Sabtu, 2 Januari 2010

Akukah Pejuang Uhud ?


Uhud, memahat sejarah, menjadi saksi tumpah darah, membakar harum Syurga bauan Syuhada’. Kisahnya menggamit aku untuk ke sana. Siapa mungkin bisa lupa akan pengorbanan para sahabat yg semangat jihadnya bisa menenggelamkan Uhud. Coretan Uhud masih segar dalam lipatan sejarah. Tatkala membaca lembaran Uhud, rasa mendetik jiwa untuk turut berjihad sama. Namun, apakah masih ada medan Uhud buatku?Aku masih tertanya? Apakah medan Uhud masih terbentang buatku yg sedang leka dalam kealpaan dunia.

Sejarah mu dikenang sepanjang zaman
Kau berkorban jiwa untuk cinta Agungmu
Kekuatan iman menjadi tauladan
Allah adalah segala-galanya

Kusingkap helaian kisah Mus’ab Bin Umair. Seorang rupawan dari keluarga bangsawan. Hidupnya dilimpahi kesenangan dan kemewahan, berpakaian terbaik dari sutera sulaman tangan yang membalut tubuh tampannya. Namun, Uhud menjadi saksi merungkai segalanya. Naqib pertama yang dihantar Rasulullah ke bumi Yathrib itu gugur syahid mengejar Jannah. Saat matinya, tiada lagi sutera mewah yg bias menjadi kapan. Sehelai kain hanya cukup untuk menutup wajah ,mendedahkan kaki sehingga meruntun hati suci Rasulullah.
Pemuda kacak yang pernah berpakaian terbaik di Kota Mekah itu meninggalkan segalanya demi Islam dan bumi Uhud bakal menjadi saksi kelak akan pengorbanannya menegakkan bendera Islam sehingga kedua tangannya dipotong musuh Allah.

Pada jasad lahir kau hamba manusia tapi hatimu hamba pada Tuhan
Kerana itulah jiwamu bebas merdeka
Walau jasadmu diseksa
Jiwamu bebas dari cinta dunia dan takut mati

Namun, apakah aku bisa menjejaki Pejuang Uhud itu tatkala helaian baju mewah masih membaluti tubuhku sehingga aku lupa bahawa itu hanya semata-mata dunia. Tatkala aku mengejar jenama pakaian terkemuka, melabur wang untuk segak bergaya, aku terlupa akan pengorbanan Pejuang Uhud ini. Pakaian dan perhiasan yang menghiasi tubuh ini membuat aku leka dan alpa. Aku tertanya, apakah masih ada medan Uhud buatku? Ya Allah, seandainya pakaian dan perhiasan ini membuatkan aku lupa dan leka akan tanggungjawabku untuk menegakkan agamamu, membuatkan aku semakin menjauhi rahmatmu, Kau padamkanlah kecintaanku pada pakaian dan perhiasan. Ya Allah, jika pakaian dan perhiasaan ini akan melambatkan aku untuk sampai ke SyurgaMu, Kau hapuskanlah kecintaanku padanya. Ya Allah jika pakaian dan perhiasan ini memberatkan aku tika meniti Titian Sirat, Kau lunturkanlah nafsuku padanya.

Kusingkap helaian kisah Talhah Bin Ubaidullah. Pengorbanannya menggetarkan setiap tubuh yang bernyawa. Siapa mungkin akan lupa jasa Talhah mempertahankan Rasulullah tatakala tragedi Uhud yang mencalit darah pada wajah Rasulullah. Tatkala kemurkaan Rasulullah menimpa Ibnu Qami’ah yang menitiskan darah suci Rasulullah pada bumi dan mematahkan giginya, cinta dan kasih Rasulullah membaluti Talhah yang mengorbankan badan dan tanganya untuk melindungi Rasulullah. Tatkala Rasulullah diambang bahaya, Talhah mengorbankan dirinya untuk Kekasih Allah itu. Tangan Talhah lumpuh kerana mempertahankan Rasulullah, Jari jemarinya putus membentengi Rasulullah.
Namun khabar gembira buat Talhah, Rasulullah bersabda :
‘Biarkan jarimu putus. Jika kau menyebut nama Allah, Malaikat akan mengangkatmu dihadapan mata semua orang’.


Tatkala 39 parut luka memahat tubuhnya, Saidina Abu Bakar mendendangkan sajak buatnya, ‘Oh Talhah bin Ubaidullah!Syurga itu untukmu seperti air mataair yang memancur untuk rusa meminumnya. Tatkala Rasulullah lemah kerana kecederaan sehingga tidak mampu untuk memanjat bukit untuk menyelamatkan diri, Talhah menggagahkan tubuhnya untuk menjadi tempat untuk Rasulullah memijak untuk memanjat bukit. Khabar gembira buat Talhah, Sabda Rasulullah ‘Talhah, selepas kerja ini, telah layak untuk Syurga’.

