Kematian bapa yang menjadi ketua keluarga menyebabkan si ibu terpaksa mengambil alih kedua-dua tugas, iaitu tugas sebagai bapa dan tugasnya yang telah sedia ada, sebagai ibu. Makin beratlah tanggungjawab seorang wanita mendidik anak tanpa suami.
Tetapi lihatlah bagaimana ibu-ibu solehah ini mendidik anaknya sehingga menjadi manusia yang terkenal di langit dan terkenal di bumi. Ibu Imam Syafie, misalnya , menghantar anaknya Imam Syafie semasa kecil untuk belajar agama kepada beberapa orang guru hingga memakan masa beberapa tahun. Entah bagaimana semasa menuntut ilmu itu Imam Syafie sempat juga mengumpul harta. Maka beliau membawa sama harta yang didapatinya itu pulang. Apabila melihat keadaan ini, timbullah kemarahan ibunya, sehingga tidak dibenarkan Imam Syafie masuk ke dalam rumah disebabkan beliau disuruh menuntut ilmu bukannya mengumpul harta. Terpaksalah Imam Syafie membuat khemah di luar rumah, membahagi-bahagikan harta yang dimilikinya kepada orang ramai. Lama juga untuk beliau menghabiskan harta itu. Sepanjang masa itu beliau tinggal di luar rumah, setelah habis harta itu barulah dibenarkan oleh ibunya masuk ke rumah.
Syeikh Abdul Kadir Jailani, seorang wali Allah yang terkenal , ibunya adalah seorang wanita yang solehah. Diceritakan dalam kitab, beliau wanita yang tidak pernah melihat lelaki ajnabi, tidak pernah mengumpat atau bercakap kosong, tidak pernah mendengar perkataan yang sia-sia, tidak pernah melangkah kaki ke tempat maksiat. Beliau wanita suci yang telah mencapai makam waliyullah.
Lihat bagaimana berkesannya beliau mendidik anaknya Syeikh Abdul Kadir Jailani. Ketika masih kanak-kanak lagi, beliau pernah dirompak semasa dalam perjalanan untuk pergi berguru. Bila ditanya oleh perompak apa yang dia ada, terus terang dia memberitahu di dalam kasutnya ada wang 40 dirham. Berkali-kali ditanya oleh perompak itu, itulah jawapan Syeikh Abdul Kadir Jailani. Bila perompak itu mendapati kata-katanya benar , maka masing-masing rasa tersindir dengan keikhlasan dan keberanian seorang anak kecil yang berkata benar. Hasilnya, perompak itu bertaubat. Itulah kesan didikan ibu solehah sehingga anak yang dididiknya berjiwa besar dan takut untuk berbohong walaupun nyawanya terancam.
Keadaan anak-anak yang yatim menyebabkan ia tidak punya tempat bermanja dan bergantung. Tidak seperti orang lain yang punya bapa, tentulah makan minum bapa yang menyediakannya. Tetapi bagi anak yatim, lelaki pula, apabila ketiadaan bapa merekalah yang akan menjadi bapa kepada keluarganya. Mereka akan cepat matang, lebih cepat berdikari dan sudah mula memikirkan tanggungjawab untuk menguruskan keluarga. Tidak bergantung kepada orang lain. Ini akan menjadikan ianya seorang yang kuat jiwanya.
Dengan dipimpin pula oleh ibu yang solehah yang selalu mendidik dan mengasuh anak-anaknya kepada Allah dan akhirat, maka pergantungan hati anak itu akan diletakkan kepada Allah. Rasulullah saw kecil-kecil lagi sudah memikul tugas menjaga kambing untuk membantu keluarga bapa saudaranya, Abu Talib. Bila letih dan dahaga, baginda minum air zam-zam. Baginda tidak suka meminta-minta walaupun dalam kelaparan. Sebaliknya sanggup bertahan dalam derita daripada mengemis kepada orang.
Inilah tarbiah yang diberi Allah. Iaitu ditarbiah secara lansung oleh Allah melalui kesusahan hidup, kekurangan kasih sayang, tidak ada tempat bergantung dan terpaksa memikirkan sendiri bebanan hidup yang dilaluinya. Itu semua adalah proses yang menjadikan mereka cepat matang, dekat dengan Tuhan dan kuat jiwa.
