Ahad, 22 Januari 2012

Apa Tujuan Hidup Manusia ?



Sembilan bulan sepuluh hari manusia menetap di dalam rahim yang gelap. Selama sembilan bulan itulah manusia dalam keadaan lemah, tidak mampu bernafas sendiri, tidak mampu mencari makanan sendiri dan tidak mampu untuk mempertahankan diri sendiri. Subhanallah... hebatnya Allah menciptakan rahim yang begitu kukuh dan selesa lengkap dengan bantuan menyalurkan oksigen untuk manusia bernafas, lengkap dengan bantuan makanan dan bendalir amnion untuk melindungi manusia yang masih bayi itu.

"... Dia menjadikan kamu dalam perut ibumu kejadian demi kejadian dalam tiga kegelapan. Yang (berbuat) demikian itu adalah Allah, Tuhan kamu, Tuhan yang mempunyai kerajaan. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia; maka bagaimana kamu dapat dipalingkan?" (Surah Az-Zumar : Ayat 6)



Lalu setelah lahir ke dunia, bayi yang masih lemah itu memerlukan bantuan untuk menyuapkannya susu, memakaikannya pakaian dan mencuci alat sulitnya apabila dikotori najis. Subhanallah… hebatnya Allah menciptakan rasa belas kasih yang begitu halus di dalam jiwa para ibu supaya mereka sanggup bangun malam menjaga bayi-bayi ini, mencuci najis dan memberinya makan dan minum.

Lalu setelah bertahun lamanya Allah menjaga manusia ini sehingga menginjak usia mumaiyiz iaitu mampu berfikir dengan menggunakan akal, manusia ini mulai lupa diri. Manusia ini siang dan malam cuma memikirkan urusan-urusan dunia sahaja. Yang ada di fikirannya cumalah bagaimana hendak menjadikan diri nampak mulia di pandangan manusia dan bagaimana hendak menjadikan diri bertambah berkuasa di pandangan manusia. Cita-cita manusia ini semakin hari semakin besar namun sayangnya cita-cita itu hanya sekadar untuk kemuliaan dirinya semata-mata. Manusia ini menjadi terlupa kepada suatu kuasa besar yang selama ini sudah lama menaungi dirinya, menjaga dirinya, melindungi dirinya dan yang menciptakan dirinya!



Oleh kerana rasa kasih dan sayang Allah kepada manusia itu lalu diujinya supaya manusia itu kembali sedar siapa dirinya. Ada manusia yang hartanya dikurangkan sedikit sebagai ujian, ada manusia yang diambil orang kesayangannya sebagai ujian, ada manusia yang diberi sedikit ketakutan sebagai ujian. Namun kesemua ujian-ujian itu mempunyai tujuan yang sama iaitu supaya dapat mengetahui siapakah di kalangan hamba-Nya yang beriman.  Orang-orang yang beriman itu apabila diuji, mereka akan segera kembali kepada Allah. Barangkali mereka ada melakukan kesilapan, ujian itulah yang akan menyedarkan mereka supaya kembali bertaubat dan memperbaiki diri. Orang-orang beriman akan bersabar, memperbanyak istigfar, solat dan berdoa sebagai cara meraih kekuatan untuk berhadapan dengan ujian tersebut. Orang-orang yang tidak beriman pula apabila diuji, mereka akan semakin jauh daripada Allah. Mereka akan menyalahkan orang lain dan keadaan apabila ditimpa ujian. Ujian yang datang dianggap sebagai nasib celaka yang membawa kepada sifat putus asa dan kufur terhadap Allah. Manusia yang kufur tempatnya adalah neraka, mereka sengsara di dunia dan di akhirat. Nauzzubillah
.
Timbul satu persoalan besar iaitu bagaimanakah caranya untuk berhadapan dengan ujian-ujian hidup?
Seterusnya timbul pula satu lagi persoalan besar iaitu apakah tujuan hidup ini?
Mengapa manusia perlu diciptakan jika akhirnya akan mati?
Mengapa manusia perlu gembira jika akhirnya akan berduka?
Mengapa manusia perlu berbuat baik jika akhirnya akan ditindas?
Mengapa manusia perlu membantu makhluk lain yang tiada kepentingan untuk diri sendiri?
Mengapa dan mengapa…. Seribu satu persoalan hadir.

