Hari ini hari yang sangat bermakna bagi saya, alhamdulillah.
Pagi, seawal 6.45 pagi sudah keluar dari rumah untuk menghantar kawan-kawan ke LCCT. Sepanjang dalam perjalanan, banyak perkara yang dibincangkan (bisnes dan makan angin). Semoga mereka mendapat banyak ilham sepanjang bercuti. Muhasabah pengurusan diri dan masa..
Tengah hari, berhenti di R&R Sg Buloh tetapi tidak keluar dari kenderaan. Di luar hujan lebat, jadi emak dan saya duduk bersembang topik asam garam rumahtangga. Meleleh air mata, sesungguhnya saya ini mudah menangis. Suka pun nangis, sedih lagilah nangis...
Muhasabah keikhlasan diri..
Petang, masuk kelas berjumpa anak murid, seronok bersembang dengan murid-murid. Mereka sudah dewasa, bakal ambil SPM jadi dapat berbual sebagai orang dewasa. Kami bercerita tentang pengalaman ibu-ibu kami melahirkan bayi. "Kamu kena belajar sungguh-sungguh. Kalau malas, cuba bayangkan muka mak kamu yang sudah susah payah beranakkan kamu..."
Muhasabah pengorbanan ibu..
Lewat petang, sewaktu menunggu kawan pergi 'shopping', saya mendengar IKIM. Ustaz tu bercerita tentang Qiamulail. Sebak mendengarnya. Allah tak paksa kita bangkit malam, cuma jika kita sayangkan Allah, jemputlah bangkit malam beribadah...
Muhasabah amal..
Malam, sewaktu dalam perjalanan ke kelas, adik memberitahu petang tadi ada budak datang berjalan kaki ke rumah emak. Anak itu menghadiahkan sesuatu untuk saya dan ada surat di dalamnya. Oh, itu bekas pelajar saya, tahun 2011. Serta merta teringatkan segala kenangan bersama. Sesungguhnya banyak yang saya dapat belajar daripada anak-anak murid saya.
Muhasabah hubungan dengan anak-anak didik..
Lewat malam, merenung bumbung yang kosong. Sesungguhnya diri ini lemah, jahil dan daif. Siapalah diri ini tanpa rahmat kasih sayang-Nya. Membayangkan wajah abah dan emak yang semakin tua dengan perasaan sayang, wajah adik-adik yang semakin dewasa dengan perasaan sayang, wajah staf-staf yang berdedikasi semakin matang dan wajah-wajah mereka yang pernah menyentuh hati. Berfikir tentang tugasan-tugasan yang berderet.... argh, bila mahu tidur? Esok perlu bangun awal.
Ambil ear phone quran elektornik, sumbat di telinga.... pejam mata...
Bismikallahumma ahya wa amutu ~ Dengan nama-Mu ya Allah aku hidup dan mati
Selamat malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum... :)