Memaparkan catatan dengan label wahai jiwa yg muda. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label wahai jiwa yg muda. Papar semua catatan

Isnin, 21 Oktober 2013

Menjadi Calon Mayat

Malam yang hening dan sejuk... sejuk hingga ke tulang sum sum!
Oh saya tidak boleh tidur. Perut tidak selesa. Badan tidak selesa. Sudah puas berpusing-pusing di atas tilam dan sudah puas memaksa mata tidur, sudah puas berzikir... Namun mata begitu segar. Mungkin kerana siang tadi sudah banyak tidur. Pagi tadi selepas sarapan kepala sangat pening dan rasa mual lalu segera tidur. Petang tadi sekali lagi kepala pening dan rasa mual lalu tidur sekali lagi. Maka malam ini mata sudah tidak mahu tidur. Perlahan-lahan saya meninggalkan bilik tidur, semoga suami saya terus lena. Kasihan beliau yang sudah seharian melayan isterinya dan membuat kerja rumah.

Saya menyelinap ke bilik bacaan dan mengambil Quran digital yang suami hadiahkan sewaktu kami bertunang setahun yang lalu. Saya membaca Al Waqiah dan Al Mulk. Surah Al Waqiah inshaallah dapat memurahkan rezeki manakala surah Al Mulk inshaallah dapat melindungi kita daripada azab kubur.


Mata masih segar. Saya membelek sebuah buku hasil tulisan Safwan Fathy bertajuk Mengubat Duka Lara. Saya tidak berada dalam keadaan berduka lara namun seronok juga jika membaca buku ini kerana ada gambar seperti komik sedikit di dalamnya. Sebaik terbuka halaman di dalam buku ini, saya bertemu hadis ini :

Jabir bin Atik secara marfu’: “Kala­ngan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid.” (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

Meleleh air mata.. Bahagia apabila menjadi calon-calon bakal mati syahid. Mengapa calon? Kerana kita semua adalah calon-calon yang bakal mati. Semoga kita dapat mati dalam iman yang sempurna. Satu impian besar andai mati yang sekali seumur hidup itu adalah kematian yang sangat besar kemuliaannya iaitu untuk mati syahid.

Di malam yang sepi ini, Ya Mujib pilihlah diriku untuk syahid dalam agama-Mu, pilihlah pasanganku untuk syahid dalam agama-Mu dan pilihlah anak zuriatku untuk syahid dalam agama-Mu... Semoga kewujudan kami yang sebentar sahaja di dunia ini menjadi berkat dan rahmat kepada seluruh alam..



Rabu, 2 Mei 2012

Mengemis Kasih di Tanah Suci

Menghayati pagi terakhir di Mesir.. Entah ada lagi ke rezeki untuk ke sini. Inshaallah petang ini berangkat ke Madinah. Tiga hari di Mesir ini sarat dengan hikmah yang tersirat dan tersurat.

Sesungguhnya nikmat dunia ini memang indah, namun terlebih indah adalah nikmat di akhirat.

Semoga Allah meneguhkan iman kita semua.

Tanda-tanda kita terlalu bergantung kepada diri & kurang bergantung kepada Allah adalah apabila kita sangat dukacita tatkala ditimpa Kegagalan setelah berusaha. Tanda-tanda kita orang yang redha & tawakal adalah dengan meyakini Allah sentiasa ada perancangan yang lebih baik. Kita cuma berusaha, sedangkan Allah yang berkuasa menentukan segala-galanya. Alhamdulillah... :)
Setelah beberapa kali perancangan untuk mengerjakan umrah di tanah suci terhalang, hati ini semakin tawar. Selagi belum menjejakkan kaki, selagi itulah tidak mengharap. Benar-benar terasa bahawa bukan semua orang mampu ke sana kalau tidak dijemput Allah untuk menjadi tetamunya. Sebelum ke Madinah, kami singgah ke Mesir beberapa hari. Perjalanan dari KLIA menuju ke Cairo mengambil masa 12 jam. Sampai sahaja di Cairo, kami dibawa ke sebuah villa, Rumah Perlis. Pandangan luar macam biasa-biasa sahaja, tetapi sebaik pintunya terbuka terkejut melihat hiasan dalaman villa yang mewah.

Selepas bersarapan kami dibawa ke banyak tempat menarik di sekitar Cairo seperti piramid dan muzium. Semua tempat dikenakan bayaran dan paling tidak boleh lupa ialah menatap mumia-mumia Firaun dan kerabat diraja. Kebanyakkan mumia berkulit hitam kesan daripada proses pengawetan dan keadaan. Namun ada satu mumia yang masih bewarna kulit asal, keperangan dan dikatakan menurut pengkaji terdapat garam yang banyak dalam mumia yang satu ini. Maka kebarangkalian inilah Firaun yang telah dilemaskan oleh Allah sewaktu mengejar Nabi Musa. Benarlah seperti janji Allah dalam Quran yang mahu mengabadikan jasad Firaun ini supaya kita semua mendapat pengajaran.

Hari pertama ini sangat-sangat meletihkan. Malam itu sahabat lama saya datang ke villa untuk menziarahi kami. Beliau ialah Siti Munirah Abd Rashid, seorang penulis buku yang juga sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Aman Pattani. Pertemuan ringkas, mata mengantuk dan akhirnya kami sama-sama ‘speechless’.
Beliau datang bersama suaminya, yang merupakan anak kepada ustaz kami iaitu ustaz Kamaruddin Kassim, seorang aktivis bebas.

Hari kedua di Mesir pula kami pergi ke beberapa tempat bersejarah Islam seperti Kubu Salahuddin Al Ayubi. Paling syahdu apabila dibawa melawat makam beberapa ulama seperti Imam Syafie dan beberapa orang lagi termasuklah makam Imam Hassan Al Banna. Hari ketiga pula, semua peserta ke Alex iaitu kawasan tepi laut yang dikatakan sangat cantik dan lebih tenang dibandingkan dengan bandar Cairo yang berserabut dengan sampah sarap bertimbun. Pemandu pelancong kata bandar Cairo ibarat tong sampah raksasa. Sampah ada di kanan kiri jalan. Kami tidak dibenarkan membeli roti-roti dan makanan yang dijual di kaki lima jalan kerana takut ada yang sakit perut. Puas kami menahan diri daripada membeli. Tapi pada saat-saat akhir ada juga beberapa orang yang sudah membeli. Pemandu pelancong kata “Saya tak tanggung kalau sakit perut.” Hee… seramnya ayat dia.

Hari ketiga ini saya tidak ikut berjalan. Saya duduk sahaja di Villa sepanjang hari bertemankan Quran. Perjalanan ke Alex jauh mengambil masa dalam dua jam lebih jadi kesihatan saya menghalang untuk mengikuti mereka. Seronok duduk dalam villa tu seorang diri sebab makanan ada dan sangat selesa. Nasi tomato Kafe Arau yang terletak di tingkat bawah Villa sangat sedap. Tingkat atas villa menempatkan rumah pelajar-pelajar yang belajar di sana.

Hari keempat pula adalah hari terakhir di Mesir, kami bertolak ke Madinah menaiki pesawat Egypt Air. Perjalanan mengambil masa 3 jam. Sebaik sampai di Madinah, sibuklah lelaki-lelaki Bangladesh mahu mengangkat beg kami. Rupa-rupanya mereka minta bayaran selepas mengangkat. Dan selepas bagi tips mereka minta tambah lagi. Akhirnya ustaz datang dan menyelamatkan kami. Rupa-rupanya di Madinah dan Mekah juga begitu. Kalau ada orang nak tolong, lebih baik tanya awal-awal sama ada kena bayar atau tidak. Semua perlu berbayar.

