Ahad, 6 April 2008

peliharalah aku & sahabat-sahabatku Ya Allah... kami mengharap redhaMu..


Wahai sahabatku yang disayangi...


dalam kita menempuh jalan dakwah ini, telah suatu kemestian untuk kita ketahui bahawa jalan ini tidak ditaburi bunga-bunga.. tidak dihamparkan permaidani merah.. keperitan, kepedihan dan kesakitan seringkali menghampiri kita, namun ingatlah wahai sahabatku.. para wali itu tidak bersedih hati.. Kita bukan wali, tetapi kita mengharap untuk mencapai kemanisan mencintai Allah itu.. Berpeganglah pada niat yang satu..Semata-mata untuk keredhaanNYA..

Berpeganglah pada syariatNYA.. Selagi kita memelihara batas syariatNya, selagi itulah Dia akan memelihara kita.. Kita sangat mengharapkan pemeliharaanNya.. Bukankah Dia sebaik-baik pemelihara?! Dalam kita gigih untuk mencapai atau melaksanakan usaha ke arah kebaikan, seringkali kita diuji dengan batas syariat. Seringkali juga kita menganggap mudah dan mempermudah sesuatu hukum..

Tetapi sahabatku yang dikasihi, apa tujuan dirimu berhempas pulas, bersengkang mata dan memerah sepenuh kudratmu kalau bukan kerana mengharapkan dirimu selamat dari azab yang pedih, balasan baik keselamatan di dalam kubur dan syurga, dan redha Tuhanmu.. Sahabatku, bagaimana mungkin dalam kita berusaha mencapai hasil yang baik, tetapi kita mencampurkannya dengan sesuatu yang dapat merosakkan usaha kita itu..

Janganlah menggadaikan syariat Islam dalam mencapai tujuan. Kerana sebenarnya kalian sedang menggadai dirimu.. Ambillah Islam sepenuhnya. Yakinlah Islam ibu segala kebaikan. Rujuklah ayat (2:208).

Sabda Rasulullah saw : sebenarnya agama itu mudah. Seseorang tidak akan merasa berat terhadap agama kecuali praduganya sendiri, berbuat baiklah dan mendekatkan diri kpd Allah. Bila kalian tidak mampu menjadi manusia sempurna, maka dekatkanlah kpd Allah. Berilah kegembiraan dan bersungguhlah di waktu pagi, petang dan sbhgn dari malam. (HR MUSLIM)

Marilah kita sama-sama memperbaiki diri..

Sahabatku, dosa ialah apa yang menggelisahkan hati..

Awas selalu, syaitan cukup pandai mempermainkan kita. Adakalanya kita sangka kita di pihak yang betul, namun hakikat sebenarnya kita di pihak yang salah. Apabila ada yang hendak memperbetulkan kita, kita menjadi marah kerana menganggap mereka tidak memahami dan tidak sealiran dengan kita. Dari bermasam muka hinggalah saling makan hati. Semakin lama semakin jauh kita tersasar. Setiap kali Allah memberi pengajaran, kita tersalah ambil iktibar.. Aduhai sedihnya kerana tersesat.. Wahai Allah yang memelihara seluruh makhluk, peliharalah kami dari segala tipu daya yang menyesatkan.. Letakkan kami di atas jalan Mu yang lurus kepadaMu..

Wahai sahabatku.. saya sendiri.. kalian juga.. sesiapapun tidak akan dapat lari daripada ujian Allah selama hidup ini. Mungkin ujian atau cubaan itu menimpa dirimu atau orang-orang yang kita kasihi dan sayangi. Tetapi di situlah akan nampak nilai imanmu.Allah menurunkan cubaan kepadamu, agar Dia dapat menguji imanmu, apakah kita bersabar ataupun marah-marah? Adakah kita redha ataupun kita berkeluh kesah?

Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kapal-kapal (yang belayar) di laut seperti gunung-gunung. Jikalau Dia menghendaki, Dia akan menenangkan angin, maka jadilah kapal-kapal itu terhenti di permukaan laut. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan) Nya bagi setiap orang yang bersabar dan banyak bersyukur. (Asy-Syura 32-33)

Dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan, mereka itulah orang-orang yang benar (imannya), dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa. (Al-Baqarah 177)

Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar. (Ali-Imran 146)

“Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik daripada yang telah mereka kerjakan.” (An-Nahl 96)

Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas. (Az-Zumar 10)

“Sedang para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu, (sambil mengucapkan) : ‘Salamun’alaikum bima sobartum.’ Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu. ” (Ar-Ra’d 23-24)

Benar.. semua ini adalah balasan bagi orang-orang yang bersabar dalam menghadapi cubaan. Sabda Rasulullah saw : “Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik. Apabila mendapat kelapangan, maka dia bersyukur dan itu kebaikan baginya. Dan apabila ditimpa kesempitan, maka dia bersabar, dan itu adalah kebaikan baginya.”

