Khamis, 30 Mei 2013

Titipan Kekuatan



Kau yang menciptakan cinta
Dan Kau jua yang menghampar bahagia
Di ribaanMu terhimpun harapan
Impian tulus setiap insan

Sengaja saya singgah bilik persatuan sebelum ke school Ti… saya teringatkan seseorang yang saya telah lost contact.. bagaimanalah saya hendak mencari si dia ni.. sudah beberapa kali saya ke bilik persatuan dia tetapi dia tiada. Kali ini hati saya masih belum berputus asa, saya sengaja melajakkan kaki ke bilik persatuan.. sebaik masuk ke pintu utama, saya dapat lihat ke dalam bilik dia melalui dinding kaca lutsinar… kosong!

Ya Allah… Kau tahu betapa aku kasihi dia, Kau temukanlah kami.. aku sudah bingung merindui dia… Dalam kecewa, saya melangkahkan kaki ke bilik dia.. manalah tahu ada nombor telefon dia di bilik itu.. Sebaik sampai di pintu bilik dia, oh ada seorang gadis berpurdah sedang duduk di atas lantai sambil bermain dengan laptop.

“Assalamualaikum…”saya menegur. Dia menjawab perlahan dan menoleh.

“Kak lillah!!!” Dia segera memeluk saya. Kuasa Allah! Kuasa Allah! Saya dah hampir berputus asa, dan dengan kuasa Allah, kami bertemu..

“Punyalah akak cari kamu.. akak hilang nombor kamu..”terang saya.

“Akak! Ya Allah… rindunya kat akak…”dia memegang tangan saya kuat-kuat.

“Macam mana sekarang?” saya memegang kepala lututnya. Kami terpisah beberapa bulan sahaja tetapi nyata rindu yang berbunga sudah menjadi sebuah taman yang sangat indah.
Hampir sejam lebih kami bersembang. Terlalu banyak perkara yang telah berlaku semenjak kami tidak bertemu. Kami berbeza persatuan tetapi kami sangat serasi. Apabila melihat kepada dirinya, saya akan nampak diri saya semula. Itulah sahabat, menjadi cermin kepada yang berdampingan dengannya.

Kau yang mengutuskan duka
Dan Engkaulah yang mengirimkan hampa
Namun padaMu jua diadukan
Merebahkan keresahan dan tangisan

“Kak.. saya nak usrah dengan akak… bila akak free?”dia merayu. Saya diam. Saya tidak tahu ruang mana boleh saya selitkan usrah ini.

“Kak.. saya nak ada orang yang boleh saya bercakap.. kak.. saya selalu memberi kepada orang
lain.. tetapi saya rasa kosong.. saya mahu diisi.. kak.. saya dah biasa bercakap dengan yang sebaya dan yang lebih muda.. saya nak bercakap dengan orang yang lebih dari saya.. lebih matang, lebih berilmu dan lebih baik..”dia terus menerus memujuk.

“akak tak berilmu dik.. tak juga lebih baik.. tak..”saya mempertahankan diri.

“bukan.. saya nak orang untuk saya merujuk.. saya berbincang.. kadang-kadang ada perkara yang saya tak boleh nak ceritakan kepada orang lain.. mereka tak faham.. kadang-kadang saya buntu kak.. saya naik motor pusing satu USM tapi saya tak tahu saya nak ke mana…”pujuk dia lagi..

“Hm.. sekarang akak belum mula bekerja.. akak sedang buat proposal.. malam.. erm.. akak dah reserve untuk meeting.. erm.. pinjam jadual adik.. kita tengok mana yang adik free..”saya buntu.
Dia mengeluarkan jadualnya yang umpama kertas berconteng. Dia tersipu-sipu malu kerana saya melihat jadualnya.

“Takpa..okey.. mungkin boleh di sini kot.. untuk sementara waktu lah.. nanti bulan depan, akak rasa akak tak free waktu tu, kita ubah time lain.. okey dik..”cadang saya.

Aku tahu inilah kasihMu
Aku tahu inilah cintaMu
Dan ku tahu tiap yang terbaik untukku
Tak semuanya yang ku mahu

Selepas bertemu dengan adik tadi saya balik ke kereta. Hajat di hati hendak ke school Ti untuk meminta surat pengesahan pengijazahan bagi membolehkan saya memohon Master memandangkan saya masih belum konvo. Entah kenapa badan rasa menggigil, terkagum dengan kuasa Allah.. Ada beberapa perkara yang kami telah sembangkan yang mana sangat menusuk kalbu saya.. ianya berkaitan dengan persoalan hidup saya. Saya rasa seram sejuk.. Menggigil.

Ketika di pejabat school saya bersembang dengan pakcik yang menjaga kaunter.

“Dik.. ini semua kuasa Allah.. Pakcik dulu accident, hilang ingatan 6 bulan. Kemudian masa nak buat operation buang darah beku, tiba-tiba pakcik sembuh.. ini semua kuasa Allah. Doktor pun tak sempat buat apa-apa lagi.. ini semua kuasa Allah..” kata pakcik itu.

Oh ya Allah… sungguh tersentuh hati saya mendengar cerita pakcik itu. Benarlah kata pakcik itu, hidup kita ini dipenuhi dengan kuasa Allah. Sesaat kita merasakan tenggelam dalam lautan masalah, sesaat kemudian kita sedang berbahagia dalam nikmat Allah.. Kuasa Allah!

