Ahad, 28 Mac 2010

Bukan Masanya Sekadar Mengeluh...




17,303 anak luar nikah didaftar 2009

KUALA LUMPUR: Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.

Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.

Mengikut Seksyen 13, bayi itu dianggap anak yang dilahirkan hasil ikatan perkahwinan tidak teratur atau tidak sah mengikut undang-undang negara.

Ini termasuk anak hasil hubungan luar nikah bagi orang Melayu/Islam atau pernikahan tidak didaftarkan mengikut undang-undang negara. Bayi yang lahir kurang enam bulan dari tarikh pernikahan ibu bapanya juga termasuk dalam status sama.

Bagi anak pasangan bukan Islam, kebanyakan kes merujuk kepada anak dilahirkan sebelum tarikh pendaftaran perkahwinan atau anak yang tidak mempunyai bapa.
Dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009, pendaftaran ‘anak luar nikah’ membabitkan orang Melayu menduduki tempat kedua dengan 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes).

Beliau berkata, bayi tanpa bapa daripada keturunan Melayu/Islam diletakkan nama diikuti ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau mana-mana nama pilihan Asma Al-Husna (nama-nama Allah).

“Keputusan itu selaras ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan ia juga selaras format baru sijil kelahiran yang memerlukan nama penuh bayi berserta bin atau binti dipaparkan pada sijil kelahiran.

“Bagaimanapun, hanya maklumat ibu akan dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan dan nama pada MyKad kanak-kanak itu kekal menggunakan nama dalam sijil kelahiran,” katanya.

Bagi kes bayi pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa mendaftar semula di Malaysia, beliau menasihatkan mereka menyelesaikan urusan dengan pihak berkaitan termasuk majlis agama atau mahkamah.

“Jika anak dilahirkan di luar negara, daftar dengan kedutaan dan apabila pulang ke Malaysia, daftar semula dengan JPN.

“Bagi kes yang tidak mendaftar perkahwinan mereka tetapi sudah mempunyai anak, mereka boleh mendaftar terus untuk dapatkan sijil kelahiran tanpa perlu dokumen daripada mahkamah, tetapi nama bapa tidak akan dimasukkan dalam rekod.
“Maklumat itu boleh diganti dengan nama sebenar bapa selepas mendapat pengesahan status perkahwinan,” katanya.

Sumber : Berita Harian (21 Mac 2010)

Dalil Pengharaman Buang Bayi

Hukum buang bayi diharamkan di dalam Islam. Berdasarkan kepada dalil-dalil berikut :

1. Allah SWT berfirman di dalam Surah al An’am, ayat 151

Maksudnya : Katakanlah:

“Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) – yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.

a. Daripada ayat ini, terdapat dua ayat yang menjelaskan tentang pengharamannya ( Dr Wahbah Zuhaili, at Tafsir al Munir, Fil Aqidah Wasy Syari’ah Wal Manhaj, cet. 9 Darul Fikr, jilid 4 ms450-451). Iaitu :

Pertama : Dilarang membunuh anak, kerana khuatirkan kemiskinan

Maka, apabila diharamkan membunuh anak kerana bimbangkan kemiskinan, apatah lagi sekiranya membunuh anak tanpa sebab, dengan membuang anak contohnya.

Kedua : Dilarang daripada menghampiri penzinaan

Iaitu larangan daripada menghampiri kejahatan atau penzinaan. Samada secara terang-terangan, ataupun secara sembunyi.

Ketiga : Dilarang daripada membunuh jiwa

Iaitu larangan membunuh jiwa. Samada anak sendiri, atau sesiapa sahaja. Buang anak adalah salah satu bentuk pembunuhan yang diharamkan.

b. Ayat-ayat di atas saling berkaitan di antara satu sama lain. Pada mulanya disebut tentang larangan membunuh anak, kemudian ayat melarang penzinaan, dan disusuli pula dengan larangan membunuh jiwa.