Keturunan yang baik akan melahirkan benih yang baik juga. Pernah Saidina Umar Ibnu Khattab berjalan di satu subuh menghampiri sebuah rumah yang buruk. Beliau mendekati dinding rumah kerana kesejukan. Tiba-tiba terdengar oleh beliau perbualan di antara seorang ibu dengan anak perempuannya. Si ibu menyuruh anaknya menambah air ke dalam susu yang hendak dijual. Tetapi anaknya itu tidak mahu berbuat demikian kerana katanya walaupun manusia tidak dapat melihat perbuatan mereka tetapi Allah tetap melihat. Saidina Umar yang mendengar perbualan itu tertarik dengan akhlak, kejujuran dan ketaqwaan anak perempuan itu, lalu kemudiannya beliau menghantar rombongan meminang anak perempuan tadi untuk dikahwinkan dengan anaknya.
Hasil daripada perkongsian itu lahirlah cucu Saidina Umar yang bernama Abdul Aziz. Apabila Abdul Aziz berkahwin, maka lahirlah Umar bin Abdul Aziz, cicit kepada Saidina Umar yang mewarisi ketokohan daripada kepimpinan yang mirip Saidina Umar Al-Khattab sendiri. Umar Abdul Aziz adalah seorang khalifah yang disayangi rakyat kerana keadilannya, adalah lahir daripada benih-benih orang soleh dan ibu yang solehah.
Sebaliknya seorang anak yang dibesarkan dalam belaian manja dan penuh kasih sayang dari ibu dan ayah akan susah untuk membuang sifat manja apabila mereka besar nanti. Biasanya, mereka yang selalu bergantung kepada ibu dan ayah akan sukar untuk menjadi orang yang kuat jiwanya dan lambat matang.
Bagi orang yang mahu melahirkan anak yang kuat jiwanya dan banyak bergantung kepada Allah, maka si bapa mestilah jarang berada di rumah ataupun anak tidak terlalu rapat dengan ayah. Tujuannya, untuk menjaga siasah bapa itu supaya apabila anak itu bersalah, ibu boleh menakut-nakutkan anaknya dengan menyebut –nyebut nama ayahnya. Misalnya, kalau anak nakal, maka ibu akan berkata, “Jangan buat begitu, nanti kalau ayah balik ibu beritahu ayah.” Bagi ayah yang punya siasah diri, apabila ibu menyebut akan ayahnya, itu sudah cukup membuat si anak jadi takut untuk membuat kerenah, sebab takut dihukum oleh ayahnya.
Ayah yang jarang berada di rumah dan renggang dengan anak akan menyebabkan anaknya cepat matang. Bukanlah renggang dan jarang berjumpa atau lansung ayah tidak memberi kasih sayang kepada anak, tetapi pertemuan sesekali dengan anak itu lebih bermakna.
Oleh itu untuk melahirkan pemimpin besar Islam mestilah bermula daripada keturunan yang baik, ibu yang solehah, bapa yang jarang bersama anaknya (atau yatim) barulah jiwa anak itu akan dapat berkembang secara merdeka jiwanya dari dunia tetapi terikat kuat dengan akhirat.
Sebaliknya jika seorang anak itu memiliki ibu yang tidak solehah, yatim pula, keadaannya akan jadi sebaliknya, di mana anak itu semakin rosak kerana kurang perhatian dan kasih sayang. Dan ibu itu juga tidak dapat memandu anaknya ke arah menjadi anak yang baik dan soleh. Ini lebih buruk akibatnya, nasib anak itu akan dua kali yatim, yatim di dunia dan yatim di akhirat. Yatim di akhirat ertinya neraka. Sedangkan neraka adalah tempat yang paling malang dan hina bagi sesiapa yang menjadi penghuninya.
rujukan : Konsep Pembentukan Wanita, Isteri & Ibu Solehah - susunan : Fadhilah A. Ali, & Muhammad A.Shahbudin - terbitan Jahabersa.
Ya Allah... aku tidak mahu menyesal.. aku mahu mengingati Mu setiap detik dan saat dalam hidupku..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum... :)