Rabu, 31 Disember 2014

31 December 2014

Alhamdulillah..
Allah bagi pinjam pusat tuisyen dan taska...
Hari ini hari terakhir mereka beroperasi di bawah saya...

Terima kasih Allah....

Terima kasih mak abah yang banyak membantu anakmu ini tanpa jemu..

Terima kasih kanda kerana sentiasa menjadi penguat semangat dinda...

Terima kasih staf-staf yang tanpa kalian siapalah daku...

Alhamdulillah...


Selasa, 30 Disember 2014

3 minggu jadi suri rumah

Alhamdulillah...
Alhamdulillah minggu ketiga jadi suri rumah.. Semakin memahami tabiat anak. Baru tujuh bulan dia sudah mahu berdiri. Amboiii tak terkejar mama... Disebabkan anak suka menjatuhkan diri, digagahkan diri angkat softmat taska. Inshaallah taska berhenti beroperasi 1hb Januari. Inshaallah semua softmat taska mama bawa balik ye...  Lepas tu Fayyadh nak berguling ke,nak akrobat ke,.. Barulah mama tidak risau sangat.

Pusat Tuisyen BTP alhamdulillah ada sahabat yang ambil alih. Semoga Allah permudahkan urusan beliau...

Buat masa ni saya nak fokus pendidikan  anak sendiri dahulu... Moga Allah redha..

Ahad, 28 Disember 2014

Pengalaman jadi suri rumah 2 minggu

Alah tegal bisa biasa.

Setiap hari menghitung hari. Kadang-kadang berharap si dia cepatlah pulang. Kadang-kadang berharap biarlah si dia lambat pulang (time merajuk). Hehe.

Masa bekerja paling seronok ialah dapat jumpa manusia lain. Seronok dapat berbual bergelak ketawa dan bercerita. Sebab itulah saya jadi cikgu tuisyen, suka jumpa students. Apabila sudah jadi suri rumah, tengok anak siang malam, bagi makan, main dengan anak, lap muntah dia, cuci kencing berak dia,  sapu ubat dan kadang-kadang diri sendiri tak terurus sebab menguruskan dia. Rasa sunyi dan stress. Apabila boring cuba hubungi papanya, tak dilayan atau dapat teguran yang tak dialukan, mulalah rasa nak merajuk.

Hehe. Macam-macam.

Apabila duduk tengok anak main, muhasabah balik diri. Mengapa nak merajuk, rugi. Sudahlah itu satu-satunya suami tempat bermanja, maka pergi kacau balik dia.

Zaman bujang dulu ramai kawan. Sekarang kawan-kawan masing-masing dengan dunia mereka yang pun turut sibuk.

Kadang-kadang duduk meneman anak main, tersengguk mengantuk. Arggh bosannya. Sunyi nya. Tadi mula-mula berzikir, lepas itu entah ke mana zikirnya.

Apabila nak bangun kemas rumah, mulalah anak melalak nak ikut sama. Disebabkan dia sudah pandai merangkak, kalau lambat angkat, dia mesti sudah merangkak keluar zone softmat. Kalau nasib tak baik, tersagul kaki kerusi atau lantai, meraung sakan. Kecewa apabila tengok rumah bersepah dengan kain yang sudah siap basuh tapi tidak bersidai.

Kadang-kadang menangis geram sebab tidak tahu nak uruskan semuanya dengan baik.

Teringat emak yang memang seorang suri rumah. Adakah emak juga merasai kepayahan melayan anak lasak seperti ini? Emak kata anak-anak emak dulu tidak selasak anakku. Saya bertanya pula kepada mak saudara yang pernah menjaga saya waktu kecil adakah mereka merasai kepayahan menjaga kami adik beradik yang lasak seperti anakku, mereka menjawab kami sewaktu kecil tidak lasak.

Maksudnya anakku lasak luar biasa? Abah pernah bergurau mengatakan anakku hyperactive.

Jika benar anakku hyperactive maka memang wajarlah saya sendiri mengasuhnya supaya tiada orang lain yang hilang sabar terhadapnya.

Mengapa saya berhenti kerja?  Kerana mahu jaga anak sendiri. Apabila tiada orang sanggup menjaga anak kita, siap sedialah ibunya menjaga. Pernah hantar ke taska, staf-staf taska telefon bagitau mereka cemas anak saya menangis meraung tak henti dan tak nak makan minum lansung. Hati ibu mana tidak sedih dengar macam itu. Sudahlah taska itu dibuka kerana anak ini, tapi anak ini jugalah yang tidak mahu tinggal di sana. Apabila hantar anak ke rumah emak, timbul salah faham lain pula.

Dalam masa yang sama, anak kena allergic teruk yang perlu ibunya juga berpantang makan dan jaga bahagian kulit yang bermasalah.

Untuk elakkan fitnah dan huhu hara jiwa seorang ibu dan seorang anak, maka saya pun berhenti kerja, buat keputusan tutup taska dan let go tuisyen kepada staf.

Ralat oh memang ralat.
Tapi dalam membuat keputusan rasional tidak boleh bawa perasaan.

Sudah puas mengecapi kepuasan bekerja. Alhamdulillah.

Sekarang adalah sekarang.
Pandai beranak perlulah pandai menjaganya.

Ya Allah permudahkanlah urusan kami....
Jadi anak yang soleh ye sayang...  Mama sayang Fayyadh....

Ahad, 21 September 2014

Peranan isteri dan ibu dalam usaha agama

Malu hendak mengaku sudah jadi isteri setahun lebih sebaik mendengar kakak-kakak dan makcik menghuraikan kisah pengalaman emas mereka.

Sebelum berkahwin memang ada pergi kursus kahwin. Selepas kahwin juga ada pergi banyak kursus namun tiada yang seperti kursus ini..... iaitu kursus menjadi isteri dan ibu solehah.

Kata seorang makcik "If you are strong, inshaallah your husband will be strong. But... If you are weak, he will be weak too.. That's why when you see his faith became weak, check yourself first. Did you take care your amal or not?. Allah had guarantee, if you take care Allah, He will take care you and your life."

Bagaikan pelempang ke  muka saya. Rasa mahu menangis pun ada...

Kata seorang kakak pula, "Kita kena tahu malam apa dia ada mesyuarat (mesyuarat usaha agama).. Selalunya malam Rabu dan malam Jumaat. Kita kena pastikan dia pergi. Petang itu selepas asar pastikan dia tidak sibuk. Siapkan pakaian dia awal-awal. Jam 6 petang suruh mandi dan bersiap. Kita yang kena ingatkan dia. Apabila cukup nisab untuk khuruj pun kitalah juga yang kena ingatkan dia untuk keluar."

