Khamis, 27 November 2008

kerana aku seorang 'wanita'


alhamdulillah!! jumpa akhirnya!... sebelum ni masa merayau di internet.. terjumpa poster cun tentang petikan kata-kata al Qaradhawi tentang wanita.. semenjak dari tu hati saya tak tau kenapa nak sangat-sangat dengar ulasan yang lebih details tentang pandangan ulama besar ni tentang wanita.. hm.. mungkin kerana.. fitrah.. fitrah kerana diriku seorang wanita.. :-) (rujukan pada tajuk post ni)

Al-Qaradhawi merupakan seorang intelektual Islam terkemuka di zaman ini. Seorang panglima yang membela Islam di saat virus "Islamiphobia" melanda dunia hampir keseluruhanya. Dengan pandangan beliau yang sederhana dan kontemporari, al Qardhawi membawakan imej Islam yang lebih mendapat tempat di hati umat Islam dan bukan Islam. Malah ketegasan beliau dalam memberikan respon terhadap pelbagai masalah umat membuatkan pandangan beliau sentiasa di buru media dan orang perseorangan. Al-Qaradhawi merupakan salah satu sosok besar umat buat masa ini. Justeru tidak hairanlah sekiranya ada pihak yang menobatkan beliau dengan gelaran al Imam al Qaradhawi sebagai satu pengiktirafan terhadap ketinggian kesarjanaan beliau. Justeru tulisan ini tidak berhajat untuk mengupas kesemua persoalan yang pernah dibangkitkan oleh beliau tetapi akan memfokuskan padangan beliau kepada hal ehwal wanita yang kelihatannya amat murung di sesetengah negara umat Islam.

Pada pandangan al Qaradhawi, Islam telah meletakan satu pengiktirafan yang sangat besar terhadap golongan wanita. Malah menurut al Qaradhawi wanita turut memikul beban syariat yang sama seperti lelaki. Mereka diperintahkan oleh Allah untuk beribadat kepada Allah, menegakan agamanya, melaksanakan kewajiban, menjauhi laranganNya, berhenti pada batasan-batasanNya, menyeru manusia pada agama Allah, menyuruh pada yang makruf dan mencegah pada yang mungkar. Al Qaradhawi juga menyatakan semua perintah agama diturunkan kepada lelaki dan perempuan kecuali jika ada dalil yang mengkhususkan kepada wanita sahaja. Seandainya Allah berfirman "Wahai manusia atau wahai orang-orang yang beriman" maka sesungguhnya seruan tersebut mencangkupi lelaki dan wanita. Kerana inilah Ummu Salamah yang sedang sibuk dengan urusannya mendengar Rasulullah mengatakan "wahai manusia" beliau bergegaskeluar memenuhi panggilan Rasulullah. Sebahagian dari orang hairan melihat beliau lantas Ummu Salamah menjawab "saya adalah seorang manusia".

Al Qaradhawi juga menyatakan bahawa wanita di zaman ini perlu memainkan peranan yang sama penting dengan lelaki dalam bidang amal islami. Beliau mengungkapan sirah yang menunjukan peranan wanita dalam penyebaran Islam seperti mana yang dilakukan oleh Khatijah, orang pertama yang membenarkan ajaran yang dibawakan oleh Rasulullah dan Sumayyah, syuhada pertama dalam Islam. Peranan wanita tidak sekadar terhenti di situ, malah wanita di zaman Rasulullah juga turut terlibat secara langsung dalam beberapa siri peperangan di jalan Allah seperti Perang Uhud dan Hunain dan banyak medan jihad yang lain. Bahkan dalam kita Sahih Bukhari termaktub satu bab iaitu bab Perang Kaum Wanita. Demikian sirah menunjukan interanksi wanita dalam menyebarkan ajaran Islam yang tidak sedikit sumbangan mereka.

Dalam pada inilah, al-Qaradhawi menyeru kaum wanita agar kembali kepada peranan mereka yang asal dan seterusnya menyumbang kepada perkembangan Islam pada zaman ini. Pada al-Qaradhawi wanita tidak seharusnya sekadar melihat sahaja kaum lelaki melaksanakan amal Islami, malah mereka juga perlu berpatisipasi dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh Allah. Bukanlah Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 195. "Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang Yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya Yang lain; maka orang-orang Yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan Yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga Yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan augamaKu, dan Yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan Yang terbunuh (gugur Syahid Dalam perang Sabil) - Sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan Sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. dan di sisi Allah jualah pahala Yang sebaik-baiknya (bagi mereka Yang beramal soleh)".