Di celah hangat nafas yang terhela
Ada dingin saat menyeru (menyebut) namaMu
Terarah segala ronta dan rasa
Pada damainya dakapanMu

Wahai sahabat.. adakalanya dalam hidup kita ini, ada banyak sekatan dan halangan yang kita rasakan ianya akan menghancurkan hidup kita.. adakalanya kita rasakan tiada jalan keluar.. adakalanya kita rasa bosan, jemu dan muak dengan masalah hidup.. adakalanya rasa macam nak muntah dengan turun naik hidup yang menyeksakan zahir dan batin.. dan saya turut merasainya.. mana mungkin saya dapat membantu mereka yang bermasalah seandainya hidup saya tiada masalah.. maka dengan gembiranya saya mengaku hidup saya ada banyak masalah yang tergantung-gantung tanpa jawapan.. dan saya masih mampu tersenyum dan buat jenaka supaya kawan-kawan saya terhibur… itulah kuasa Allah! oh, indah bukan?! =)

Apabila manusia-manusia bertanya kepada saya “bila nak tu? bila nak ni?”. Dan saya tiada jawapannya… maka jawapan saya “doakanlah saya…”.. dan mereka berdoa untuk saya.. bagus..bagus, biarlah semua manusia beramai-ramai mendoakan saya… semua itu kuasa Allah! =)

Aku tahu inilah kasihMu
Aku tahu inilah cintaMu
Dan ku tahu di segenap ruang rasaku
Telah Kau titipkan kekuatan
Oh Tuhan 

Akhirnya apa yang penting dalam hidup ini cumalah bersedia untuk mati.. sebab memang akhirnya saya akan mati.. mati, yes.. MATI.. mati.. die!
Maka… ikhlas kan seluruh hidup ini untuk Allah.. berbuatlah baik kepada semua manusia.. bersihkan hati, jauhi maksiat.. fokus! Fokus dalam mencintai Allah… FOKUS!!

p/s : saya dah dapat supervisor utk Master.. sekarang nak buat proposal.. doakan supaya saya dapat buat dengan cemerlang! =)

p/s/s : saya dah dapat bilik sewa.. tuan rumah, persekitaran rumah dan teman bilik yang sangat menyenangkan hati… majority penduduk Cina.. seberang jalan dengan Sunshine complex… dekat dengan hotel Vistana… ada peluang untuk berdakwah! =D

p/s/s/s : sudah boleh mulakan usrah! Mari… !! =D


Artikel ditulis pada tahun 2010. Dalam bulan Mac, saya terpaksa pulang ke kampung halaman kerana tiada rezeki menyambung Master.. Dengan linangan air mata, saya mencuba nasib dengan menjadi guru ganti sementara waktu. Tanpa diketahui, masa depan saya berubah, hala tuju saya beralih arah.. dan saya tidak pernah menoleh ke belakang lagi. Ya Allah pimpinilah daku dalam mencari redha-Mu....

Selasa, 28 Mei 2013

Memotivasi Anak Murid



Suasana agak tegang. Hanya beberapa orang sahaja yang memandang tepat ke wajah saya, selebihnya membuat hal sendiri. Ada juga yang tidur. Inilah kebiasaan yang seringkali membuat guru-guru jemu mengajar di kelas terakhir.

Saya menarik nafas dalam-dalam sebelum kembali bersuara lantang. Sungguh sakit tekak mengajar orang yang tak nak belajar. Bagai bercakap dengan dinding. Pelajar-pelajar lelaki di bahagian belakang sibuk bersembang sesama mereka.

"Saya perlukan awak semua! Saya perlukan awak semua untuk lulus dalam PMR!" sekali lagi saya bercakap seorang diri. Geram.

"Saya mahu awak lulus! Kita akan sama-sama berusaha! Awak dan saya!" mujurlah saya dah berlatih 'loud speaker' semasa bekerja dengan syarikat motivasi sebelum ni. Jika tidak memang boleh serak suara sebab hari-hari menjerit.

Geram melihatkan mereka yang buat hal sendiri menyebabkan saya pergi kepada setiap orang pelajar sambil menyoal mereka dalam nada yang tinggi.
"Boleh awak lulus?!"soal saya sambil tangan menepuk di meja pelajar hadapan saya. Mata dia terbeliak terkejut memandang saya. Saya senyum dan mengulang soalan.
"Err..."dia menggaru kepala.
"Boleh awak lulus?!"soal saya lagi.
"Err..."dia masih ragu-ragu.
"Awak boleh lulus!!"jawab saya.
"Boleh awak lulus?!!"soal saya lagi. Suara lebih kuat pada kali ini.
"Boleh!"Dia menjawab seperti orang melatah akibat terkejut.
"Bagus!" Saya berlalu kepada pelajar seterusnya.

Saya pergi kepada setiap orang pelajar dan mengulangi soalan yang sama. Alhamdulillah saya dapat hasil yang memberansangkan. Tak ada yang bertindak ganas sedangkan kelas ini mempunyai ramai pelajar yang berekod buruk. Sebenarnya saya sudah mengambil tempoh 3 hari untuk menjinakkan mereka, saya sudah terlebih dahulu mencuri hati mereka pada hari-hari sebelum ini.

Sebaik sampai kepada seorang pelajar perempuan yang paling besar badannya di dalam kelas, dia menjawab "Tak boleh!". Saya masih mengulang soalan yang sama dan dia semakin meninggikan suara "Saya kata tak boleh, tak boleh lah!". Saya terfikir juga yang saya mungkin akan dilempang jika masih terus mendesak.
"Awak boleh! Saya kata boleh!"saya terus mendesak.
"Saya tak boleh!!"dia menjerit. Pandangannya masih tertumpu ke meja. Dia lansung tidak memandang saya. Saya sedar dia memang tidak pernah memandang saya sepanjang saya mengenali dia kecuali sekali iaitu ketika saya bercerita pengalaman menjadi sukarelawan di Selatan Thailand.

Saya menolak bahunya ke belakang. Kasar. Saya tidak tahu adakah saya dikira sudah melampaui batas. Saya sekadar mahu mengambil perhatian dia supaya dia memandang wajah saya. Ayat yang sama saya ulangi. Dia menggelengkan kepala. Saya tidak pasti adakah dia menggelengkan kepala sebagai jawapan 'tak boleh' atau.... 'cikgu ni melampau..'

Saya menepuk bahunya. Kuat. Dia masih menggelengkan kepala. Saya buntu!!!

Allah.... help me!

Kelas mula menjadi bising dan tidak terkawal. Syaitan mula menyibuk memanaskan dada saya.

Ya Allah, ilhamkanlah aku sesuatu!

Saya menggenggam tangannya yang montel dan menarik dia ke bahagian depan kelas. Sepenuh tenaga saya menarik dia. Kelas yang bising menjadi semakin bising Pelajar-pelajar lain bersorak keriangan.

