Sabtu, 29 Mac 2008

maruah saudara Islam.. (Keutamaan yang sering terabai dlm berDAKWAH)




Dalam kita menyahut seruan Nabi Muhammad saw yang tercinta, kita seringkali terlepas pandang sunnah-sunnah baginda dalam bergerak kerja.. kemudian apabila hasil dakwah kita mengecewakan, kita bersedih hati hingga ada yang berputus asa dan berhenti berdakwah..

sahabatku yang amat-amat saya sayangi..

izinkan saya berkongsi coretan ini agar kita sama-sama dapat memperbaiki usaha dakwah kita.. saya tidak memberi jaminan bahawa jalan dakwah yang kita pilih ini akan semakin mudah.. tetapi saya berharap kegigihan kita dalam memperbaiki kualiti usaha dakwah kita dari semasa ke semasa ini mendapat belas kasihan Allah dan seterusnya memberkati usaha kecil kita ini.. semoga sedikit bakti yang dicurah ini akan menjadi begitu besar nilainya di sisi Allah Yang Penyayang..

sahabat2ku..
kita berada di atas satu jalan yang sama..
kita mahu ke destinasi yang sama..
ada di antara kita yang begitu cepat melangkah, ada yang lambat..
ada yang berjalan lurus, ada yang jatuh bangun..
semoga di destinasi terakhir, tiada seorang pun di antara barisan kita tercicir di tengah jalan..

sahabat2ku..
saya berharap apa yang saya bakal coretkan ini dapat menyentuh hati sahabat-sahabat dengan baik.. hakikatnya, hati yang saya fokuskan untuk disentuh ialah hati sendiri.. kerana hati saya selalu terlupa dan terlalai dengan ujian dalam nikmat yang Allah beri ni.. kepada sahabat fillah yang mengenali saya dengan mata kasar mereka, ingat-ingatkanlah saya selalu.. saya takut.. saya takut saya akan hanyut dalam dunia fana ni.. tegurlah saya, berilah saya nasihat.. saya takut di akhirat nanti saya akan menangis penuh penyesalan.. andai teguran sahabat-sahabat akan mengguris hati saya dan menyebabkan saya menangis, itu jauh lebih baik dari membiarkan saya menangis menyesal yang sia-sia di hadapan Ya Rabbul Izzati..

kepada sahabat-sahabat fillah yang online utk blog ini, doakan saya agar hamba daif ini terus setia dalam mengosongkan hatinya dari makhluk dan dunia.. dan hanya mengisi hatinya dengan cinta tulus Yang Esa dan Rasulullah saw..

+++
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Dalam kita berdakwah, kita seringkali terbuai dengan semangat yang begitu membara sehingga terlupa beberapa perkara.. kalaupun kita tidak lupa, kita mengabaikannya pula..
apakah perkara itu?
betapa ramai di antara kita yang sanggup mendedahkan keaiban seseorang Islam yang lain ketika berdakwah. sedangkan maruah seseorang Islam adalah sesuatu yang sangat mulia dan berharga..

Nabi saw bersabda : "Sesiapa yang menutup keaiban saudara Islamnya, Allah swt akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Allah swt akan menolong hambaNya selagi hambanya itu menolong saudaranya."(Muslim & Abu Daud)

di hadith lain baginda bersabda: "Sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, Allah swt akan menutup keaibannya pada hari kiamat dan sesiapa yang mendedahkan keaiban saudaranya yang Islam, Allah swt akan mendedahkan keaibannya, sehingga dia akan dimalukan di dalam rumahnya sendiri." (Ibnu Majah)

ringkasnya, terdapat banyak riwayat yang mempunyai maksud yang sama dengan hadith di atas.. oleh itu sahabat-sahabat yang dikasihi, kita sebagai pendakwah sangat perlu menyembunyikan keaiban seseorang dan yang lebih penting daripada itu menjaga maruahnya.. Nabi saw pernah bersabda : " Sesiapa yang tidak menolong saudara Islamnya ketika maruahnya dijatuhkan dan dihina, maka Allah swt tidak akan menghiraukannya ketika dia memerlukan pertolongan." (Abu Daud) ** dipetik dari kitab Khairil-Mawa'iz

