Khamis, 8 Januari 2009

setiap saat adalah nyawa...

"PENDUDUK Palestin berada di ambang maut apabila bantuan ubat-ubatan, air bersih dan makanan tidak dapat disalurkan akibat sekatan Israel. Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) sifatkan keadaan di Gaza sangat-sangat berbahaya dan meruncing. Semua hospital di Gaza kehabisan bekalan darah dan ubat-ubatan terutama vaksin tetanus untuk kanak-kanak". Begitulah tutur ayat muka depan Utusan Malaysia 7 Januari 2009.

Hari demi hari yang berlalu dalam bulan Januari tahun baru ini, belum pasti menjanjikan sebarang sinar harapan buat penduduk Gaza. Saban hari, ratusan nyawa terkorban dan harta benda yang tidak tertaksir jumlahnya dimusnahkan.

Kedegilan Israel dan kebiadaban sikap Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan vetonya untuk menafikan hak dan suara masyarakat seluruh dunia bagi menamatkan konflik seakan-akan meludah dan mencebik sambil bercekak pinggang kononnya 'keamanan sejati' harus dicapai, Hamas adalah puncanya dan inilah sahaja caranya.

Soldadu Israel yang sentiasa mundar-mandir, lagak seperti hulubalang dataran berpasir, senjata terhunus tuan tanah diusir, nyawa rakyat tidak berdosa di ambang getir. Kereta kebal menjadi kenderaan rasmi yang berlegar, rakyat Palestin yang bergerak dijadikan sasaran untuk latihan peluru dan bom yang disasar, tiada apa yang mereka gusar kerana di belakang mereka ada kuasa mega besar.

Selain demonstrasi, resolusi, persidangan, gesaan, desakan, memorandum bantahan dan sebagainya, sudah terlalu banyak kos terpaksa diperuntukkan untuk melayan nafsu kejam Israel. Sumbangan dana kewangan oleh masyarakat dunia, bantuan makanan dan ubat-ubatan serta tenaga pakar perubatan dan sukarelawan hanyalah sebahagian kecil daripada sejumlah pengorbanan yang terpaksa dibelanjakan oleh dunia.

Walau apa pun, segalanya seperti merawat kesan sahaja namun pada masa yang sama puncanya dibiarkan. Hanya itulah yang termampu buat masa ini. Tiada saintis keadilan yang menjumpai ramuan ubat yang sesuai, tiada doktor keamanan yang mampu menyediakan perkhidmatan merawat punca, tiada ahli farmasi kedamaian yang dapat mendispensikan ubat yang mujarab bagi menghilangkan penyakit degil, rakus dan kejam Israel.

Pada saat ini, sejak berminggu-minggu lamanya, semua orang menanti dengan penuh harapan agar Pertubuhan Persidangan Islam, Liga Arab dan apa jua platform yang ada agar suatu nafas baru dapat diberikan kepada bumi Palestin yang saban hari kian nazak dihimpit tekanan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu boleh diberikan sedikit harapan, namun dengan belang keangkuhan yang ditunjukkan oleh AS menggunakan vetonya terpampang, apakah lagi yang boleh dibuat oleh yang lain.

Tanggungjawab yang lebih besar sebenarnya terpikul atas bahu negara-negara Islam, masyarakat Islam sedunia dan kita. Setiap orang antara kita harus melakukan apa jua yang terdaya demi membukti cinta terhadap saudara yang beribadah pada kiblat yang sama.

Bagi mereka yang di medan, teruskan perjuangan kerana kami semua sentiasa mendoakan anda. Bagi yang berkemahiran, gunakan apa sahaja kebolehan yang ada untuk menyemarakkan rasa penentangan dan membuakkan kebencian kepada Israel.

Bagi yang bermuamalat, bersama-samalah kita menyertai boikot anjuran mana-mana persatuan dan pertubuhan seperti yang dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

Setiap saat adalah nyawa. Masjid dan sekolah telah pun termasuk dalam senarai sasaran atas nama kesan lateral yang tidak dapat dielak. Namun, selama manakah ia akan berterusan? Tidak rindukah kita untuk menjejakkan kaki di bumi anbia dan bersolat sunat di Masjid Al-Aqsa?

Merawat simptom mungkin akan memberikan sedikit kelegaan, itu pun jika berjaya. Namun realiti penyembuhan adalah dengan cara melenyapkan punca penyakit daripada terus wujud di muka bumi ini.

Alangkah indahnya jika Israel dilenyapkan dari muka bumi ini dengan tertimpanya musibah seperti mana tentera bergajah Abrahah dimusnahkan oleh batu-batu lontaran burung Ababil. Ya Allah bantulah kami. Tiada daya dan upaya kami melainkan dengan izin-Mu jua.

DR. IRFAN MOHAMAD
Exco, Persatuan Alumni Doktor
Universiti Sains Malaysia

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

2 ulasan:

  1. Terima kasih kerana berkongsi link ini. Dah lama aku tak menjenguk akhbar Utusan (sudah empat purnama aku memboikot ekoran PRU tempoh hari). Hehe.

    BalasPadam
  2. aduuuh. mereka makin menjadi-2 dari hari ke hari. haih.

    BalasPadam

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....