"Cikgu nak buat apa?" seorang pelajar menyoal.
"Cikgu.. cikgu dan dia.. saiz.. erm.. hehe" seorang pelajar lagi mengomel.
"Woohooo!!!"pelajar-pelajar lain bersorak.

Saya berdiri kaku sambil masih memegang tangan pelajar perempuan tadi. Disebabkan wajah saya yang serius dan lama saya membisu membuatkan para pelajar menjadi takut. Masing-masing sibuk menyuruh kawan-kawannya supaya diam. Sebenarnya saya sedang mencari idea apa yang saya nak buat supaya pelajar perempuan ini mengubah mentaliti negatifnya.

Ya Allah, ilhamkanlah aku sesuatu...!

"Ada kain tak?"soal saya.

Seorang pelajar memberikan tali leher. Saya memegangnya.

"Eeee.. busuk!!! haha"seorang pelajar menyakat. Seluruh kelas ketawa bagaikan sebuah pesta.

"Awak mari sini!" saya memanggil seorang pelajar lelaki yang paling kecil di dalam kelas.
Pelajar itu datang sambil tersenyum-senyum.
Saya menyerahkan tali leher tersebut.
"Saya ada cikgu, hehe" dia segera memakai tali lehernya sendiri.
"Eh, bukan pakai di leher, saya nak awak pakai untuk tutup mata!"balas saya. Seluruh kelas bersorak. Memang pasar malam sungguh lah kelas saya ni. Bimbang jika guru disiplin lalu dan menyangka bahawa saya sedang bermain-main tutup mata dengan pelajar-pelajar.

"Nah,"seorang pelajar perempuan menghulurkan kain tudung kepada pelajar perempuan di sebelah saya.
"Tolong tutup mata dia,"arah saya kepada pelajar tersebut.
"Awak bawa dia ke tangga,"arah saya kepada seorang pelajar lelaki supaya memimpin kawan lelakinya yang sudah ditutup mata.
"Cikgu!!! Cikgu nak buat apa ni??" pelajar lelaki yang 'buta' itu kelihatan begitu gembira diperlakukan sedemikian. Budak-budak ni memang suka bermain begini ye...
"Saya nak..."saya diam.
"Nak awak......"saya diam lagi.
Seluruh kelas diam.
"Turun dan naik tangga ni enam kali!"saya menghabiskan ayat.
"Haaaaaaaaa!!!" Pelajar lelaki dan perempuan yang 'buta' menjerit terkejut. Beberapa orang pelajar lain turut terkejut.
"Gila lah!hahaha"sambut seorang lagi.
Selebihnya bersorak keriangan. Kelas saya sudah tidak ubah seperti zoo.


Cabaran bermula. Sepatutnya hanya seorang pelajar dibenarkan memimpin pelajar lelaki yang 'buta' itu untuk naik turun tangga tingga tingkat itu enam kali tanpa henti. Tetapi tahulah perangai anak murid saya, semua pelajar lelaki menyibuk sama. Tetapi di pertengahan cabaran, ramai yang mengalah dan mencari air.
Di dalam kelas, si buta perempuan sedang cemas. Saya menugaskan kesemua pelajar perempuan supaya memberi semangat kepada sahabat mereka itu. Dan mereka benar-benar memberi pelajar tersebut semangat. Sungguh saya kagum dan terharu. Mereka kelihatan begitu bersungguh seolah ini adalah suatu perlawanan.

Akhirnya pada kali kelima menaiki tangga, saya menahan si 'buta' lelaki.
Dia sudah termengah. Segera saya tarik tali yang menutup matanya.
(6 kali x 3 tingkat = 18 tingkat)

"Awak rasa Aishah boleh buat berapa kali?"soal saya pada si 'buta' yang sudah celik.
"Sekali cukuplah.. Dia tak boleh cikgu.."katanya sambil termengah.
"Kamu?"saya menyoal kepada pelajar lain.
"Maksimum tiga.."kata seorang pelajar lelaki.
"Tiga cukup teacher.."kata yang lain. Majoriti pelajar lelaki sebulat suara mengatakan pelajar perempuan yang bersaiz badan besar itu cuma mampu lakukan cabaran ini setakat tiga kali. Maksimum!

Berlainan pula dengan pelajar perempuan.
"Aishah!! Come on!! You can do it! Enam kali!! Woohoo!"pelajar-pelajar perempuan bersorak sambil bertepuk tangan. Saya tersenyum lebar. Suasana macam kami di padang, sedang menyokong atlit-atlit.

"Saya nak teman dia!"pinta pelajar perempuan lain.

"Tak perlu, awak semua duduk dalam kelas. Saya sendiri yang akan pimpin dia." kata saya.

Saya tahu tiada seorang pun yang akan patuh. Kali ini semua pelajar kelas saya berkumpul di tepi tangga tingkat tiga. Suara mereka boleh didengar hingga ke blok sebelah. Bising! Setiap kali saya naik ke tingkat 3, saya menghalau mereka ke dalam kelas tetapi mereka setakat gelak-gelak.

"Cikgu, semua orang tengok!"kata seorang pelajar lain.

Saya tidak peduli.

"Cikgu, kenapa ni?"soal pelajar daripada kelas lain yang terserempak dengan kami di tangga.

Guru-guru yang lalu lalang juga tertoleh-toleh. Saya sekadar senyum dan buat tak tahu.

Kami menjadi perhatian umum.

Saya tidak peduli.

Saya terus dan terus membisikkan kata-kata semangat kepada pelajar yang sedang saya pimpin.

Ketika kami masuk cabaran yang ketiga kali, dia sudah termengah. Risau pula saya buatnya dia pengsan atau sakit jantung.

"Err.. awak boleh ke?" saya menyoal.
"Boleh!"jawabnya tegas. Pelik. Mungkin dia salah faham dengan ayat saya yang seumpama memberi semangat "Awak boleh!"

Ketika masuk cabaran yang kelima kali, dia semakin mengah.
"Penat cikgu,"kata dia.
"Sikit lagi! Sikit lagi! Buktikan pada mereka awak boleh!"saya memberi semangat.
Tiba-tiba dia memanjat tangga dengan laju.