Sekali lagi pelempang ke muka saya. Bisanya..

Seorang makcik berkata "Di sebalik seorang lelaki yang berjaya pastinya ada seorang isteri. Isteri ini juga boleh jadi penghalang kepada suami buat usaha agama. Pujuk rayu isteri mencairkan suami.. "

Terbayang wajah dan susuk tubuh suami saya.

Saya tak pandai mengurus rumahtangga,Ya Allah.. Bantulah saya Ya Allah..
Saya tak pandai menjadi isteri, Ya Allah.. Bantulah saya Ya Allah..
Saya tak pandai jadi ibu, Ya Allah..Bantulah saya Ya Allah

17 Ogos 2013

Sabtu, 20 September 2014

Fear Factor Jemaah Masturat

Fayyadh gembira sebab ramai makcik dan kakak melayan dia
Alhamdulillah ini kali kedua rumah kami Allah izinkan terima jemaah masturat. Ada kawan-kawan yang takut-takut dengar jemaah masturat. 
Takut kerana belum faham tentang usaha ini. 
Jadi inshaallah saya cuba terangkan sedikit supaya rasa takut 
berubah kepada rasa cinta.. 
Moga Allah bagi faham dan cinta.

FEAR FACTOR 1 : Jadual Program Yang Misteri di dalam rumah berlangsir tutup semua tingkap dan pintu.

Ini jadual program semalam dan hari ini. 
Kaki kecil Fayyadh terselit pula dalam gambar
Program ini sangatlah melindungi wanita daripada hujung kepala hingga hujung kaki. Syarat kepada jemaah yang keluar mestilah tutup satu badan termasuk mata di luar rumah.(Dipimpin suami semasa berjalan masuk dan keluar rumah). 

Bahkan nama turut dilindungi. Nama dirahsiakan.. Yang tinggal nama suami atau ayah. Ahlia ialah isteri kepada... Binti ialah anak kepada.. 

Di dalam rumah boleh pakai pakaian bebas asalkan menutup aurat dan sopan.. Ini yang saya sangat suka. Semasa program boleh menyusukan anak dengan bebasnya tanpa perlu segan silu. Boleh baring-baring. Seronok sangat. Rasa terpelihara. Programnya pula fokus memperbaiki dari dalam jasad iaitu hati hinggalah kepada fikir seluruh alam. Fikir seluruh alam ini maksudnya fikirkan tentang nasib manusia lain di seluruh dunia dengan harapan mahu semua manusia masuk syurga dan jauhi neraka.

FEAR FACTOR 2 : Purdah HITAM

Purdah tutup satu badan termasuk mata dan tangan ini cumalah diwajibkan semasa sedang program ketika di luar rumah. Keseluruhan program di dalam rumah, jadi kita cuma beruniform sedemikian semasa datang ke rumah dan semasa pulang. Waktu program di dalam rumah (99% program) ialah pakaian dalam rumah. 

Apabila pulang daripada program, silakan berpakaian seperti kebiasaan kita. Yang tanpa purdah boleh tanpa purdah. Yang berpurdah terus alhamdulillah.


FEAR FACTOR 3 : Malu sebab tak kenal dan tak pandai

Kalau kita malu untuk mendekati perkara yang baik nescaya kita sedang melangkah mendekati perkara yang buruk. Masa di dunia ini ibarat 2 saat sahaja dibandingkan dengan masa di akhirat yang selamanya. 
Buat sesuatu kerana Allah inshaallah tidak akan kecewa. Biarlah orang nak kutuk, hina, puji atau boikot... Buat kerana Allah hanya mengharapkan keredhaan Allah. Tidak harap bantuan dan balasan makhluk. Hanya harap bantuan dan balasan Allah.
Itulah kemenangan dan ketenangan dunia akhirat. 


Dunia diciptakan untuk manusia. Manusia diciptakan untuk akhirat. Sungguh beruntung manusia yang memanfaatkan dunia untuk akhirat.


FEAR FACTOR 4 : Nusrah vs Usrah

Usrah itu keluarga. Dalam satu keluarga, kita saling sayang menyayangi, melindungi dan berkongsi.
Nusrah ialah khidmat. Apabila jemaah masturat datang, kita datang untuk nusrah iaitu khidmat kepada mereka. Kita boleh tolong masakkan makanan, beli makanan, beli barang, mengemas dan meluangkan masa bersama mereka. Tujuaannya supaya jemaah dapat fokus ibadah dan dalam masa yang sama kita tumpang pahala mereka. Apabila kita mempermudahkan urusan saudara kita, inshaallah Allah permudahkan urusan kita. Doa orang yang sedang bekorban untuk agama adalah mustajab, jadi mintalah doa daripada mereka...

FEAR FACTOR 5 : Mulut laser, selekeh, bla bla bla (aib manusia)

Pandanglah kebaikan yang ada pada manusia lain nescaya Allah akan melapangkan hati dan urusan kita di dunia dan akhirat. Manusia boleh berubah menjadi lebih baik. 

Jika kita mahu perbaiki diri, bukalah hati menerima teguran. Jika tidak sampai bila-bila pun kita tidak akan berubah. 

Orang yang biasa dikeji dan bersabar akan memiliki hati yang kuat. Priceless!

Semoga Allah berikan kefahaman...
Wallahualam....






Kisah Mi Kuning Nabihan Fayyadh

Setiap makanan yang kita makan akan dihisab kecuali jika kita membaca doa elak hisab selepas makan.
Allah akan tanya dari mana kita dapat makanan itu.
Allah akan tanya bagaimana kita masak dan makan makanan itu.
Allah akan tanya bagaimana kita menggunakan tenaga selepas makan itu.

Rumit.

Alkisahnya suami suka makan mi kuning lalu terdetik di hati mahu menyediakan mi kuning sendiri. Lalu mulalah berazam bukan sahaja mahu menyediakan untuk suami, malah seluruh penduduk Islam di dunia ini. Ketika berkongsi azam di Facebook, muncullah anak murid memberitahu di rumahnya ada mesin mi hendak dijual.

Bermulalah kelahiran Mi Kuning Nabihan Fayyadh....







Buat masa ini, Mi Fayyadh sedang dalam proses eksperimen. Mahu tingkatkan kualiti mi serta persediaan lain seperti mesin yang lebih besar.. Kalau diizinkan Allah mahu mesin yang automatik bermula daripada menguli tepung hingga siap dibungkus.

Perlu lalui piawaian tertentu sebelum boleh menembusi Brunei dan Singapura.

