Jumaat, 6 Mac 2009

setulus-tulusnya buat blogger yg amanah.... bacalah..

Oleh: `Izzat Anwari bin Hasni

Dewasa ini teknologi maklumat pesat berkembang sehingga berita terkini dalam dan luar negara dapat disebar sepantas sekelip mata. Pelbagai isu dalam dan luar negara dapat diketahui dengan lanjut sama ada berita yang benar mahupun yang palsu. Perkembangan teknologi sebegini menunjukkan manusia hari ini memasuki era perubahan yang sangat maju berbanding dekad-dekad sebelum ini yang memperlihatkan hubungan komunikasi sesama manusia sangat terhad.

Ditambah pula kecanggihan internet dan kemasyuran blog, kegilaan baru manusia ini melangkah jauh melepasi garisan ilmu dan adab yang sepatutnya hidup dalam jiwa setiap insan. Hari ini, semua orang berkelayakan memberi pendapat tentang sesuatu isu mengikut citarasa dirinya, hatta dalam bidang yang bukan difahaminya, terutama blogger-blogger muslim!

Kuasa Blog

Blog merupakan ruangan penulisan peribadi seseorang blogger yang menguasai sepenuhnya domain blog miliknya. Daripada penulisan artikel, pengesahan komen pembaca, rekabentuk antaramuka blog, pengubahsuaian ruang sembang blog, penghasilan catatan sisi blog, dan sebagainya dikawal sepenuhnya oleh tuan blog tersebut. Maka, jiwa dan karekter tuan blogger dapat dilihat melalui penyampaian sesuatu perkara dalam blog yang dikendalikannya.

Penyampaian tersebut dapat dilihat melalui penulisannya atau antaramuka blog yang diuruskannya. Blogger yang gila bola pastinya blog kendaliannya dihiasi dengan pasukan bola kegemarannya. Blogger yang gila berniaga pula pasti blognya dipenuhi dengan pautan peluang-peluang perniagaan terutama jualan multilevel marketing (MLM).

Persamaan kesemua blog-blog di dalam internet adalah kuasa blogger dalam setiap blog terletak sepenuhnya di hujung jari tuan blog. Ini bermakna segala penulisan atau komen pembaca adalah atas kehendak tuan blog sama ada untuk mengesahkannya atau membatalkannya.

Tuan blog juga bebas menulis apa-apa perkara yang disukainya, malahan boleh menghad dan memilih pembaca blognya bagi tujuan keselamatan tuan blog. Kuasa yang muktamad inilah menjadikan blog cepat berkembang dan mendapat sambutan daripada orang ramai di seluruh pelusuk dunia – kuasa untuk bersuara!

Kuasa ini menjadikan hampir kesemua manusia di dunia menjadi ‘berani’ memberi pandangan terhadap sesuatu isu atau perkara hatta dalam bidang yang langsung tidak didalaminya terutama berkaitan aqidah dan agama!

Realiti TV Dan Hak Bersuara

Program-program realiti di kaca televisyen hari ini menjadi kegilaan penerbit rancangan televisyen sehingga hampir semua perkara dalam kehidupan seharian mahu direalitikan di dalam televisyen.

Daripada persoalan pemilihan penyanyi, pemilihan pelawak, pemilihan pekerja, pemilihan pasangan hidup, pemilihan gadis Melayu, malah pemilihan qari dan qariah pun diprogramkan di dalam televisyen bagi menaikkan rating stesen televisyen dalam memperdagangkan ‘selera’ masyarakat yang menonton saban hari.

Kecenderungan masyarakat inilah yang digunakan oleh stesen-stesen televisyen bagi menambat hati penonton sehingga masyarakat ketagihan program televisyen. Buktinya, kebanyakan stesen televisyen ini bernaung di bawah syarikat yang sama tetapi membawa budaya dan perawakan yang berbeza mengikut citarasa penonton pelbagai lapisan masyarakat serta berbilang bangsa dan agama. Ironi bukan?

Melalui program-program realiti inilah masyarakat di Malaysia dihidangkan dengan budaya dan adab yang cukup berbeza dengan tatacara hidup ketimuran yang selama ini menjadi budaya turun-temurun – budaya bersuara walaupun bukan ahlinya.

Apabila penonton disajikan dengan kritikan dan komen juri-juri serta peserta-peserta program realiti, perkara ini sedikit sebanyak memasuki jiwa serta gaya hidup mereka. Bermula dengan kritikan yang menyindir hinggalah kritikan pedas, hak bersuara sebegini menjadi-jadi dalam kalangan rakyat Malaysia hatta dalam bidang yang bukan diceburinya. Bukan sahaja dalam bidang hiburan, malah dalam persoalan bahasa, budaya, dan agama sekalipun.