Daripada lapangan terbang hendak ke hotel, kami menaiki sebuah bas yang telah disediakan oleh ustaz. Berdebar dada sewaktu hendak memasuki kota Madinah. Sambil berdoa sambil menitik-nitik air mata. Kami melalui bukit Uhud. Ustaz bercerita sirah Rasulullah saw sepanjang perjalanan. Rindu kepada baginda saw semakin membuak-buak mendengarkan lipatan sejarah baginda saw. Selepas makan dan mandi, kami berjalan kaki ke masjid Nabawi yang terletak dalam 1 km daripada hotel. Masing-masing tidak bersembang kerana sibuk berselawat. Semakin hampir ke masjid, semakin sebak di dalam dada. Semasa sudah hampir sampai, saya sudah mula merasakan sakit-sakit di pinggang kemudiannya menjalar ke seluruh kaki. Tahan.. Tahan.. Akhirnya saya duduk dan memberi isyarat kepada emak “Tak boleh dah.. Tak boleh..” Emak berusaha memimpin saya kerana kami sudah ketinggalan teman-teman sekumpulan yang sudah hampir ke bahagian masjid yang berhadapan makam Rasulullah saw. Sebaik tiba di masjid, ustaz mengajak kami berdoa dan air mata mencurah… Sebak.. Rindu… Terharu.. Bersyukur.. Semua perasaan bersatu dalam linangan air mata. Sambil berdoa saya perlaha-lahan duduk di lantai kerana sudah tidak mampu berdiri. Rasa sakit hampir membuatkan saya tidak lagi merasakan kaki saya. Selepas semua orang selesai berdoa, saya masih duduk dan saya sudah tidak mampu untuk berdiri semula. Akhirnya malam itu saya mulalah berkerusi roda sehinggalah hari terakhir di Madinah.

Hotel terletak tidaklah jauh dari masjid. Alhamdulillah dapat berjalan berpimpin sehingga sampai ke depan dinding makam yang menghadap arah hadapan wajah Rasulullah..Sampai di sana saya sudah tidak mampu lagi berdiri. Emak pujuk "Takpa..Takpa... Dah sampai dah.. Selawat, selawat.."
Bercucuran air mata ini kerana terharu diizinkan Allah untuk sampai ke sini. Ya Allah, bangkitkan daku di sisi Rasulullah di akhirat.. Wahai kekasih Allah..daku merinduimu...
Perasaan sangat gembira menyebabkan saya lansung tidak merasakan kesakitan itu suatu masalah. Setiap hari saya cuma berpeluang untuk satu kali sahaja ke masjid kerana kalau tiada orang yang menolak, saya akan duduk sahaja di bilik membaca Quran. Hati tidak sedikit pun rasa tercicir atau kekurangan kerana saya bersyukur sekurang-kurangnya saya sudahpun sampai ke sini dan apabila saya membaca Quran, rindu itu terubat. Lagipun saya tidak mahu menyusahkan orang lain.
Malam ini dimudahkan Allah untuk berdoa dan bersolat di Raudhah. Puas. Dada rasa lapang, segala rindu sudah dilepaskan dalam air mata. Selepas selesai barulah tahu disebabkan berkerusi rodalah menyebabkan saya dapat masuk ke Raudhah pukul 10.30 malam, sedangkan teman-teman Malaysia & Indonesia yang lain sepatutnya masuk pada 12malam. Subhanallah. Mak yang menolak tidak dapat masuk ke Raudhah sebab guard ambil alih menolak kerusi roda. Saya disusun paling hujung jadi puas memanfaatkan masa. Syukur ya Allah. Syukur. Balik tu, Mak kata "Doa supaya sihat." Eh, saya lupa.. Lansung tak ingat yang itu. "Kakak doa supaya iman yang sihat."

Ya Allah, jadikanlah apabila semakin hampir daku dengan kematian, maka jadikanlah daku semakin dekat dengan-Mu.

Selepas dua malam di Madinah, teman-teman lain mengajak kami ke Raudhah. Betapa gembiranya hati ingin ke sana kerana Nabi saw kata itu antara taman-taman syurga. Saya banyak mendengar kisah-kisah pengalaman orang lain betapa sukarnya mereka berpusu-pusu hendak masuk ke sana. Lalu saya berhenti berharap kerana saya khuatir roda-roda pada kerusi saya akan menyakiti kaki atau kepala orang lain yang bersujud dan saya khuatir ini akan menyusahkan emak atau adik yang menolak. Akhirnya selepas makan malam, dalam pukul 10 malam kami pun bergerak masuk ke laluan khas untuk ke Raudhah. Raudhah hanya dibuka pada masa tertentu untuk wanita iaitu selepas duha dan selepas isyak. Jadi tentulah ramai orang berebut mahu masuk. Sebaik masuk di laluan pertama, pengawal wanita memberi arahan supaya emak menolak saya ke sekumpulan orang arab. Emak patuh dan agak keliru. Barangkali pengawal itu menyangka emak orang Arab kerana berpurdah. Akhirnya kami bergerak melalui beberapa tapisan. Semua orang Malaysia dan Indonesia ditahan dan disuruh solat sedangkan orang-orang Arab dibenarkan bergerak.

Jauh juga kami bergerak melalui banyak check point tapi tidak sampai-sampai. Sepanjang jalan, saya mendiamkan diri dan berdoa di dalam hati. Adakah Allah akan mengizinkan saya ke sana? Alhamdulillah, dalam pukul 10.30pm saya sudah menjejakkan kaki dalam Raudhah. Sebaik sampai di ‘carpet’ hijau, pengawal wanita itu terus menarik kerusi roda saya daripada emak dan menolak saya ke tempat paling dalam. Emak sudah berpesan supaya sebaik kerusi dihentikan terus solat. Saya patuh, segera mata dipejamkan dan solat!. Air mata saya sebenarnya memang sudah sedia mengalir sepanjang perjalanan masuk kerana hati ini begitu sayu… Ya Allah.. Hamba lemah datang padaMu.. Ya Rasulullah… Umatmu yang lemah datang padamu.. Sudilah menerima diriku ini dalam serba kekurangan…

Sepanjang jalan tidak berhenti doa dan berdoa untuk emak, abah, nenek, atuk, kawan, staf, adik beradik, pelajar-pelajar dan untuk Islam ini. Selepas puas berdoa barulah membuka mata. Pandangan kabur kerana air mata sudah bertakung. Kelihatan pengawal sedang mengeluarkan orang lain yang berkerusi roda daripada Raudhah sedangkan saya duduk paling hujung jadi masuk antara paling awal dan keluar paling akhir. Disebabkan pengawal ingin cepat, maka emak memberi isyarat kepada mereka untuk membantu mengeluarkan saya dari sana. Sebaik terpandang emak, hati sebak… Serta merta berdoa lagi untuk emak. Khas untuk emak. Doa yang paling istimewa untuk insan yang paling istimewa di tempat yang paling istimewa…
Malam terakhir di Madinah.. Berkenalan dengan Ibrahim yang begitu ceria dan aktif. :)

Semasa bertolak ke Mekah, saya sudah boleh berjalan, turun dan naik tangga sendiri serta bersolat berdiri.Ustaz singgah ke medan Badar semasa dalam perjalanan. Subhanallah sangat termotivasi semangat jihad. 
Medan Badar menyaksikan 313 sahabat yang paling terbaik dalam kalangan Islam berjuang melawan 1000 Quraisy. Allah telah menurunkan malaikat membantu dan telah memenangkan Islam. Perang Badar merupakan perang pertama dalam Islam & kali pertama Quraisy telah kalah, sekaligus menaikkan nama Islam di seluruh semenanjung Arab. 14 orang sahabat telah syahid. Khemah nabi bernama Arish telah didirikan di tempat yang boleh menonton medan. Kini sebuah masjid bernama Arish didirikan di sini. :) Alhamdulillah solat zohor & lunch di sini. :) Labbaikallah humma labbaik...
Namun sebaik tiba di Mekah saya mulai rasa sakit semula. Akhirnya terpaksalah saya menelan pil penahan sakit yang mana akan menyebabkan saya menjadi khayal, jantung menjadi laju, emosi tidak stabil serta bakal merosakkan hati dan ginjal dalam jangka masa panjang. Saya dipimpin adik saya untuk turun dari bas sehinggalah ke pintu hotel. Saya gagal berdiri dan terjelepok di depan pintu hotel. Saya malu…… Orang ramai lalu lalang dan saya menghalang laluan. Air mata hampir mengalir dan serta merta saya membuka Al Quran dan membacanya. Di Mesir, saya sudah baca 10 juz, di Madinah pula 10 juz. Saya tidak mahu syaitan mengganggu perasaan saya. Saya tidak mahu syaitan mengambil kesempatan kepada diri saya. Saya tidak mahu lemah, saya mahu jadi kuat! Saya sudah sampai Mekah!
Merentasi padang pasir dari Madinah menuju Mekah. Cuaca panas & kering. Terharu membayangkan pengorbanan para sahabat & umat Islam berjuang menegakkan akidah di sini. Sungguh besar pengorbanan mereka! Semoga Allah meletakkan kita dalam kalangan para nabi, sahabat & syuhada. Semoga kita dapat bertemu mereka di sana. Melihat padang yang luas teringatkan padang mahsyar... Ya Allah.. Serta merta rasa pedih kulit terkena terik suria. Dahaga.