Doakanlah moga usaha ini dipermudahkan.. Inshaallah tahun depan atau tahun berikutnya barulah dapat mesin gergasi ini... Inshaallah.

Nota : Jom LIKE https://www.facebook.com/Mifayyadh

Ahad, 14 September 2014

Hati Yang Tenang ialah Hati Yang Bersih

Dalam merentasi kehidupan ini, kita mungkin ada berasa rendah diri terhadap orang sekeliling. Barangkali rendah diri terhadap sahabat-sahabat sebaya. Boleh jadi rendah diri terhadap adik beradik dan ipar duai. Boleh jadi rendah diri terhadap jiran dan teman sekerja. Rasa rendah diri yang tidak diasuh dengan baik menumbuhkan rasa cemburu melihat kejayaan dan kegembiraan orang lain malah boleh menyebabkan rasa benci timbul terhadap orang lain. Paling kritikal apabila mula membenci diri sendiri. Segala yang dipandang matanya terasa sakit hingga ke hati.
Ayuh ubat hati. Ingatlah kita akan mati bila-bila sahaja. Biar sekarang hodoh, yang penting di akhirat cun kalah bidadari. Biar sekarang miskin, yang penting di akhirat kaya raya. Biar sekarang lemah, yang penting di akhirat sihat dan gagah.
Apabila hati bersih, tiada benci dalam hati. Maka manisnya syurga akan terasa semenjak di dunia. Kaya tanpa harta, sejuk mata memandang biarpun tanpa hidung mancung, wajah bercahaya biarpun berkulit gelap, berkuasa biarpun tanpa pangkat dan disayangi makhluk di bumi dan di langit.

Belajar Jadi Isteri dan Ibu

Saat ini suami dan anak sudah tidur.. Aduhai kasihan mereka. Rasanya belum selesai hak-hak mereka yang ada pada saya. Jadi isteri dan ibu ini bukanlah sentiasa rasa rajin, kreatif, positif dan inovatif. Selalu juga suami yang buat kerja-kerja rumah dan menjaga anak sewaktu saya sibuk dengan urusan tusyen, taska dan persatuan. Nah! Saya bukan superhero, kadang emosi dan tekanan kerja-kerja dibawa pulang ke rumah. Ada masanya terfikir bagaimana boleh Allah jadikan aku isteri dan ibu sedangkan aku sendiri berterabur? Suami pula kata untuk berkahwin tidak semestinya perlu pandai mengemas, pandai memasak dan pandai jaga suami dan anak. (Setuju ke? Senyum isteri dengar..Hihi) Lepas kahwin kita masih dalam proses belajar untuk jadi isteri dan ibu. Jadi jangan tunggu sudah pandai baru mahu melangkah ke fasa berkahwin. Sepanjang hayat kita belajar. Mengimbau zaman bujang sebelum berkahwin, fuh memang saya pulun bekerja 7 hari seminggu, kemudian mesyuarat sampai larut malam dan asyik mengembara ke sana sini di samping membela kucing hingga 20 ekor di apartmen yang sangat cantik pada pandangan mata saya. Masa bujang, segala yang dirancang mudah dilaksanakan. Tiada orang kacau perancangan kita. Jadi buatlah amal soleh sebanyak-banyaknya. Nak tidur awal senang, boleh bangun awal hari-hari untuk tahajud. Tiada gangguan. Nak istiqomah duha dan quran senang. Macam-macam senang. Apabila sudah berkahwin dan beranak....ha..baru tahu kenapa Allah bagi ganjaran solat 70 kali ganda. Bukan amalan solat sahaja berganda, segala amalan lain pun berganda pahalanya. Puasa, sedekah, jaga aurat dan khidmat. Semua ganjaran berganda-ganda... Sebab susah, banyak cabaran. Serius!! Sehari solat duha.. Lepas tu seminggu kemudian baru dapat solat duha. Sehari bangun tahajud.. Dua tiga minggu lagi baru tahajud. Memang mujahadah! Syukurlah dapat ganjaran 70 kali ganda. Terubat hati. Rasa bersemangat.' Nak berjaya, kena ikut sunnah Rasulullah saw. Berkorban untuk bina keluarga yang ikut sunnah. Itulah kejayaan sebenar. Walaupun susah, takut dan sakit.. Inshaallah di situ ada kejayaan. Biarpun nampak mama serabut dan semakin sibuk, inshaallah ada kebahagiaan yang Allah campakkan ke dalam hati mama. Tidak perlu kesempurnaan, cukuplah kebahagiaan.... Sasaran kita mahu raih cinta Allah dan Rasulullah saw.

Rabu, 30 April 2014

Suka Duka Projek Infak Makanan Hari Jumaat

Pejam celik pejam celik.. Alhamdulillah sudah hampir 2 bulan melaksanakan Projek Infak Makanan Hari Jumaat. Bagi mereka yang tidak pernah mendengar mengenai projek ini, boleh LIKE Facebook kami.
Projek ini dilaksanakan sebagai satu usaha untuk mengembirakan golongan asnaf, memastikan anak-anak makan sebelum pergi ke sekolah dan membantu meringankan beban ekonomi keluarga terpilih ini..


Pada tahun sebelum ini, saya cuma melaksanakan projek ini pada bulan Ramadhan sahaja. Keriangan anak-anak sewaktu menyambut saya setiap kali hampir waktu berbuka menyebabkan saya menjadi 'ketagih' untuk tampil setiap hari menghantar makanan. Itu kisah zaman bujang...

Tahun ini sudah dapat geng baru untuk berprojek.. Siapa lagi kalau bukan suami tercinta. Hehe. Ke hulu ke hilir setiap kali berprojek, saya ajak suami bersama. Alhamdulillah suamilah pakar motivasi saya yang banyak membantu setiap kali saya lemah semangat. Dua bulan lepas, saya meluahkan hasrat untuk melaksanakan projek infak makanan. Saya ceritakan kepada suami tentang saya mahu setiap minggu ada 'keep in touch' dengan golongan asnaf ini. Dalam erti kata lain, saya mahu ziarah mereka setiap minggu! Dan apabila ziarah perlu bawa buah tangan! 