Penyalahgunaan hak bersuara ini langsung tidak dititikberatkan oleh mana-mana pihak yang bertanggungjawab. Ahli perniagaan mengkritik ahli budaya, ahli hiburan mengkritik ahli agama, ahli politik mengkritik ahli bahasa.

Perkara ini menjadi bertambah buruk lagi dengan perkembangan teknologi blog. Ahli blogger mengkritik sesiapa sahaja yang mereka suka.

Falsafah Blog

Kita seharusnya ingat bahawa tulisan-tulisan di blog akan dibaca oleh semua pelayar internet kecuali blog tersebut dikawal sistem pemilihan pembaca. Sama ada tulisan yang berunsur peribadi mahupun umum, pembaca akan menerima segala isi tulisan mengikut kehendak mereka melalui tapisan mengikut tahap pemikiran pembaca tersebut.

Oleh itu, pembaca blog yang kurang berilmu dan mudah menerima isi blog terbabit akan menjadikan hasil tulisan tersebut rujukan buatnya di dalam mana-mana hujah atau panduan di dalam hidupnya. Perkara ini lebih membimbangkan apabila pembaca menggunakan hujah-hujah agama di dalam blog yang sesat sebagai alasan membenarkan berlakunya kemungkaran hasil usaha sendiri.

Blog menjadi pilihan kerana capaiannya yang mudah dan tidak perlu berbelanja seperti membeli buku. Unsur inilah yang menjadikan blog sebagai panduan utama pelayar laman sawang mendapatkan sesuatu ilmu atau memahami sesuatu isu. Dengan hanya menaip apa-apa perkara yang ingin diketahui di dalam enjin pencari, berjuta-juta senarai blog yang berkaitan akan terpapar sebagai pilihan pelayar tersebut. Dalam masa kurang 2 minit, orang ramai dapat mengetahui perkembangan sesuatu isu atau memahami tentang sesuatu perkara walaupun kebenaran tulisan tersebut tidak dititikberatkan sama sekali.

Blog juga menanam dua perkara pokok yang sangat asas kepada semua blogger tidak mengira latar belakang agama mahupun peringkat umur iaitu kuasa dan hak bersuara. Dua perkara inilah antara manipulasi golongan Islam Liberal dalam menyebarluaskan fahaman mereka.

Jika kita mahu memerangi golongan Islam Liberal, harus diingat, jangan sampai kita pula yang menggunakan cara Islam Liberal – manipulasi kuasa dan penyalahgunaan hak bersuara.

Guru Segera

Penyampaian ilmu melalui blog sejak akhir-akhir ini menjadi sumber utama pembelajaran segera melibatkan semua lapisan umur masyarakat. Daripada resipi memasak hinggalah cara membaiki komputer, daripada pengajian hadith hinggalah tafsir al-Qur’ān.

Semua ini menjadi pilihan utama orang ramai dalam mempelajari dan mendalami ilmu yang berkenaan melalui capaian terus ke dalam blog yang berkaitan dengan hanya satu sentuhan butang tetikus. Mudah bukan?

Namun harus diingat bahawa pembelajaran sebegini bukanlah mengikut lunas-lunas yang dituntut di dalam Islam.

Meskipun ilmu yang disampaikan itu adalah benar belaka, Islam menuntut setiap muslim berguru dalam memahami tentang sesuatu ilmu terutama jika ilmu yang berkaitan aqidah.

Ini kerana di dalam Islam ilmu bukanlah datang dengan membaca semata-mata, tetapi melalui keberkatan guru atas kehendak Allah s.w.t. jua.

Ilmu di dalam Islam menuntut kefahaman dan keyakinan, bukan semata-mata hafalan atau sangkaan.

Mempelajari ilmu di dalam Islam juga menuntut adab-adab seorang murid dengan guru. Adab sebegini menunjukkan bahawa seorang muslim yang berilmu harus mencapai ketinggian sahsiah bagi membuktikan keberkesanan ilmu yang dipelajari.

Berusrah atau berguru melalui blog semata-mata hanya mendatangkan kemudharatan yang berlipat ganda akibat adab-adab ilmu yang tidak diketengahkan dengan serius. Ini kerana berusrah atau berguru melalui blog jelas menampakkan proses keilmuan tersebut hanya menekankan penyampaian ilmu dan bukan tujuan ilmu tersebut.

Perkembangan blog-blog yang menyampaikan kuliah-kuliah agama sebegini amat membimbangkan atas dasar golongan pembaca yang berbilang bangsa dan tahap pemikiran yang berbeza memungkinkan kepincangan faham yang sepatutnya.