Semoga kita dibangkitkan di sisi Rasulullah. Semoga kita dapat minum telaga Rasulullah. Semoga kita mendapat syafat baginda. Semoga kita mendapat lindungan di bawah arasy Allah...

Alhamdulillah sudah masuk juz 23 hari ke 7.. Pedih mata menangis saat membaca terjemahan yang berulang kali menceritakan tentang pengorbanan para rasul, azab Allah & berita gembira syurga yang mengalir sungai di bawahnya. Bacalah.... Bacalah Quran dan bacalah terjemahannya.... Itu cara kita mengecas iman!! :'(

Hari pertama saya berkurung di dalam bilik hotel bersama Quran sebagai teman. Adik kata biar mereka ke Masjidil Haram dahulu dan melihat keadaan ke sana. Sebaik pulang mereka berkata jalan di sana sempit, sibuk dan berbukit maka sukar untuk membawa kerusi roda. Hati saya lansung tidak merajuk sebaliknya membuak-buak mahu melihat Kaabah. Keesokkan paginya saya bangun awal dan bersiap-siap untuk ke Masjidil Haram. Saya berjalan perlahan. Adik saya memaksa saya menaiki kerusi roda tetapi saya bertegas tidak mahu. Sepanjang jalan saya berdoa “Ya Allah.. Aku datang untuk beribadah, permudahkanlah…” Doa berselang ucapan Labbaikallah humma labbaik…. Alhamdulillah saya dapat buat tiga kali umrah. Semenjak di Madinah saya lansung tidak mengikuti program ziarah kerana saya merehatkan diri supaya bertenaga untuk berjalan kaki bertawaf, bersaie dan bersolat di Masjid. Di Mekah juga saya merehatkan diri di dalam bilik sahaja dan lansung tidak ikut mereka menziarahi tempat-tempat bersejarah. Hari-hari berikutnya dihabiskan dengan beriktikaf di masjid. Selepas khatam Quran, ulang semula bacaan. Kota Madinah dan Mekah didirikan atas dasar keimanan dan manusia datang kepadanya kerana keimanan. Secara logiknya, tiada lansung hiburan yang menarik hati di sini kecuali beribadah. Di sini manusia berlumba-lumba mahu beribadah. Begitulah juga hidup kita seharian, perbaharuilah niat-niat kita supaya sentiasa memulakan sesuatu atas dasar keimanan. Semoga orang-orang yang mendampingi kita juga akan hadir atas dasar keimanan.
Ustaz kata Allah akan menguji kita dengan pelbagai ujian dan semakin lama semakin berat sehingga nyawa-nyawa ikan. Kemudian barulah dihantar pertolongan. Ya, benar.. Seperti di dalam Al Baqarah Ayat 214..

Adakah kamu mengira kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu cubaan seperi orang2 terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan & digoncang sehingga rasul & org2 beriman bersamanya berkata "Bilakah akan datang pertolongam Allah? " Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat...

Gambar : Tingkat 1 Masjidil Haram...

 Akhirnya pada 28 April, kami kembali semula ke Malaysia. Penduduk Malaysia sangat jauh lebih berhemah dan berbudi bahasa jika dibandingkan dengan Mesir, Madinah dan Mekah. Itu membuatkan saya sangat menghargai Malaysia. Dalam masa yang sama juga, saya sangat mencintai Madinah dan Mekah kerana kemuliaan yang Allah berikan kepada tempat-tempat itu. Walaupun sudah kembali ke Malaysia, jarak bukanlah alasan untuk mengurangkan amal ibadah seperti ketika di sana. Hakikatnya Allah itu terlalu hampir dengan diri. Berdoalah dengan rendah hati dan taatilah segala perintahNya dan jauhilah segala laranganNya. Berselawatlah kepada Rasulullah saw, nescaya baginda mendengarnya walaupun jarak beribu batu.

Penulis : Nur Khalilah Rasyidah bt Abd Karim
Posisi : Timbalan Mas'ul 2 / Amanah Tarbiah dan Syakhsiah

Sabtu, 3 Mac 2012

Aku Yakin Engkau Mengetahui


Di dalam dompet cuma ada kira-kira RM420. RM350 untuk bayar sewa rumah. Jadi berbaki RM 70. RM50 untuk berkongsi beli barang dapur dengan sahabat-sahabat minggu ini. Saya jarang memasak jadi saya berkongsi beli barang dapur dengan Romlah, Zura dan Tikah. Mereka bertiga tinggal serumah. Apabila Zura datang mengajar di rumah saya, beliau akan membawa sekali makanan untuk saya;) Alhamdulillah....

Baki RM 20. Saya beli roti, biskut dan tuna.

Saya menemani Romlah ke kedai buku Popular. Hajat di hati hendak membeli buku untuk staf tetapi hati ini berbolak balik. Serba salah. Mana satu perlu di dahulukan. Bayar sewa atau beli buku? Akhirnya saya keluar dari kedai buku dengan tangan kosong.

Sepanjang jalan saya tidak banyak bercakap. Di dalam hati bermonolog dengan Allah. Merayu. Merintih. Meluah. Tidak tahu bagaimana mahu berkata-kata. Buntu. Doa dan berdoa.

''Ya Allah... aku tahu aku ini bukanlah hamba-Mu yang baik. Banyak buat dosa. Lalai. Aku akui dosa-dosaku. Namun aku sangat memerlukankan bantuan-Mu. Dan hanya Engkau satu-satunya yang boleh membantu aku. Tolonggggggglah Ya Allah....''

Sebelum melangkah keluar dari AEON, Romlah mengajak singgah ke kedai roti membeli makanan tengah hari kerana kami tidak sempat balik memasak.

Err... ada lagi duit baki ke? Saya mengambil beberapa ketul kuih dan.. jumlahnya RM3.60. Saya menguis-nguis dompet mencari duit syiling. Ha... cuma ada RM3.50. Romlah memberi 10 sen untuk mencukupkan harga roti saya.

:) Alhamdulillah...

Petang itu Romlah datang ke rumah saya untuk membantu mengira akaun kelas tuisyen saya. Beliau berjalan kaki ke mari. Kami membuka semula buku-buku resit tahun lepas dan mengira satu persatu pendapatan dan perbelanjaan. Sambil itu di meja yang sama, tiga orang anak murid saya sedang mengambil ujian kerana tidak hadir pada hari ujian yang sepatutnnya. Di dalam bilik pula, kelas tuisyen percuma sedang berlansung bersama Zura. Sesekali Zura keluar menjengah saya dan Romlah. Kami bergurau dan ketawa sekadar hendak mengurangkan tegangan suasana. Zura dan Romlah tahu saya berada dalam keadaan sangat tertekan. Kepala saya pening dan rasa loya.

"Habislah kurus Kak Lillah.."usik Zura. Kami ketawa.
"Bagus juga tu.. Tapi rasanya sebaliknya.."sambut saya sambil ketawa.


Romlah menarik nafas panjang.

"Pelik.. " kata Romlah.
"Perbelanjaan lebih banyak daripada pendapatan,"kata Romlah.

Ya...
Saya tahu ke mana perginya duit itu. Saya menaja ramai pelajar yang belajar di sini. Ada sangat banyak sebab mengapa saya mahu menaja mereka. Salah satu faktornya ialah kerana saya yakin saya mahu membantu mereka kerana Allah jadi saya yakin pasti ada rezeki untuk saya membantu mereka. Mereka adalah anak-anak luar biasa kerana datang daripada pelbagai latar belakang yang luar biasa. Ada anak-anak yang menjadi pengganti ibu kerana menjaga keluarganya yang miskin dan ibunya yang sakit. Ada anak-anak yang menjaga adik beradik yang cacat sehingga tiada masa untuk diri sendiri. Ada anak-anak yang sangat baik dan suka membantu orang lain sehingga diri sendiri dianiaya. Ada beribu alasan yang boleh saya berikan.....

Namun...

Sebab yang satu hanyalah kerana Dia... Kerana Engkau Ya Allah....

