Selasa, 6 Januari 2009

bila maksiat dianggap biasa.. adakah ini yg kita mahu?

menurut sumber Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 2007 didapati seramai 80, 938 orang pengidap HIV, 13, 635 orang pengidap AIDS dan seramai 11,539 orang pengidap AIDS telah meninggal dunia. Menurut sumber itu pada masa ini kira-kira lima orang pengidap AIDS meninggal dunia sehari.

Apa yang paling membimbangkan berdasarkan penemuan kajian oleh KKM pada 2007, didapati 72 peratus pengidap HIV/AIDS adalah terdiri daripada orang Islam. Pengidap wanita menunjukkan peningkatan yang ketara. Daripada 1.1 peratus (1990) bertambah menjadi 16.3 peratus (2007).

Pada awalnya, kes-kes HIV/AIDS banyak ditemui daripada mereka yang mengamalkan homoseksual, tetapi pada masa ini banyak dikesan mereka yang mengamalkan seks bebas, pelacuran, dan perkongsian jarum di kalangan penagih dadah.

Kajian KKM pada 2007, mendapati penyebaran HIV/AIDS melalui perkongsian jarum suntikan paling tinggi meliputi 57.3 peratus, hubungan seks 32.9 peratus dan selebihnya melalui kelahiran, pemindahan darah yang tercemar dan lain-lain.

Bagaimanapun menurut KKM lagi, didapati penyebaran HIV/AIDS melalui perhubungan seksual sedang meningkat iaitu daripada 5.2 peratus (1990) bertambah menjadi 32.9 peratus pada 2007.

AIDS (Acquired Immunodefiency Syndrome) adalah gejala pelbagai penyakit kronik menimpa manusia disebabkan sejenis virus yang disebut HIV (Human Immonodefienc Virus).

Virus ini secara perlahan-lahan mereputkan sistem kekebalan tubuh dan dalam tempoh lima hingga 10 tahun pengidapnya mengalami pelbagai gejala penyakit yang menyebabkan maut. Setakat ini tidak ditemui ubat yang boleh mencegah atau merawat HIV/AIDS.

Persoalan besar timbul ialah apakah pencegahan yang sesuai diambil dalam mencegah dan merawat gejala HIV/AIDS ini?

KKM dari segi aspek kepakaran perubatan telah mengambil beberapa langkah untuk mencegah dan merawat penyakit HIV/AIDS. Antara pendekatan yang diambil ialah mengedar kondom, membahagikan jarum dan memberi methadon kepada pembawa HIV/AIDS dan penagih dadah.

Pendekatan ini menimbulkan kontroversi di kalangan ulama dan masyarakat. Bagaimanapun ulama bersetuju jika pendekatan yang diambil KKM itu dibuat kepada penagih dadah dan pengidap HIV/AIDS tegar.

Pada 18 Disember 2008 dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Bagi HIV/AIDS, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd. Najib Tun Razak mengumumkan pada tahun 2009 ujian saringan HIV/AIDS akan diwajibkan kepada semua pasangan Islam yang hendak berkahwin. Arahan beliau itu telah mendapat ulasan daripada pelbagai pihak.

Berdasarkan analisis ulasan itu, didapati sebahagian besarnya memberi pandangan positif. Mereka hanya berbeza dari segi tahap positif, sama ada memadai dengan sukarela atau bersetuju diwajibkan. Pihak yang menentang ujian saringan beralasan ia bercanggah dengan hak asasi manusia.

Isu HIV/AIDS bukan hanya persoalan kesihatan atau kedoktoran semata-mata tetapi berkait rapat juga dengan isu keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Mereka yang hendak berkahwin adalah dalam rangka membentuk keluarga bahagia dan mewujudkan generasi yang berkualiti. Bagaimana pun persoalan besar timbul ialah mengapa Ujian Saringan HIV/AIDS ini diwajibkan dan bukan sukarela?

Ujian saringan dibuat secara mandatori kerana:

-Pertama: Wabak HIV/AIDS amat menakutkan berbanding penyakit lain dan menyerang dunia secara perlahan-lahan melemah, mengaibkan keluarga dan menghapuskan nasab manusia.

-Kedua: Memenuhi tuntutan Maqasid Syariah, salah satunya ialah menjaga kesucian nasab bagi mewujudkan generasi yang sihat.

-Ketiga: Mencegah kemudaratan yang ada pada individu dan mengelakkan kemudaratan kepada orang lain.

-Keempat: Menutup punca kemudaratan (Saddu az-Zaraa’i) agar tidak mendatangkan kemudaratan yang lebih besar kepada manusia.

-Kelima: Sebagai kempen kesedaran penjagaan kesihatan ‘Mencegah lebih baik daripada mengubati’.

-Keenam: Keputusan resolusi seminar yang dibuat untuk mencegah wabak HIV/AIDS.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor adalah perintis pertama pada 2001 mewajibkan pasangan yang hendak berkahwin menjalani ujian saringan HIV/AIDS. Selepas mendapat sambutan hebat dan kepuasan daripada ibu-bapa, orang alim, imam-imam, pemimpin masyarakat dan bakal-bakal pengantin sendiri maka beberapa negeri lain mengikut jejak negeri Johor.

Negeri Melaka, Perlis dan Selangor mula mewajibkan pada 2005 dan diikuti oleh beberapa negeri lain. Ini bermakna ujian mandatori bukan dibuat secara membuta tuli atau tangkap muat tetapi dibuat secara berperingkat-peringkat dengan mengambil kira analisis persekitaran dan kesan positif ujian saringan itu.

Pada 2007, misalnya seramai 144, 267 orang menjalani ujian saringan HIV/AIDS. Daripada jumlah ini didapati 90 kes (0.04 peratus) positif HIV/AIDS dan 12 kes meneruskan perkahwinan. Sekurang-kurangnya ujian ini telah memberi peringatan dan amaran awal tentang kesejahteraan rumah tangga mereka.

Ujian saringan dibuat di hospital atau di Pusat-pusat Kesihatan Kerajaan dan diurus mengikut piawaian perubatan. Pada ketika ini KKM memberi kerjasama dan sokongan amat kuat pendekatan yang diambil oleh Jabatan Agama Islam ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) menyedari bahawa langkah mandatori itu bukanlah menjamin secara mutlak keberkesanan pencegahan HIV/AIDS. Tetapi ia sebenarnya sebagai sebahagian langkah menyokong pendekatan bersepadu lain yang diambil oleh KKM, Majlis AIDS Malaysia, individu dan lain-lain Pertubuhan Bukan Kerajaan dalam pencegahan HIV/AIDS.

Usaha juga sedang dibuat memberi latihan kepada para imam dan pemimpin agama bagi membantu mengurangi stigma di kalangan masyarakat serta membimbing pembawa HIV/AIDS kembali ke pangkal jalan masyarakat.

Dalam usaha menjalankan pencegahan perkara munkar ingatlah peringatan Allah dalam surah al-Maaidah, ayat 2, bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan janganlah kamu bertolong-tolong pada melakukan maksiat.

- Ghafani Awang Teh ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma), Jakim.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....