Sebaik sampai di tingkat tiga, saya terus menarik kain di matanya. Seluruh pelajar bertepuk tangan.

Saya masuk ke dalam kelas dengan perasaan gembira yang sangat sukar untuk digambarkan. Pasti pelajar perempuan itu sangat gembira. Pasti pelajar-pelajar lain sangat gembira. Tetapi saya yakin sayalah yang lebih gembira daripada mereka.

"Sebelum ni, awak pernah tak terfikir yang awak mampu naik turun tangga tu enam kali?"soal saya kepada pelajar perempuan tersebut.

"Tak cikgu, "jawabnya.

"Bukan awak sahaja yang tak yakin bahawa awak mampu naik turun tangga tu enam kali, malah kawan-kawan awak pun tak yakin! Dia (pelajar lelaki yang turut turun naik tangga) itu pun cuma yakin kamu mampu buat satu kali! Dan sekarang kamu sudah buktikan yang kamu mampu lakukan jauh lebih hebat! Lebih hebat daripada yang kamu semua pernah bayangkan..!"

Seluruh kelas diam.

Bagus...

"Kamu tak yakin yang kamu mampu lulus sebab kamu rasa kamu kelas last! Maka kamu biarkan orang anggap kamu bodoh! Sedangkan itu semua suatu tanggapan sahaja! Kamu sebenarnya boleh buat jauh lebih baik daripada yang kamu buat sekarang! Apa yang penting kamu kena berusaha! Orang yang berjaya bukanlah kerana dia dilahirkan PANDAI! Tetapi kerana dia RAJIN! Orang yang gagal bukanlah kerana dia dilahirkan BODOH! Tetapi kerana dia PEMALAS!!" suara saya sangat lantang, lebih lantang daripada biasa. Peristiwa tadi bukan sahaja memotivasikan mereka, malah saya turut termotivasi!

"Saya tidak lama bersama dengan kamu. Saya minta supaya dalam tempoh sebulan dua minggu ini, pinjamkan saya hati kamu...! Pinjamkan saya mata dan telinga kamu..! Beri tumpuan kepada ilmu yang saya ingin sampaikan...! Boleh?!!"

"Boleh!!!" Bergegar kelas dengan jeritan semangat para pelajar.

Subhanallah...
**********

Saya terbangun awal pagi sebelum subuh. Sungguh mustajab untuk berdoa di sepertiga malam ini. "Ya Allah.. Berilah hidayah petunjuk kepada keluargaku.. kepada jiran tetanggaku.. kepada sahabat-sahabatku.."

dan kepada anak-anak muridku... wajah-wajah anak murid kesayangan saya muncul di ruang mata. Saya menangis. Kalaulah mereka tahu betapa sayangnya cikgu pada mereka hingga cikgu menangis setiap kali mendoakan mereka di pagi hari, bagaimana agaknya ye?

Selepas bersolat taubat, saya renungi semula kelemahan diri sendiri... Sungguh besar amanah yang dipikul sebagai khalifah. Saya bukan setakat mahu mereka lulus dalam ujian dunia ini. Saya mahu mereka lulus dalam ujian-ujian Allah..

Air mata saya turun apabila mengenangkan adanya anak murid yang melacurkan diri di rumah kosong, ada yang terlibat dengan bahan lucah dan ada yang menjadi sampah yang layak dicampak ke dalam tong sampah.

Air mata saya turun semakin laju mengenangkan betapa kasihannya nasib mereka yang malang tidak diasuh mengenal Allah hingga menjadikan mereka buta dalam mengenal neraka dan syurga Allah... Selamatkanlah mereka ya Allah..


Ya Allah.. ampunilah hambaMu ini.... aku tak berdaya tanpaMu...

Ya Allah... aku tidak mahu menyesal.. aku mahu mengingati Mu setiap detik dan saat dalam hidupku..

p/s: artikel ditulis semasa menjadi guru ganti SMKBTP tahun 2010

Isnin, 27 Mei 2013

Belum jodoh



Gerimis turun sepanjang petang. Berhenti sekejap di waktu maghrib dan kembali turun ke bumi sepanjang malam. Dua orang gadis berdiri di bawah bumbung di koridor deretan kedai-kedai. Hajat di hati mahu lekas pulang tetapi belum sampai masanya, kenderaan yang mereka akan naiki masih belum kelihatan.
"Hm... Kawan-kawan kita seorang demi seorang akan menamatkan zaman bujang," gadis bertubuh kecil itu bersuara sambil merenung lopak-lopak air.
"Ya.. Minggu depan Fariza kan," Gadis yang menemaninya menjawab. Masing-masing kemudiannya membisu sambil mendengar irama titisan-titisan hujan yang menghentak-hentak bumbung zink koridor.
"Semua orang sudah ke arah itu.... kecuali saya,"getus gadis yang memulakan perbualan tadi. Sahabatnya segera mengangkat muka memandang wajah temannya. Dia cuba membaca maksud tersirat di sebalik ayat sahabatnya. Dia sendiri bakal meninggalkan zaman bujangnya dalam masa beberapa bulan lagi. Dia mendongak ke langit yang gelap pekat untuk mencari idea. Malam ini tiada bintang, mungkin kerana awan-awan terlalu tebal.
"Perkahwinan bukanlah destinasi terakhir. Apakah destinasi terakhir kita? Syurga bukan?" perlahan dia menuturkan bicara supaya mudah difahami oleh temannya. Gadis di sebelahnya diam dan mengangguk. Ayat sabahatnya itu memang benar namun ianya memerlukan kekuatan untuk direalisasikan. Kekuatan itulah yang sedang dia tercari-cari. Dia sudah banyak kali berdoa supaya Allah menemukan jodohnya tetapi hingga kini doa itu seperti masih tergantung-gantung tanpa jawapan.
"Saya takut....Takut dengan masa depan yang tidak tahu bagaimana coraknya. Takut dengan cabaran yang tidak tahu ombaknya.. Takut dengan permainan yang tidak tahu rentaknya...Semua itu saya perlu lalui bersendirian." jujur sahabatnya meluahkan.
Teman seorang lagi berfikir... Hanya kalimah Allah yang mampu menjadi penawar hati yang sedang bersedih.     Tiada ungkapan motivasi yang mampu menandingi janji-janji Allah di dalam Quran. Quran adalah penawar segala penyakit hati. Mengingati Allah adalah sumber ketenangan abadi dan hakiki.
"Dalam Quran Allah kata orang beriman ini tidak akan berdukacita... dan tidak akan takut...."
Sebuah lori melintasi mereka berdua dan melanggar lopak air sehingga hampir memercik ke arah mereka.
"Dalam hidup ini, kita semua tidak akan tahu apa yang akan berlaku di masa depan. Kita tidak boleh lari dari takdir kita. Apa yang boleh kita buat adalah berdoa."
Mereka sama-sama membisu. Hujan sudah berhenti.
"Walaupun kita semua adalah kawan, tetapi kita akan melalui kehidupan yang berbeza.. dengan ujian yang berbeza.. Ketakutan itu tentu akan ada. Ujian yang akan mendukacitakan tetap akan singgah. Tetapi apabila kita cuba ingat kembali bahawa Allah telah pun bagi tahu ciri-ciri orang beriman tidak berdukacita dan tidak takut, maka kita berazam mahu menjadi orang beriman lalu kita melupakan dan menghilangkan perasaan sedih dan takut itu.. Kita berusaha untuk mengembirakan diri kita kerana kita sangat mahu menjadi orang beriman."

