Selasa, 14 Mei 2013

Bercinta di Jalan Dakwah (Bahagian 2)


Bercinta di Jalan Dakwah (Bahagian 2)
Coretan ini saya catatkan sewaktu dalam tempoh pertunangan, sekitar 2012 (dan akhirnya siap sekitar 2013.. ambil masa lama berfikir buruk baik dan akhirnya membuat keputusan untuk 'publish' kerana esok mungkin saya sudah mati dan tidak sempat berkongsi...

Suatu pagi yang indah, emak muncul di pintu bilik. Wajahnya ceria membawa berita gembira. Kata emak, ada jejaka ingin datang ke rumah untuk melihat saya. Itulah kali pertama ada jejaka berani melangkah menghadap bersemuka dengan emak dan abah. Tentu sekali menggunung harapan emak, abah dan juga diri kerdil ini. Namun kami tiada jodoh. Maka ianya berakhir begitu sahaja. Saya agak kecewa apatah lagi kekecewaan demi kekecewaan bertali arus kerana saya ditolak oleh kaum adam setelah mereka mengetahui masalah kesihatan saya yang ketika itu sedang agak tenat. Menjadi rutin mingguan untuk saya bertemu doktor pakar dan menjadi rutin mingguan berulang alik ke PUSRAWI bagi menjalani fisioterapi. Berbekalkan iman senipis kulit bawang, saya kuatkan hati supaya redha dengan segala yang menimpa diri. Saya tahu masih ramai manusia lain yang diuji dengan ujian lebih berat dan mereka mampu redha dan bersabar.

Saya rahsiakan segala rasa rendah diri dengan menyibukkan diri dengan kegiatan berfaedah. Saya lupakan segala perkataan negatif yang boleh menyebabkan semangat yang semakin pudar ini menjadi debu. Saya berhenti merungut dan air mata mulai kering. Saya mula menyesuaikan diri dengan segala kurniaan Allah. Lalu hidup ini kembali ceria dalam cara yang berbeza. Ketika saya terketar-ketar berdiri, bersolat baring, mandi sambil duduk, terjaga malam kerana kesakitan, melihat emak mencuci pakaian saya, melihat pembantu rumah saya membersihkan rumah saya, melihat adik saya memandu untuk saya dan melihat pembantu saya hari-hari masakkan makanan untuk saya... hati ini hiba! Menjadi mayat hidup adalah sesuatu yang menyeksakan batin. Astagfirullah.... Terperap di dalam rumah membuatkan banyak masa dihabiskan untuk membaca buku dan Quran. Akhirnya saya menemui ketenangan yang selama ini saya cari. Saya belajar tentang ikhlas. Ikhlas kepada Allah. Jika saya sangka dengan bakti dan jasa yang saya lalukan selama saya sihat akan menyebabkan Allah sayang saya, saya silap besar! Saya cumalah hamba yang berlumuran dosa. Jika saya hamba yang ikhlas, saya sepatutnya menerima segala yang Allah berikan kepada saya! Termasuklah rasa sakit pada zahir dan batin ini! Lalu saya berlapang dada menerima semua ujian ini....
Dan saya sangat bahagia.. Alhamdulillah..

Jalan yang berduri menyedarkan saya bahawa bukan susah untuk bahagia. Bahagia itu ada di dalam hati. Pada saat ini, saya setiap hari berpesan kepada diri, "Cukuplah Allah untukku... Cukuplah cinta Allah untukku.. Cukuplah hidup dan mati mengabdi hanya kepada-Mu..."

Kasih Allah menyedarkan bahawa saya tidak pernah bersendirian....

Ketika saya sedang diulit bahagia, saya memberitahu emak, "Kakak tidak mahu berkahwin kerana kakak tidak mampu. Kakak sakit. Kakak tidak mahu menganiaya orang yang mengahwini kakak.."

Emak diam seribu bahasa. Maafkan kakak andai ucapan ini sangat berbisa...