Mahasiswa Dan Politik

Bagai aur dengan tebing, mahasiswa seolah-olah tidak dapat dipisahkan daripada politik. Kebanyakan blog mahasiswa dihiasi dengan isu-isu terkini politik dalam negara dari hujung header hinggalah ke hujung footer. Siapa ahli politk yang terlibat, siapa yang menjadi dalang, siapa yang salah, siapa yang benar, siapa yang dianiaya, siapa yang menganiaya, dan sebagainya. Persoalan ‘siapa’ ini menjadi buah mulut bicara mahasiswa saban hari sehingga peranan utama mereka diketepikan tanpa sedar.

Tidak salah jika mahasiswa ingin mengikuti perkembangan politik semasa, tetapi terlalu salah jika mahasiswa terhegeh-hegeh mendalami politik semasa sehingga mahasiswa diheret isu politik dan peranan utama mereka diketepikan. Tatkala di suatu sudut budaya hedonisme menjadi ‘gula-gula’ mahasiswa mengabaikan keilmuan dan kebenaran, di suatu sudut lain politik menjadi ‘gula-gula’ mahasiswa mengabaikan mobilisasi massa ke arah pengislahan masyarakat yang berkesan.

Sampai hari ini saya cukup kesal tak berkesudahan tatkala persidangan Musawah anjuran Sisters In Islam (SIS) yang membawa agenda merosakkan aqidah umat Islam langsung tidak dihidu oleh mana-mana badan penjaga kesucian Islam hatta mahasiswa Islam sendiri akibat terhegeh-hegeh menjerumuskan diri dalam isu politik di Perak.

Peranan mahasiswa adalah sebagai mahasiswa, bukan sebagai ahli politik! Mahasiswa Islam membawa agenda pengukuhan aqidah masyarakat, bukan mengeluarkan dalil parti mana yang tidak Islamik! Sepatutnya blog mahasiswa menjadi pelantar perbincangan ilmiah dan perancangan mobilisasi gerakan mahasiswa, bukan menjadi blog Malaysiakini kedua!

Mahasiswa dan politik sebenarnya bukanlah seperti aur dengan tebing.

Blogger Muslim

Semua blogger muslim harus sedar dan beringat tatkala menulis sesuatu perkara di dalam blog masing-masing mestilah melalui kaedah-kaedah yang dituntut dalam Islam dan bukan mengikut emosi atau terheret dengan isu yang tidak sepatutnya diceritakan di dalam blog.

Peringatan ini seharusnya dijadikan kayu aras supaya gelaran muslim terhadap diri kita sendiri tidak tercalar oleh mana-mana agenda halus pihak yang tidak sehaluan menuju keredhaan Allah s.w.t. dalam kehidupan seharian.

Seseorang blogger muslim juga perlu banyak membaca berbanding banyak menulis. Tulisan yang lebih banyak daripada membaca hanyalah sia-sia oleh kerana isi tulisan tidak bersandar kepada ilmu yang dipelajari. Pembacaan yang banyak pula menjadikan seseorang muslim itu banyak berfikir dan menyusun semula isi-isi pembacaan sehingga hasil tulisannya adalah ringkasan daripada kesemua bahan bacaannya. Tulisan sebeginilah yang menjadikan blog seseorang itu bermanfaat buat semua – tulisan yang menyelesaikan masalah umat!

Seorang penulis yang jujur akan membaca, seorang pembaca yang amanah akan menulis.



--
`Izzat Anwari bin Hasni,
Ketua Usrah Pemikiran,
Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API),
Persatuan Ulama' Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP),
Pulau Pinang.

5 ulasan:

  1. salam singgah..saya link blog ni..belum habis baca..mcam penuh pengajaran..thnx:)

    BalasPadam
  2. em..menginsafkan nih.terima kasih

    BalasPadam
  3. to fahana: wslm... moga perkongsian ni mmbwa mnfaat dunia akhirat... :)

    to firdaus: i knw wht u mean.. in this article--> KICC...

    BalasPadam
  4. Alter the monstrousness with two backs casinos? scrutinization this embryonic [url=http://www.realcazinoz.com]casino[/url] commander and proceed mad up online casino games like slots, blackjack, roulette, baccarat and more at www.realcazinoz.com .
    you can also lay our redesigned [url=http://freecasinogames2010.webs.com]casino[/url] whisper at http://freecasinogames2010.webs.com and triumph material novelty !
    another late-model [url=http://www.ttittancasino.com]casino spiele[/url] interdict of events is www.ttittancasino.com , in compensation german gamblers, system a confuse with in unrestrained online casino bonus.

    BalasPadam

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....