Dalam hadith lain baginda bersabda : "Riba yang paling buruk ialah mencemar maruah seorang Islam " (Abu Daud)** dipetik dari kitab Talkhisil-Akhbar

demikian juga terdapat kenyataan dalam banyak hadith yang memberi sekeras-keras amaran terhadap perbuatan mencemar maruah seorang islam..

sahabat-sahabat fillah ku..

sangatlah penting untuk kita yang mengaku sebagai pembawa agama atau da'ie atau pendakwah atau ahli agama..
mengambil berat semasa usaha menyampaikan kebaikan dan mencegah kemungkaran, agar usaha kita itu tidak mendedahkan keaiban seseorang Islam.. mana-mana kemungkaran yang dilakukan secara sembunyi hendaklah dicegah secara sembunyi dan yang dibuat secara terang-terangan hendaklah dicegah terang-terangan.. di samping itu, semasa mencegah kemungkaran, maruah dan kehormatanna mesti dijaga sedaya yang boleh.. jika tidak.."pahala hilang, dosa yang dapat.."

kesimpulannya..
setiap kemungkaran perlu dicegah kerana amaran keras bagi mereka yang membiarkan kemungaran tanpa ada usaha untuk pembaikan.. namun usaha dakwah ini wajib berhikmah.. memenuhi adab berdakwah.. anatara adab berdakwah ialah bercakap dengan lemah lembut. apabila seorang pendakwah telah terkasar bahasa ketika menasihati Khalifah Ma'mun al-Rashid beliau telah berkata :
"Berlemah lembutlah terhadap saya kerana apabila Allah swt menghantar orang yang lebih baik dari kamu iaitu Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s kepada yang lebih buruk dari saya iaitu Firaun maka Allah swt telah berfirman : "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut supaya dia sedar atau berasa takut." (20:44)"

seorang pemuda telah menemui Rasulullah saw dan memohon, "Izinkanlah saya melakukan zina."
Para sahabat r.a tidak dapat bersabar dengannya lalu memarahinya. Nabi saw berkata kepada pemuda itu :"Hampirlah ke sini." kemudian baginda saw bersabda: "Adakah kamu ingin orang berzina dengan ibumu?"
Jawabnya "Tidak sekali-kali. semoga Allah swt menjadikan saya tebusan tuan."
Kemudian Rasulullah saw menjawab : "Demikian juga orang lain tidak mahu perbuatan itu dilakukan terhadap ibunya"
kemudian Rasulullah saw bertanya : "Adakah kamu suka anak perempuanmu dizina?"
Dia menjawab dengan jawapan yang sama.
Kemudian Rasulullah saw menjawab : "Demikian juga orang lain tidak mahu perbuatan itu dilakukan terhadap anak perempuan mereka."
seterusnya Rasulullah saw bertanya soalan yang serupa terhadap saudaranya yang perempuan dan ibu saudaranya. bagi tiap-tiap soalan pemuda itu menjawab :"Tidak sekali-kali. semoga Allah swt menjadikan saya tebusan tuan."

lalu baginda saw meletakkan tangannya yang mulia di atas dada pemuda itu seraya berdoa, "Ya Allah.. sucikanlah hatinya, ampunkanlah dosanya dan pelihara kemaluannya dari maksiat."
Perawi berkata bahawa selepas peristiwa itu tiada sesuatu yang lebih dibenci oleh pemuda itu daripada zina.

kesimpulannya..
kita hendaklah berusaha untuk memperbaiki diri orang lain melalui pengubatan,berdoa, memberi nasihat dan berlemah lembut, dengan membayangkan, sekiranya saya berada di tempatnya bagaimanakah cara yang saya suka dinasihati oleh orang lain..

Untuk renungan bersama :

Etika memberi nasihat oleh Imam Shafie :

”Berilah aku nasihat di waktu aku bersendirian dan janganlah nasihati aku waktu aku berada di tengah kerumunan orang. Memberi nasihat di tengah keramaian orang sama ertinya dengan penghinaan. Dan aku tidak sudi mendengarkannya. Apabila kau tidak sependapat denganku, dan aku tidak mahu mematuhi nasihatmu, janganlah marah..”

