Wahai Pesuruh Allah.. Wahai Kekasih Allah.. Pembawa kebenaran untuk semua umat.. kami terhutang budi, Engkau pembawa hidayah yang tidak dapat dinilai harganya..
Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..
Rasulullah saw sangat bersungguh-sungguh memberi galakan dan menerangkan kelebihan2 tentang setiap perkara kepada umat Islam. Tanda syukur dan penghargaan sebenar ialah dengan mengamalkan ajaran-ajaran yang baginda sampaikan dengan bersungguh-sungguh. Namun demikian kerana kecuaian dan tidak gemarnya kita terhadap agama begitu ketara dan bertambah dari sehari ke sehari , hinggakan rasa hendak beramal ibadah semakin jauh. Bahkan disebabkan sikap kita yang tidak lagi memberi tumpuan dan perhatian pada amalan-amalan ibadah menyebabkan pengetahuan tentangnya pun sudah berkurangan dikalangan orang ramai..
Ya Allah ampunilah kami.. Berilah hidayah petunjuk kepada kami.. Bimbinglah kami dalam ibadah kami.. kami tak berdaya tanpa Engkau..
Tujuan saya coretkan hal di atas dan hal yang bakal saya sampaikan kerana besarlah harapan saya agar pembaca budiman blog saya ini mempunyai sedikit sebanyak keghairahan agama, membaca dan menyampaikannya kepada sahabat-sahabat dan keluarga masing-masing. Amatlah diharapkan rahmat Allah swt melalui keberkatan perkongsian sedikit ilmu ini untuk kita sama2 memperbaiki amal ibadah kita seterusnya membersihkan zahir dan batin(hati) kita secara menyeluruh..
Rasulullah saw bersabda, ”Seandainya dengan sebab kamu, Allah swt memberi hidayah kepada seseorang maka ia adalah lebih baik dari unta-unta merah (yang dianggap sebagai harta yang paling bernilai).”
Bulan Ramadhan yang mubarak, sebenarnya adalah satu anugerah yang sangat besar dari Allah swt untuk orang-orang Islam, tetapi hanya jika kita benar-benar menghargainya. Kalau tidak, kitalah yang rugi. Kita tidak akan memperoleh apa2 kecuali melaungkan ’Ramadhan..Ramadhan..!’ sahaja sepanjang bulan tersebut.
Dalam satu hadith terdapat kenyataan , ”Sekiranya manusia mengetahui apakah itu Ramadhan, maka umatku akan berkeinginan bahawa sepanjang tahun adalah Ramadhan.” Setiap orang faham bahawa untuk berpuasa sepanjang tahun adalah perkara yang sangat susah tetapi apabila dibandingkan dengan pahala bulan Ramadhan, Rasulullah saw mengatakan orang ramai akan bercita-cita untuknya.
Dalam satu hadith dinyatakan bahawa berpuasa di bulan Ramadhan dan berpuasa tiga hari pada 13,14,15 setiap bulan Islam akan menghilangkan kekotoran dan was-was di dalam hati. Pastinya ada sesuatu kelebihan sehingga para sahabat r.a tetap menjaga puasa Ramadhan dalam perjalanan jihad walaupun telah berkali-kali diberi izin oleh Rasulullah saw untuk berbuka puasa, sehingga baginda terpaksa mengeluarkan perintah melarang mereka berpuasa.
Dalam kitab Muslim terdapat satu hadith menyatakan bahawa para sahabat r.a telah berhenti di suatu tempat dalam satu perjalanan ghazwah (semua safar jihad yang Rasulullah saw bersama dengan sahabat). Keadaan cuaca adalah terlalu panas dan kedaifan begitu menghimpit hinggakan setiap orang tidak mempunyai kain yang cukup untuk melindungi diri mereka dari kepanasan cahaya matahari.. ramai yang hanya melindungi diri mereka dengan tangan-tangan sahaja.. dalam keadaan sedemikian pun ramai di antara mereka yang masih berpuasa hingga tidak mampu berdiri lagi lalu menyebabkan mereka jatuh. Terdapat juga sekumpulan sahabat yang berpuasa hampir sepanjang tahun.
Begitu banyak hadith-hadith yang menerangkan berbagai-bagai kelebihan tentang Ramadhan telah diriwayatkan oleh Nabi saw. Saya akui adalah di luar kemampuan diri saya yang penuh dengan kekurangan ini untuk menghuraikan panjang lebar kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan, Lailatulqadar dan I’tikaf..
Meskipun ada para pembaca yang budiman merasakan terlalu awal untuk kita memperkatakan soal Ramadhan, saya merasakan persediaan menyambut Ramadhan hendaklah bermula sekarang. Dengan persediaan awal dari segi ilmu dan latihan puasa-puasa sunat serta pemantapan ibadah2 lain seperti qiamullail hendaklah bermula dari saat ini. Jika kita menangguh, kita akan terus menangguh hingga akhirnya bila tersedar esok sudah masuk hari pertama Ramadhan sedangkan tiada sesuatu ilmu atau amalan yang kita sediakan untuk menyambut bulan itu.
Sahabat-sahabat yang dikasihi,
Kita bukan robot yang dengan mudah boleh diubah ’setting’ apabila hendak ke keadaan lain. Kita manusia yang penuh dengan kebebalan dan kedegilan yang memerlukan tempoh dan masa untuk berbah. Karat-karat hati perlu dikikis sedikit demi sedikit dengan harapan apabila tiba bulan Ramadhan, hati yang berkarat tadi sudah bersih.. dan semoga sudah boleh memancar sinarnya.. Insya’Allah...
Akhir sekali, saya dengan penuh tidak segan silu berharap agar sahabat-sahabat turut sama mendoakan saya , seorang yang penuh berdosa ini.. adalah diharapkan dengan berkat doa sahabat2 yg tulus, Allah yang Maha Pemurah turut mengurniakan kepada hamba kerdil ini kasih sayang dan keredhaanNya..
Jazakallah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum... :)