Dari jauh kelihatan kereta putih Kancil bergerak perlahan. Di dalam kereta itu ada seorang gadis lain bertubuh besar sedang memandu. Pemanduannya tersengguk-sengguk, maklumlah baru lulus lesen memandu. Suatu risiko menaiki kereta yang dipandu oleh pemandu baru lulus lesen, tetapi setiap manusia berhak mendapat peluang untuk belajar dan diberi kepercayaan. Ketika perjalanan seakan mencabar dan kesemua yang berada dalam kenderaan kerisauan, barulah masing-masing sentiasa berzikir dan fokus terhadap sekeliling. Seringkali apabila perjalanan begitu lancar dengan pemandu yang sudah profesional, maka kesemua yang berada dalam kenderaan selalunya akan mengelamun yang bukan-bukan dan apabila tiba-tiba dijemput ajal dalam keadaan yang tidak bersedia. Begitulah kehidupan ini, ujian yang datang itu bertujuan supaya kita sentiasa sedar apa destinasi kita dan supaya kita sentiasa bersedia untuk dijemput ajal.
Ingatlah kita akan pulang ke daerah sebenar, kampung halaman. Andai kita tidak mampu membina banglo di bumi, usah bersedih kerana kita masih ada peluang membina mahligai di syurga yang mengalir di bawahnya sungai madu, sungai arak dan sungai susu.

1  
Surah AlBaqarah. Ayat 062.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani) dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

2  
Surah AlBaqarah. Ayat 277.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mengerjakan solat serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

3  
Surah AlMaa’idah. Ayat 069.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Saabiein dan orang-orang Nasrani sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah (dan segala RasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w) dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

4  
Surah AlBaqarah. Ayat 112.
(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

5  
Surah AlAn'aam. Ayat 048.
Dan tiadalah Kami utuskan Rasul-Rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pembawa amaran; kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka tidak akan berdukacita.

6  
Surah AlBaqarah. Ayat 274.
Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

7  
Surah AJin. Ayat 013.
Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Quran), kami beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi); kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah dia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik) dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan.

8  
Surah AlMu’minun. Ayat 057.
Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut kepada (kemurkaan) Tuhan mereka;

9  
Surah AlA’raaf. Ayat 049.
(Mereka bertanya pula kepada ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata): Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat dari Allah? (Sekarang dikatakan kepada mereka): Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu dan kamu pula tidak akan berdukacita.

10  
Surah AlA’raaf. Ayat 035.
Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepada kamu Rasul-Rasul dari kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat (perintah) Ku, maka sesiapa yang bertakwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.


Ahad, 26 Mei 2013

Buah hati saya Junior







p/s : bermula dengan seekor kucing yang diselamatkan bernama Junior, saya akhirnya mempunyai kucing berbelas ekor.. Boleh Like Page JUNIOR.


Rabu, 22 Mei 2013

Aku redha Ya Allah...


Entah bila bermulanya rasa sakit ini. Seingat saya pada tahun 2009 lagi saya sudah merasainya. Pada tahun 2011, sakit ini hilang. Sesekali rasa sakit ini hadir dan kemudiannya menghilang. Saya mengabaikannya. Namun semenjak Syawal yang lepas, sakit ini semakin kuat. 

 Sakit apa? Sakit pinggang. Sakit ini menjalar ke bahagian peha dan ke bahagian tulang belakang. Saya mulai tidak betah duduk lama dan berbaring lama. Waktu tidur, saya akan meletakkan selimut tebal atau bantal di bawah pinggang. Untuk rukuk dan sujud ketika solat merupakan perjuangan yang besar! Saya rukuk dan sujud dengan gerakan yang perlahan dan agak kekok, seolah nenek tua yang sudah uzur. Barulah tahu betapa nikmatnya solat ketika sihat… 
Alhamdulillah adik lelaki saya ada di rumah. Apabila sakit ini menyerang, saya akan meminta bantuannya memandu untuk saya. Inshaallah 30 Oktober ini dia akan masuk ke IPT. Nampaknya saya perlu berdikari selepas ini. (Alhamdulillah ada lagi dua orang adik lelaki di rumah yang kebetulan baru bercuti semester.) 

Berikhtiar , berdoa dan bertawakal 

Saya berusaha menurunkan berat badan kerana saya sangkakan ianya adalah punca saya sakit pinggang. Saya berjoging dan mengamalkan diet yang sihat, Alhamdulillah hidup terasa lebih segar. Namun setelah 11kg hilang dalam masa 3 bulan, sakit pinggang semakin parah. Saya mencuba rawatan Islam di Darussyifa’.  

“Ustaz, saya rasa saya sakit pinggang sebab gemuk kot.” terang saya. 
Ustaz menjawab dengan lembut “Tak gemuk lah…” Hehe. 
Saya tersenyum memandang emak saya. Saya gemuklah ustaz! Ustaz bertanya sama ada saya sudah pergi check doktor. Err..belum, lepas ni inshaallah. 