Akhirnya saya pun belajar memasak.. (Mesti ramai yang tidak percaya bahawa saya belajar memasak demi mahu menjayakan projek ini. Sepanjang hidup saya cuma tahu memegang kertas, buku dan laptop kerana saya sibuk belajar kemudian sibuk bekerja. Apabila kahwin, sahih tidak tahu masak! Suamilah yang selalu terpaksa telan masakan yang entah apa-apa itu. Jika ditanya kepada emak, emak pasti kata saya ini tidak suka masuk dapur, cuma suka menghadap buku.). Saya mengkaji resepi nasi ayam, nasi tomato, nasi lemak dan pelbagai resepi lain. Kemudian saya buat eksperimen memasak berulang kali hingga mendapat 'rasa' yang dikehendaki. Agak mencabar kerana saya ini tergolong dalam manusia 'ketiadaan deria rasa' kerana saya makan sahaja masakan yang tidak sedap, tidak suka komen makanan. Bukankah begitu sunnah yang Rasulullah saw ajarkan, supaya jangan 'complaint' makanan... *_* Sebenarnya semasa saya sakit tulang belakang sekitar tahun 2011- 2012 yang lepas, saya tidak mampu masak.. Jadi staf yang hari-hari memasak untuk saya. Apa sahaja yang dimasaknya, saya makan. Apa sahaja rezeki yang Allah bagi, syukurlah. 
Siri pertama projek infak, saya cuma mensasarkan infak maksimum 70 bungkus. Sebaik berkongsi projek ini di facebook, ramai sahabat-sahabat yang ingin menyertainya menjadikan 140 bungkus! Pada minggu yang berikutnya juga begitu. Bagai mahu melompat keriangan apabila usaha kecil ini mendapat sambutan. Memandangkan saya tiada pengalaman berniaga makanan, setiap kali hari Khamis dan Jumaat, saya jadi kelam kabut, tidak cukup tidur dan kepenatan sungguh. Sudahlah sibuk dengan kelas mengajar, Sabtu dan Ahad pula ada kursus... Rasa macam tiada keyakinan untuk meneruskan projek ini.

Suami kata "Tempah sahaja makanan daripada orang lain, tidak sepah, tidak penat dan dapat rehat,"
Saya berdegil. Mahu teruskan memasak. Tentulah berbeza apabila memasak sendiri berbanding membeli makanan. Apabila memasak sendiri, puas hati beli ayam bahagian peha dan atas peha (kegemaran anak-anak), puas hati basuh ayam (penting ni!!), puas hati goreng ayam (yang ini letih sungguh), puas hati bungkus makanan dan paling puas hati semasa menghantar makanan kepada asnaf... Siapa tidak gembira menerima hadiah? Pastinya orang yang memberi hadiah lebih gembira apabila tahu orang yang menerima hadiah itu sungguh gembira. Bagi suami saya, aktiviti mengedarkan makanan ini paling mencabar. Ada rumah yang penghuninya sudah tertunggu-tunggu kedatangan kami. Ada rumah yang kami baru dapat info sebagai asnaf jadi berpusing-pusing mencarinya. Minggu lepas 90 bungkus diedarkan kepada asnaf dan 50 bungkus kepada buruh jalanan. Apabila mencari buruh jalanan, sekali lagi kami berpusing pusing...



Genap sebulan pertama, saya menutup akaun bulan pertama. Ada baki RM37.50 sahaja. Saya ketawa bersama suami. Kami masukkan duit ini dalam tabung dakwah luar negara. Inshaallah Rm37.50 ini dengan keberkatan daripada Allah, semoga ia akan beranak pinak di dalam tabung sehingga puluhan ratusan ribuan ringgit. Semoga dengan permulaan ini, Allah pilih suami saya untuk dihantar ke seluruh pelusuk dunia menyebarkan kalimah tauhid La ila haillallah Muhammadurrasulullah... Semoga Allah pilih suami saya untuk sibuk berdakwah dan meninggal di hujung dunia ketika melaksanakan misi dakwah.

Masuk bulan kedua, kandungan saya semakin sarat. Pernah dua kali saya ada pembantu, kemudian tiada lagi. Akhirnya kami suami isteri sahaja yang memasak. Pasti ada hikmahnya semua ini. Sekarang saya sedang menunggu hari untuk bersalin. Semoga Allah permudahkan sesi bersalin dan sesi berpantang. Inshaallah projek infak ini akan diteruskan semasa dalam pantang.


Semoga usaha kecil ini menjadi pencetus semangat kepada ramai lagi insan lain di luar sana untuk bersedekah makanan kepada asnaf. Moga usaha kecil ini menjadi asbab turunnya hidayah Allah ke seluruh alam.....

Selasa, 29 April 2014

Ambil Masa Buat Perubahan Demi Kebahagiaan Rumahtangga



Kehidupan akan sentiasa berubah dan terus berubah. Secara positifnya ianya adalah suatu perkembangan. Perkahwinan, mengandung, membesarkan anak dan seterusnya merupakan fasa-fasa yang berturutan dalam sesebuah kehidupan. Setiap fasa merupakan suatu cabaran.Semasa bujang, kita cuma terlibat dengan keluarga sendiri sahaja. Selepas berkahwin, kita berkongsi hidup (dan segala barang seperti katil,bilik,almari, tandas, bumbung) dengan seorang manusia yang pastinya mempunyai kehendak berbeza dengan kita. 2 jiwa, walau serasi macam mana sekalipun tetap mempunyai perbezaan.


Fasa mengandung merupakan fasa perubahan yang bukan sahaja mencabar untuk isteri malah suami. Suami bukan sahaja terpaksa berdikari seperti bujang malah adakalanya perlu membantu melayan kerenah isteri yang kurang sihat, beremosi dan membantu menguruskan hal-hal isteri.

Apabila anak lahir, seringkali suami akan rasa seperti perhatian isteri kepadanya berkurang kerana sibuk menguruskan anak terutamanya pada tahun pertama kelahiran anak.

Perubahan demi perubahan ini perlulah mendapat kerjasama kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri. Jika sebelah pihak menolak untuk berubah, sebelah pihak lagi akan terbeban memikul tanggungjawab yang semakin berat. Perselisihan faham mudah berlaku apabila pasangan berada dalam keadaan tertekan.

Solusinya, kedua-dua pihak perlu bersedia untuk berubah dan bersedia menerima perubahan dalam kehidupan. Perubahan perbelanjaan hidup, perubahan pembahagian masa dan perubahan cara layanan sesama pasangan. Perubahan ini umpama bonggol kehidupan, ia tidak menghalang perjalanan, ia cuma memperlahankan perjalanan. Apabila sampai kepada bonggol, perlahankan kenderaan dan tekan minyak. Selepas melepasi bonggol teruskan perjalanan semula. Begitulah kehidupan, berilah masa untuk perubahan. Berilah masa untuk pasangan berubah. Berilah masa juga kepada diri untuk berubah. Alah bisa, tegal biasa... Semoga dipermudahkan Allah segala urusan kita.... 