Sabda Nabi saw:
”Sekuat-kuat ikatan iman adalah bersahabat kerana Allah, bermusuhan kerana Allah, cinta kerana Allah dan membenci kerana Allah.” (Riwayat Thabrani)

Sabda Nabi saw:
” Sesungguhnya kamu sekalian tidak akan sanggup mempengaruhi manusia dengan hartamu, maka dari itu pengaruhilah mereka dengan wajah yang manis dan budipekerti yang baik.””

Jumaat, 28 Mac 2008

tolong beritahu si dia..


Tolong beritahu si dia aku ada pesanan
buatnya..
Tolong beritahu si dia, cinta agung
adalah cintaNya..
Tolong beritahu si dia, cinta manusia
bakal membuatnya alpa..


Tolong nasihati si dia, jangan
menyintaiku lebih dari dia menyintai
Yang Maha Esa..
Tolong nasihati si dia,jangan
mengingatiku lebih dari dia mengingati
Yang Maha Kuasa..
Tolong nasihati si dia, jangan
mendoakanku lebih dari dia mendoakan
ibu bapanya..


Tolong katakan pada si dia, dahulukan
Allah kerana di situ ada syurga..
Tolong katakan pada si dia, dahulukan
ibu bapanya kerana di telapak itu
syurganya..


Tolong ingatkan si dia. Aku terpikat
kerana imannya bukan rupa..
Tolong ingatkan si dia. Aku lebih
cintakan zuhudnya bukan harta..
Tolong ingatkan si dia aku kasihinya
kerana santunnya..


Tolong tegur si dia, bila dia mula
mengagungkan cinta manusia..
Tolong tegur si dia, bila dia
tenggelam dalam angan-angannya..
Tolong tegur si dia, andai nafsu
mengawal fikirannya..


Tolong sedarkan si dia. Aku milik Yang
Maha Esa..
Tolong sedarkan si dia. Aku masih
milik keluarga..
Tolong sedarkan si dia,
tanggungjawabnya besar kepada
keluarganya..


Tolong sabarkan si dia, usah ucap
cinta di kala cita-cita belum
terlaksana..
Tolong sabarkan si dia, andai diri ini
enggan dirapati kerana menjaga batasan
cinta..
Tolong sabarkan si dia, bila jarak
menjadi penyebab bertambah rindunya..


Tolong pesan padanya. Aku tidak mahu
menjadi fitnah besar kepadanya..
Tolong pesan padanya. Aku tak mahu
menjadi punca kegagalannya..
Tolong pesan padanya aku membiarkan
Yang Esa menjaga dirinya..


Tolong khabarkan pada si dia. Aku
tidak mahu melekakan dia..
Tolong khabarkan pada si dia. Aku mahu
dia berjaya dalam impian dan cita-
citanya..
Tolong khabarkan pada si dia, jadilah
penyokong dalam kejayaanku..


Tolong sampaikan pada si dia. Aku
mendambakan cinta suci yang terjaga..
Tolong sampaikan pada si dia, cinta
kerana Allah tidak ternilai harganya..
Tolong sampaikan pada si dia, hubungan
ini terjaga selagi dia menjaga
hubungan dengan Yang Maha Kuasa..
Tolong sampaikan kepada si dia kerana
aku tidak mampu memberitahunya
sendiri...


Hanya engkau Ya Allah mengetahui siapa
si dia..
Moga pesananku sampai padanya walau
aku sendiri tidak mengetahui siapa dan
dimana si dia..
Moga dia seekor lebah yang sentiasa
memuji keagungan Yang Maha Kuasa
memasuki taman larangan dengan sopan
santunnya dan bertemu mawar berduri
yang terjaga oleh tuannya..
Simpanlah pesanan ku ini sehingga
engkau bertemu diriku suatu hari
nanti...


Selasa, 25 Mac 2008

berCiNta di atas JaLaN daKwaH


Saya bertanya kepada emak “mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang? ”

Mak jawab “dua-dua bukan..”

Saya tercengang..

Mak mengukir senyuman. “Pilihan hati mak yang sayangkan kita kerana Allah..”

Saya menarik nafas dalam-dalam. “Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?”

Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum. Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya.

