Isnin, 8 Ogos 2011

Apa nilai tudungmu?

Alhamdulillah, hari ini sudah masuk hari ke 8 kita diizinkan Allah untuk berpuasa.
Sehari lagi bertambah.
Bermakna sehari lagi semakin hampir dengan kematian.
Ya Allah, daku ingin mati dalam keadaan yang Kau redhai dan daku juga meredhai-Mu...

Sehari lagi diberi peluang untuk memperbaiki diri.
Saya terfikir tentang aurat, tentang tudung, tentang pakaian.

Saya mula bertudung semenjak kecil kerana dipakaikan oleh emak.
Namun saya hanya bertudung sepenuhnya semenjak baligh, al maklum sebeb dah ada akaun amalan sendiri.
Memakai tudung itu mudah ibarat memakai baju.
Tetapi memakai tudung yang menepati syariat itu mencabar.
Tudung yang menepati syariat mestilah tidak nipis, tidak bewarna terang, menutup bahagian dada dan tidak menampakkan bentuk badan terutamanya leher dan dada.
Ketika saya bersekolah menengah dahulu, saya pernah sangat teringin hendak memakai tudung singkat berlilit dengan keronsang seperti wanita dewasa lain. Emak tidak membenarkan kerana itu akan mendedahkan bentuk dada. Saya menjadi marah dan berkata "Tunjukkan bukti dalam Al-Quran di mana yang Allah tak bagi? Kakak hanya akan patuh kalau perkara tu betul-betul daripada Allah".
Emak sedih dan berlalu.
Saya mengambil terjemahan Quran dan membelek-belek sehinggalah saya menemui tentang kewajipan bertudung menutup dada di dalam Al-Quran. Saya akur. Saya yakin. Saya taat.

Semasa saya melangkahkan kaki ke alam kampus. Kawan-kawan yang pernah bertudung labuh semasa zaman bersekolah menyangkakan saya budak sekolah agama. Mereka terkejut apabila mengetahui saya budak sekolah harian biasa. Saya juga terkejut kerana mereka yang bertudung singkat ini bekas pelajar sekolah agama. Hati saya sedih dan takut. Kasihan melihat mereka dan takut dengan diri sendiri. Apakah
saya juga akan kembali kepada kejahilan setelah Allah memberi petunjuk?

Hari ini saya lihat tudung sudah menjadi suatu kebiasaan. Sama ada seseorang itu bertudung kerana kefahaman atau ikutan sukar untuk dipastikan. Soal hati hanya Allah yang tahu. Saya tidak berhak menilai iman seseorang. Tugas saya cumalah menyampaikan kefahaman yang benar supaya mereka yang tidak faham menjadi faham. Selebihnya adalah terserah kepada Allah. Hati manusia ini dipegang oleh Allah.

Mengapa saya bertudung?
Saya memakai tudung kerana mematuhi perintah Allah. Tudung saya tidak mengikut era perkembangan fesyen kerana saya mematuhi guide line yang termaktub di dalam Al-Quran.
Tudung yang dipakai kerana semata-mata Allah akan menyebabkan diri pemakai menjadi takut berbuat dosa.
Apabila nak buat salah akan terasa sangat malu. Maka tudung ini menjadi pelindung seseorang daripada berbuat maksiat.
Saya tidak nafikan ada orang bertudung yang berkhalwat. Ada juga yang tidak bertudung tetapi sebaik kena naik mahkamah lekas-lekas bertudung. Kemudian tanggal semuanya semula.Itu urusan mereka dengan Allah. Persoalannya sudahkah kita cuba memberi mereka nasihat? Kalau belum, jangan nak mengutuk mereka sebab nanti di akhirat mereka akan menuntut dari kita hak sebagai saudara seakidah.

Perempuan memanglah suka nampak cantik. Apabila bertudung pun masih tetap nampak cantik.
Walaupun muka macam biasa-biasa, tidak secantik ratu cantik, namun tudung menyebabkan keayuan teserlah.Namun sangatlah mengecewakan seandainya akhlaknya tidak secantik penampilannya.
Akhlak umpama bunga diri. Tiada manusia sukakan perempuan yang laser dan selalu mengutuk orang. Bosan juga apabila mendengar perempuan yang asyik tahu complaint, merungut siang malam pagi petang. Bosan sangat melihat perempuan yang banyak bercakap hal-hal tidak penting. Saya bermuhasabah diri sendiri juga...Semoga Allah memperbaiki diri kita semua. Pada Allah segala kebaikan dan kesempurnann.

Semoga iman ini akan terus teguh untuk mentaati perintah-Mu ya Allah.. Semoga diri ini tidak lagi degil dengan perintah-Mu ya Allah. Semoga hati ini ikhlas menjadikan segala sesuatu dalam kehidupan ini sebagai tanda cinta kepada Penciptanya, Allah ya Rahman....

Tiada ulasan:

Catat Komen

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....