Taska Pilihan Ibu Buat Permata Hati Ibu

Adat ibu bekerja... Menghantar anak ke taska... Saya terpaksa cerewet memilih pengasuh kerana anak adalah harta paling beharga bagi ibu bapa... Pengasuh menjadi orang pertama yang membentuk peribadi anak kerana 12 jam anak saya akan tinggal di taska... Apabila balik ke rumah, sudah letih dan tidur (sama juga ibunya).. Setelah kita berusaha, berdoa dan bertawakal... Allah sebaik-baik pemelihara...

Inshaallah lepas bersalin... Andai diizinkan Allah mahu meletakkan anak di Taska Dayang Raudhah. Lokasi taska di Bandar Tasik Puteri, Rawang. Taska ini diusahakan oleh suami saya. Perancangan kami, selepas bersalin saya akan menyelia taska ini. Jadi sambil tengok anak sendiri, dapat menjaga taska ini.. Inshallah..

Apa kelebihan taska ini?
> Terapi Quran iaitu alunan bacaan Quran yang lembut akan dipasang selama 24 jam sehari.
> Kelas Asas Quran menggunakan kaedah playschool yang lebih mesra kanak-kanak
> Kelas Asas Bahasa Inggeris menggunakan kaedah fun learning yang mengutamakan kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris.
> Kelas Seni, Kelas Sains, Kelas Math, Kelas Muzik dan pelbagai lagi kelas yang menarik untuk membantu perkembangan anak-anak...













Khamis, 24 April 2014

Bersahabat Hingga ke Syurga, Inshaallah.

Kami bertukar senyuman. Wanita tabah ini duduk di hadapan saya sambil tangannya menyuap nasi ke mulut.
"Cuba teka di manakah tempat pertama kami bertemu?" Soal wanita ini kepada dua orang lagi yang turut makan bersama kami.
Saya ketawa riang. Serta merta fikiran mengimbau memori sekitar tahun 2007-2008, ketika saya masih menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM).


"Kami berjumpa di dalam hutan, di perkampungan orang asli!" Dia ketawa.
Serta merta memori berputar mengulang tayang pahit dan manis sekumpulan anak muda mendaki dan menuruni bukit, becak dan tersangkut dalam lubang demi menyampaikan mesej dakwah hingga jauh ke dalam hutan.

"Kemudian kita ada berjumpa di R******, pusat pemulihan akhlak...."sambung saya pula. Memori terus berputar, terbayang sekumpulan gadis yang sudah pernah bergelap gelita diselubungi maksiat duduk bersimpuh berbaju kurung manis dan bertudung labuh comel.

"Lepas itu di Thailand," sambungnya pula. Sekali lagi memori berputar terbang ke zaman silam, sewaktu menjadi sukarelawan ke Selatan Thailand. Bumi Yala, Songkhla dan Narathiwat bermain-main di ruang mata.

Setiap kali bertemu dirinya, saya suka mendengar perkongsian perjalanan hidupnya yang cukup berbisa namun diceritakan sambil ketawa. Baginya tiada duka yang terlalu menyakitkan dan tiada masalah yang terlalu besar. Hidupnya ceria. Walaupun besar beban digalas, namun ia kerdil apabila berada di bahunya. Setiap kali memandangnya jiwa saya kembali hidup, semangat saya kembali menyala. Dirinya memberi inspirasi kepada saya supaya ayuh lekas ketawa kepada diri sendiri, betapa lucunya manusia yang hidupnya penuh liku dan betapa mudahnya bahagia walaupun tiada bunga-bunga cinta.


Hidup ini tidak pernah sempurna, ia cuma medan ujian. Andai kita mahu berbahagia di dunia ini, ingatlah selalu bahawa semua ini sementara - sakit ini sementara. Adakalanya kita lupa, maka kita jadi menderita. Di sinilah peranan teman, untuk mengingatkan kita selaku manusia yang mudah lupa. Berdoalah semoga Allah mengurniakan kita teman-teman yang soleh untuk memimpin kita ke arah syurga-Nya.

Walaupun latar kami sungguh berbeza, namun banyak kali kami dipertemukan Allah. Setiap kali bertemu itu inshaallah semoga sentiasa atas tujuan mencari keredhaan Allah.

#Ukhwahfillah abadan abada.

Isnin, 31 Mac 2014

Fizik : Magnetic Field Part 2





Ilmu itu apabila dikongsi akan menambah berkat, lebih kukuh melekat. Inshaallah. Perkongsian pelajar Home Tuition BTP subjek Fizik Bab Magnetic Field (Part 1) 
http://www.youtube.com/watch?v=aWy4Qokb7MU&feature=youtu.be

FIzik : Magnetic Field Part 1





Ilmu itu apabila dikongsi akan menambah berkat, lebih kukuh melekat. Inshaallah. Perkongsian pelajar Home Tuition BTP subjek Fizik Bab Magnetic Field (Part 1) 
http://www.youtube.com/watch?v=aWy4Qokb7MU&feature=youtu.be

Khamis, 27 Mac 2014

Pengalaman Mengandung Dengan Slip Disk Tulang Belakang



Lama saya perap soalan ini tidak berjawab..
"Assalamualaikum lillah....akak ni silent reader blog awk...akak terjumpa blog tu bila cari maklumat ttg slip disk....masih sakit lg ke dan apa rawatan yg awk dh buat..ada pergi berurut x?? bgaimana keadaan awk semasa mgandung ni??Thn lepas akak keguguran mgkin sbb tulang belakang x kuat.. Then doktor nasihatkan akak supaya jgn mengandung buat masa skrg...."

Sebab saya ambil masa perap soalan atau berfikir bagaimana hendak menjawabnya.. Rasa sayu, pilu dan kelu membayangkan perasaan tuan badan yang bertanyakan soalan.

Akhirnya cekalkan hati. (dibantu oleh suami yang memberi idea untuk menjawabnya)

Saya berhenti mengambil ubat penahan sakit sepenuhnya pada tahun 2012. Jadi saya pilih tahan sahaja sakit itu.. Alhamdulillah saya ada bisnes sendiri iaitu mengajar tuisyen di rumah sendiri jadi saya boleh menahan diri berbulan-bulan terperap di rumah. Saya tidak mampu buat kerja-kerja rumah termasuklah masak makanan sendiri jadi saya minta bantuan jiran yang juga staf saya untuk masakkan makanan harian saya. Saya juga mengupah orang lain untuk mengemas rumah saya setiap hari. Saya tidur setiap selang dua jam dan setiap kali ada waktu rehat di antara waktu mengajar.

Orang kata saya tiada 'life'!