Semakin lama bilangan mereka semakin bertambah. Hubungan kami bertambah erat. Saya sangat menyayangi mereka. Jika kerana sayangkan kucing pun, saya sanggup bersusah-susah menjaga kucing yang sakit, ini lagi anak-anak manusia.

Pada bulan Disember yang lepas, akaun saya bergegar kerana saya masuk ke hospital dan kelas saya agak tunggang langgang. Pada bulan January, alhamdulillah akaun saya stabil dan kelas berjalan lancar.
Namun pada bulan February ini, akaun saya bukan sahaja bergegar malah gempa bumi. Mengapa ini berlaku? Kerana.....

Jika ingin dikatakan kerana masalah kesihatan menyebabkan perkara ini berlaku, rasanya tidak benar.
Kesihatan saya setakat ini Alhamdulillah tidak menggugat pekerjaan saya.

Saya telah menambah banyak kelas dengan tujuan untuk membantu ramai orang. Kesannya terdapat kelas yang berjalan sedangkan tidak mampu membayar gaji staf-staf saya. Jadi untuk membetulkan keadaan, saya perlu menutup beberapa kelas. Kelas manakah yang perlu ditutup?
Apabila kelas ditutup, bukan sahaja pelajar yang sedia ada akan bersedih, malah staf yang mengendalikan kelas itu turut akan bersedih.

Saya tidak suka membuat orang lain sedih jadi....?

Keadaan begitu menghimpit.

"Zura, maklumkan kepada anak-anak murid supaya mereka membayar separuh harga tuisyen, jika tidak kita terpaksa menangguhkan kelas... sehingga ekonomi stabil."kata saya dalam nada yang lemah. Saya tidak mampu memandang ke wajah staf saya.

"Kenapa Zura yang kena cakap? Zura tak sampai hati.."kata Zura sambil senyum serba salah.

"Sebab... "saya mencari sebab yang saya sendiri tidak tahu.

"Sebab akak terlalu sayang pada mereka dan akak takut terpengaruh dengan emosi akak,"jawab saya.

Akhirnya selepas kelas tamat, Zura masih tidak memaklumkan kepada pelajar-pelajar tersebut kerana beliau tidak sampai hati.

Malam itu keluarga saya ada majlis meraikan hari lahir adik saya di Sushi King. Saya keletihan kerana sepanjang hari sangat sibuk. Pagi tadi sudah membeli belah di AEON. Petang mengajar dan mengira akaun. Malam pula ke AEON untuk meraikan adik-adik saya. Semasa menunggu kedatangan abah bersama dua orang adik saya , seorang adik lelaki saya (birthday boy) bertanya
"Kakak ada nak beli buku students?"

Saya pelik "Kenapa?"
Ali menjawab "Aku ada baucer buku. Ada lagi RM 50. Nak?"

Berseri-seri muka saya. Alhamdulillah... Akhirnya malam itu saya dapat membeli buku untuk staf saya. Siapa sangka saya akan masuk kedai buku itu dua kali dalam hari yang sama?

:')

Pagi keesokkannya ada mesyuarat bersama-sama staf saya. Saya memaklumkan mengenai kelas-kelas percuma. Akhirnya kata sepakat dicapai, mereka bersedia mengajar secara percuma untuk kelas-kelas percuma tersebut.

Syukur Alhamdulillah... Inilah yang saya mahukan. Saya tidak mahu memaksa, saya mahu biar mereka sendiri yang menawarkan diri untuk mengajar kelas-kelas tersebut. Saya malu meminta sedekah, malu meminta diskaun.. lebih malu mahu meminta khidmat orang lain secara percuma. Inshaallah rezeki tutor-tutor ini akan bertambah berkat kerana sedekah ini.

Syukur Alhamdulillah dada sangat lapang... Sungguh Maha Kaya Allah.... Maha Berkuasa... Maha Mengetahui.....

Romlah mengingatkan saya "Bukankah Lillah pernah melalui ujian yang lebih hebat daripada ini, jadi..."
Saya menyambungnya "Jadi... Inshaallah keadaan akan semakin baik," Senyum. Senyum. Senyum.

This is the things that I do for You.


I  L.O.V.E You Allah........

   
p/s: lirik lagu atas ni best.. terjumpa lagu ni semasa cari bahan training tutor... :)

Ahad, 22 Januari 2012

Apa Tujuan Hidup Manusia ?



Sembilan bulan sepuluh hari manusia menetap di dalam rahim yang gelap. Selama sembilan bulan itulah manusia dalam keadaan lemah, tidak mampu bernafas sendiri, tidak mampu mencari makanan sendiri dan tidak mampu untuk mempertahankan diri sendiri. Subhanallah... hebatnya Allah menciptakan rahim yang begitu kukuh dan selesa lengkap dengan bantuan menyalurkan oksigen untuk manusia bernafas, lengkap dengan bantuan makanan dan bendalir amnion untuk melindungi manusia yang masih bayi itu.

"... Dia menjadikan kamu dalam perut ibumu kejadian demi kejadian dalam tiga kegelapan. Yang (berbuat) demikian itu adalah Allah, Tuhan kamu, Tuhan yang mempunyai kerajaan. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia; maka bagaimana kamu dapat dipalingkan?" (Surah Az-Zumar : Ayat 6)



Lalu setelah lahir ke dunia, bayi yang masih lemah itu memerlukan bantuan untuk menyuapkannya susu, memakaikannya pakaian dan mencuci alat sulitnya apabila dikotori najis. Subhanallah… hebatnya Allah menciptakan rasa belas kasih yang begitu halus di dalam jiwa para ibu supaya mereka sanggup bangun malam menjaga bayi-bayi ini, mencuci najis dan memberinya makan dan minum.

Lalu setelah bertahun lamanya Allah menjaga manusia ini sehingga menginjak usia mumaiyiz iaitu mampu berfikir dengan menggunakan akal, manusia ini mulai lupa diri. Manusia ini siang dan malam cuma memikirkan urusan-urusan dunia sahaja. Yang ada di fikirannya cumalah bagaimana hendak menjadikan diri nampak mulia di pandangan manusia dan bagaimana hendak menjadikan diri bertambah berkuasa di pandangan manusia. Cita-cita manusia ini semakin hari semakin besar namun sayangnya cita-cita itu hanya sekadar untuk kemuliaan dirinya semata-mata. Manusia ini menjadi terlupa kepada suatu kuasa besar yang selama ini sudah lama menaungi dirinya, menjaga dirinya, melindungi dirinya dan yang menciptakan dirinya!



Oleh kerana rasa kasih dan sayang Allah kepada manusia itu lalu diujinya supaya manusia itu kembali sedar siapa dirinya. Ada manusia yang hartanya dikurangkan sedikit sebagai ujian, ada manusia yang diambil orang kesayangannya sebagai ujian, ada manusia yang diberi sedikit ketakutan sebagai ujian. Namun kesemua ujian-ujian itu mempunyai tujuan yang sama iaitu supaya dapat mengetahui siapakah di kalangan hamba-Nya yang beriman.  Orang-orang yang beriman itu apabila diuji, mereka akan segera kembali kepada Allah. Barangkali mereka ada melakukan kesilapan, ujian itulah yang akan menyedarkan mereka supaya kembali bertaubat dan memperbaiki diri. Orang-orang beriman akan bersabar, memperbanyak istigfar, solat dan berdoa sebagai cara meraih kekuatan untuk berhadapan dengan ujian tersebut. Orang-orang yang tidak beriman pula apabila diuji, mereka akan semakin jauh daripada Allah. Mereka akan menyalahkan orang lain dan keadaan apabila ditimpa ujian. Ujian yang datang dianggap sebagai nasib celaka yang membawa kepada sifat putus asa dan kufur terhadap Allah. Manusia yang kufur tempatnya adalah neraka, mereka sengsara di dunia dan di akhirat. Nauzzubillah
.
Timbul satu persoalan besar iaitu bagaimanakah caranya untuk berhadapan dengan ujian-ujian hidup?
Seterusnya timbul pula satu lagi persoalan besar iaitu apakah tujuan hidup ini?
Mengapa manusia perlu diciptakan jika akhirnya akan mati?
Mengapa manusia perlu gembira jika akhirnya akan berduka?
Mengapa manusia perlu berbuat baik jika akhirnya akan ditindas?
Mengapa manusia perlu membantu makhluk lain yang tiada kepentingan untuk diri sendiri?
Mengapa dan mengapa…. Seribu satu persoalan hadir.

