Jumaat, 7 November 2008

hukum kerjaya yg memiliki unsur tidak halal


Takut nya hati ni Allah shj yg tau..
Hari ni makanan yang halal dan haram sukar nak ditentukan.. produk kegunaan harian pun sama.. sometimes walaupun dah ada tanda halal pada produk tu, rupa-rupanya benda tu syubhah pulak.. ish3..

p/s: teringat masa 1st year dulu, a.izzat tanya lillah, apa yg lillah akan buat jika lillah bekerja di syarikat yang terlibat dgn yg haram ni.. hehe, masa tu dgn penuh yakin lillah menjawab. "Berhenti! Sebab rezeki Allah yang bagi sedangkan kerje ni cuma 1 usaha.." ..

sekarang dah final year ni, tambah 1 lagi kerisauan..
tentang persoalan hukum kerjaya yang memiliki unsur2 tidak halal..
terjumpa sumthing intresting ni.. lets share, moga sahabat2 lain pun dapat knowleg..insya'Allah.. :-)

Ada 4 persoalan popular ttg perkara ni:

1. Syarikat yang menghasilkan barangan-barangan yang tidak halal seperti arak.

2. Syarikat yang tidak membayar zakat perniagaan.

3. Syarikat yang melakukan pelaburan dalam sesuatu yang tidak halal.

4. Syarikat yang berhutang secara riba.

5. Bank atau syarikat insuran konvesional.

Lalu bagaimanakah hukum bekerja di syarikat-syarikat seumpama di atas?

Yang jelas setiap mukmin yang bertaqwa wajib mencari kerjaya yang jelas bersih dan halal sepenuhnya. Akan tetapi realiti masa kini menyukarkan seseorang itu untuk memiliki kerjaya yang bersih 100%. Atas pelbagai faktor yang tidak dapat dielakkan seseorang itu terpaksa mencebur diri dalam sesuatu kerjaya seumpama di atas. Dalam kesempitan seperti ini syari‘at Islam ada memberi jalan keluar, iaitu:

Pertama: Hendaklah seseorang itu menjauhkan dirinya daripada melakukan dosa-dosa yang besar. Khas dalam kerjaya yang diceburinya, hendaklah dijauhkan diri daripada terlibat secara langsung dalam unsur yang haram dalam kerjaya tersebut. Contohnya janganlah seseorang itu mengambil pinjaman secara riba jika dia bekerja di bank konvesional dan janganlah minum arak jika dia bekerja sebagai pemandu lori yang mengedarkan arak.

Jika seseorang itu menjauhkan dirinya daripada dosa-dosa besar maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan mengampunkan dosa-dosanya yang lain, khas di sini ialah dosa yang berkaitan dengan kerjaya yang terpaksa diceburinya. Firman Allah:

Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga). [al-Nisa 4:31]

Kedua: Hendaklah seseorang itu memperbanyakkan amal salih dan kebajikan. Amal salih yang dimaksudkan tidaklah terhad kepada sesuatu yang wajib sahaja tetapi meluas kepada lain-lain amalan sunat yang dianjurkan oleh syari‘at. Amal salih itu sendiri ada dua jenis, satu adalah apa yang manfaatnya pulang kepada diri pelakunya sahaja manakala yang kedua adalah apa yang manfaatnya meluas kepada masyarakat dan juga kepada diri pelakunya. Amal salih jenis kedua adalah jauh lebih utama dan lebih besar ganjarannya daripada amal salih jenis pertama.

Contoh amal salih yang manfaatnya pulang kepada diri pelakunya adalah sembahyang sunat, puasa sunat dan umrah. Contoh amal salih yang manfaatnya meluas kepada masyarakat dan diri pelakunya adalah sedekah untuk rumah anak yatim, gotong royong menjaga kebersihan surau atau rumah orang yang hilang upaya dan menjadi sukarelawan bersama beberapa pertubuhan Islam (Islamic N.G.O.).

Apabila seseorang itu memperbanyakkan amal salihnya, Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan menghapuskan kesalahan-kesalahan orang tersebut. Allah berfirman:

Sesungguhnya amal-amal kebajikan menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. [Hud 11:114]


Walaubagaimanapun perlu diingatkan bahawa sekalipun syari‘at Islam ada memberi dua jalan keluar di atas, tidaklah bererti ia merupakan satu-satunya pilihan bagi seseorang mukmin. Yang utama dia tetap patut berikhtiar untuk “berhijrah” mencari satu kerjaya yang paling bersih daripada pencemaran unsur-unsur yang diharamkan. Bumi Allah ini adalah sangat luas lagi dipenuhi dengan pelbagai rezeki kurniaan-Nya bagi sesiapa jua yang mencarinya. Allah berfirman:

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah, nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur. [al-Nisa’ 4:100].

Walaubagaimanapun, jika seseorang itu memilih kerjaya yang dalamnya memiliki unsur yang tidak halal kerana pada ijtihadnya dalam kerjaya tersebut terdapat beberapa manfaat demi kebaikan umat Islam, maka dibolehkan dia untuk terus berkecimpung dalam kerjaya tersebut. Pada waktu yang sama hendaklah dia tetap menjauhkan diri daripada dosa-dosa besar sama ada yang berkait langsung dengan kerjaya tersebut atau tidak dan memperbanyakkan amal salih sebanyak mungkin. Tidak ketinggalan adalah memohon keampunan dan petunjuk daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala seandainya ijtihadnya tersebut adalah tidak tepat.

Rujukan: Buku 3, Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah oleh Hafiz Firdaus Abdullah.

http://www.hafizfirdaus.com/ebook/HimpunanRisalah-3/Tajuk%208.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....