Bersyukur dengan apa yang ada.
Bersabar dengan apa yang tiada.

Ogos 2013 saya mendirikan rumahtangga dengan perasaan redha dan tawakal iaitu terima sahaja kehendak Allah tentang nasib saya selepas ini. Saya dinikahkan selepas zohor, dan majlis jamuan sebelah malam. Waktu lepas asar itu saya sudah keletihan dan menangis di bilik pengantin. Pinggang sudah sakit, kaki sudah sakit.

Semenjak berkahwin, suami banyak bantu urutkan badan sambil berdoa. Setiap kali saya baring, dia akan baring sama dan memeluk dari belakang dan badannya rapat ke badan saya. Barulah hilang rasa sakit-sakit.

Membaca bahan-bahan yang positif membantu mempositifkan pemikiran kita
Saya masih ingat doktor pernah berkata yang saya mempunyai peluang tipis untuk mengandung. Jika saya mengandung pula, saya mungkin akan bertambah-tambah sakit.. Alangkan tidak mengandung pun, sudah bisa setiap kali berdiri lama atau duduk di tempat yang tidak tegak, inikan lagi apabila mengandung.

Kira-kira dua bulan berkahwin, saya disahkan mengandung. Perut saya sakit memulas-mulas menyebabkan saya tidak dapat berdiri betul. Berguling-guling menahan sakit. Doktor pakar kata mungkin kandungan luar rahim. Jika benar, saya terpaksa menggugurkannya. Siang malam kami suami isteri berdoa dan alhamdulillah kandungan berada di tengah dan akhirnya membesar dengan baik.

3 bulan pertama mengandung, saya mabuk pening-pening dan terpaksa berhenti mengajar tuisyen. Selepas 3 bulan, saya mabuk semakin teruk, hampir setiap hari muntah. Semasa kandungan masuk 6 bulan barulah badan rasa segar, tiada pening-pening lagi tetapi darah saya pula tinggi dan terpaksa makan ubat darah tinggi dan gula dalam darah juga tinggi.

Saya berulang alik setiap dua minggu ke klinik untuk pemeriksaan kandungan. Setiap selang seminggu yang saya tidak ke klinik, jururawat pula datang ke rumah. Isnin minggu lepas saya dimasukkan ke hospital kerana bayi kurang bergerak, paras gula dalam darah yang tinggi dan tekanan darah tinggi.

Semenjak saya sakit, saya akan rehat apabila letih tanpa bertangguh. Jika letih terus rehat. Apabila mengandung juga, saya akan terus rehat apabila rasa tidak larat. Saya tidak peduli orang mahu kata apa. Setiap hari Sabtu dan Ahad, saya ada kursus asuhan anak-anak permata dari 8pagi hingga 6 petang. Jika saya letih, saya terus sahaja pergi baring di belakang bilik ceramah. Kadang-kadang saya tidur seketika.

Berat badan saya sudah 105kg dan kaki saya bengkak. Jadi saya solat duduk sahaja semenjak awal bulan Mac ini.

Motivasi untuk saya ialah melihat anak-anak murid berjaya. 
Seperti awal berkahwin, suami masih akan memeluk rapat-rapat saya dari belakang sewaktu sebelum tidur sambil mengurut dan berdoa. Mungkin keberkatan doa suami, kurang rasa sakit dan badan jadi lebih kuat.
Doa yang suami selalu baca adalah seperti berikut :


Anak ini rezeki Allah, hak milik Allah. Sepanjang tempoh mengandung ini, banyak kali saya rasa saya hampir 'berpisah' dengan dia. Sudah banyak kali saya menangis. Akhirnya saya redha. Dia tetap milik Allah sama ada kami sempat bersua wajah atau tidak. Allah tahu apa yang terbaik. Jika yang terbaik untuk kami ialah hidup, maka Allah akan mentakdirkan begitu. Jika yang terbaik untuk kami ialah mati, maka Allah akan mentakdirkan begitu.

Suami selalu kata setiap kali saya menangis "Kanda milik Allah, dinda juga milik Allah. Baby ini juga milik Allah. Semua yang ada di dunia dan akhirat adalah milik Allah."

Saya rasa lapang hati apabila mendengar ayat ini. Saya simpan ia erat-erat dalam hati.

Suami juga berkata, "Kita bukan setakat mahu bersama di dunia sahaja. Kita mahu bersama sampai ke syurga. Satu keluarga mahu bersama-sama di syurga."

Jadi, tiada apa yang hendak disedihkan apabila ada sesuatu yang tidak sempurna di dunia ini. Dunia ini memang tidak sempurna. Di syurga nanti kita tidak lagi akan sakit, kita tidak lagi akan cacat, kita tidak lagi akan hodoh, kita tidak lagi akan busuk. Di syurga, kita akan bersama anak-anak kita (walaupun di dunia ini dia gugur semasa dalam kandungan, di akhirat dia sudah menjadi pemuda atau pemudi yang kacak dan cantik). Di syurga tiada lagi derita, hanya tinggal bahagia... Sahaja...

Catatan : Kandungan sudah masuk 32 minggu, Alhamdulillah...





Selasa, 4 Mac 2014

Pinjaman Tekun

Semalam diizinkan Allah ke sebuah 'talk' Pinjaman Tekun Nasional..

Jadi saya serta merta teringatkan rakan-rakan yang memang meminati bidang perniagaan tetapi tidak punya modal.

Barangkali pinjaman seperti ini boleh membantu mereka.

Pinjaman di bank, kos pengurusannya memanglah lebih kurang cuma 2% tetapi bukan semua orang boleh buat pinjaman bank.. Syarat-syarat pinjaman di bank agak ketat.

Jadi.. daripada pinjam Ahlong yang ternyata zalim, lebih baik pinjam daripada Tekun.

Tekun menawarkan pinjaman RM1 hingga RM100K.
Bagi suri rumah yang membuat pinjaman bawah RM5K dikecualikan daripada kos pengurusan. (Menarikkk!!)

Jumlah pinjaman RM1K hingga RM5K (Tempoh bayaran 3 tahun)
Jumlah pinjaman RM5K hingga RM50K (Tempoh bayaran 5 tahun)
Jumlah pinjaman 50K hingga 100K (Tempoh bayaran 10 tahun)

Hutang tetap hutang.. Hutang perlu dibayar.. WAJIB. Jadi sebelum membuat hutang, pastikan kita ada bisnes yang inshaallah ada harapan (bukan angan-angan). Jangan seronok berjoli duit pinjaman, kelak beberapa keturunan sengsara.