“Yang paling tahu hanya Allah..” mak merenung dalam-dalam wajah anaknya.

“Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.. ” mak menyusun ayat-ayatnya.

“Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjokan oleh seseorang tu..”

Saya memintas, “Tak faham..”

Mak menyambung “Cinta di dalam jalan Allah.. bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah..”

Mak menyambung lagi, “begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu..” Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini.. mak menyambung “Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki,jodoh dan maut sejak azali lagi..persoalannya ialah.. siapakah jodohnya itu?” mak berhenti seketika. Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Emak buat-buat tidak nampak.

“mak dulu masa besar kakak ada secret admire.. rajin betul dia hantar surat..masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal..dan masa tu mak tekad tak mahu layan sebab mak takut arwah tokwan kena seksa dalam kubur.. mak sedar mak anak yatim, anak orang miskin, adik beradik ramai.. mak nak belajar sungguh-sungguh.. lama budak tu tunggu mak.. akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak.. dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima balasan cinta tu.” mak merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..

“mak memang tak ada perasaan lansung pada dia ke?” saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak. Emak ketawa kecil “Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu.. mak takut pada Allah. Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain.. mak, seperti kakak..” mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya. Kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.

“Mak anak ustaz ustazah.. tapi zaman tu ustaz ustazah nya still berkebaya pendek dan ketat. Tok wan mak kiyai. mungkin berkat doa keturunan sebelum ni yang soleh-soleh, hati mak tertarik sangat pada agama walaupun tiada sesiapa yang mendorong.. bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung.. mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu mak panggil mak Aji.. sebab zaman tu hujung 70an dan awal 80an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya..zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung. Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya..” emak melemparkan pandangan ke lantai.

“Selepas tu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan..” sambung emak. Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu.

“mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak.. jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama ada tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah tak? Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat.. besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai anak..” mak menelan air liurnya. Saya diam. Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.

“Kakak.. jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni..Tetapi kita kena ingat.. kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai.. bercouple mungkin.. tetapi bukan berkahwin.. kerana kita berkahwin dengan jodoh kita. Yang Allah dah tetapkan tsejak azali.. dan tak mustahil orang yang kita paling benci tu lah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya..”

Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah emak. Emak meneruskan, “Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah menzalimi hambaNya.. yang selalu menzalimi hambaNya ialah diri hamba tu sendiri.. sebabnya hamba tu degil. Dia mahukan yang bukan haknya, yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya. Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan. Cuba kakak renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain.. tetapi itu tak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus.. kita dan dia sama-sama mencari redha Allah.. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah.. perbezaannya dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya.” emak berhenti seketika.. tentu kering tekak emak meneraangkan kepada saya persoalan hati ini.

“Kakak.. jadi di sini mak nak kakak faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa.Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain.. kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang.. ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta pada pencipta dia. Kita bagi tau pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai Dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak abah adalah kerana mencintai Allah.. dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beri tahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata.. ”

“Kakak.. hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya.. Hanya Allah yang boleh memegangnya.. sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah.. sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah..bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya,rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu.. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti. ”

“kakak.. walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kakak, terimalah dengan hati yang redha.. tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kakak sayang, tak jadi hal lah.. tapi kalau dapat yang kakak taknak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kakak ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kakak sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia.. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kakak sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kakak.. alangkah bertuahnya kakak kalau kakak mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur.. ”

Sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri. Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat.

“Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah.. sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah untuk Dia pelihara..” emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya.

Ahad, 23 Mac 2008

mari bermula menDIDIK hati..

Wahai Pesuruh Allah.. Wahai Kekasih Allah.. Pembawa kebenaran untuk semua umat.. kami terhutang budi, Engkau pembawa hidayah yang tidak dapat dinilai harganya..

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..

Rasulullah saw sangat bersungguh-sungguh memberi galakan dan menerangkan kelebihan2 tentang setiap perkara kepada umat Islam. Tanda syukur dan penghargaan sebenar ialah dengan mengamalkan ajaran-ajaran yang baginda sampaikan dengan bersungguh-sungguh. Namun demikian kerana kecuaian dan tidak gemarnya kita terhadap agama begitu ketara dan bertambah dari sehari ke sehari , hinggakan rasa hendak beramal ibadah semakin jauh. Bahkan disebabkan sikap kita yang tidak lagi memberi tumpuan dan perhatian pada amalan-amalan ibadah menyebabkan pengetahuan tentangnya pun sudah berkurangan dikalangan orang ramai..

