Isnin, 21 Oktober 2013

Menjadi Calon Mayat

Malam yang hening dan sejuk... sejuk hingga ke tulang sum sum!
Oh saya tidak boleh tidur. Perut tidak selesa. Badan tidak selesa. Sudah puas berpusing-pusing di atas tilam dan sudah puas memaksa mata tidur, sudah puas berzikir... Namun mata begitu segar. Mungkin kerana siang tadi sudah banyak tidur. Pagi tadi selepas sarapan kepala sangat pening dan rasa mual lalu segera tidur. Petang tadi sekali lagi kepala pening dan rasa mual lalu tidur sekali lagi. Maka malam ini mata sudah tidak mahu tidur. Perlahan-lahan saya meninggalkan bilik tidur, semoga suami saya terus lena. Kasihan beliau yang sudah seharian melayan isterinya dan membuat kerja rumah.

Saya menyelinap ke bilik bacaan dan mengambil Quran digital yang suami hadiahkan sewaktu kami bertunang setahun yang lalu. Saya membaca Al Waqiah dan Al Mulk. Surah Al Waqiah inshaallah dapat memurahkan rezeki manakala surah Al Mulk inshaallah dapat melindungi kita daripada azab kubur.


Mata masih segar. Saya membelek sebuah buku hasil tulisan Safwan Fathy bertajuk Mengubat Duka Lara. Saya tidak berada dalam keadaan berduka lara namun seronok juga jika membaca buku ini kerana ada gambar seperti komik sedikit di dalamnya. Sebaik terbuka halaman di dalam buku ini, saya bertemu hadis ini :

Jabir bin Atik secara marfu’: “Kala­ngan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid.” (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

Meleleh air mata.. Bahagia apabila menjadi calon-calon bakal mati syahid. Mengapa calon? Kerana kita semua adalah calon-calon yang bakal mati. Semoga kita dapat mati dalam iman yang sempurna. Satu impian besar andai mati yang sekali seumur hidup itu adalah kematian yang sangat besar kemuliaannya iaitu untuk mati syahid.

Di malam yang sepi ini, Ya Mujib pilihlah diriku untuk syahid dalam agama-Mu, pilihlah pasanganku untuk syahid dalam agama-Mu dan pilihlah anak zuriatku untuk syahid dalam agama-Mu... Semoga kewujudan kami yang sebentar sahaja di dunia ini menjadi berkat dan rahmat kepada seluruh alam..



Tiada ulasan:

Catat Komen

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....