa jauhnya mereka dengan nilai pengorbanan yang meletakkan kemahuan Allah itu di puncaknya. Umat Islam sangat parah dengan pelbagai penyakit yang membawa kepada kejauhan daripada kasih sayang Allah.
Mereka dihinggapi dengan penyakit krisis keyakinan terhadap kemampuan Islam sebagai jawapan dalam semua permasalahan. Betapa ramai di kalangan umat Islam yang tidak mahu berjuang untuk meletakkan Islam kembali dijulang. Islam dianggap sebagai upacara keagamaan semata-mata. Islam dianggap bukan penyelesaian kepada masalah kenegaraan, politik, ekonomi, sosial dan undang-undang.
Teori ortodok memisahkan agama daripada kehidupan masih dianuti. Mereka cuba untuk meracuni jiwa muslim agar beriman dengan kata-kata yang menjadi asas teori sekularisme:
دع ما للقيصر للقيصر وما لله لله
Serahkan urusan pemerintah kepada pemerintah dan serahkan urusan Allah kepada Allah .
Ulamak dipersenda. Kata-katanya dianggap kolot dan ketinggalan zaman. Budaya hiburan tanpa batasan Islam semakin menular di dalam jiwa muda-mudi Islam. Ulama bisu cuba untuk memesongkan agama Allah semata-mata kerana sekelumit habuan dunia . Agama Allah cuba untuk dicabuli.
Serahkan urusan pemerintah kepada pemerintah dan serahkan urusan Allah kepada Allah .
Ulamak dipersenda. Kata-katanya dianggap kolot dan ketinggalan zaman. Budaya hiburan tanpa batasan Islam semakin menular di dalam jiwa muda-mudi Islam. Ulama bisu cuba untuk memesongkan agama Allah semata-mata kerana sekelumit habuan dunia . Agama Allah cuba untuk dicabuli.
Undang-undang Allah dianggap sebagai undang-undang rimba yang hanya membawa negara kepada kemunduran. Murtad semakin menjadi-jadi. Zina seperti perkara biasa.
Apakah umat seperti ini yang diharapkan bakal memartabatkan Islam? Adakah golongan ilmuan Islam yang tergamak mengkhianati ilmunya ini yang diharap-harapkan bakal memimpin tangan masyarakat untuk kembali mencari redha dan kasih ilahi?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum... :)