 Ustaz jampikan air dan suruh saya minum dan mandi. Ustaz pesan baca doa sekian dan sekian. Hasil rawatan di Darussyifa’ ialah sakit pinggang masih tidak hilang. 

Saya pun pergilah bertemu pakar orthopedik di sebuah hospital swasta. Maka saya pun dapatlah pengalaman baru iaitu masuk bilik X-ray. Kali pertama X-ray ialah 2007, semasa nak masuk USM. Masa tu X-ray tulang rusuk je. Kali ni nak kena X-ray tulang belakang sampai ke tulang lumbar. Kelakar masa ni. 

Kakak yang incharge mesin tu beri arahan supaya saya buka semua pakaian dan pakai seluar dalam sahaja. Dia suruh pakai pakaian yang disediakan. Baju yang disediakan tu pendek sangat, paras pinggang! Saya terjumpa ada kain besar macam kain telekung lalu saya pakai di bahagian dalam seperti berkemban dan sarung baju X-ray di bahagian luar. Dah macam kimono, lebih tebal dari pakaian asal saya tadi (jubah). Haha. Agak-agak kakak tadi terkejut tak? Dengan muka selamba, saya keluar. Tudung saya sangkut belakang pintu sebab saya menjangkakan tiada lelaki dalam bilik x-ray tu. 

Semasa proses nak x-ray tu sangatlah azab. :’( Saya sangat sakit sebab kena baring. Apabila kakak tu pegang tulang saya, memang rasa macam nak menangis, tahan-tahan. Tiba-tiba nampak lelaki lalu lalang di sebalik cermin. Memang rasa nak menangis sebab malu, saya pusingkan kepala ke tempat lain dengan harapan dia tak nampak muka saya. Saya tahulah lelaki tu pun tak ingin nak pandang saya, tapi malu!! Kakak tu mungkin terperasan saya macam nak menangis jadi dia suruh saya rehat sekejap. Mungkin dia ingat sebab saya sakit.

 “Baring-baring macam asal.”kata kakak tu. Kemudian kakak tu menghilang. Puaslah saya berbaring sorang-sorang sambil memandang mesin empat segi atas badan saya. Kali pertama tengok benda aneh ni, jakun. Hehe. 

Apabila kakak tu datang semula, dia berikan saya fail dan suruh saya salin baju dan segera naik terus ke bilik doktor pakar. Saya pun dengan gembiranya bangun. “Terima kasih kak!”

Sebaik keluar dari bilik salinan, ada lelaki di atas tempat x-ray. Saya cuak dan terus meluru ke pintu keluar. Malu! “Mana gambar?!” jerit kakak yang tadi. Eh, mana gambar? Tercicir dalam bilik salinan. Rileks la, kenapa la yang jadi pemalu semacam ni macam tak pernah tengok lelaki!! Geram pada diri sendiri. 

Misteri Yang Terlerai

Doktor pakar itu meletakkan pembaris di gambar x-ray.

 “Tulang belakang ni sepatutnya tegak, tapi adik punya bengkok.. sebab adik cuba menahan sakit jadi ianya bagi pressure pada tulang tu.” 

Oo.. 

 “Tulang lumbar ni sepatutnya melengkung tapi adik punya hampir tegak sebab adik cuba menahan sakit,” terangnya lagi. 

Hm.. bengkok salah, tegak pun salah… Hm…. 

“Nampak lubang-lubang ni? Ia sepatutnya sama besar. Tetapi adik punya lubangnya tak sama besar. Melalui lubang-lubang ni, saraf-saraf keluar. Apabila lubang ni kecil, big possibility disebabkan oleh ‘slip disk’ yang menyebabkan saraf-saraf ni terhimpit. Maka rasa sakit..” 

Bla..bla.. macam-macam lagi doktor tu terangkan. Wajah saya yang ceria menjadi serius. Doktor menulis pada sekeping kertas ‘Lumbar Spondylosis with Prolapsed Invertebral Disc L5/s1’.

“Kenapa muka macam takut? Its okay…”doktor memujuk. 
“Saya nak cuba memahamkan apa yang doktor cakap,”jawab saya. 

Doktor mengeluarkan model tulang dan menerangkan saya sampai faham. Doktor kata saya kena buat ujian lain untuk lihat ‘slip disk’ dengan lebih jelas pada temu janji akan datang. 

“I’m happy you can still walk. Saya tak pasti sama ada ini ada kaitan dengan occupation adik. Saya ada client lain yang umur lebih kurang adik, 20an. Dia juga alami perkara yang sama tapi dia dah tak boleh berjalan, dia naik kerusi roda. Dia juga seorang cikgu.” 
Kesiannya cikgu tu! :’( 

Doktor tak bagi saya joging lagi. Saya merayu untuk berjoging sebab saya masih berusaha menurunkan berat badan dan saya tak rasa sakit pinggang semasa berjoging. 

“No.. No, you can’t! Itu akan bagi pressure yang sangat banyak. Sekarang ni adik jangan buat senaman atau kerja yang berat. Nanti saya bagi tahu apa senaman yang boleh dibuat. Adik kena buat senaman untuk otot di bahagian perut supaya ia dapat menyokong belakang adik.” 

Sudah saya duga, nikmat berjoging ini akan hilang… Tak apalah, its okay. Allah dah bagi saya peluang berjoging dengan sangat gembira sebelum ni… Sebelum balik saya dikehendaki buat temu janji untuk fisioterapi. Saya perlu lakukan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu! Tiba-tiba teringat pula pada adik sepupu saya yang sedang mengambil diploma fisioterapi di UiTM. Alhamdulillah misteri sudah terjawab, rupa-rupanya tulang saya istimewa. 

 Perjuangan Yang Belum Selesai

 Semasa dalam perjalanan balik, saya berfikir-fikir mengenai kata-kata doktor tadi. Saya mengimbas gambar X-ray tadi. Bagaimana boleh slip disk itu hendak dibetulkan semula? Teringat doktor ada kata tadi yang pembedahan merupakan jalan terakhir jika sakit masih tidak berkurangan selepas sesi fisioterapi. 

