Selasa, 6 Januari 2009

Rumah Limpahan Kasih unik, kreatif


Nurseri ini juga turut menjadi sumber kewangan RALK ini.


MEMULAKAN operasinya pada tiga tahun lepas, Rumah Amal Limpahan Kasih (RALK) kini menempatkan seramai 65 orang anak-anak yatim selain beberapa orang ibu tunggal, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan saudara baru.

Rumah yang diasaskan oleh Rabaah Abd. Aziz, 38, ini bukan sahaja menjaga kebajikan mereka yang berdaftar di bawah rumah amal ini, malah ia turut menjaga kebajikan anak-anak yatim dan ibu-ibu tunggal yang berada diseluruh pelosok tanah air.

Menurut Rabaah, bangunan asrama putera ini pada dahulunya tidak seperti yang dilihat pada hari ini.

"Dulu, rumah ini merupakan rumah yang disewakan oleh Allahyarham bapa saya selama lebih 10 tahun dan keadaannya sangat daif. Namun, berkat sumbangan orang ramai kami membaikinya secara beransur-ansur dan inilah hasilnya pada hari ini.

"Sebelum ini kami beroperasi di Bandar Puchong 2 dan sekarang rumah tersebut dihuni oleh anak-anak yatim perempuan manakala rumah di Lorong Bistari 3, Kg. Sri Aman ini untuk anak-anak yatim lelaki," ujarnya.

RALK bukan sahaja sebagai rumah perlindungan kepada anak-anak yatim dan ibu-ibu tunggal ini, malah ia jua sebuah pusat kebajikan. Ini kerana, ia juga menjaga kebajikan mereka yang berada di luar untuk turut sama berkongsi barang-barang yang di sumbangkan oleh orang ramai contohnya makanan asas seperti beras, gula, minyak masak dan lain-lain.

"Tujuan ia ditubuhkan adalah mengurangkan kerenah birokrasi yang biasa dialami oleh mereka yang kurang bernasib baik, dalam mendapatkan bantuan. Kita akan sentiasa berusaha membantu mereka dan menganggap susah mereka, susah kita juga. Jangan kerana kita senang, kita jadi lupa pada mereka yang susah ini.

"Setiap hari pasti akan ada orang yang datang meminta bantuan daripada kami. Kami di sini akan memberi apa yang ada seperti beras dan makanan yang lain kepada mereka. Oleh sebab itu, stor simpanan kami jarang yang penuh.

"Kami tidak sesekali akan membiarkan orang yang datang meminta bantuan pulang dengan tangan kosong. Tidak kira pukul berapa mereka datang, kami tetap akan melayan permintaan mereka," katanya bersungguh.

Menurutnya lagi, rumah amal ini masih banyak kekurangannya dan ia sentiasa mengalu-alukan bantuan orang ramai untuk memberi sumbangan agar ia dapat menampung keperluan penghuni yang tinggal di dalamnya.

"Kita memerlukan bantuan untuk membina surau, dewan makan, asrama tambahan, bengkel untuk ibu tunggal dan bilik belajar.

"Sekarang, kami telah membeli sebidang tanah di belakang rumah ini tetapi masih belum dapat diusahakan kerana dana yang ada belum cukup untuk memulakan kerja-kerja pembinaan yang dirancangkan.

"Jika ada rezeki nanti, dapatlah kami membina dewan makan dan surau untuk mereka ini. Sekarang mereka hanya bersolat di balkoni rumah ini sahaja dan kadang-kadang jika ada tetamu yang ramai, ia tidak dapat menampungnya dan terpaksa bersolat secara berperingkat," jelasnya.

Menurutnya lagi, dana yang mereka peroleh untuk membantu golongan ini bukan sahaja datang daripada sumbangan orang ramai tetapi turut datang dari projek-projek perniagaan yang diusahakan.

"Kami mengusahakan nurseri bunga dan inap desa (homestay). Jadi, hasil yang diperoleh dari situ, kami gunakan untuk perbelanjaan harian anak-anak dan ibu tunggal di RALK.

"Harapan kami supaya anak-anak di sini dapat belajar bagaimana untuk menambah pendapatan pada masa depan. Ini sebagai salah satu langkah kami mendidik mereka menjadi orang yang berguna dan berdikari,"' katanya.

Tambahnya, ini bukan untuk mengeksploitasikan atau mempergunakan mereka, tetapi ia sebagai satu latihan kemahiran dan memberi pengalaman serta pendedahan untuk menjadi usahawan di masa hadapan.

"Kadang-kadang mereka yang meminta kita untuk membuka gerai seperti gerai untuk menjual burger. Mereka sungguh berminat untuk berniaga dan kita tunaikan cuma sesekali sahaja itupun pada waktu cuti supaya ia tidak mengganggu pembelajaran mereka," jelasnya.

Selain itu, Rabaah juga kini dalam usaha untuk mengumpulkan semua anak-anak yatim seluruh Malaysia melalui Kelab Anak Yatim SeMalaysia (KAYM).

Kelab tersebut akan membuka peluang untuk anak-anak yatim yang terpinggir dan tidak mendapat perhatian ini menerima nasib yang sama seperti anak-anak yatim yang tinggal di rumah-rumah kebajikan.

"Di kelab ini, kami akan mengumpul semua data-data anak yatim yang tinggal di serata tanah air.

"Anak-anak ini boleh mendaftarkan diri melalui borang yang kita sediakan di laman web kelab ini. Mereka boleh melayari laman web ini di www.anakyatim.org atau www.rumahamallimpahankasih.com.

"Dengan cara ini kita dapat tahu berapa ramai lagi anak-anak yatim di luar sana yang tidak mendapat bantuan dan perlindungan seperti anak-anak yatim yang tinggal di rumah-rumah amal diseluruh Malaysia. Jadi, mudah untuk kita membantu dan menyalurkan maklumat kepada pihak yang ingin membantu mereka," katanya.

Anak-anak yatim yang terlibat di dalam program konvoi pada tahun lalu, kebanyakannya mereka yang jarang-jarang diraikan kerana mereka tinggal bersama waris.

Justeru itu, melalui KAYM mereka didatangkan dari serata Malaysia berpeluang untuk diraikan buat julung-julung kalinya.

Di samping itu juga, mereka berpeluang menaiki kereta-kereta mewah, beramah mesra dengan artis-artis dan selebriti yang akan turut serta di sepanjang perjalanan konvoi tersebut bermula di Puchong, mengelilingi Kuala Lumpur dan berakhir di Putrajaya.

"Kami amat berbesar hati di atas penyertaan dari kelab-kelab kereta seperti BMW, Bimmers Club, V-Sixers, Citra Club, Peugeot Club dan Kelab Motor Kuasa Besar,'' ujarnya.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan sama ada dalam bentuk makanan, barang-barang kelengkapan asrama atau kewangan bolehlah menghubungi Rabaah di talian 019-2227339 atau terus melalui akaun Maybank bernombor 512343531956 atas nama Rumah Limpahan Kasih.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Tiada ulasan:

Catat Komen

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....