Ahad, 10 Januari 2010

'melepaskah' kalau dilepaskan ?


“Jika Lillah rasa cinta manusia menyebabkan lillah hanyut, apa yang Lillah nak buat?”
soal gadis ini kepada saya. Saya terdiam. Saya cuba memahami apakah jawapan yang dia harapkan. Sesetengah manusia bertanya soalan bukanlah kerana memang tidak tahu tetapi kerana mahukan jawapan tertentu.

“Sedangkan si dia cukup baik..” sambung gadis itu lagi. Saya cuba untuk meletakkan diri saya di tempat dia. Berdilema?

“Dan sukar untuk dilepaskan..” dia menyambung lagi. Sahih dia berada dalam dilema.

“Dan dia sentiasa mengajak kepada kebaikan..”

“Tapi.. hati ini seolah-olah terawang-awang…”. Wah… nampaknya si gadis sedang di lamun cinta. Hatinya sudah membuat keputusan sedangkan akalnya menolak. Maka dia tersepit di celah dilema. Jelas sungguh kekusutan yang bermain dalam dirinya.

“Maksudnya sayang sangat pada dia…” Dia kelihatan sangat lemah. Saya cuba meneliti gadis ini. Dia memang sudah layak untuk berkahwin. Saya tahu dia sudah berusaha beberapa kali dalam mencari jodoh tetapi setakat ini tiada satu pun yang kekal. Saya pula tiada kenalan untuk dicadangkan kepadanya. Kisah ini tidak pelik memandangkan ada ramai lagi gadis-gadis yang mencari saya dengan tujuan meminta saya mencari calon suami untuk mereka. Apa yang pelik ialah bagaimana boleh saya mencari suami untuk mereka sedangkan saya sendiri belum berkahwin..

“Apakah yang mampu dibuat ketika itu?” Si gadis kelihatan sugul. Apa yang saya nak jawab? Saya tidak ada hak untuk menyuruh dia membuat apa-apa tindakan. Ini hidup dia, dia dan keluarga dia yang berhak menentukan. Lagipun kalau mengikut soalan dia tadi, dia bertanyakan apa yang saya akan buat. Maka saya akan menjawab ikut suka hati sayalah. Kalau dia nak terima, terimalah.. kalau tak nak, terpulanglah.

“Hm.. ” Saya cuba untuk menjawab dengan baik.

“Lillah akan menjauhkan diri dari dia.. ”saya menjawab dengan jujur. Sememangnya inilah yang saya lakukan selalunya. Gadis ini mungkin kecewa dengan jawapan saya.

“Sebab dengan jauh dari dia akan lebih selamat, bila mana dekat itu menghanyutkan.”Terang saya. Wajah gadis itu masam, jelas dia tidak berpuas hati dengan jawapan saya. Dia bertanya tentang tindakan saya. Tentulah tindakan saya berdasarkan keadaan diri saya, dan bukannya keadaan diri dia. Dalam setiap tindakan saya, saya perlu mengambil kira bukan sahaja soal hati dan perasaan saya seorang, tetapi soal hati dan perasaan mak abah saya, kawan-kawan saya dan anak-anak usrah saya. Saya mahu menjadi contoh yang baik kerana saya tahu tidak ramai yang mahu menjadikan diri mereka sebagai contoh apabila sudah terperangkap dalam jerat asmara.

Ya Allah, seandainya ini fitnah… Engkau lenyapkanlah ia dari kami.. seandainya ini jawapan.. Engkau peliharalah kami…

“Tapi dia sangat baik!” tegas si gadis.

“Tapi jelas tak baik untuk kesihatan diri kita..”balas saya.

“Hmmm…..”Si gadis menghela nafasnya. Saya tahu dia tidak dapat menafikan bahawa si lelaki yang baik itu mengancam kebaikan yang ada pada dirinya.

“Tapi.. Bukankah kita perlu berusaha untuk jodoh kita?” Soal dia lagi.

“Jika terpaksa melepaskan sesuatu yang tersayang, adakah Lillah sanggup?”

Saya diam sejenak. Saya juga manusia biasa yang melayari hidup ini tanpa sepi dari ujian. Banyak kali saya membiarkan keinginan saya terbiar kerana mengutamakan keinginan orang lain.. terutamanya keinginan mak dan abah saya.. Dan hidup saya masih bahagia, gembira dan ceria. Saya tidak kekurangan apa-apa kerana Allah tidak pernah kedekut dengan saya. Setiap yang diambil akan digantikan dengan yang lebih baik. Bahagia itu bukanlah di hujung perjalanan tetapi di sepanjang perjalanan. Berbahagialah!

“Lillah tidak suka menyusahkan diri.. Kalau perkara itu baik untuk diri ini, Lillah akan mendekatkan diri.. Kalau tak baik, lillah akan menjauhkan diri..” jawab saya. Wajah si gadis kelihatan begitu sedih.

“Soal jodoh….”saya menyambung. Si gadis kembali ke mengangkat wajahnya.

“Bagi Lillah kalau selalu contact pun, tak bermakna akan memiliki…” jawab saya. Si gadis mengangguk.

“Terima kasih lillah.. Saya faham..” jawabnya mengakhiri perbualan kami.

Semoga Allah sentiasa memelihara kita dalam keredhaanNya…

4 ulasan:

  1. MasyaAllah..sy sgt suka post ni kak Lillah..ini jawaban pada realiti yg selalu berlaku..dan walaupun pd dsrnya kita cuba memujuk diri dgn melabelkannya 'kawan' tapi kita tahu bahayanya. we can'lie to our heart. semoga Allah pelihara kita semua dari perkara2 yg mjauhkan kita dr nya.Allahumma amin..

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah... semoga perkongsian ini bermanfaat di dunia & akhirat...
    =)

    BalasPadam
  3. masyaAllah... mmg entri yg baik dan menarik... sy suka entri ni... teruskan usaha dakwah saudari...

    p/s: sgt suka entri kisah tanpa tajuk... :)

    BalasPadam

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....