Jumaat, 16 April 2010

wahai anak kesayanganku, dengarkanlah perkataan ini...


Dari Abu Abbas, Abdullah bin Abbas r.a :
Bahawa pada suatu hari saya sedang berada di belakang Rasulullah SAW
(di atas binatang tunggangannya) , lalu sabda baginda :

' Wahai anak kecil, sesungguhnya aku telah mengajar kamu beberapa perkataan.

Peliharalah (perintah) Allah, nescaya Dia akan memelihara kamu,

peliharalah (kehormatan) Allah, nescaya engkau akan merasakan Dia berada bersama-samamu.

Jika engkau memohon, pohonlah kepada Allah semata-mata.

Jika engkau meminta pertolongan mintalah kepada Allah semata-mata.

Ketahuilah bahawa jika semua umat manusia berkumpul untuk memberikan kepadamu sesuatu menafaat, nescaya mereka tidak akan mampu memberi menafaat itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditaqdirkan oleh Allah.

Begitu juga sekiranya mereka berkumpul untuk menentukan suatu mudharat untuk kamu, nescaya mereka tidak akan mampu menentukannya, melainkan dengan suatu yang telah ditentukan Allah ke atas kamu.

Telah diangkat kalam ( tulisan ) dan telah kering ( tinta ) buku catitan. '

(HR. Turmuzi dan dia berkata : Haditsnya hasan shahih).



Hari Khamis = Hari Mengajar BIOLOGI form 4!!

Emak bertanya “Kakak dah siap?” Ha.. saya masih belum bersiap-siap untuk pergi mengajar. Tinggal 1 jam ½ lagi kelas akan bermula. Perjalanan nak ke sana pula mengambil masa 40 minit (kalau takde traffic jam).

“Kakak.. dari zaman sekolah mak jaga, sampai zaman dah jadi cikgu pun mak nak kena jaga…”emak mula gelisah. Mata emak memandang ke arah jam dinding. Maafkan kakak emak, tak berniat nak buat emak risau.
“Mak kena jaga kakak sampai kakak kahwin la..hehe” sempat saya menjawab sekadar nak bergurau. Bergurau yang memang betul pun kan. Emak menggelengkan kepala.

½ jam lagi.. semoga takada traffic jam. Rawang terkenal dengan traffic jam!!
So sepanjang jalan berzikir-berzikir dan berzikir.. hanya Allah yang boleh membantu.. Ya Allah, saya tahu saya yang bersalah sebab saya bersiap lambat tapi please ya Allah.. tolong lapangkan urusan hambaMu ini…

Alhamdulillah saya sampai sana awal 1 minit.. Alhamdulillah~~~



Memulakan kelas dengan Ummul Kitab.. Alfatihah..

anak-anak murid saya ini pelbagai ragamnya. Datang dari pelbagai background. ada yang berseluar pendek dan ada yang bertudung labuh. Semoga apa yang ingin saya sampaikan dapat meresap ke dalam hati-hati mereka.. semoga tempoh singkat kami bersama ini mendapat rahmat kasih sayang dari Allah.. (sementara menunggu staf tolong fotostatkan bahan-bahan untuk students, saya mengambil peluang 10 minit untuk memberi pengisian rohani)

“Ok.. pernah dengar hadis ‘Sesungguhnya Allah swt tidak melihat rupa paras dan harta benda kamu, tetapi Allah swt melihat hati dan amalan-amalan kamu’ ? ”soal saya.

semua menggeleng kepala. ada yang menjawab dengan membuat bunyi bising dan membuat mimik muka yang pelik. Adiklelaki yang berseluar pendek itu duduk di hadapan sekali. segera ditariknya hujung seluar untuk menutup hujung lututnya sambil tersenyum-senyum kepada saya.

“kak, dia malu kak..”kawannya memberi komen. saya membalas dengan senyuman. Syukurlah dia masih ada rasa malu.. rasanya tidak perlulah saya explain lebih lanjut kepada dia.. adik-adik yang nakal dan suka buat bising inilah yang menceriakan kelas ini. mereka tidak henti-henti membuat saya terhibur dengan telatah mereka. alhamdulillah..

“akak ada satu true story..” saya biasa membahasakan diri kakak berbanding cikgu. sebab saya memang bukan cikgu pun.. kelas tuisyen yang saya conduct lebih berbentuk study group. Untuk adik-adik sekolah menengah, mereka akur memanggil saya kakak. Tetapi adik-adik sekolah rendah memanggil saya kejap teacher.. kejap cikgu.. kejap ustazah.. mana-mana yang mudahlah.. tak kisahlah…

“true story... kisah tentang seorang pemuda yang tak hensem…”saya merenung wajah-wajah anak-anak murid kesayangan saya.. mereka memberi senyuman. dan saya balas dengan senyuman..