Ya Allah ampunilah kami.. Berilah hidayah petunjuk kepada kami.. Bimbinglah kami dalam ibadah kami.. kami tak berdaya tanpa Engkau..

Tujuan saya coretkan hal di atas dan hal yang bakal saya sampaikan kerana besarlah harapan saya agar pembaca budiman blog saya ini mempunyai sedikit sebanyak keghairahan agama, membaca dan menyampaikannya kepada sahabat-sahabat dan keluarga masing-masing. Amatlah diharapkan rahmat Allah swt melalui keberkatan perkongsian sedikit ilmu ini untuk kita sama2 memperbaiki amal ibadah kita seterusnya membersihkan zahir dan batin(hati) kita secara menyeluruh..

Rasulullah saw bersabda, ”Seandainya dengan sebab kamu, Allah swt memberi hidayah kepada seseorang maka ia adalah lebih baik dari unta-unta merah (yang dianggap sebagai harta yang paling bernilai).”

Bulan Ramadhan yang mubarak, sebenarnya adalah satu anugerah yang sangat besar dari Allah swt untuk orang-orang Islam, tetapi hanya jika kita benar-benar menghargainya. Kalau tidak, kitalah yang rugi. Kita tidak akan memperoleh apa2 kecuali melaungkan ’Ramadhan..Ramadhan..!’ sahaja sepanjang bulan tersebut.

Dalam satu hadith terdapat kenyataan , ”Sekiranya manusia mengetahui apakah itu Ramadhan, maka umatku akan berkeinginan bahawa sepanjang tahun adalah Ramadhan.” Setiap orang faham bahawa untuk berpuasa sepanjang tahun adalah perkara yang sangat susah tetapi apabila dibandingkan dengan pahala bulan Ramadhan, Rasulullah saw mengatakan orang ramai akan bercita-cita untuknya.

Dalam satu hadith dinyatakan bahawa berpuasa di bulan Ramadhan dan berpuasa tiga hari pada 13,14,15 setiap bulan Islam akan menghilangkan kekotoran dan was-was di dalam hati. Pastinya ada sesuatu kelebihan sehingga para sahabat r.a tetap menjaga puasa Ramadhan dalam perjalanan jihad walaupun telah berkali-kali diberi izin oleh Rasulullah saw untuk berbuka puasa, sehingga baginda terpaksa mengeluarkan perintah melarang mereka berpuasa.

Dalam kitab Muslim terdapat satu hadith menyatakan bahawa para sahabat r.a telah berhenti di suatu tempat dalam satu perjalanan ghazwah (semua safar jihad yang Rasulullah saw bersama dengan sahabat). Keadaan cuaca adalah terlalu panas dan kedaifan begitu menghimpit hinggakan setiap orang tidak mempunyai kain yang cukup untuk melindungi diri mereka dari kepanasan cahaya matahari.. ramai yang hanya melindungi diri mereka dengan tangan-tangan sahaja.. dalam keadaan sedemikian pun ramai di antara mereka yang masih berpuasa hingga tidak mampu berdiri lagi lalu menyebabkan mereka jatuh. Terdapat juga sekumpulan sahabat yang berpuasa hampir sepanjang tahun.

Begitu banyak hadith-hadith yang menerangkan berbagai-bagai kelebihan tentang Ramadhan telah diriwayatkan oleh Nabi saw. Saya akui adalah di luar kemampuan diri saya yang penuh dengan kekurangan ini untuk menghuraikan panjang lebar kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan, Lailatulqadar dan I’tikaf..

Meskipun ada para pembaca yang budiman merasakan terlalu awal untuk kita memperkatakan soal Ramadhan, saya merasakan persediaan menyambut Ramadhan hendaklah bermula sekarang. Dengan persediaan awal dari segi ilmu dan latihan puasa-puasa sunat serta pemantapan ibadah2 lain seperti qiamullail hendaklah bermula dari saat ini. Jika kita menangguh, kita akan terus menangguh hingga akhirnya bila tersedar esok sudah masuk hari pertama Ramadhan sedangkan tiada sesuatu ilmu atau amalan yang kita sediakan untuk menyambut bulan itu.