Berfikir dan berfikir.. Akhirnya jawapan yang ditemui perlu kembali kepada Yang Maha Mengenal diri kita. Hanya yang telah menjaga kita semenjak kita belum lahir sahaja yang ada jawapan kepada persoalan itu. Dialah Allah Yang Maha Mengetahui.

Allah berfirman :
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya. (Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)

Firman Allah :
Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah Al-An'am 6: Ayat 162) 

Berdasarkan firman di atas, terjawablah satu persoalan mengenai tujuan hidup. Tujuan manusia dan jin diciptakan adalah untuk menyembah dan beribadat kepada Allah. Hari ini kebanyakkan manusia hidup untuk menjadi buruh yang bekerja. Semenjak lahir, disekolahkan sebagai persediaan untuk bekerja. Semenjak muda hinggalah ke tua cuma tahu bekerja. Apabila sudah pencen pula, manusia itu kebanyakkan cuma menunggu mati. Alangkah sia-sianya hidup yang begitu, di dunia hidupnya kosong dan di akhirat pula dirinya binasa. Mengapa binasa? Kerana manusia itu sesat tidak bertemu  tujuan sebenar penciptaannya di dunia ini. Allah menciptakan manusia untuk menyembah dan beribadat kepada-Nya lalu kita bekerja siang dan malam juga adalah sebagai ibadat kepada-Nya. Melalui pekerjaan itu, kita menjaga hak-hak diri sendiri dan hak-hak manusia lain dengan mengeluarkan zakat, menjauhi riba dan mengelakkan penipuan. Melalui pekerjaan itulah juga dapat diperoleh rezeki yang halal untuk memberi nafkah kepada keluarga dan digunakan untuk membantu makhluk-makhluk Allah yang lain. Alangkah indah hidup ini apabila manusia mengerti tujuan hidupnya adalah untuk beribadat kepada Allah. Seluruh hidupnya di dunia dijadikan ibadah; makan, minum, tidur dan bekerjanya adalah untuk Allah. Apabila mengingini hidup sebagai ibadah, hidup perlulah berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.


Apabila manusia jelas dengan tujuan hidupnya, inshaallah akan terasa mudahlah untuk dirinya menghadapi pelbagai cabaran dalam hidupnya. Setiap yang menimpa dirinya tidak akan dianggap sebagai sesuatu yang sia-sia sebaliknya dianggap sebagai sesuatu yang dapat diambil hikmah pelajarannya. Betapa sukarpun hidup itu, manusia akan meyakini bahawa masih ada kehidupan kedua yang kekal abadi selepas mati nanti. Berbaloilah bersabar sedikit dalam kehidupan yang singkat ini demi kebahagiaan yang abadi nanti.

Hidup ini umpama sebuah perjalanan. Apabila kita mengetahui destinasi yang ingin dituju dan laluan-laluan yang menyampaikan kita kepada destinasi, akan terasa ringanlah perjalanan tersebut. Namun apabila kita tidak tahu destinasi yang ingin dituju, kita akan berpusing-pusing di tempat yang sama dan khuatir melalui laluan yang salah, akan terasa beratlah perjalanan tersebut.
Tentukanlah laluan hidupmu, semoga bertemu di syurga Allah  iaitu destinasi bahagia yang abadi. InshaAllah…

Penulis : Nur Khalilah Rasyidah bt Abd. Karim
Posisis : Naib Mas’ul/ Amanah Tarbiah dan Syakhsiah

Isnin, 22 Ogos 2011

Bagaikan permata di celahan kaca




Kerinduan kepada Allah,
melahirkan jiwa-jiwa yang rela bekorban.
Kecintaan kepada Allah,
melahirkan jiwa-jiwa yang penuh kesungguhan.
Ketaatan kepada Allah,
melahirkan jiwa-jiwa yang penuh ketenangan.


Hujan lebat. Pandangan hadapan cermin kereta saya kabur. Saya memperlahankan kenderaan. Lansung tidak nampak apa. Sudah tiga kali saya berulang alik dari rumah ke rumah-rumah pelajar. Sudah dua jam saya berkurung di dalam Proton Saga biru ini. Tubuh saya letih kerana bekerja tanpa henti selama dua hari berturut-turut.. Sepanjang siang sebelumnya pula saya sibuk membeli belah bahan-bahan untuk memasak dan peralatan majlis. Pinggan. Mangkuk. Bekas air. Malam itu pula saya pergi mengajar di Kundang. Kemudian saya lansung tidak tidur kerana mengemas bilik. Saya memindahkan satu katil keluar dari bilik saya supaya tetamu-tetamu perempuan boleh bersolat di bilik saya dengan selesa. Sepanjang siang hari berikutnya saya memasak bersama emak untuk menyediakan juadah berbuka puasa istimewa buat lebih 100 orang tetamu kami. Tetamu kami ialah anak-anak murid saya dan keluarga mereka. Memandangkan kapasiti rumah kami yang sederhana ruangnya, hanya anak-anak yang dijemput. Tetapi setiap anak-anak akan diberikan ‘tapau’ untuk dibawa pulang kepada keluarga tersayang.

Saya berhenti di hadapan sebuah flat. Hujan masih lebat. Seorang pelajar perempuan duduk di sebelah saya di dalam kenderaan memerhatikan titisan hujan yang mengalir di cermin kirinya.

“Ini rumah Aishah. Tingkatan empat,”saya bercerita kepada Fatin.

“Ibu Aishah sakit tulang belakang. Semenjak itu Aishah mengambil alih tugas ibunya. Dialah yang memasak untuk adik-adiknya dan menjaga mereka.”saya menyambung cerita.

“Cikgu kenal Aishah sebab cikgu mengajar di masjid secara percuma setiap hari Rabu. Banyak yang cikgu belajar daripada Aishah. Cikgu sayangkan dia kerana mengkagumi kasih sayang dia kepada keluarganya. Adakalanya ketika pelajar lain berbicara tentang kerja sekolah, boyfriend atau masalah-masalah remaja yang lain, Aishah pula bermonolog sendiri ‘Hari ni nak masak apa, balik ni nak tengok apa yang ada.’” Saya menghentikan kata-kata sebaik ternampak kalibat adik-adik Aishah yang begitu ceria melambai saya.

“Pernah satu kali Aishah balik lewat dari sekolah dan tidak sempat memasak lalu dia sms saya meminta tolong belikan nasi bungkus dan ayam goreng. Kebetulan ketika itu saya pula ada mesyuarat di tempat yang jauh. Saya tidak sampai hati nak menolak pesanan Aishah. Jadi say segera balik dan belikan makanan itu. Keesokkannya apabila saya bertemu Aishah barulah saya dapat tahu bahawa makanan itu dibelikan untuk ibunya sedangkan dirinya lansung tidak makan apa-apa pada tengah hari itu.”
Adik-adik Aishah masuk ke dalam kereta saya. Terkial-kial mereka menutup payung yang tersangkut menyebabkan kereta saya basah kerana terlalu lama pintu terbuka.

“Nabil puasa ke ni?”saya mengusik adik kecil

“Puasa!!”Jawab Nabil tegas.

“Ada ponteng-ponteng?”usik saya lagi.

“Tak ada. Penuh semuanya!” Suara Nabil penuh semangat.
Shahrin, abang kepada Nabil ketawa perlahan. Kereta sudah penuh. Aishah dan seorang lagi sahabatnya yang sepatutnya menumpang kereta saya memerhatikan sahaja kami dari jauh. Saya mendail telefon Aishah.

“Nanti cikgu datang semula ya, hehe”. Saya mengakhiri perbualan dengan ketawa kecil. Setiap kali saya menelefon anak-anak murid saya atau sahabat rapat, saya sudah terbiasa akan ketawa kecil di permulaan dan akhir perbualan. Barangkali hati ini terlalu bahagia apabila berbicara bersama mereka yang mendapat tempat di hati saya.

Saya menghantar Nabil, Shahrin dan Fatin ke rumah. Kemudian saya berpatah balik meredah hujan menuju ke flat tadi. Perjalanan mengambil masa 20 minit. Sebaik tiba di rumah saya pada kali kelima, jam suduh pukul 7 lebih. Sudah hampir waktu berbuka!