“miskin.. tak ada harta apa-apa…”sambung saya lagi.. mereka semakin fokus. semua sudah duduk diam dan cuba menghayati kisah saya..

“yang ada pada dia cumalah seorang ibu yang uzur…” kali ini saya memandang dalam-dalam wajah anak-anak murid saya, baik lelaki mahupun perempuan. Tahukah anda anak-anak sangat mudah untuk disentuh apabila kita menyebut perihal ‘ibu’?



kisah nya begini…

Nabi berpesan kepada Umar dan Ali :

“ Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. ”

Kita telah mengenali siapa dia Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali iaitu orang-orang yang telah disenaraikan sebagai “ al-Mubasyirun bil Jannah ” iaitu mereka sudah dijamin masuk syurga. Nabi seterusnya berkata kepada Umar dan Ali :

“ Di zaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doanya sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”



Siapakah Uwais Al-Qarni?

Asalnya berpenyakit sopak, badannya putih, putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia seorang berpenyakit sopak tetapi dia seorang yang soleh, terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Dia sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaga dia sampai dia dewasa.

Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin sangat untuk pergi mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya mengikhtiarkan dan mengusahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang untuk pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya “ Haudat ”. Haudat ini seperti rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian, unta pun dia tidak ada, nak sewa pun tidak mampu.

Ibu Uwais semakin uzur hari demi hari dan berkata kepada anaknya pada suatu hari :
“ Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji. ”

Uwais mendapat suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” iaitu sebuah tanah tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari dia dukung anak lembu untuk naik ke atas “Tilal”. Pagi esoknya dia dukung lembu itu turun dari “Tilal” untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang kata dirinya gila.

Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.

Selepas lapan bulan, telah sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekkah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang berat sekitar 50kg. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya :

“ Uwais, apa yang kamu doa sepanjang kamu berada di Mekah? ”

Uwais menjawab :

“ Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.

Ibunya bertanya lagi :

“ Bagaimana pula dengan dosa kamu? ”

Uwais menjawab :

“ Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya maka
saya juga masuk syurga. “

Ibunya berkata lagi :

“Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini. “

Uwais berkata :

“ Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala. “

Ibunya menambah :
“ Kalau nak masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, ibu perintahkan engkau berdoa. ”

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang ibunya minta supaya Allah sembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa :
“ Tolonglah Ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkan sedikit. ”

Allah s.w.t. menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Nabi s.a.w. kepada Umar dan Ali.
'Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu dialah Uwais al-Qarni."

Tidak lama kemudian, ibunya telah meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Sayyidina Umar dan Sayidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. , mereka meminta supaya Uwais berdoa agar Allah swt. mengampunkan semua dosa-dosa mereka. Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Umar dan Ali, dia berkata :

“ Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Nabi kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku."

Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.



Moral of the story ?

staf pusat tuisyen menghantar bahan-bahan fotostat..

"apa moral from this story?" soal saya sambil mengedarkan bahanfotostat. Pelbagai jawapan diterima.. semua jawapan boleh diterima, no right no wrong sebab itu adalah pandangan masing-masing..

"bagi akak, pengajaran yang akak dapat ialah berbuat baiklah walaupun kamu tidak dipandang oleh manusia ataupun disalah faham oleh manusia, sebab Allah akan tetap memandang kamu dan memahami kamu..."terang saya.

Sabda Rasulullah saw ,

"Sesungguhnya Allah swt tidak melihat rupa paras dan harta benda kamu, tetapi Allah swt melihat hati dan amalan-amalan kamu".

(HR Muslim).

“ok.. sekarang mari kita mulakan chapter 2, tajuk kita hari ini ialah…”saya mengeluarkan 3 batang whiteboard marker merah, biru dan hitam lalu memulakan topik hari itu.


wahai Allah yang Paling Penyayang, jadikanlah kami anak-anak yang soleh solehah.. jadikanlah keturunan-keturunan kami soleh solehah.. peliharalah kami pada setiap detik dan saat.. berilah hidayah pada kami.. dan jadikanlah kami punca hidayah kepada orang sekeliling kami... amin ya Mujib..


Ya Allah... aku tidak mahu menyesal.. aku mahu mengingati Mu setiap detik dan saat dalam hidupku..

2 ulasan:

  1. best cara akak bercerita. lama tak dengar cerita Uwais nie. harini dapat review cerita ni. thanks kak!

    hadis tu hadis favorite saya juga. (^_^)

    moga terus istiqamah dalam mengejar cintaNya..

    BalasPadam

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....