Sahabat-sahabat yang dikasihi,

Kita bukan robot yang dengan mudah boleh diubah ’setting’ apabila hendak ke keadaan lain. Kita manusia yang penuh dengan kebebalan dan kedegilan yang memerlukan tempoh dan masa untuk berbah. Karat-karat hati perlu dikikis sedikit demi sedikit dengan harapan apabila tiba bulan Ramadhan, hati yang berkarat tadi sudah bersih.. dan semoga sudah boleh memancar sinarnya.. Insya’Allah...

Akhir sekali, saya dengan penuh tidak segan silu berharap agar sahabat-sahabat turut sama mendoakan saya , seorang yang penuh berdosa ini.. adalah diharapkan dengan berkat doa sahabat2 yg tulus, Allah yang Maha Pemurah turut mengurniakan kepada hamba kerdil ini kasih sayang dan keredhaanNya..

Jazakallah...


Jumaat, 21 Mac 2008

sahabat2 yg disayangi... mengertilah..






















Ya Allah, pilihlah kami untuk Engkau cintai, jadikanlah kami seperti yang Engkau cintai, peliharalah kami seperti mereka yang Engkau cintai, letakkanlah kami di tempat yang Engkau cintai, satukanlah kami dengan mereka yang Engkau cintai, tolonglah kami seperti mereka yang Engkau cintai, hanya kepada Engkaulah kami mendambakan cinta kami.. Amin ya rabbalalamin…

Tidak ada kebaikan pada kebanyakkan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat kebaikan, atau mengadakan perdamaian di antara manusia dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka kelak kami memberi kepadanya pahala yang besar.(4:114)

Dalam ayat ini Allah telah berjanji balasan yang besar bagi mereka yang mendakwah kebenaran. Betapakah lagi besarnya balasan hormat yang dikatakan ‘besar’ oleh Allah swt .

Rasululullah saw bersabda :

v Ucapan seseorang itu mungkin menjadi satu dosa baginya kecuali perkataan-perkataan yang diucapkan selaku memberi perintah untuk membuat kebajikan dan menegah dari membuat kemaksiatan.

v ‘Maukah saya khabarkan satu kebajikan yang lebih bagus dari solat,puasa dan sedekah? ‘ Para sahabat menyahut: Tuan mestilah khabarkan kepada kami kebajikan itu, ya Rasulullah! Nabi menjawab: Damaikanlah antara sesama manusia kerana hasad dan dengki itu memusahkan amalan baik seseorang seperti sebilah pisau cukur membelah rambut.

Tersangatlah banyak lagi ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah saw yang menganjurkan perpaduan serta kasih sayang dan cinta mencintai. Apa yang nak ditegaskan disini ialah mendamaikan sengketa umat manusia adalah juga salah satu cara berdakwah ke jalan Allah dan menegah dari maksiat. Menganjurkan keamanan dan kasih mesra di kalangan masyarakat adalah kebaikan yang besar…

Wahai sahabatku.. dunia ini tempat persinggahan yang Allah ciptakan untuk kita sebagai cubaan dan dugaan untuk menguji keimanan.. Pujuklah iman mu meluahkan rasa hatinya untuk teguh mencapai redha Allah.. Hanya hati yang tulus kerana yang Esa disertai keikhlasan dapat mengharungi onak duri ini.. Jadikanlah taqwa pakaianmu sepanjang di dunia ini..

Ya Allah..bantulah kami utk mengingatiMu dan mensyukuriMu dan sebaik-baik ibadah padaMu. Kurniakan kami takwa dan tazkiah/penyuci. Engkaulah sebaik tazkiah dan Pelindung dan Pemilik diri kami.