2. Allah SWT berfirman di dalam Surah al Isra’, ayat 31-33

Maksudnya : Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar. Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau-lampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).

a. Ayat di dalam Surah al Isra ini berkaitan dengan ayat sebelumnya, iaitu bermula daripada ayat 22 sehingga 33. Kesemuanya menceritakan tentang dosa-dosa besar.

b. Membunuh anak khuatirkan kefakiran di antara dosa-dosa besar. Apatah lagi membunuh anak disebabkan alasan yang lebih ringan daripada itu. Ia juga berdasarkan hadis Nabi SAW yang akan disebutkan selepas ini. ( Dr Wahbah Zuhaili, at Tafsir al Munir, Fil Aqidah Wasy Syari’ah Wal Manhaj, cet. 9 Darul Fikr, jilid 8 ms 73-74 )

3. Hadis Nabi SAW

Daripada Ibnu Mas’ud RA, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW : Apakah dosa yang paling besar? Baginda SA menjawab : Sekiranya kamu menjadikan tuhan yang setanding dengan Allah, sedangkan Dialah yang mencipta kamu. Aku bertanya lagi : Kemudian dosa apa? Baginda SAW menjawab : Sekiranya kamu membunuh anak kamu kerana takut dia berkongsi makanan bersama kamu (kemiskinan). Aku bertanya lagi : Kemudian? Baginda SAW menjawab : Sekiranya kamu berzina dengan jiran kamu.

( Ibnu Hibban, Shahih Ibnu Hibban, cet. Mu’assasah ar Risalah bah. 10, ms 263 no. 4415 / Imam Bukhari, Shahih Bukhari bah. 13, ms 394 no. 4117 / ibid. bah. 14, ms 420 no. 4389 dan banyak lagi )

a. Jelas di dalam hadis ini, larangan membunuh anak, dan ia di antara dosa yang besar, yang tersenarai. Apatah lagi membunuh anak tanpa sebarang alasan, dan anak tersebut hasil daripada penzinaan.

b. Maka, berzina adalah dosa besar, kemudian anak hasil penzinaan tersebut dibuang. Ini juga merupakan dosa yang besar. Maka, terdapat dua dosa besar yang ditanggung oleh penzina yang membuang anaknya.

Undang-Undang Dunia

Implikasi undang-undang pembuangan dan pembunuhan bayi

Di bawah Akta Kanak-kanak 2001(Child Act) – Akta 611:

* Seksyen 17 – Anak yang dibuang akan dilindungi dan dijaga
* Seksyen 46 – Ibu bapa boleh mendapatkan bantuan atau nasihat mengenai anak mereka yang tidak dapat dikawal dengan baik. Anak ini akan ditahan di tempat yang dibenarkan di bawah kuasa mahkamah

Di dalam rang Undang-undang Jenayah Malaysia penal code:

* Sesiapa yang membuang bayi akan dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun

sumber : http://perjalananpulang.wordpress.com/2010/03/22/manusia-harus-kembali-ke-landasan/

Ya Allah... aku tidak mahu menyesal.. aku mahu mengingati Mu setiap detik dan saat dalam hidupku..

1 ulasan:

  1. salam, sy teringat kisah saidina Umar sebelum menjadi seorang muslim yang pernah menanam anak perempuannya hidup2; tapi setelah menjadi muslim dia betul2 menjadi seorang muslim yang taat kepada Allah dan rasul.. (ia nya suatu yg sukar bagi saya)

    pendapat saya, 'hidayah' itu yang menyinari hati kita, tidak kisah lah siapa kita dahulu.. dan kita juga tak boleh menilai orang berdasarkan kisah silam hitam mereka (yg pernah membuang anak)..kita doa sama2 moga Allah beri mereka 'hidayah' itu semoga mereka turut sama merasai kemanisan hidup dalam rahmat Allah insyaAllah..

    :)

    salam

    BalasPadam

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....