Isnin, 25 Januari 2010

kita berbeza namun kita tetap akan bersama



“Dah dia anggap saya munafik. Dia ingat semua orang tak pakai tudung ni jahat. Saya pun dah kecik hati lah.” Cerita tuan rumah saya kepada saya mengenai seorang gadis yang hampir menyewa rumah ini sebelum saya. Menurut cerita, si gadis itu dihalang ayahnya dari menyewa di sini kerana kakak ini tidak bertudung dan mewarnakan rambut.

“Masa Nur datang nak tengok rumah hari tu, saya risau.. macam manalah kalau Nur tengok saya ni.. tak bertudung,”kata tuan rumah saya lagi.

Saya tersenyum. Saya terkenangkan peristiwa pada malam pertama kali saya menemui tuan rumah ini. Saya terfikir juga bagaimanakah respon dia sewaktu melihat saya yang bertudung labuh ini. Sudikah dia menerima saya?

“Mak Nur tahu tak saya macam ni? Tak bertudung?” Soal dia lagi. Hm.. nampaknya dia sendiri sangat ambil peduli isu bertudung ini. Saya juga peduli! Tapi saya ada rancangan tersendiri untuk mengajak kakak ini bertudung…

“Tahu. Saya dah beritahu mak sebaik lepas jumpa akak pertama kali.. mak kata, akak dah berbudi bahasa dengan saya, saya kenalah berbudi bahasa dengan akak… mak jugalah yang bagi cadangan supaya saya bayar sewa lebih..”terang saya. Tuan rumah saya kelihatan lega.

Alhamdulillah, mudah sahaja hati saya menerima tuan rumah ini dan keadaan rumah ini. Ada sahabat saya yang menegur saya kerana tinggal di kawasan majoriti Cina. Mereka tidak senang dengan bau colok dan anjing-anjing yang berkeliaran. Tetapi bagi saya, itu bukan apa-apa untuk saya. Selagi saya boleh berlindung, beribadah dan berdakwah itu sudah cukup selesa untuk saya.

Malam ini tuan rumah saya kemalangan. Dan saya telah menemani dia sepanjang malam menguruskan hal yang patut. Jam 1.27am baru kami sampai rumah. Banyak perkara yang kami sembangkan malam ini. Dan saya sayangkan dia.. Perasaan bimbang, terharu, dan gembira bercampur-campur. Letih itu sudah pastilah.. Alhamdulillah..

Kali pertama saya menjejakkan kaki ke kawasan ini, hati terasa berbunga-bunga..
Oh Allah.. adakah Kau sedang memberi aku peluang untuk berdakwah di sini? Aku sangat gembira ya Allah….

Namun saya tidak pernah menyangka dakwah saya akan bermula dari dalam rumah ini sendiri.
Apa sahajalah yang Kau berikan, aku terima dengan penuh syukur..
“Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan HIKMAH dan pengajaran yang baik dan bantahlah dengan cara yang baik.”
(An-Nahl : 125)

Dalam menyampaikan dakwah, saya berpegang pada 3 perkara :

1. Hikmah dan hasanah iaitu kemahiran penyampaian yang memenuhi dan menyantuni kehendak kelompok sasaran tanpa meninggalkan prinsip. Memilih kaedah terbaik di samping didikan dan teguran dilakukan dengan cara yang baik. Mengelakkan eksrimisma dan sentiasa bersikap sederhana dalam segala hal. (rujuk An-Nahl:125)


2. Role modeling (Dakwah bil Hal) iaitu kita menjadi contoh ikutan kepada kelompok sasaran dengan menampilkan akhlak yang baik bukan menjadi hipokrit namun dalam waktu yang sama berusaha untuk belajar menjadi yang terlebih baik untuk diri sendiri dalam proses ini. (rujuk As-Saff :2-3)

3. Kefahaman bukan ikutan (Tafhum la taklik) iaitu memberi kefahaman tentang tujuan kebaikan atau sebab musabab perbuatan mereka bukan semata-mata menyuruh.

Wallahualam..

p/s : ya Allah, limpahkanlah hidayahMu kepada kami, keluarga kami dan orang-orang di sekeliling kami… amin…

2 ulasan:

  1. 3 perkara pegangan saudari tu...mmg sesuatu kemestian bagi para pendakwah... kena pegang dan amal secara istiqamah... moga para pendakwah mengamalkannya...

    p/s:kita hanya mengajak ke arah kebaikan... tapi Allah jua yg memberi hidayah... manusia punya asa Allah punya kuasa...

    BalasPadam
  2. btul tu.. tiada daya melainkan dengan izin Nya...

    BalasPadam

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....