Pada suatu pagi yang kelam kabut, saya sudah terlewat untuk ke kelas mengajar subjek Matematik Tambahan. Tiba-tiba emak menjengah ke bilik dan memberitahu,
"Kejap lagi, dalam pukul 10 pagi, ada orang nak datang tengok kakak."

Saya tercengang. "Kakak ada kelas," saya memberi alasan. Wajah saya berkerut. Terkejut dan rasa malas.

Emak diam. Kemudian bersuara semula "Pukul 10 pagi. Habis kelas pukul berapa?"

Saya menjawab perlahan "10 pagi,"

Selepas tamat kelas, saya masih belum balik. Saya duduk-duduk di dalam kelas bersembang dengan cikgu tusyen lain. Badan rasa seram sejuk apabila teringatkan kejutan pagi ini. Bolehkah seseorang bawa saya lari. Saya tidak bersedia! Apa sekalipun saya tidak akan mengaibkan emak abah dengan melarikan diri pagi ini....

Tiba-tiba telefon berdering.
"WHERE ARE YOU?" suara emak seperti marah kerana saya belum pulang sedangkan jam sudah pukul 10 lebih. Apalagi, saya pun berjalan pulang dalam keadaan tawakal.
Dalam hati berzikir dan baca macam-macam surah sebab rasa sangat gemuruh. Rasa macam nak menangis.

Sebaik masuk ke rumah, saya ketawa lucu melihat abah sedang mop rumah saya! Emak pula sedang mengemas. Ini merupakan kali pertama dalam hidup saya lihat abah mop lantai! Rumah saya sudah dikemas, kuih sudah disediakan. Jadi saya cuma bancuh air. Sejujurnya saya jarang bancuh air sebab biasa minum air mineral sahaja. Jadi mungkin air teh ini akan rasa tidak sedap, redha lah..

Selepas siap membuat air, tetamu-tetamu tiba. Emak menyuruh saya masuk ke dalam bilik bacaan saya. Alangkah gembiranya dapat berjumpa dua pupu saya. Rupa-rupanya merekalah orang tengah yang menyebabkan jejaka istimewa itu datang ke rumah saya pagi ini. Seronok berbual menyebabkan saya terlupa tentang tugasan sebenar saya. Emak masuk ke bilik memanggil saya keluar. Saya yang masih ceria pun keluar dengan penuh keceriaan. Hihihi.

Itulah kali pertama kami bertemu, di meja makan, di apartmen comel bertemankan abah dan emak. Saya memberikan tiga syarat yang membuatkan dia tersenyum.
Syarat-syaratnya adalah :
1) Saya sayangkan kucing-kucing saya jadi saya nak tinggal di sini selama setahun sebelum berpindah.
2) Saya sayangkan staff-staff saya jadi saya nak tinggal di sini selama setahun
3) Saya sayangkan anak-anak murid saya jadi saya nak tinggal di sini sampai hujung tahun.

Syarat-syarat itu adalah reaksi spontan sekadar untuk suka-suka. Sebenarnya ia cumalah tiga ayat yang bermaksud sama iaitu "Saya tak nak pindah tahun 2012".
Dalam hati saya bersangka yang keadaan akan berulang di mana sekali lagi jejaka berani ini akan menolak saya selepas seminggu beristikharah. Lalu saya senang hati dan masuk ke bilik bacaan dan sambung bersembang dengan dua pupu tadi.

"Kakak, bagi biodata ringkas dan gambar."kata kakak saudara saya.

Mujurlah kami dalam bilik bacaan. Saya conteng-conteng kertas itu dan tidak ingat lagi dah apa yang dicontengkan. Perasaan rasa seronok pula.. Hihi.

"Gambar, gambar!" Kakak saudara saya meminta.

Mana ada gambar dalam bilik ini kerana album ada di ruang tamu tetapi saya malu mahu keluar. Tiba-tiba ternampak sekeping gambar hodoh di dalam laci, gambar yang ada pelekat di belakangnya kerana pernah digunakan untuk buat projek bersama anak murid.