Maklumat lengkap boleh rujuk : http://www.tekun.gov.my/web/guest/15




Selasa, 25 Februari 2014

Pengalaman Mengajar Subjek Bahasa Malaysia SPM : ISU DEBAT

Assalamualaikum wbt.. Salam sejahtera..

Pagi yang indah, mari kita hirup udara pagi yang segar sambil memulakan hari. Alhamdulillah kita masih diberikan peluang untuk bernafas, bererti kita diberikan peluang untuk bertaubat dan menambahkan amal. Semoga sentiasa dalam keredhaan Allah.

Alhamdulillah kelas ulangkaji Fizik Tingkatan 4 dan 5 berjalan dengan lancar. Malam pula buat ulangkaji Sejarah Tingkatan 4 dan menggantikan kelas staf untuk subjek Bahasa Malaysia SPM. Jadi malam tadi kami telah buat debat. Teringat kenangan semasa zaman sekolah, saya pernah mewakili sekolah untuk pertandingan debat. Kemudian terus berdebat sehingga zaman universiti untuk Piala Naib Canselor.


Berdasarkan pengalaman seciput mengajar tuisyen subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, saya merasakan kaedah berdebat sangat membantu pelajar untuk sesi memerah otak mencari hujah untuk membuat karangan. Majoriti pelajar yang sukar mendapat keputusan cemerlang bukanlah kerana mereka tidak tahu menulis esei panjang tetapi kerana mereka tiada idea! Otak mereka beku. Jadi kaedah berdebat dapat meransang mereka memerah otak untuk mencari idea dalam masa yang suntuk dan mengukuhkan hujah-hujah mereka.

Jadi pendebat ini perlu pandai menegakkan benang yang basah.. Hehe.
Namun berdebat cumalah boleh digunakan untuk tujuan belajar.
Di dalam dunia realiti, kita perlulah jauhi berdebat. Menyedari kewujudan dalil-dalil yang mengecam keras debat inilah menyebabkan saya mengundur diri daripada dunia debat..

Dari Abu Umamah radhiallahu anhu dia berkata: Rasulullah saw bersabda:“Tidaklah suatu kaum tersesat setelah tadinya mereka berada di atas petunjuk kecuali karena mereka adalah kaum yang senang melakukan perdebatan.” Kemudian beliau membaca ayat ini, “Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud berdebat saja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar.'”(QS. Az-Zukhruf: 58)
(HR. At-Tirmizi no. 3253, Ibnu Majah no. 47, dan dinyatakan hasan oleh Al-Albani dalam Shahih Al-Jami’ no. 5633)
Dari Aisyah radhiallahu ‘anha dari Nabi saw bersabda:“Sesungguhnya orang yang paling dimurkai Allah adalah orang yang paling keras permusuhannya dan yang menantang jika diterangkan hujjah kepadanya”. 
(HR. Al-Bukhari no. 2457 dan Muslim no. 2668) 
Dari Abu Umamah radhiallahu anhu dia berkata: Rasulullah saw bersabda:
“Aku akan menjamin sebuah rumah di tepi surga bagi siapa saja yang meninggalkan perdebatan meskipun dia yang benar. Aku juga menjamin rumah di tengah surga bagi siapa saja yang meninggalkan kedustaan walaupun dia sedang bergurau. Dan aku juga menjamin rumah di surga yang paling tinggi bagi siapa saja yang berakhlak baik.” (HR. Abu Daud no. 4800 dan dinyatakan hasan oleh Al-Albani dalam Shahih Al-Jami’ no. 1464)
Semalam topik debat kami
1) Pelajar lepasan SPM patut bekerja sebelum keluar keputusan SPM.
2) Pelajar patut dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah.
3) SPM patut dilupuskan.

Inshaallah hari ini ada Personal Coaching di rumah untuk subjek BM SPM pula. Untuk pelajar perseorangan, kaedah debat agak kurang menarik kerana kita tidak ada barisan pencadang mahupun barisan pembangkang. Kurang meriah. Jadi kaedah perbincangan secara bersembang lebih sesuai untuk mencari isi-isi esei.

Terima kasih kepada semua guru yang telah mendidik saya sehingga saya boleh membaca dan menulis serta mengajar anak-anak didik saya..

Beberapa hari lepas, bekas guru BM sekolah rendah saya bersembang dengan saya di Facebook. Teringat dahulu saya pernah dilempang apabila ada soalan salah dalam peperiksaan dan dicubit apabila tercicir buku karangan. Hari ini setelah 19 tahun, saya sangat sukacita menjemput guru saya berseminar di pusat tuisyen saya untuk memberi tunjuk ajar kepada anak-anak didik saya. Cuma... Beliau tidak dibenarkan memarahi, melempang ataupun mencubit anak-anak didik saya yang manja ini. :)

Selamat bertugas! Moga hati ikhlas kerana Allah :)

Lawatan Amal Kemboja Oktober 2014 bersama Pertubuhan Belia Halaqah

Inshaallah lawatan sukarelawan Halaqah ke Kemboja pada 3-7 Oktober 2014. 
Para sukarelawan sudah boleh mula simpan duit dan beli tiket ke Phnom Penh.
Beli tiket penerbangan masing-masing. (Beli awal tiket supaya harga lebih murah)
Anggaran makan minum, pengangkutan dan penginapan dalam RM500. 
Antara program kita ialah ziarah fakir miskin, hantar wakaf Quran dan telekung, ziarah sekolah angkat, korban dan pelbagai lagi. 
Kepada yang serius mahu menyertai misi kebajikan ini boleh whatsapp/sms 0194737645.
# Anjuran Pertubuhan Belia Halaqah Malaysia @ Halaqah Maya 2014

Album 1 (2013)
https://www.facebook.com/media/set/?set=a.609957875702341.1073741826.271131049585027&type=3

Album 2 (Oktober 2012)
https://www.facebook.com/media/set/?set=a.490251034339693.114904.271131049585027&type=3

Album 3 (April 2012)
https://www.facebook.com/media/set/?set=a.401845149846949.95636.271131049585027&type=3

Yang Benar,
Nur Khalilah Rasyidah Abd Karim @ Lillah
Timbalan Pengerusi 2
Pertubuhan Belia Halaqah Malaysia

Isnin, 24 Februari 2014

Pengalaman ke Kursus Asuhan Kanak-Kanak Permata 2014

Assalamualaikum wbt.. dan selamat pagi.. pagi yang indah, tenang, sejuk..dan mendamaikan..

