Wajahnya berkerut. Matanya agak merah. Entah kerana marah, entah kerana sedih, saya tidak pasti. Tetapi jelas lelaki di hadapan saya ini rasa tercabar kewibawaannya.
“Bayangkan… seolah-olah kita ni semua nak dianggap semacam haruan. Haruan makan anak!”
“Biasalah begitu. Orang kekadang terlalu sentiment. Segelintir lelaki yang salah, semua lelaki terhukum,”ujar saya.
Saya senyum. Lucu pula. Takut kata-katanya disalah anggap. Mujur tidak ada orang lain berhampiran kami.
“Bersabar bila tercabar itulah lelaki sebenar,”kata saya pendek.
“Apa mereka tu ingat wanita boleh hidup tanpa lelaki?”
“Eh, mana boleh… tapi bolehkah kita pula hidup tanpa wanita?”
Dia terdiam.
“Di mana sebenarnya kelakian lelaki?” tanyanya terus terang. Saya tersenyum lagi.
“sebelum saya menjawab, setujukah kalau dikatakan lelaki berbeza dengan wanita?” jawab saya dengan satu pertanyaan.
“Sudah tentu.. dari segi fizikal, kita lebih tegap dan gagah…”
“bukan itu sahaja… Dari segi dalaman pun kita berbeza. Jiwa, perasaan dan pemikiran lelaki berbeza dengan wanita. Apakah ini satu diskriminasi?” jolok saya lagi.
“Tuhan yang menjadikan manusia Maha Pengasih. Tak kan begitu…”
“Betul, cakap awak. Perbezaan itu bukan satu diskriminasi…. Tetapi perbezaan itu disebabkan perbezaan peranan dan tugasan. Macam berbezanya jari tangan, masing-masing ada peranan. Begitulah lelaki dan wanita…”
“Awak belum jawab soalan di mana kelakian lelaki?” katanya mengingatkan.
“Kelakian lelaki terletak pada keberkesanannya melaksanakan peranannya yang unik dan tersendiri.”
“Maksud awak?”
“Memimpin wanita! Lelaki adalah pemimpin wanita. Itu adalah peranan yang tidak boleh di ambil alih wanita,” jawab saya.
“Tetapi sekarang dah ramai wanita yang memimpin lelaki. Ramai pengarah, pengurus dan bos di kalangan wanita. Dah jadi menteri pun ada… macam mana ni? Dan awak tengoklah ramai wanita yang tak boleh terima kepimpinan lelaki,” keluhnya.
“kepimpinan yang saya maksudkan bukan kepimpinan di bidang-bidang kehidupan. Dalam soal tu, siapa yang lebih ahli dan pakar, dialah pemimpin, tak kira lelaki atau wanita.Misalnya dalam bidang teknologi, jika ada wanita yang lebih pakar dalam bidang tu, dialah yang layak memimpin bidang tu. Nabi pernah bersabda, maksudnya jika sesuatu pekerjaan diserahkan kepada bukan ‘ahlinya’ maka tunggulah saat kehancurannya.”jelas saya.
Saya menyambung lagi. “Yang saya maksudkan ialah kepimpinan dalam satu institusi yang sangat penting. Itu mesti dipegang oleh lelaki. Institusi itu adalah nucleus kepada segala-galanya. Ia nadi. Benteng utama kepada keselamatan masyarakat dan Negara. ”
“Institusi keluarga. Lelaki adalah pemimpin seluruh anggota keluarga. Dia pemimpin kepada isteri dan anak-anaknya. Tak kira, sekalipun wanita itu seorang Perdana Menteri tetapi dalam keluarganya dia tetap pengikut kepada suaminya…”
“Kelakian kita terletak di situ?”
“Ya. Sejauh mana kita mampu memimpin seluruh anggota keluarga kita. Dan untuk memimpin, kita perlu ada kelebihan….”
“Sebab itu nabi Adam dijadikan terlebih dahulu daripada Hawa agaknya, ya?”
Terasa semacam menyimpang pula butiran perbualannya.
“Peristiwa itu bukan hanya signifikan dari segi masa… tetapi maksud ‘dahulu’ itu adalah ‘di hadapan’. Kaum adam di hadapan dari segi kejiwaan, pemikiran , seterusnya membuat pertimbangan dan keputusan. Untuk memimpin, lelaki mesti di hadapan dari segi kestabilan jiwa, kemantapan akal dan ketenangan perasaan. ”
“kata orang lelaki lebih rasional daripada wanita, kan?”
“Hanya lelaki yang benar-benar lelaki….”
“Apa rahsia kelakian kita, opss… maksud saya rahsia kejayaan dalam kepimpinan kita?”
Saya senyum melihat dia tersenyum.
“Sejauh mana kita berjaya memimpin diri kita sendiri. Itu kunci utama kepimpinan. Dan sejauh mana kita berjaya memimpin diri terletak pula pada sejauh mana kita berjaya memimpin hati,akal, perasaan dan nafsu kita.”
“Kata orang, lelaki memiliki 9 akal 1 nafsu manakala wanita memiliki 9 nafsu 1 akal. Betul ke?”
“Tu saya tak pasti. Tetapi yang pasti akal adalah pemimpin nafsu. Kalau benar nafsu lelaki Cuma 1, kenapa akal yang 9 tu tak mampu memimpinnya? Kenapa ramai lelaki yang tak jadi lelaki? Maksud saya kalah pada hasutan nafsunya?”
Keningnya berkerut.
“Sebab…. Tak cukup hanya dengan memiliki, tetapi mestilah digunakan. Akal lelaki yang 9 tak berguna kalau tidak digunakan. Sebaliknya nafsu yang 1 tu dibiarkan bermaharajalela. Itulah sebab ada hukama berkata ada akal tapi tak berakal. ”
Lelaki di hadapan saya mula berfikir. Mungkin akalnya mula mendominasi emosinya yang meluap-luap di awal perbualan tadi.
Melihat itu saya terangsang untuk terus ‘mengusik’ mindanya.
“jadi sebenarnya siapakah yang menjatuhkan kelakian lelaki?”
“Lelaki,” jawabnya pantas.
“lelaki yang bukan lelaki!” tambah saya.
“Janganlah risau sangat. Jangan sedih kalau kita tidak dihargai, tetapi sedihlah kalau benar kita tidak mampu menjadikan diri kita beharga.”pujuk saya.
Masalah peribadi yang diceritakan pada saya sebelum ini seolah-olah sudah terungkai. Mudah-mudahan ‘kelakian’nya yang diragukan sejak awal tadi telah kembali!
org ada stu buku tulisan oleh Pahrol Mohamad Juoi..nk pnjam,no hal.upah sewa boleh dirunding.huhu
BalasPadam(erm...comment yg xberkaitan.heheh)
nini comot.. bagi pinjam free dah la.. ~_~
BalasPadam