Jumaat, 14 November 2008

tabika kucing.. sweetnye~~

pagi yg indah..

hm.. masa baca Berita Harian, hati tetiba terasa nk g view2 arkib BH.. and tjumpa sumthing sweet.. mengingatkn kpd Abu Hurairah, sahabat Nabi saw & juga seorg periwayat hadis..
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
rencanabh@bharian.com.my




Jamilah Lee membela 17 ekor haiwan kesayangan di sebuah rumah teres setingkat di Rawang, Selangor

RAMAI tidak mengetahui dan sukar mempercayai insan berjiwa murni membuka Pusat Penjagaan Kucing yang mesra juga dikenali 'Tabika Kucing'. Apa juga pandangan masyarakat setempat, Jamilah Lee Abd Rahman, 52, tidak kekok dengan aktivitinya yang ikhlas membela haiwan kesayangan itu.

Mesra dikenali sebagai 'Kak Lah Kucing', wanita ini sanggup menghambakan dirinya memelihara 17 kucing tersayang yang ditempatkan bersama di sebuah rumah teres setingkat di Bandar Bukit Sentosa di Rawang, Selangor.

Tambahan pula, hidup sebatang kara pada usia emas menuntut kesabaran tinggi menghadapi pelbagai dugaan melanda.

Katanya, sejak kematian suami tercinta, Abd Samad Ahmad, 65, pada 2006 yang menghidap sakit jantung, hidupnya begitu sunyi bagaikan hilang arah tuju.

"Saya tetap bersyukur kerana kucing yang dianggap 'anak' sendiri bijak mengambil hati setiap masa. Perkahwinan saya pada lewat usia itu lebih malang kerana saya tidak mempunyai zuriat sendiri.

WAJAH manja Betty yang disayanginya.

"Sebenarnya minat memelihara kucing ini subur dalam diri sejak zaman remaja. Ini mendorong saya meneruskan hobi membelai kucing sehingga kini," katanya. Selain memelihara kucing sendiri, rumahnya juga menjadi tumpuan jiran dan penduduk setempat untuk menempatkan sementara kucing ketika mereka ingin pulang bercuti ke kampung.

Katanya, setiap kucing peliharaannya itu mempunyai nama manja tersendiri, sentiasa aktif dan bijak melayaninya ketika nama mereka disapa. Beliau memiliki kucing jenis Parsi, kucing biasa dan campuran beberapa baka tempatan dan luar negara yang dibeli serta ditemui sendiri.

Sebelas kucing betina dan lima jantan yang dibela itu dikenali dengan pelbagai nama, antaranya, Mimi, Jaja, Girl, Darling dan Didi. Setiap haiwan itu mempunyai tabiat dan kelakuan berbeza yang cukup menghiburkan hati pemiliknya itu seperti telatah kanak-kanak yang pandai merajuk, bergurau dan kelakar.

"Kuching diberi makanan khas berharga RM130 sebungkus (10 kilogram) yang dianggarkan mencecah RM500 setiap bulan. Selain ubat cacing, demam dan cirit-birit turut disediakan kepada yang mengalami sakit seperti itu," katanya.

JAMILAH mendodoikan 17 kucing apabila sampai waktu tidur.

Setiap hari kucing kesayangannya itu tidur bersama atas katil dalam bilik. Sebelum itu, mereka juga bijak menonton televisyen bersamanya.

Katanya, oleh kerana tinggal bersama kucing itu setiap hari, beliau tidak memasak makanan untuk dimakan sebaliknya dihantar bapanya, Lee Abd Rahman, 80, yang tinggal di taman berdekatan rumahnya.

"Ramai jiran dan rakan tahu saya begitu sayangkan kucing ini. Mereka begitu yakin menempatkan kucing peliharaan sementara waktu di sini ketika mempunyai pelbagai urusan lain.

"Kucing saya kebiasaannya pandai membawa diri dan menjaga kelakuan masing-masing. Mereka sentiasa diajar bijak melayani tetamu. Saya sering berpesan bahawa seperti mana mereka disayangi, begitu juga kucing lain (tetamu) perlu disayangi juga tanpa memilih kasih," katanya yang juga bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah kantin sekolah rendah swasta di Bukit Sentosa.

Yang istimewanya, kucing peliharaan Jamilah tidak membuat kotor dan mengganggu barangan hiasan yang disusun dalam rumah.

Aktiviti kucing itu juga disusun sempurna seperti kanak-kanak yang berada di tadika termasuk jadual makan, tidur, membuang najis dan bermain di kawasan kolam buatan di luar rumah dengan rakan masing-masing.

Hati kecil wanita ini cukup sensitif akan dunia kucing. Beliau sukar menerima hakikat sekiranya ada kucing mati dilanggar kenderaan depan mata. Peristiwa seekor kucing jalanan mati dilanggar kereta depan rumahnya beberapa tahun lalu cukup menyayat hati dan menusuk kalbu.

Setiap hari sebelum keluar bekerja, jam 7 pagi, Jamilah akan mengejutkan kucingnya untuk mandi, bersarapan dan membersihkan diri di bilik mandi.

Tepat jam 6 petang, semua 'anaknya' itu sedia menanti di pintu penuh pengharapan agar 'mama' tercinta pulang membelai mereka. Setiap ekor kucingnya itu mempunyai perbezaan umur masing-masing. Betty adalah yang tertua mencecah 13 tahun tetapi kenakalannya cukup menghiburkan Jamilah.

Beliau berkata, Betty pandai mengambil hatinya dengan melakukan pelbagai suruhan seperti memicit badannya di kaki yang mengalami sengal-sengal tulang.

Setiap kucing itu ada rezeki masing-masing dan selagi tinggal bersamanya di situ, kucing itu akan selamat.

"Saya sentiasa berdoa kepada Tuhan agar dipanjangkan umur supaya dapat menjaga mereka sebaik mungkin. Bagaikan sukar menerima hakikat sekiranya saya meninggal terlebih dulu daripada semua kucing yang dibela ini. Saya serahkan kucing kepada ayah saya untuk menjaganya walaupun tidak sempurna seperti di bawah jagaan ini," katanya.

Sekiranya mempunyai modal mencukupi, Jamilah bercadang membela lebih banyak kucing di rumahnya dan memiliki kawasan rumah selesa untuk menempatkan mereka.

Pelbagai keperluan lain seperti alat permainan untuk kucing akan ditambah untuk memberi keselesaan kepada mereka.

Lillah's notes: nak buka umah perlindungan meow ke, nak buka umah perlindungan kanak2?? .. buka dua2 je la.. ^_^

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....