Selasa, 13 Januari 2009

Antara IbuBapa dan Kekasih Hati




Renungan buat yang dalam dilema membuat pilihan antara kebahagiaan hati sendiri yang masih tiada jaminan ataupun mengguris hati dan perasaan ibu dan ayah yang bersusah-payah melahirkan dan membesarkannya...

Di dalam keadaan diri yang masih bersendirian, tiba-tiba muncul seseorang yang mengisi kekosongan hati. Kebetulan beliau seorang penyayang, seorang yang memahami, seorang yang romantik. Terasa dirinya berpotensi menjadi pasangan hidup yang sesuai. Malangnya apabila diperkenalkan kepada ibu bapa, mereka tidak bersetuju.

Di dalam keadaan ini, seseorang itu mempunyai dua pilihan. Pertama, jadi anak derhaka, meneruskan perkahwinan dan mengenepikan kedua orang tua kemudian menetap jauh-jauh selepas berkahwin. Kedua, ketepikan si dia dan utamakan kedua orang tua, kemudian meratap sedih. Saya andaikan ramai yang membuat pilihan pertama sebab selalunya kita akan mentafsirkan kebahagiaan milik kita, kita yang akan berkahwin bukan ibu bapa! Sebaliknya, sedarkah kita bahawa apa yang pasti, pilihan kedua adalah lebih arif dan insya Allah kita akan selamat di dunia dan akhirat. Namun terdapat kaedah yang boleh digunakan agar seseorang itu memperolehi kedua-duanya tanpa sebarang dilema.

Di dalam surah Luqman ayat 14, Allah SWT telah berfirman, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Jelaslah, hampir di dalam semua keadaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding segala-gala di dalam alam ini, kecuali hal yang dilarang oleh syariat. Firman Allah di dalam surah Al-Ankabut ayat 8, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka.”

Pada zaman Rasulullah SAW, anak kepada Umar Al-Khattab r.a. iaitu Abdullah Ibnu Umar mempunyai seorang isteri yang amat disayanginya. Atas sebab-sebab tertentu Umar Al-Khattab r.a. tidak menyukai menantunya itu dan menyuruh anaknya mencerai si isteri. Abdullah r.a. mengabaikan perintah ayahnya kerana sayangnya kepada isteri. Beliau lalu mengadu kepada Rasulullah. Rasulullah SAW kemudiannya telah bersabda, “Wahai Abdullah Bin Umar r.a., ceraikanlah isterimu.” Kisah ini direkodkan oleh Imam Tirmizi dan Abu Daud sebagai hadis hassan sahih.

Di dalam sebuah hadis lain riwayat sahabat Abu Darda’ r.a. Telah datang seorang lelaki kepadanya dan berkata, “Aku memiliki seorang isteri dan ibuku menyuruh aku menceraikannya.” Kata Abu Darda’, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Orang tua-tua adalah pertengahan pintu-pintu syurga. Jika kamu mahu, kamu boleh sia-siakan atau kamu boleh menjaga ia.” Ibu bapa diibaratkan seperti pintu-pintu di tengah syurga. Adakah bijak sekiranya seseorang itu mengabaikan satu kebaikan yang besar hanya kerana seorang kekasih hati?

Di dalam sebuah hadis riwayat sahabat Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Rugi besar! Rugi Besar! Rugi Besar!” Ditanyakan, “Siapakah yang rugi, ya Rasulullah?” Beliau menjawab, “Orang yang pada usia dewasa mempunyai kedua orang tua yang masih hidup, baik salah satu atau keduanya, tetapi kemudian orang tersebut tidak masuk syurga.”

Justeru, adalah menjadi satu langkah bijak sekiranya seseorang itu dapat mengenal pasti “ciri-ciri menantu idaman” daripada ibu bapa mereka terlebih dahulu. Bagaimana perwatakan, bagaimana rupa paras dan tingkah laku. Perkara ini subjektif, masing-masing ibu bapa mempunyai “piawaian” yang berbeza.

Setelah itu, barulah dimulakan pencarian si dia dengan berdasarkan petunjuk Al-Quran, hadis-hadis Rasulullah dan tip-tip daripada ibu bapa tadi. Insya Allah, tidak akan ada dilema menanti di hadapan.

Wallahu’alam.

amik dari http://bawangorengnet.blogspot.com/2008/11/antara-ibubapa-dan-kekasih-hati.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....