Wahai sahabatku.. bersyukurlah atas rahmatNya dan bersabarlah dengan dugaanNya.. Bertaqwalah dirimu kepadaNya, InsyaAllah pahala berganda sebagai ganjarannya.. .

Firman Allah Taala:

Allah pembela bagi orang-orang bertakwa.”

“Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah akan diberikan jalan keluar (kelapangan daripada permasalahan) dan dikurniakan rezeki yang tiada diketahui dari mana datangnya.”

“Dan bertakwalah kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu.”

Apa itu taqwa?

Menurut Imam Ghazali: hakikat taqwa iaitu menghadirkan Allah sebagai sandaran dalam segala perbuatan, penghadiran ini menuntut untuk segera melakukan perintahNya dan menjauhi laranganNya, dan ini akan menjadi benteng yang kuat untuk menentang perbuatan dosa dan seterusnya melaksanakan kewajipannya. Pembuat benteng juga mempunyai rasa takut, namun Allah lebih berhak ditakuti. Dia mempunyai rasa malu, namun Allah lebih berhak untuk dimalui.

Tafsir az-zilal Jilid 1:Taqwa- adalah suatu yang peka dalam diri peribadi, hening dan jernih dalam perasaan, diliputi rasa takut, inawas diri, mengatasi berbagai rintangan di jalan-jalan kehidupan yang penuh dengan duri keinginan, duri hawa nafsu, duri ainbisi, duri rasa takut dan bimbang,duri harapan pada yang tidak ada memiliki pengharapan dan ketakutan bohong pada yang tidak memiliki manfaat dan mudharat, dan puluhan duri lainnya.

Andai nafsu dapat kau tahan, tagisan mu hanya kerana Tuhan, hatimu terpaut pada rumahnya, bergembiralah dengan janji Tuhanmu..

“Tiadalah perkataan yang dikeluarkan seseorang, melainkan di sisinya ada malaikat Raqib Atid.” (Qaf:18)

“Perut mereka jauh dari tempat tidur (mereka tidak tidur pada waktu biasa orang tidur, untuk mengerjakan sembahyang malam) sedang mereka berdoa kepada Tuhan dengan rasa takut dan harap.” (As-Sajadah: 16)

“Dan mereka yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk, berbaring...”

Perjalananmu masih jauh.. Wahai sahabatku, aturlah langkahmu. bukan setakat di sini tetapi hingga bertemu Allah Yang Pengasih lagi Penyayang. Mulakan langkah dengan nama Allah.Setiap langkah dengan nama Allah.. Buatlah sepenuh hatimu bagai esok sudah tiada.. segalanya dengan nama Tuhanmu..Pelihara niatmu setiap langkah dan ketika agar setiap derapan langkah diberkati dan diredhai.. InsyaAllah semua usahamu akan sempurna.. ganjaran pahala akan kau dapat.. amalan mu takkan sia-sia.. setiap zarah ada nilai dunia akhiratnya.. percayalah janji Tuhanmu..!

Dan katakanlah (wahai Muhammad): ‘Beramallah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat perkara-perkara yang kamu kerjakan…” (Surah At-Taubah: 105).

“…Maka apabila kamu telah berazam, bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya” (Surah Ali Imran: 159).

“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang beserta dengannya adalah tegas terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka, kamu lihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaanNya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menyengkelkan hati orang-orang kafir(dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar.” (48:29)

Wahai sahabatku.. dunia ini tempat persinggahan yang Allah ciptakan untuk kita sebagai cubaan dan dugaan untuk menguji keimanan.. Pujuklah iman mu meluahkan rasa hatinya untuk teguh mencapai redha Allah.. Hanya hati yang tulus kerana yang Esa disertai keikhlasan dapat mengharungi onak duri ini.. Jadikanlah taqwa pakaianmu sepanjang di dunia ini..

2 ulasan:

  1. subhanaALLAH...terima kasih lillah...:)

    BalasPadam
  2. Jika kau tahu

    setiap butir pasir yang mengikat batu
    adalah sebenarnya butiran emas

    Jika kau tahu
    setiap butir bata yang membina dinding, lantai dan bumbungnya
    adalah zamrud hijau
    dan batu delima merah

    pasti
    akan kau korbankan
    seluruh apa yang ada
    yang Tuhan qada'kan kepadamu

    walaupun ribut melanda
    walaupun nafsu menipu
    walapun harta menyita
    walaupun kudrat mengerat

    akan kau pastikan ianya terbina
    kerana dia adalah sebenarnya
    mercu tanda mahligai Muhyiddin
    di abad 15 ini....

    ayuh.. marilah kita berganding bahu
    mematuh nasihat Guru
    bersama membina mahligai ini
    sebagai tanda bahawa kita bersamanya

    korbankanlah apa yang terbaik daripada dirimu
    samada harta, tahta dan masa
    kerana tiada lagi seumpamanya
    seumur hidup ini dan 5 kurun yang lalu....

    http://smaq9815.blogspot.com/

    BalasPadam

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....