Akhirnya gambar hodoh itu diserahkan bersama biodata contengan...

Alhamdulillah selesai akhirnya satu misi yang tidak dirancang. Ternyata ia sangat menyeronokkan.

Seminggu berlalu dan saya berbahagia seperti biasa. Suatu hari, emak bertanya "Kakak sudah istikharah?"

Saya menjawab "Sudah"

Emak bertanya "Jawapan?"

Saya menjawab "Tak nampak apa-apa pun,"

Emak menyambung "**** ada dapat jawapan, jadi dia nak teruskan."

Sungguh saya terkejut. Rasa macam nak demam. Perasaan bercampur baur. Mampukah aku? Saya menyuarakan kebimbangan saya tetapi emak tiada respon.

Saya pernah menangis di pusat membeli belah, di celah sayur-sayuran kerana khuatir saya tidak mampu menjadi isteri yang baik dari segi melaksanakan tanggungjawab. Ketika itu saya keluar bersama kawan baik saya, jadi jenuhlah dia memujuk saya supaya bertawakal. Dia kata "Kalau sudah jodoh, tidak ke mana. Baiklah kita berlapang dada... Sabar... Allah kan ada."

Kemudian saya menangis pula kepada seorang lagi sahabat lain yang solehah. Jika hendak mengadu masalah, pastikan mengadu kepada teman yang solehah dan thiqah (dipercayai). Sahabat yang ini pula menjawab "Jika kita menolak pinangan lelaki yang baik agamanya dan akhlaknya, kak Lillah tahu kan, apa yang akan berlaku?"

Saya terdiam. Ya. Itu jawapan yang membuatkan saya tidak lagi menangis.

Takdir Allah, semenjak pertemuan itu, saya semakin sembuh dan tiada lagi sesi fisioterapi mahupun temu janji dengan doktor. Saya kembali aktif menguruskan diri dan kerjaya seperti orang yang sihat. Saya sendiri terkejut dengan perubahan diri saya. Siapa kita untuk berkata kita tidak mampu? Apa hak kita? Bukankah kita sendiri adalah hak Allah. Selama ini saya berdoa supaya mendapat jodoh yang soleh, setelah ia di depan mata, mengapa saya begitu bodoh mahu mensia-siakan ia? Astagfirullah....

Kalau tidak silap, empat bulan kemudian kami bertunang. Alhamdulillah. Sepanjang tempoh pertunangan ini, segala hubungan komunikasi adalah melalui emak atau kakak kepada jejaka istimewa. Memandangkan kami tidak dilamun cinta maka keadaan seperti tiada apa-apa sedang berlaku. Saya masih saya. Saya masih bekerja berulang alik mengajar di tusyen seperti biasa. Sesekali emak dan abah bercerita tentang perancangan majlis yang ingin diadakan.

Perlahan-lahan hati ini mula memberi ruang kepada si dia insan istimewa yang bakal menjadi orang penting dalam menentukan sama ada saya akan jadi orang berjaya (ke syurga) atau gagal (ke neraka). Menyedari hakikat bahawa perkahwinan ini bukan sekadar jalinan kasih antara dua insan, malah jalinan kasih yang inshaallah menghasilkan zuriat-zuriat harapan di akhirat, maka hati ini digagahkan untuk bertatih memperbaiki diri. Banyak kelemahan diri dan semakin berusaha memperbaiki diri, semakin banyak kelemahan kelihatan.

Walau siapa pun dia, andai dia sudah sah menjadi suami, inshaallah seluruh jiwa raga akan diserahkan kepadanya. Seluruh ketaatan yang diberikan sebagai tanda syukur dan penghargaan kepada Allah yang menciptakannya dan menganugerahkannya kepada saya. Sebelum menjadi sah, biarlah hanya Allah yang menjadi tempat saya meluahkan cinta.

Ya Allah, terimalah ini sebagai ibadah yang ikhlas...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....