“Boleh baik ke slip disk ni?” tiba-tiba soalan terkeluar dari mulut saya. Emak diam. 
Kemudian emak berkata “Emak terfikir, macam manalah kakak ni nak berkahwin dalam keadaan macam ni, tak boleh berdiri lama, tak boleh buat kerja berat dan tak boleh memandu,”. 
“Jujur je lah dengan ‘dia’ mak. Jika dia menolak, tak mengapa… ” Dalam hati sangat sayu! :’( Andai tiada cinta manusia buatku, cukuplah cinta Allah buatku.. 
 Saya cuba mengembirakan suasana yang mulai suram. “Maknanya Allah nak bagi kakak driver & maid seumur hidup!” saya bergurau. 
Emak ketawa,“Karang dia tak jadi kerja lain, dia asyik jadi driver dan maid kakak, kakak kena bayar gaji dia pula.” Emak bergurau. 
“Err… ” No komen. 

Sakitnya pinggang kerana naik kereta. Hujan lebat. Traffic jam. Berzikir-zikir di sepanjang perjalanan, berzikir supaya dapat melupakan kesakitan yang sangat-sangat pedih. Teringat malam ini ada kelas tuisyen. Segera saya sms kepada mereka untuk membatalkan kelas malam ini. (Tercicir satu nombor students semasa send sms to many. I’m so sorry…) 

Kami singgah bersolat maghrib di R&R. Emak berhenti di gerai buku agama. Saya ternampak sebuah buku ‘Menjadi Ibu Bapa Genius Berdasarkan Nasihat Luqman al-Hakim’. Saya membelinya!


Di dalam kereta, emak bertanya “Buku tu untuk jadi anak genius atau ibu bapa genius?” “Ibu bapa genius…”jawab saya. Hati tiba-tiba sayu. Emak diam. Ya Allah, andai aku tidak berpeluang mempunyai anak-anak, aku redha… Aku masih mempunyai anak-anak murid! 
“Kakak kan ada ramai anak-anak murid, buku ni untuk mereka,”saya menambah. Emak diam. Saya pun diam. Hujan masih lebat.
Air Mata Yang Tumpah 
Sebelum pergi ke hospital siang tadi, saya telah memandu sendirian ke kedai gambar. Emak meminta saya sekeping gambar untuk diserahkan kepada seseorang. Sebaik pulang dari kedai gambar, saya terus ke masjid untuk bersolat zohor. Kemudian emak mengambil saya di masjid dan membawa saya ke hospital. Jadi emak terpaksa menghantar saya ke kereta saya di masjid tadi dan kami pulang ke rumah berasingan. Saya memandu sendirian dan singgah sebentar di rumah tuisyen untuk memberi kucing-kucing makan dan bermain dengan mereka. Azan isyak berkumandang, segera saya mengambil wudhuk dan bersolat. 
Allahuakbar. Serta merta air mata saya mengalir. Sepanjang hari saya menahan gelora di dalam dada, kini semuanya terlerai di hadapan-Nya. Saya menangis sepuasnya bermula daripada takbiratulihram sehinggalah salam. Setiap rukuk dan sujud begitu sakit. Saya menangis bukan kerana sakit yang ditanggung tetapi kerana saya khuatir saya tidak akan mampu lagi untuk rukuk dan sujud di masa depan. Saya tidak marah dan saya tidak menyesali takdir ini.. Saya redha dengan sakit ini.. Saya cuma teringatkan dosa-dosa silam yang begitu banyak. Kini saya benar-benar berharap Allah mengampuni dosa-dosa itu semua! Andai dengan sakit ini dapat mendekatkan saya kepada Allah, saya rela! 

Selepas solat, saya menatap kad temu janji fisioterapi. Di samping kad itu saya selitkan gambar yang baru saya ambil siang tadi. Siapakah insan yang emak mahu berikan gambar ini? Emak meminta saya lampirkan biodata bersama gambar ini. Apa yang saya mahu tuliskan? …. …. Saya perlu jujur. Tulis yang sebenarnya. Saya akan maklumkan penyakit saya bersama dengan gambar ini. Ya, saya perlu jujur. Ya Allah, aku serahkan pergantunganku hanya kepada-Mu.. 

p/s : Allah sayang saya, saya tahu!

Artikel ini bertarikh 19 Oktober 2011 saya publish kali kedua supaya saya dapat bermuhasabah diri, sedarkan diri semula supaya jangan lalai. Semoga sahabat-sahabat juga turut termuhasabah... Banyakkan menangis di hadapan Allah supaya Allah mengasihani kita...

p/s/s : Sahabat-sahabat boleh lap air mata dan senyum sekarang dengan membaca artikel di sini (2013)  :)

Selasa, 21 Mei 2013

Hari Yang Bermakna


Hari ini hari yang sangat bermakna bagi saya, alhamdulillah.

Pagi, seawal 6.45 pagi sudah keluar dari rumah untuk menghantar kawan-kawan ke LCCT. Sepanjang dalam perjalanan, banyak perkara yang dibincangkan (bisnes dan makan angin). Semoga mereka mendapat banyak ilham sepanjang bercuti. Muhasabah pengurusan diri dan masa..

Tengah hari, berhenti di R&R Sg Buloh tetapi tidak keluar dari kenderaan. Di luar hujan lebat, jadi emak dan saya duduk bersembang topik asam garam rumahtangga. Meleleh air mata, sesungguhnya saya ini mudah menangis. Suka pun nangis, sedih lagilah nangis...
Muhasabah keikhlasan diri..

Petang, masuk kelas berjumpa anak murid, seronok bersembang dengan murid-murid. Mereka sudah dewasa, bakal ambil SPM jadi dapat berbual sebagai orang dewasa. Kami bercerita tentang pengalaman ibu-ibu kami melahirkan bayi. "Kamu kena belajar sungguh-sungguh. Kalau malas, cuba bayangkan muka mak kamu yang sudah susah payah beranakkan kamu..."
Muhasabah pengorbanan ibu..