Namun, apakah aku bisa menjejaki Pejuang Uhud itu untuk ke syurga sana tatkala tubuhku ini kuabdikan untuk keduniaan. Jari jemariku menari di papan kekunci melayari laman-laman yang hanya menjanjikan sia-sia, tidak pula untuk memperjuangkan agamaNya. Tanganku, kugunakan untuk membelanjankan wang membeli itu dan ini, tidak pula kugunakan untuk memberi sedekah pada yang memerlukannya. Tubuhku ini kuhambakan untuk mengejar keseronokkan dunia, tidak pula ku kerahkan untuk beribadah padaMu.Maka aku tertanya, apakah masih ada medan Uhud buatku?

Ya Allah jika perbuatan jari jemariku bisa menimbulkan kemurkaanMu, Kau dendangkanlah lagu jihad buat jari-jemariku menari-nari menegakkan KalimahMu. Ya Allah jika tulang belulang tanganku selalu ragu dan kaku untuk menginfak pada jalanMu, Kau ringankanlah dan lembutkan ia untuk lebih memberi pada jalanMu. Ya Allah jika tubuhku ini berlegar-legar di muka bumiMu tanpa beribadah dan mengingatiMu, Kau pasakkan ia dan thabitkan ia untuk berbakti hanya pada agamaMu.

Kusingkap helaian kisah Hanzalah bin Abu Amir. Dikala masih segar menghirup sakar madu malam pengantin, semboyan jihad Uhud bertiupan memanggil sang mujahid untuk turun menggalas pedang menghunus ke batang leher musuh. Lalu, ditinggalkan pangkuan isteri tercinta berlari menuju pelukan Syurga. Keberaniannya menggerunkan lawan, Hanzalah berjaya mengharungi benteng lawan sehingga berjaya sampai kepada Abu Sufyan bin Harb, ketua kafir Quraisyh saat itu dan Hanzalah hampir berjaya membunuhnya namun, takdir Allah menentukan segalanya. Manis madu malam pengantin bertukar menjadi racun, Hanzalah gugur syahid di hujung pedang Shaddad bin Al-Aswad. Tubuh Hanzalah ditemui dalam keaadaan air menitis dari jenazahnya dan kehairanan itu dijawab Rasulullah bahawa Malaikat telah memandikannya kerana keadaanya yang sedang berhadas. Maka sebab itulah Hanzalah dikenali dengan gelaran Ghaseel Al-Malaikah (orang yang dimandikan oleh Malaikat). Kegembiraan dan kecintaan malam pengantin ditinggalkan Hanzalah demi menegakkan agama Allah.

Masih mampukah aku menjejaki pejuang Uhud ini tatkala cintaku pada manusia melebihi cintaku pada Sang Pencipta?

Rasa cintaku dan kasihku pada Hawa menggunung melebihi cintaku pada Allah dan RasulNya. Cintaku pada Hawa kudambakan sepenuh raga, sedangkan cintaku pada Allah masih samar-samar buta. Kasih dan sayangku pada Hawa meleka aku hingga terlupa batas-batas agama. Panahan asmaraku menjadi nafsu mengongkong sukma hingga buta akan tanggungjawab menegakkan agama.

Ya Allah, jika cintaku pada Hawa melebihi cintaku padaMu, Kau anugerahkanlah sebuah relung cinta sebesar semesta untuk membakar api cintaku padaMu. Ya Allah jika kasihku pada Hawa menjadikan aku alpa, kau bentangkahlah sejadah cinta untukku bersujud memohon ampun dan kasihMu. Ya Allah jika asmaraku pada Hawa membutakan mata, Kau sinarkanlah Nur Kasih menerangi jalan menuju kemilau syurga. Ya Allah kau anugerahkanlah Tali-Tali cintaMu pada aku dan Hawa untuk kami bergantung padanya dan jika hubungan kasih suci ini ikhlas hanya keranaMu, kau peliharalah ia, kau suburkanlah ia, kau damaikanlah ia.


Helaian demi helaian coretan Uhud ku selak, satu persatu kisah perjuangan sahabat ku baca, namun persoalan demi persoalan yang menjengah fikiran.

Aku masih tertanya apakah masih ada medan Uhud buatku berjuang?

Aku mula fahami, medan Uhud bukan untuk orang yang mendamba dunia,
medan Uhud bukan untuk pencinta wanita,
medan Uhud bukan untuk pembuat durjana,

medan Uhud tetap sentiasa di hadapan kita,
umat Muhammad yang mendamba Syurga agar menjadi bukti cinta buat yang Maha Berkuasa.


artikel yang saya edit-edit dari Atap hijau

2 ulasan:

  1. sememang ada pejuang uhud....
    kian pudar dimata dunia
    kerna diri mereka tidak diterima
    oleh manusia yang serba leka...
    namun pejuang uhud tetap setia
    pada mereka yang sentiasa bersedia
    bersama mereka menawan dunia
    yang kini makin kurang usia...

    BalasPadam
  2. mereka ramai dalam bersendiri
    mereka kaya dalam kemiskinan
    mereka bahagia dalam derita

    BalasPadam

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....