Ahad, 12 Disember 2010

Utbah bin Ghazwan r.a

Pernah mendengar nama Utbah bin Ghazwan r.a?

Beliau merupakan seorang sahabat yang tidak pernah mengundurkan diri walaupun sekali daripada menyertai peperangan bersama dengan Rasulullah saw, Abu Bakar dan Umar.. Beliau diiktiraf memiliki kemahiran memanah dan bermain pedang yang begitu luar biasa.

Yang paling utama ialah, beliau memeluk Islam mendahului sahabat-sahabat lain termasuklah sebelum Umar.


Semasa pemerintahan khalifah Umar, beliau telah dilantik untuk memimpin tentera Islam ke Ubullah. Umar memberi wasiat kepada Utbah :
"Wahai Utbah, aku mengutus engkau ke bumi Ubullah yang merupakan benteng terkuat Parsi, dan aku berharap Allah akan menurunkan bantuanNya kepadamu dan tentera-tenteramu. Bumi itu mesti diperangi sama ada mereka menyerah diri atau dan membayar jizyah ataupun kamu mati syahid, tiada pilihan ketiga. Bertakwalah engkau kepada Allah dalam urusan kepimpinan.

Jauhi perasaan takabur kerana ia merosakkan akhiratmu.

Ketahuilah bahawa engkau pernah bersahabat dengan Nabi saw yang telah memuliakanmu sedangkan sebelum itu engkau orang yang hina. Engkau sebelum itu lemah, lalu menjadi kuat dengannya, sehinggalah hari ini engkau dipilih menjadi ketua yang didengari kata-katanya.

Jangan engkau dikuasai rasa sombong, kerana dengannya nanti engkau akan dihumban ke dalam neraka. "

Utbah telah berangkat ke Ubullah bersama 310 orang bakal syuhada dan para isterinya. Para wanita telah membantu dalam peperangan ini dengan membawa beg-beg berisi tanah dengan tangan mereka sendiri semasa mengekori tentera Islam. Mereka bertindak memijak tanah-tanah secara serentak menyebabkan debu yang beterbangan memenuhi ufuk seolah-olah terdapat beberapa lapisan tentera berkuda yang sedang berada di belakang tentera lapisan pertama.  Ternyata tipu daya tersebut berjaya menyebabkan Ubullah berjaya ditawan. Harta rampasan perang yang dikumpulkan terlalu banyak hingga menyebabkan Utbah bimbang kelalaian akan menyelinap dalam perasaan kaum Muslimin. Maka Utbah telah membangunkan sebuah bandar Islam baru dengan menggunakan dana ghanimah daripada peperangan itu. Bandar itu dinamakan al-Basrah.

Peribadi Utbah amat berlainan dari tentera yang lain. Ketika mereka asyik mengumpulkan tanah untuk dimiliki, Utbah masih tinggal di khemah yang didirikan sejak awal kedatangannya. Beliau masih mengamalkan kesederhanaan dalam makan, minum dan pakaian sedangkan tentera di bawah pimpinannya sudah mula menikmati kemewahan. Utbah masih istiqamah dengan cara hidup yang dilihatnya pada peribadi Nabi Muhammad saw, Abu Bakar dan Umar ra. Beliau bimbang dihinggapi penyakit al-wahnu yang disifatkan Nabi saw sebagai wabak berbahaya yang akan menimpa umat ini.

Utbah melantik seorang gabenor baru di Basrah dan beliau mahu kembali ke Madinah semula. Beliau meminta izin Umar supaya tidak dibebankan dengan amanah kepimpinan namun rayuaannya tidak diendahkan oleh Umar, khalifah di Madinah. Maka beliau terpaksa kembali semula ke Basrah. Dalam perjalanannya, beliau berdoa "Wahai Tuhan! Selamatkanlah aku! Aku tidak mahu kembali kepadanya." Doa Utbah dimakbulkan Allah. Dalam perjalanan tersebut, haiwan tunggangannya telah terpelecok, dan beliau jatuh dan patah tengkuknya.

Kami mencintaimu wahai Utbah.... Kami ingin mempelajari semangat juangmu dan keikhlasanmu..... Kami ingin mengikuti jejak langkahmu.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....