Dan sabda Rasulullah "sesungguhnya kaum wanita itu adalah saudara kaum lelaki" (Hadith riwayat Ahamd, Turmizi, Abu Dawud, dan ad Darimi)


Al Qaradhawi turut menyinggung peranan yang dimainkan oleh wanita Yahudi, Kristian dan komunis yang sanggup berkorban dan bekerja demi memperjuangan ajaran mereka. Mereka telah mengorbankan waktu dan harta kerana menyakini bahawa itu merupakan kewajiban yang telah dibebankan di bahu mereka. Bahkan kita dapat melihat ada di antara mereka yang hidup ditengah-tengah hutan belantara, memasuki daerah-daerah tandus dan gersang. Justeru masakan wanita muslimah kita harus sekadar berada di dalam sangkar emas dan tidak tergerak hati mereka untuk membantu umatnya yang berdepan dengan bencana dan menentang kebatilan yang bermaharajalela? Dari sinilah al Qaradhawi tergerak untuk menyeru kaum muslimah kita agar turut sama membantu menggerakan kekuatan dan berbakti untuk agamanya. Justeru al Qaradhawi mencadangkan tiga usul untuk diperhatikan oleh kaum muslimah.

Pertama, bekerjasama dengan sesama wanita untuk menyedarkan kaum wanita dan mempersiapkan mereka untuk membantu agama ini dan seterusnya memberikan sumbangan dalam amal islami. Al Qardhawi menegaskan bahawa medan ini bukanlah sempit seperti yang difahami oleh sesetengah golongan tetapi meluaskan skop dan tidak terhad sekadar kepada kaum muslimah yang beriman malah menghampiri wanita muslimah yang masih kabur pemahamannya mengenai Islam. Mereka ini perlu digarap oleh wanita yang sedar dan memahami ajaran Islam. Menurut al Qardhawi, umat Islam mempunyai masalah dalam memahami ajara Islam. Ini kerana ada pihak yang menyatakan Islam sekadar solat, puasa, zakat dan Haji semata-mata. Mereka lupa satu tanggungjawab yang tidak kurang pentinganya iaitu dakwah, menyeru manusia agar kembali kepada Allah serta nasihat-menasihati dengan kebenaran dan kesabaran sesuai seperti yang difirmankan oleh Allah : "Saling tolong menolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa" (al Maidah: 2)

Kedua. Menurut al Qardhawi, wanita muslimah juga mempunyai peranan yang tidak kurang penting dalam sistem kekeluargaan. Peranan mereka amat besar dalam mendidik anak-anak dan suami untuk mentaati perintah Allah. Seandainya ada dalam keluarga wanita tersebut yang bergelumangan dalam aktiviti dakwah, maka wanita tersebut mempunyai peranan yang amat besar sebagimana isteri para Salafus soleh. Ini dapat dilihat seperti mana yang dilakukan oleh Khansa' ketika memberikan nasihat kepada keempat anaknya ketika Perang Qadisiyyah atau seperti Asma' binti Abu Bakr Dzatu Nithaqain kepada anaknya Abdullah bin Zubair.

Ketiga, wanita Muslimah juga boleh berperanan penting dalam masyarakat dengan melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan masyarakat. Misalnya seorang wanita muslimah itu seorang dai'e, atau pendidik, sasterawan, maka mereka boleh berperanan dengan memasukan nilai Islami dalam perkerjaan yang mereka kerjakan. Seandainya mereka tidak mempunyai kebolehan tersebut, mereka boleh juga berperanan walapun sangat kecil seperti membuang batu-batu kelikir yang menganggu jalan dakwah!

Akhir sekali al Qaradhawi membayangkan peranan besar yang boleh dimainkan oleh kaum muslimah kerana mereka mempunyai potensi yang sama sekali tidak ada pada kaum lelaki. Beliau mengungkapan bagaimana al Quran menceritakan peranan yang pernah dimainkan oleh Ratu Balqis yang memerintah negara Saba' yang dengan hikmah dan keberaniannya telah memimpin kaumnya seperti yang termaktub dalam surah an- Naml. Pada pandangan al Qaradhawi kebanyakan wanita muslimah kini lebih berperanan dan berjaya ke hadapan dalam bidang pelajaran dan ilmu berbanding dengan lelaki yang telah disibukkan dengan "make up" kereta kesayangan mereka!

my notes: Ya Allah.. jadikanlah diriku, keluargaku dan sahabat2 ku srikandi agamaMu.. jadikanlah kami penyejuk mata dan penyejuk hati orang2 beriman.. peliharalah kami pada setiap detik dan saat agar sentiasa dalam redhaMu.. amin ya Allah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....