Hujan yang lebat. Saya tidak sangka masih ramai tetamu yang tetap bersungguh mahu hadir. Ruangan dalam rumah penuh. Ruangan luar rumah pula sedikit berterabur kerana tempias hujan lebat. Syukur Alhamdulillah, Romlah iaitu sahabat susah senang dan adik saya, Ali yang rajin ada di rumah untuk membantu. Kak Amy, pembantu rumah kami juga datang awal dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir. Mereka semua benar-benar menguatkan diri saya yang semakin lemah ini.

Alhamdulillah.. Majlis berjalan lancar. Saya menghantar beberapa ‘trip’ pelajar-pelajar pulang ke rumah. Saya turut menghantar Aishah ke rumahnya. Adik-adiknya kelihatan sangat gembira. Mereka begitu teruja dengan ‘tapau’ yang diberikan. Mungkin kecil bagi kita tetapi besar ertinya bagi mereka. Wajah-wajah ceria si kecil ini benar-benar membuatkan naluri saya tersentuh. Sepanjang perjalanan riuh rendah di dalam kereta. Semasa kami sudah hampir samapai ke flat mereka, Aishah bertanya “Cikgu, kenapa cikgu buat jamuan ni?”

Saya ketawa kecil. Bagaimana mahu menjawabnya?

“Ada banyak sebab…”

“Pertama ialah sebab bulan ni pahala berganda-ganda. Cikgu nak pahala berganda-ganda.” Jelas. Jujur.

“Kedua ialah sebab cikgu nak jumpa semua anak-anak murid cikgu, sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Jadi cikgu pilih tarikh dalam bulan Ramadhan ni sebab bulan ni paling mulia.” Jelas.

“Ketiga… erm…” Berfikir.

“Sebab.. bulan ni anak-anak murid saya semua baik-baik. Sebab syaitan dah kena ikat. Jadi semua anak-anak murid saya baik-baik.”

Aishah ketawa.

“Ye ke?” Aishah meragui jawapan ketiga saya. Saya menyambutnya dengan ketawa.

Selepas menghantar Aishah dan adik beradiknya pulang, saya pergi sekali lagi menghantar ‘trip’ terakhir pulang ke rumah. Rumah terakhir ialah rumah Hidayah. Hidayah ini di pandangan saya merupakan anak yang sangat baik hati. Selalu dibuli. Selalu disakiti tetapi sangat sukar menyakiti. Selalunya memaafkan sahaja sesiapa pun tanpa dendam. Beliau sangat naïf dan bersih. Selalu juga membuat saya menangis kerana terlalu banyak yang saya belajar dari anak ini yang bernama Hidayah Solehah.

“Dah tapau?” soal saya walaupun sudah nampak Hidayah meriba sebungkus plastik yang sangat besar.

Sungguh besar. Cukup makan satu keluarga!

“Dah! Banyak ni cikgu…”Hidayah tersenyum-senyum.

“Tadi saya hampir tak dapat tapau.” Hidayah cuba membuka cerita.

“Eh kenapa pula, bukankah cikgu dah pesan ambil awal-awal.” Saya teringat semula bahawa saya menugaskan Hidayah membungkus tapau-tapau untuk semua pelajar.

“Saya bungkus-bungkus. Orang lain datang ambil-ambil. Saya tengok mereka semua lebih memerlukan. Jadi saya pun diam-diam sahaja..”sambung Hidayah. Budak ini memang selalu begini! Sering sahaja beralah dalam semua situasi. Hatinya terlalu lembut.

“Kemudian… ”Hidayah menyambung.

“Emak cikgu panggil. Emak cikgu tanya saya dah ambil ke belum. Lepas tu emak cikgu bagi semua ni!” Hidayah menghabiskan ceritanya dengan gembira. Saya membalas dengan senyuman. Saya tahu emak seorang yang sangat cekap matanya. Pasti emak sudah lama perasan tentang Hidayah yang tidak bertapau kerana sibuk menapau untuk sahabat-sahabat lain.

Jam 12 malam/pagi. Saya duduk di sofa yang masih belum disusun ke tempat asal bersama emak. Kami melihat gambar-gambar yang telah diambil sambil bersembang. Post mortem program. Emak memberitahu bahawa emak sangat gembira sebab majlis itu terasa keberkatannya. Emak sempat menghantar tapau untuk beberapa orang sahabatnya dan jiran sebelah rumah kami. Semoga Allah melimpahkan hidayah-Nya kepada kami semua… Alhamdulillah, ramai memuji makanan yang dijamu itu sedap. Tetapi mereka tidak tahu bahawa sepanjang memasak itu, kami berdua (emak dan saya) berzikir dan berdoa semoga Allah memberikan hidayah kepada yang menjamah makanan ini. Subhanallah Alhamdulillah. Lailahaillallah Allahuakbar!

Catatan ini saya titipkan buat pembaca yang dikasihi Allah. Semoga perkongsian ini dapat membuka mata hati kita untuk melihat ke dalam diri insan di sekeliling kita. Tiada manusia yang sempurna. Namun di sebalik ketidak sempurnaan itulah hadirnya insan lain yang melengkapi kelompongan yang ada. Ada orang yang malu dilahirkan miskin dan cacat. Namun ada orang yang kaya dan sihat yang meminjam semangat si miskin dan cacat untuk meneruskan hidup. Bukankah Allah menciptakan semua itu ada tujuan tersurat dan tersirat?

"Ya Rabbana, tidaklah Engkau Menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka" [Ali-Imran :191]

Isnin, 8 Ogos 2011

Apa nilai tudungmu?

Alhamdulillah, hari ini sudah masuk hari ke 8 kita diizinkan Allah untuk berpuasa.
Sehari lagi bertambah.
Bermakna sehari lagi semakin hampir dengan kematian.
Ya Allah, daku ingin mati dalam keadaan yang Kau redhai dan daku juga meredhai-Mu...

Sehari lagi diberi peluang untuk memperbaiki diri.
Saya terfikir tentang aurat, tentang tudung, tentang pakaian.

Saya mula bertudung semenjak kecil kerana dipakaikan oleh emak.
Namun saya hanya bertudung sepenuhnya semenjak baligh, al maklum sebeb dah ada akaun amalan sendiri.
Memakai tudung itu mudah ibarat memakai baju.
Tetapi memakai tudung yang menepati syariat itu mencabar.
Tudung yang menepati syariat mestilah tidak nipis, tidak bewarna terang, menutup bahagian dada dan tidak menampakkan bentuk badan terutamanya leher dan dada.
Ketika saya bersekolah menengah dahulu, saya pernah sangat teringin hendak memakai tudung singkat berlilit dengan keronsang seperti wanita dewasa lain. Emak tidak membenarkan kerana itu akan mendedahkan bentuk dada. Saya menjadi marah dan berkata "Tunjukkan bukti dalam Al-Quran di mana yang Allah tak bagi? Kakak hanya akan patuh kalau perkara tu betul-betul daripada Allah".
Emak sedih dan berlalu.
Saya mengambil terjemahan Quran dan membelek-belek sehinggalah saya menemui tentang kewajipan bertudung menutup dada di dalam Al-Quran. Saya akur. Saya yakin. Saya taat.

Semasa saya melangkahkan kaki ke alam kampus. Kawan-kawan yang pernah bertudung labuh semasa zaman bersekolah menyangkakan saya budak sekolah agama. Mereka terkejut apabila mengetahui saya budak sekolah harian biasa. Saya juga terkejut kerana mereka yang bertudung singkat ini bekas pelajar sekolah agama. Hati saya sedih dan takut. Kasihan melihat mereka dan takut dengan diri sendiri. Apakah
saya juga akan kembali kepada kejahilan setelah Allah memberi petunjuk?

Hari ini saya lihat tudung sudah menjadi suatu kebiasaan. Sama ada seseorang itu bertudung kerana kefahaman atau ikutan sukar untuk dipastikan. Soal hati hanya Allah yang tahu. Saya tidak berhak menilai iman seseorang. Tugas saya cumalah menyampaikan kefahaman yang benar supaya mereka yang tidak faham menjadi faham. Selebihnya adalah terserah kepada Allah. Hati manusia ini dipegang oleh Allah.