Berfikir dan berfikir.. Akhirnya jawapan yang ditemui perlu kembali kepada Yang Maha Mengenal diri kita. Hanya yang telah menjaga kita semenjak kita belum lahir sahaja yang ada jawapan kepada persoalan itu. Dialah Allah Yang Maha Mengetahui.

Allah berfirman :
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya. (Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)

Firman Allah :
Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah Al-An'am 6: Ayat 162) 

Berdasarkan firman di atas, terjawablah satu persoalan mengenai tujuan hidup. Tujuan manusia dan jin diciptakan adalah untuk menyembah dan beribadat kepada Allah. Hari ini kebanyakkan manusia hidup untuk menjadi buruh yang bekerja. Semenjak lahir, disekolahkan sebagai persediaan untuk bekerja. Semenjak muda hinggalah ke tua cuma tahu bekerja. Apabila sudah pencen pula, manusia itu kebanyakkan cuma menunggu mati. Alangkah sia-sianya hidup yang begitu, di dunia hidupnya kosong dan di akhirat pula dirinya binasa. Mengapa binasa? Kerana manusia itu sesat tidak bertemu  tujuan sebenar penciptaannya di dunia ini. Allah menciptakan manusia untuk menyembah dan beribadat kepada-Nya lalu kita bekerja siang dan malam juga adalah sebagai ibadat kepada-Nya. Melalui pekerjaan itu, kita menjaga hak-hak diri sendiri dan hak-hak manusia lain dengan mengeluarkan zakat, menjauhi riba dan mengelakkan penipuan. Melalui pekerjaan itulah juga dapat diperoleh rezeki yang halal untuk memberi nafkah kepada keluarga dan digunakan untuk membantu makhluk-makhluk Allah yang lain. Alangkah indah hidup ini apabila manusia mengerti tujuan hidupnya adalah untuk beribadat kepada Allah. Seluruh hidupnya di dunia dijadikan ibadah; makan, minum, tidur dan bekerjanya adalah untuk Allah. Apabila mengingini hidup sebagai ibadah, hidup perlulah berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.


Apabila manusia jelas dengan tujuan hidupnya, inshaallah akan terasa mudahlah untuk dirinya menghadapi pelbagai cabaran dalam hidupnya. Setiap yang menimpa dirinya tidak akan dianggap sebagai sesuatu yang sia-sia sebaliknya dianggap sebagai sesuatu yang dapat diambil hikmah pelajarannya. Betapa sukarpun hidup itu, manusia akan meyakini bahawa masih ada kehidupan kedua yang kekal abadi selepas mati nanti. Berbaloilah bersabar sedikit dalam kehidupan yang singkat ini demi kebahagiaan yang abadi nanti.

Hidup ini umpama sebuah perjalanan. Apabila kita mengetahui destinasi yang ingin dituju dan laluan-laluan yang menyampaikan kita kepada destinasi, akan terasa ringanlah perjalanan tersebut. Namun apabila kita tidak tahu destinasi yang ingin dituju, kita akan berpusing-pusing di tempat yang sama dan khuatir melalui laluan yang salah, akan terasa beratlah perjalanan tersebut.
Tentukanlah laluan hidupmu, semoga bertemu di syurga Allah  iaitu destinasi bahagia yang abadi. InshaAllah…

Penulis : Nur Khalilah Rasyidah bt Abd. Karim
Posisis : Naib Mas’ul/ Amanah Tarbiah dan Syakhsiah

1 ulasan:

  1. Wa Alaikas Salaammm

    Terimakasih.. Tulisan inspiratif.. salam dari jakarta.. Terus Semangat yaa.. ;)

    BalasPadam

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....