Isnin, 20 Mei 2013

Sirah Rasulullah s.a.w : Kelahiran dan Penyerahan kepada Ibu Susuan

Peristiwa tentera bergajah Abrahah menyerang kota Makkah untuk meruntuhkan Kaabah begitu masyhur dan tercatat dalam Al-Quran dengan begitu terperinci. Allah menceritakan bagaimana burung-burung Ababil telah dikirimkan membawa batu-batu daripada tanah liat yang terbakar untuk dijatuhkan ke atas tentera Abrahah dan gajah-gajah mereka sehingga berlubang-lubang tubuh mereka diibaratkan seperti daun-daun yang dimakan ulat. Pada tahun itu jugalah lahirnya manusia agung yang begitu mulia menjadi rahmat kepada seluruh alam. Baginda ialah Nabi Muhammad s.a.w. Baginda lahir pada hari Isnin, 12 Rabi’ul Awal di permulaan Tahun Gajah, dan tahun keempat puluh dalam pemerintahan Raja Kisra Anu Syirwan bersamaan 20 atau 22 April tahun 571 Masihi.


 Beberapa irhasat (petanda-petanda) kebangkitan seorang rasul telah berlaku sebelum kelahiran Rasulullah, di antaranya adalah runtuhan empat belas anjung dewan Kisra Parsi, terpadamnya api yang disembah penganut Majusi dan robohnya gereja-gereja di sekitar Tasik Sawah.

Kisra Parsi

Baginda telah kematian bapanya iaitu Abdullah bin Abdul Mutalib semasa baginda masih dalam kandungan ibunya. Sebaik sahaja baginda dilahirkan, ibunya Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf telah segera memberitahu datuk baginda Abdul Mutalib. Datuk baginda segera memilih nama ‘Muhammad’ sebagai nama kepada cucunya. Nama itu tidak pernah dinamakan kepada sesiapapun oleh bangsa Arab sebelum ini.

Mengikut adat resam bangsa Arab Hadhar (bandar), mereka perlulah menyerahkan anak-anak mereka kepada ibu susuan dari pedalaman sebagai usaha mencegah dari penyakit-penyakit yang terdapat di bandar di samping dapat menguatkan pembinaan jasad anak-anak dan untuk membantu lisan bahasa Arab dengan baik. Baginda telah diserahkan kepada Halimah binti Abi Zuaib dan suaminya al Harith bin Abd al-Qira. Bapa saudara baginda iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib pun pernah menyusu dengan Halimah al-Sa’diah. Seorang lagi ibu susuan baginda bersama Hamzah ialah Thuwaibah.

Ibn Ishaq telah menyebut: Halimah telah berkata yang beliau telah keluar dari kampung bersama suaminya dan disertai oleh anak kecilnya yang masih menyusu. Mereka telah keluar bersama para wanita Bani Sa’d dengan tujuan untuk mencari anak-anak susuan. Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua kemarau di mana tiada susu setitik pun yang keluar daripada keldai-keldai betina milik mereka. Pada masa itu mereka tidak dapat tidur kerana anak kecil mereka menangis sepanjang malam lantaran kelaparan.

Pada permulaannya, kesemua penyusu yang datang menemui baginda menolak baginda apabila mendapat tahu mengenai keyatiman baginda. Ini kerana mereka mengharapkan budi yang baik sebagai balasan daripada si bapa. Halimah dan suaminya juga menolak baginda pada kali pertama pertemuan mereka namun mereka gagal mendapatkan bayi hartawan sedangkan para penyusu lain kesemuanya sudah memperolehi bayi susuan. Mereka akhirnya kembali ke rumah baginda dan mengambil baginda sebagai anak susuan.

Ibn Ishaq menceritakan bahawa Halimah berkata : Aku pergi ambil si yatim itu, yang mendesak aku mengambilnya, kerana tidak ada yang lain untuk ku ambil, katanya, setelah ku dukung ke tunggangan ku, dan sebaik sahaja ku letakkannya ke ribaku, terasa dadaku dipenuhi susu, maka si yatim pun menghisapnya hingga puas, saudaranya pun menyusu juga hingga puas dan tertidur. Semasa kami sedang tidur, suamiku pergi ke unta kami dan didapati uncang susunya penuh dengan susu, beliau memerahnya lalu meminumnya dan diberi kepada yang lain-lain kiranya kami semua puas dan kenyang, malam itu kami dapat tidur dengan nyenyak. Semasa dalam perjalanan pulang, keldai yang ditunggangi Halimah bergerak sangat laju menyaingi keldai-keldai teman yang lain menyebabkan mereka semua tertanya-tanya. Mereka turut terkejut apabila mendapati kampung halaman Bani Sa’d yang sebelum ini kering kontang sudah menjadi subur.


Demikianlah kisah Nabi Muhammad s.a.w. semenjak baginda lahir hinggalah ketika baginda diserahkan kepada ibu susuannya iaitu Halimah Al- Sa’diah.

Allah berfirman : 
“Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk ‘alam sejagat”. (Surah Al-Anbiya’ : Ayat 107) 

Penulis : Nur Khalilah Rasyidah bt Abd Karim
Posisi : Naib Mas'ul 2 / Amanah Tarbiah dan Syakhsiah

Rujukan :
i) Al-Raheeq Al-Makhtum Sirah Rasulullah s.a.w oleh Shaikh Sofiy Al-Rahman Al-Mubarakfuri
ii) Fiqh Al-Sirah 1 oleh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum,
    Selawat ke atas mu ~ Nowseeheart

    Ada satu bintang
    Sinarnya berseri
    Cahaya atas cahaya
    Empat yang utama

    Satu menyampaikan
    Dua amanah
    Tiga bijaksana
    Empat membenarkan

    Jangan kita ragu
    cubalah sedaya mampu
    Ikuti sunnahnya
    Hidup kan bererti

    SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN MULIA RASULULLAH S.A.W , rahmat ke seluruh alam.
    juga pada ahli keluarga baginda dan kepada
    para sahabat baginda ketika bersama baginda
    dan yang kini memenuhi seluruh alam.

    p.s. terima kasih ukhti akan sirah Rasulullah .
    Memang takkan luput dari ingatan setiap umat baginda.

    BalasPadam

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....