Mengapa saya bertudung?
Saya memakai tudung kerana mematuhi perintah Allah. Tudung saya tidak mengikut era perkembangan fesyen kerana saya mematuhi guide line yang termaktub di dalam Al-Quran.
Tudung yang dipakai kerana semata-mata Allah akan menyebabkan diri pemakai menjadi takut berbuat dosa.
Apabila nak buat salah akan terasa sangat malu. Maka tudung ini menjadi pelindung seseorang daripada berbuat maksiat.
Saya tidak nafikan ada orang bertudung yang berkhalwat. Ada juga yang tidak bertudung tetapi sebaik kena naik mahkamah lekas-lekas bertudung. Kemudian tanggal semuanya semula.Itu urusan mereka dengan Allah. Persoalannya sudahkah kita cuba memberi mereka nasihat? Kalau belum, jangan nak mengutuk mereka sebab nanti di akhirat mereka akan menuntut dari kita hak sebagai saudara seakidah.

Perempuan memanglah suka nampak cantik. Apabila bertudung pun masih tetap nampak cantik.
Walaupun muka macam biasa-biasa, tidak secantik ratu cantik, namun tudung menyebabkan keayuan teserlah.Namun sangatlah mengecewakan seandainya akhlaknya tidak secantik penampilannya.
Akhlak umpama bunga diri. Tiada manusia sukakan perempuan yang laser dan selalu mengutuk orang. Bosan juga apabila mendengar perempuan yang asyik tahu complaint, merungut siang malam pagi petang. Bosan sangat melihat perempuan yang banyak bercakap hal-hal tidak penting. Saya bermuhasabah diri sendiri juga...Semoga Allah memperbaiki diri kita semua. Pada Allah segala kebaikan dan kesempurnann.

Semoga iman ini akan terus teguh untuk mentaati perintah-Mu ya Allah.. Semoga diri ini tidak lagi degil dengan perintah-Mu ya Allah. Semoga hati ini ikhlas menjadikan segala sesuatu dalam kehidupan ini sebagai tanda cinta kepada Penciptanya, Allah ya Rahman....

Selasa, 2 Ogos 2011

Mendamba Status Wanita Solehah


Tidak banyak syarat yang dikenakan oleh Islam untuk seseorang wanita menerima gelaran solehah, dan seterusnya menerima pahala syurga yang penuh kenikmatan dari Allah s.w.t.

Mereka hanya perlu memenuhi 2 syarat iaitu :

1. Taat kepada Allah dan RasulNya
2. Taat kepada suami

Perincian dari dua syarat di atas adalah sebagai berikut :

1. Taat kepada Allah dan RasulNya

Bagaimana yang dikatakan taat kepada Allah s.w.t. ?
- Mencintai Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. melebihi dari segala-galanya.
- Wajib menutup aurat
- Tidak berhias dan berperangai seperti wanita jahiliah
- Tidak bermusafir atau bersama dengan lelaki dewasa kecuali ada mahram bersamanya
- Sering membantu lelaki dalam perkara kebenaran, kebajikan dan taqwa
- Berbuat baik kepada ibu & bapa
- Sentiasa bersedekah baik dalam keadaan susah ataupun senang
- Tidak berkhalwat dengan lelaki dewasa
- Bersikap baik terhadap tetangga

2. Taat kepada suami

- Memelihara kewajipan terhadap suami
- Sentiasa menyenangkan suami
- Menjaga kehormatan diri dan harta suaminya selama suami tiada di rumah
- Tidak bermasam muka di hadapan suami
- Tidak menolak ajakan suami untuk tidur
- Tidak keluar tanpa izin suami
- Tidak meninggikan suara melebihi suara suami
- Tidak membantah suaminya dalam kebenaran
- Tidak menerima tamu yang dibenci suaminya
- Sentiasa memelihara diri, kebersihan & kecantikannya serta rumah tangga

FAKTOR YANG MERENDAHKAN MARTABAT WANITA

Sebenarnya puncak rendahnya martabat wanita adalah dari faktor dalaman. Bukanlah faktor luaran atau yang berbentuk material sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh para pejuang hak-hak palsu wanita.

Faktor-faktor tersebut ialah:

1) Lupa mengingat Allah

Kerana terlalu sibuk dengan tugas dan kegiatan luar atau memelihara anak-anak, maka tidak hairanlah jika banyak wanita yang tidak menyedari bahawa dirinya telah lalai dari mengingat Allah. Dan saat kelalaian ini pada hakikatnya merupakan saat yang paling berbahaya bagi diri mereka, di mana syaitan akan mengarahkan hawa nafsu agar memainkan peranannya.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Jathiah, ayat 23: ertinya:

” Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya.”

Sabda Rasulullah s.a.w.: ertinya:
“Tidak sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga dia merasa cenderung kepada apa yang telah aku sampaikan.” (Riwayat Tarmizi)

Mengingati Allah s.w.t. bukan saja dengan berzikir, tetapi termasuklah menghadiri majlis-majlis ilmu.

2) Mudah tertipu dengan keindahan dunia.

Keindahan dunia dan kemewahannya memang banyak menjebak wanita ke perangkapnya. Bukan itu saja, malahan syaitan dengan mudah memperalatkannya untuk menarik kaum lelaki agar sama-sama bergelumang dengan dosa dan noda. Tidak sedikit yang sanggup durhaka kepada Allah s.w.t. hanya kerana kenikmatan dunia yang terlalu sedikit.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-An’am: ertinya:

” Dan tidaklah penghidupan dunia ini melainkan permainan dan kelalaian dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa, oleh kerana itu tidakkah kamu berfikir.”

3) Mudah terpedaya dengan syahwat.

4) Lemah iman.

5) Bersikap suka menunjuk-nunjuk.

Dunia adalah perhiasan, perhiasan dunia yang terbaik adalah Wanita yang solehah.

source : http://nurjeehan.wordpress.com/2007/03/12/ciri-ciri-wanita-solehah/

p/s:Ramadhan kali ni terasa begitu berbeza dari yg sblm2 ni...Semoga perbezaan ini adalah suatu improvement utk diri saya... Bila list out things to improve, berderet senarainya... Inshaallah walaupun sedikit atau lambat, inshaallah saya akan usahakan memperbaiki kelemahan2 ni.. Semoga bila sampai ajal nanti, Allah meredhai usaha ini...

Apa yg baik utk iman kita, kita manfaatkan..
Apa yg memudaratkan iman kita, kita hindarkan....

~3 Ramadhan

Selasa, 3 Mei 2011

Nota kecil yang menggamit rinduku ♥

Nota kecil di borang pendaftaran

Sebak. Saya membaca perlahan nota kecil yang ditampal dengan salotape pada borang penyertaan Program Motivasi Sayangi Remaja. Anak kecil ini sungguh istimewa. Dalam ribuan manusia, Allah telah memilih anak ini untuk menyertai program ini. Paling istimewa adalah kerana anak ini hadir bersama hatinya. Hati yang bukan sekadar seketul daging malah sebutir permata yang bersinar. Ada air mata bergenang di kelopak mata saya. Maha Suci Allah!

Serta merta hilang rasa penat bertungkus lumus mengerjakan program ini!

Antara Slot Program Motivasi Remaja : Pengakuan remaja terlanjur yang telah bertaubat. Belajar daripada beliau mengapa perlu kembali ke pangkal jalan dan bagaimana untuk kembali kepangkal jalan.

Mengimbau memori silam
Sepanjang zaman persekolahan saya, saya sudah biasa mendengar dan melihat kawan-kawan yang terjebak dengan zina, rokok, dadah dan gaduh. Emak dan abah sendiri pernah memelihara anak-anak angkat kepada penagih dadah. Saya pernah tidur sekatil dan bersembang hati ke hati bersama seorang gadis yang baru bebas dari pusat juvana. Saya dan mereka terlalu dekat. Erat. Syukur berkali syukur betapa dekat sekalipun, Allah masih memelihara saya daripada terjerumus ke lembah hina itu. Setiap kali saya tersedar, saya sedang menarik tangan kawan-kawan saya yang sedang berada di tebing curam. Adakalanya saya menangis dan adakalanya saya menjerit. Adakalanya saya menggigil ketakutan dan adakalanya saya kesakitan yang teramat! Bagaimana Allah melindungi saya? Allah mencampakkan rasa takut kepada dosa di dalam hati saya.

Peserta-peserta Program Motivasi Sayangi Remaja mengalirkan air mata, bermuhasabah diri.