Pagi ini badan rasa tidak cukup rehat, jadi semangat hendak bekerja di hari ini agak terjejas (Petang ini ada kelas Fizik Tingkatan 4 dan 5 diikuti malam ini kelas Sejarah Tingkatan 4). Mata pun masih kelat, tapi tidak boleh dilayan sangat. Jadi awal pagi sudah buka laptop. Suami pun pukul 8 pagi sudah ke taska, jadi tidak wajarlah saya bergulung dalam selimut.

Minggu lepas jadual mengajar saya bertambah dan tekanan darah tinggi juga bertambah. Berat pula sudah 100kg jadi memang 'torture' apabila terpaksa menaiki tangga dan berdiri semasa di kelas. Nak jadi emak punya pasal, tak apa mama sanggup! Semangat kan mama ni.. Hehe. Pembantu-pembantu saya sudah berusaha membantu mengurangkan kelas saya, namun ada subjek-subjek tertentu yang saya perlu 'cover'. Lagipun saya cuma rasa sedikit seksa sebelum dan selepas kelas sahaja. Sewaktu kelas berlansung hati memang bahagia, lagi-lagi sebab dapat pandang wajah anak-anak murid yang disayangi.

Sabtu dan Ahad pula.. bermula jam 8 pagi hingga 6 petang, kami suami isteri menghadiri Kursus Asuhan Kanak-Kanak Permata. Bagi yang tidak tahu, Kursus Permata ini wajib bagi pengusaha dan pekerja taska untuk memohon lesen beroperasi. Kursus ini mengambil tempoh kira-kira dua bulan lebih. Maka kursus kami inshaallah berakhir hujung bulan April dan kemudian ada praktikum 5 hari di taska-taska tertentu. Kami juga dikehendaki mengambil ujian bertulis, jadi kena belajar.. Tak boleh bermain-main ataupun berkhayal semasa berkursus.

Alhamdulillah hari pertama dan kedua kursus sudah selesai..dan ternyata walaupun masanya panjang iaitu dari awal pagi hingga ke lewat petang, saya benar-benar rasa sangat berbaloi menghadirinya. Niat asal datang untuk menemani suami, konon-konon memberi semangatlah.. dan menimba ilmu, sebab nanti nak mengasuh anak-anak sendiri. Paling penting niat untuk mencari keredhaan Allah.


Sebelum menyertai kursus ini, kami telah mencari banyak tempat untuk mendaftar. Ada banyak agensi yang menawarkan khidmat menganjurkan kursus permata ini. Jadi selepas memikirkan faktor masa, tenaga dan jarak perjalanan (orang mengandung tidak tahan berjalan jauh)... akhirnya kami mengambil kelas di Damansara, yang cuma 30 minit perjalanan (kalau pecut lagi cepat rasanya). Kursus Permata yang kami hadiri di bawah Persatuan Taska dan yurannya cuma RM400 sahaja setelah menerima subsidi RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Harga buku teks tebal pula RM100. Kursus kami diselia oleh Puan Farihan dan Cik Siti Hazirah. Kedua-duanya sudah biasa mengendalikan kursus ini...

Hari pertama kami bersama dengan seorang professor dari UPSI yang terlibat sebagai ketua dalam menggubal kurikulum Taska Permata Negara.

Hak kanak-kanak dalam Islam. Sangat menarik mendengar Prof bercerita tentang pendekatan psikologi terhadap kanak-kanak. Pendek kata ibu bapa dan pengasuh perlu sentiasa memberi dorongan demi dorongan demi dorongan dan sokongan kepada perkembangan anak-anak. Caranya adalah dengan melayani soalan-soalan pelik anak, melayani kerenah anak yang sentiasa mahu meneroka sesuatu yang baru dan meraikan semangat anak-anak. 

Inilah 4 komponen utama dalam bidang pengasuhan....

 Hari kedua pula, kami disajikan dengan Puan Siti Norbaya dari JKM yang sangat menarik. Cara penyampaian mahupun isi penyampaian sangat-sangat menyeronokkan. Kelas sentiasa segar dengan gelak ketawa. Ada masanya terasa sedih sewaktu mendengar kisah pengalaman beliau sepanjang berkhidmat dengan JKM dan sewaktu melayani soalan-soalan peserta kursus lain.

Saya beri 9.5 bintang daripada 10 bintang kepada penceramah ini. Memang sangat seronok.
 
 
Percaya ataupun tidak, kami suami isteri bawa bekal Sabtu dan Ahad ini.. Hehehe. Punyalah semangat kan.. Semangat berkelah! :) 

Majoriti peserta adalah perempuan.. Eh.. ada dua kumbang.. 

Walaupun seronok... Tidak dapat dinafikan tulang belakang saya sakit, punggung saya sakit.. Kaki saya bengkak... dan saya solat macam orang sakit, duduk senget dan tidak selesa. Tidak mengapa, saya tahu Allah Maha Pemurah akan bagi saya pahala lebih.. Lelaki-lelaki dan orang-orang yang tidak mengandung, tolonglah jangan malas solat atau mensia-siakan waktu solat, tolong malu kepada ibu-ibu mengandung yang kakinya bengkak dan masih mampu solat.

Hari Sabtu, balik rumah sebelah malam saya mengajar Kimia dari 8.30 malam hingga 10.30 malam. Tak penat ke? Memang penat.. Tapi berbaloi. Anak murid datang dari jauh, dari Gombak, naik motor 45 minit menuju ke sini semata-mata nak belajar. Alhamdulillah dipermudahkan Allah, 2 jam itu berjaya menyelesaikan 1 bab iaitu Electrochemistry beserta dengan soalan 'past year'. Walaupun baru pertama kali anak murid ini mendengar bab ini, dia dengan pantasnya menyerap dan memahami bab ini. Saya anggap ini adalah sesuatu yang berkat, kerana dia cepat dapat. Terima kasih kepada Allah...

Hari Ahad, balik rumah belajar Fizik untuk kelas hari Isnin (hari ini). Minggu ini kena buat ulangkaji dengan para pelajar sebab awal Mac mereka ada ujian di sekolah. Saya perlu buat kelas ulangkaji untuk Fizik Tingkatan 4 dan 5, Matematik Tambahan Tingkatan 4 dan 5, Sejarah Tingkatan 4 dan 5 dan.. Bahasa Malaysia Tingkatan 1 hingga 3.

Alhamdulillah..
Begitulah catatan kehidupan seorang cikgu tusyen yang pergi ke kursus permata sewaktu mengandung.:)

Terima kasih kepada kanda yang banyak memberi bantuan... serta bersabar dengan kerenah isteri. :)

Semoga 'baby' kita dapat menyerap sifat-sifat yang baik pada mama dan papanya..:)



Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....