Lewat petang, sewaktu menunggu kawan pergi 'shopping', saya mendengar IKIM. Ustaz tu bercerita tentang Qiamulail. Sebak mendengarnya. Allah tak paksa kita bangkit malam, cuma jika kita sayangkan Allah, jemputlah bangkit malam beribadah...
Muhasabah amal..

Malam, sewaktu dalam perjalanan ke kelas, adik memberitahu petang tadi ada budak datang berjalan kaki ke rumah emak. Anak itu menghadiahkan sesuatu untuk saya dan ada surat di dalamnya. Oh, itu bekas pelajar saya, tahun 2011. Serta merta teringatkan segala kenangan bersama. Sesungguhnya banyak yang saya dapat belajar daripada anak-anak murid saya.
Muhasabah hubungan dengan anak-anak didik..

Lewat malam, merenung bumbung yang kosong. Sesungguhnya diri ini lemah, jahil dan daif. Siapalah diri ini tanpa rahmat kasih sayang-Nya. Membayangkan wajah abah dan emak yang semakin tua dengan perasaan sayang, wajah adik-adik yang semakin dewasa dengan perasaan sayang, wajah staf-staf yang berdedikasi semakin matang dan wajah-wajah mereka yang pernah menyentuh hati. Berfikir tentang tugasan-tugasan yang berderet.... argh, bila mahu tidur? Esok perlu bangun awal.

Ambil ear phone quran elektornik, sumbat di telinga.... pejam mata...
Bismikallahumma ahya wa amutu ~ Dengan nama-Mu ya Allah aku hidup dan mati
Selamat malam.

Isnin, 20 Mei 2013

Tempat Manakah Yang Memerlukan Berniqab ?



  • SOALAN :
    Assalamua'alaikum wbt ya ukhti 
    Saya ada terbaca perkongsian di blog ukhti 'Coretan Fisabilillah'. Saya tertarik dengan artikel tentang berpurdah. Saya cuma nak minta pandangan ukhti. Untuk pengetahuan, saya memang pernah berniat utk berpurdah, tapi saya tak lakukannya terus. Sebab saya rasa, sy perlu buat beberapa percaturan dengan diri sndiri disamping memohon kekuatan dan petunjuk dr Allah SWT. Buat masa skrang, saya masih mencari kekuatan tu walaupun kdg2 rasa macam give-up dan nak lupakan niat berpurdah. Terlalu bnyak perkara yang perlu diambil kira...nilah yang buatkan saya rasa nak lupakan terus. Tapi, bila teringat tentang tujuan pemakaian...saya masih setia mnyimpan niat.
    Cuma saya nak bertanya, jika diizinkan Allah suatu hari nanti utk saya menyarungnya ke muka...sy bercadang untuk memakainya dengan niat sunat bukan wajib. Jadi saya nak tau, dalam keadaan yg macam manakah memerlukan sy utk berpurdah? (Kecuali di tempat kerja yg mana sy terikat dgn beberapa keadaan). Mohon perkongsian pendapat daripada ukhti.
    Wassalam~
  • Today
  • Nur Khalilah Rasyidah
    Waalaikumussalam.. Subhanallah Alhamdulillah hidayah itu milik Allah.. Inshaallah berniat berbuat baik itu sudah mendapat pahala. Sesungguhnya kita manusia biasa tiada yang sempurna. Jadi selepas kita berusaha untuk berubah menjadi baik, Allah akan menampakkan lagi kelemahan2 kita. Dan proses berterusan. Maka selepas akak memakai niqab, akak masih lagi ada berjuta kelemahan yang kadang-kadang akak pun pening macam manalah nak atasi...
  • Nur Khalilah Rasyidah
    Bagi akak, dalam banyak-banyak organ yang penting.. yang paling penting adalah hati. Tujuan berniqab untuk menjaga hati. Setelah tutup semuanya kecuali dua biji mata, ternyata mata itu juga perlu diniqabkan kerana ia boleh menyebabkan hati rosak. Apa yang mata lihat akan membekas di hati. Lalu hati boleh tetap bercelaru walaupun setelah berniqab gara-gara tak jaga mata.
  • Nur Khalilah Rasyidah
     Menjawab persoalan adik tentang keadaan mana yang mewajibkan pakai dan yang cuma sunat pakai? Demi Allah yang Maha Penyayang, ianya terpulang kepada adik dan keadaan sekeliling adik. Kaki akak dan kaki adik mungkin tak sama saiz, jadi saiz kasut kita berbezalah. Hihi. Ini analogi nya. Kalau akak, akak pakai di semua tempat yang boleh menyebabkan orang lain ada masa memandang akak lama-lama atau akak yang ada masa memandang lama2. contohnya di kedai sewaktu urusan membeli belah dan di tepi jalan sewaktu jalan kaki, keluar halaman rumah.
  • Nur Khalilah Rasyidah
    akak akan buka purdah apabila dalam kenderaan sewaktu kereta gerak laju di mana peluang nak memandang dan dipandang cuma 1 saat (lebih kurang). dan akan buka purdah semasa dengan sepupu sepermainan waktu kecil, saudara mara dekat. Akak juga akan buka purdah di hadapan ibu bapa client iaitu para pelajar sekiranya bertemu waktu dalam pusat tusyen. Tetapi sekiranya kontraktor yang dtang pusat tusyen, akak akan berniqab.
  • Nur Khalilah Rasyidah
    Akak mungkin juga ada melakukan kesalahan kerana menutup atau membuka di tempat yang tidak betul. Apapun akak masih sedang berusaha buat yang terbaik. Menutup wajah bukanlah kerana anggun tetapi kerana wajah diri ini yang biasa-biasa sederhana ini sewajarnya tidak dikenang-kenang atau dirakam-rakam senyumannya, bentuk bibirnya, bentuk hidung atau apa sahaja dalam apa bentuk sekalipun oleh mereka yang tidak berhak di ruang fikiran mereka. Biar yang dikenali cuma nama dan peribadi. Biar manusia menghormati kerana akhlak. Kita berusaha menjaga iman sendiri dan iman orang lain. Semoga Allah kurniakan kita kemanisan iman dan kemanisan juga buat orang yang mengelilingi kita... Wallahualam..

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....