Hati yang tersiat
Semasa saya di zaman kampus, saya berpeluang untuk belajar kaedah membuat program. Senior-senior mengajar saya cara untuk menulis surat rasmi dan membuat modul. Saya dibimbing secara teori mahupun praktikal. Betapa galak saya di USM selama 3 tahun setengah. Ada suara sumbang memperleceh dengan mengatakan "Alah, setakat bergegar di kampus lansung tidak bermakna. Nantilah sahaja di medan sebenar selepas tamat kampus, semuapun senyap...". 

Masa berlalu dan akhirnya segulung ijazah berada di genggaman. Nawaitu hati masih tidak berubah. Aku mahu memikul amanah Allah yang satu ini, yang sangat sedikit manusia sudi melakukannya. Saya bertekad menolak untuk bekerja di bawah majikan kerana mahu meluangkan masa untuk berbakti bersama anak-anak remaja yang tersisih dalam dunia yang sepi. Bergetar tangkai hati apabila adik sendiri memperleceh diri ini seolah manusia yang merangkul gelaran pelajar terbaik sekolah ini begitu bodoh kerana memilih pekerjaan yang lansung tidak bergaya. 

Seorang anak murid saya bersuara "Yela, takkan cikgu sampai bila-bila pun nak menjadi macam ini.. "
Saya tersentak. Apabila anak murid sendiri turut merasakan saya seolah menzalimi diri sendiri, saya menjadi sangat tertekan. Saya sedih. Beberapa hari kemudian saya menerima pula sepucuk surat oleh pelajar lain. Di dalam surat itu pelajar itu mengeluh kerana dirinya tidak dihargai oleh saya sedangkan saya rasa dialah sebenarnya yang tidak tahu menghargai saya dan kawan-kawan dia. Kasih dan perhatian yang bagaimana lagi yang dia tagihkan?! Dimana kekurangan saya dan dimana silapnya saya?! Tidak. Ianya tiada kaitan dengan saya. Saya sudah berusaha memberikan yang terbaik. Hanya kini Allah sahaja yang memegang hati mereka. Berserah kepada Allah.

Saya tidak suka manusia menganggap saya menzalimi diri sendiri. Sabarlah dahulu.. Saya baru memulakan alam kerjaya. Berilah saya kepercayaan...... Berilah saya masa....... Berilah saya peluang! Keadaan saya ini tidaklah seteruk mana. Saya tidak meminta lansung walau 1 sen daripada emak dan abah semenjak saya tamat alam kampus. Saya bekerja sendiri. Kini saya mengusahakan kelas tuisyen dan menjadi rakan kongsi konsultan program motivasi. Allah Maha Kaya mengizinkan saya untuk memberi emak saya  lebih RM1000 pada setiap bulan semenjak saya mendapat gaji pertama saya. Walaupun pendapatan saya tidak sebanyak jurutera yang bekerja di pelantar minyak, saya masih boleh bersedekah! Bukankah itu suatu keberkatan? Malah saya mampu bersedekah dengan tenaga dan bakat saya yang nilainya sangat mahal! Bukankah itu suatu nikmat?! 

Apabila Allah mengesat air mataku......
Walaupun pembaca sekalian terasa membaca bait-bait di blog ini adalah percuma, namun kalian mungkin tidak tahu betapa mahalnya bait-bait yang ditulis dari hati ini..... Saya juga baru mengetahuinya. Beberapa hari yang lepas saya bertemu dengan bekas guru besar sekolah saya, Puan Ho Chee Lian. Sudah 7 tahun tidak bertemu. Kata Puan Ho, Tuhan mendengar doa beliau supaya dapat bertemu saya. 

Katanya surat yang pernah saya serahkan kepadanya 7 tahun lalu telah mengubah hidupnya. Pada tahun 2009, beliau telah meninggalkan sekolah saya. Namun beliau telah dipanggil semula sebagai pengetua pada tahun 2010. Jika diikutkan hati, beliau tidak mahu kembali ke sekolah yang kritikal dengan pelbagai masalah. Namun kerana surat saya, beliau kembali dengan penuh semangat ke sekolah lama saya. Tentulah saya sangat terkejut mendengar kata-kata beliau. Saya bertambah terkejut apabila beliau menghadiahkan saya sebuah buku himpunan cerpen pengetua sekolah Selangor, 2009. 
Petikan daripada tulisan Puan Ho 
Di dalam tulisannya, saya merupakan satu-satunya pelajar yang disebut namanya. Saya lansung tidak pernah berharap ini semua. Suatu masa dahulu, beliau pernah berasa tiada orang yang menghargai diri beliau. Tiba-tiba saya muncul dan memberi penghargaan kepada beliau. Kini, pada saat saya berasakan diri ini lansung tidak dihargai, tiba-tiba beliau muncul dan memberi penghargaan kepada saya. Maha Suci Allah! :')

Alhamdulillah...
Maafkan diriku andai ada yang terguris.. Diri ini manusia biasa. Bukan wali Allah yang kental jiwanya. Saya cuma menaip sekadar coretan hati seorang fisabilillah...Moga-moga dengan berkongsi pengalaman ini dapat meransang insan lain untuk turut sama meletakkan diri di jalan kebaktian.






Ahad, 3 April 2011

Permata di celahan kaca



  • Murid : Hari ini nak masak ayam masak lemak.
    Saya : Lemak cili api?
    Murid : Ya.
    Saya : Cikgu sayang kamu... (Murid ini mengambil alih tugas ibunya semenjak ibunya sakit tulang belakang akibat kemalangan.)
    23 hours ago ·  · 

      • Siti Saphia siapa tu cikgu....mcm kenal jew budk yg ambil alih tugas ibunye... kesiankan die cikgu...sye pn sedih gak..
        39 minutes ago ·  ·  1 person

      • Lillah Khalilah cikgu tak kesiankan dia...cikgu kagum dgn dia.... Allah melatih dia supaya jadi tabah dan kuat...kita bertuah sbb kenal budk tu ..What is this?
        38 minutes ago · 

      • Siti Saphia cikgu kagum...tapi sye x sekuat cikgu....mcm nie pn air mata sye dh mengalir keluar cikgu....
        25 minutes ago · 

      • Lillah Khalilah saya jumpa ramai budak sebaya dgn dia yg lansung tak tau buat kerja rumah dan cuma tahu menyusahkan mak ayah dan orang sekekliling. tapi budak yg ini sangat lain. dia selalu sibuk tolong uruskan hal keluarga sehingga tak siap homework..tak apa, sbb saya tau dia tak siap homework bukan kerna malas, tapi sbb dia seorg yg bertanggungjwb....
        19 minutes ago · 

      • Lillah Khalilah inshaallah, dia akan jadi org yg baik dan mendapat balasan yg baik... Allah Maha Adil.. Allah akan memelihara & membalas kbaikan anak ni... bertuah ibu bapanya... terima kasih atas didikan ibu bapanya yg mmbawa ank ini k dunia... Alhamdulillah....
        18 minutes ago · 

      • Siti Saphia pada pertegahan blan 4 nie die terpaksa kerap mengikut ibunye kehospital kerana babanye telah pn bertukar kerja ke tempat laen....
        15 minutes ago · 

      • Siti Saphia saya hanya risaukan pelajarannye...kerana beberapa hari die tidak hadir kesekolah cikgu....
        13 minutes ago · 

      • Lillah Khalilah ooh.. tak apa, dia boleh bawa buku semasa pergi ke hospital.. dia boleh belajar di mana-mana... sekiranya dia ada soalan tentg pelajaran, dia boleh tanya pada saya... inshaallah saya akn cuba bantu... biarkan anak ini bersusah utk ibunya.. krn inilah yang akan mengajar dia menjadi manusia.... manusia yg bertanggungjawab, berdikari & tabah....
        11 minutes ago · 

      • Lillah Khalilah ini peluang dia utk dpt pahala berganda masuk ke syurga... puan doakan kebahagiaan dunia akhirat utk dia, inshaallah dia akan berjaya cemerlang dunia akhirat....
        10 minutes ago · 

      • Siti Saphia amin...sye harap adik2 dia pn akan mengikut langkah die gak.... arinie die masak sambal udang.....sedap sgt cikgu..
        7 minutes ago · 

      • Lillah Khalilah hehe.... mesti la sedap... sebab dimasak dgn kasih sayang.. kirm salam pd dia.. moga puan bertambh tenang dan lapang walau apa jua ujian yg Allah beri.... What is this?
        3 minutes ago · 

      • Siti Saphia insyallah cikgu....
        2 minutes ago · 

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....