Kalian racun, kalian jugalah penawar.. kerana Allah kita bertemu. Sayangilah aku hanya kerana Allah, semoga aku menyayangimu selama-lamanya. Bencilah aku hanya kerana Allah, semoga aku tidak akan membencimu selama-lamanya. Empatilah terhadap imanku, semoga aku menjadi sahabat baik mu selama-lamanya. Ingatkan aku perintah Tuhan mu, semoga aku merindui mu bila kau tiada. Doakan aku, semoga kau peroleh lebih dari itu. Ukhwahfillah... Kita bertemu kerana yang Esa.. Kita bersama walau berbeza.. Suatu hari akan tiba, kita berpisah.. itu semestinya.. Biarlah saat itu datang sendiri tanpa dipinta, kerana Dia lebih mengetahui.. setiap yang terjadi punya hikmah.. Hikmahnya tersimpan pada si Dia..

Ketahuilah, bahawasanya hidup kita mencari sahabat lebih kita utamakan drpd mencari cinta.. Kalau hanya semata krn cinta, daerahnya terlalu sempit, tetapi persahabatan mempunyai daerah lapangan yang amat luas, di dalam mengharungi lautan hidup yg tiada tentu di mana tepinya ini.. Oleh sebab itu beroleh kemenangan kerana bertambah seorang sahabat, lebihlah harganya daripada kemenangan mendapat balasan cinta.. Hati kecil ini bersyukur kpd Nya kerana dapat bersama kalian..

Seorang telah datang kepada Rasulullah saw dan bertanya :

“Bilakah akan berlakunya hari Kiamat? Wahai pesuruh Allah!”

Nabi :

“Apakah persediaan-persediaan yang dikau telah lakukan untuk Hari tersebut?”

Orang itu:

“Wahai Kekasih Allah! Daku tidak berupaya memperolehi amalan yang banyak dari solat, puasa dan sedekah untuk menolongku tetapi daku mengasihi Allah dan RasulNya didalam hatiku.”

Nabi:

“Di hari Pengadilan nanti dikau pasti berada bersama orang yang kamu kasihi.”

Ya Allah.. bersihkan hati kami, lapangkan hati kami, pelihara hati kami, ikhlaskan hati kami, tawadhukkan hati kami, keluarkan dunia dari hati kami, keluarkan makhluk dari hati kami, penuhkan hati kami dengan cinta Engkau dan RasulMu.. Jauhkan syaitan,nafsu dan maksiat dari hati kami.. Sesungguhnya kami tidak berdaya melakukan sebarang kebaikan tanpa kasih sayangMu.. Engkaulah pemilik hati-hati ini.. Peganglah ia sekuatnya.. Janganlah lepaskan ia walau seketika.. Peliharalah ia sehingga kami menghadap Engkau di syurga kelak..

Rabu, 19 Mac 2008

sabar+ takwa+taubat= hati tenang...(~_~)



sambungan post 'ubatlah hati'



(SAMBUNGAN UBATLAH HATI 2)

Sahabat2ku yg dkasihi..

Faktor kedua yg mybbkn kita bersedih..

2.dukacita memikirkan yang sekarang

Kalau seseorang berdukacita memikirkan keadaan yang ada sekarang barangkali orang ini berdukacita kerana ada insan lain yang mendapat nikmat dan ada yang tidak. Atau kerana hidupnya yang susah, melarat dan bertimpa-timpa ujian dan segala yang diusahakannya tidak berhasil. Barangkali dia kekurangan harta, kurang mulia di mata manusia.. dia sentiasa berasa serba kekurangan berbanding orang lain..

Mengapa dia bersedih dan berdukacita?

Kerana dia tidak mengerti rahsia kehidupan dan dunia.. dia tidak tahu dunia ini kandang tipuan.. hari ini disenyumkan kita, esok kita dinangiskan pula.. kalau ingin mengubat penyakit ini, janganlah diingat ketika Napoleon menaiki takhta Raja Kaisar, tetapi ingatlah ketika dia mati di tanah pembuangan St. Helena. Bila difikirkan kisah penghujung hidup si Napoleon ini, timbullah syukur dalam hati.. bersyukur kerana dihadiakan ujian yang menyebabkan diri sentiasa beringat-ingat dan berwaspada dalam menyelusuri kehidupan ini.. mujur berpeluang untuk tersedar dan bertaubat sebelum terlewat..

Wahai sahabat2ku..

Betapa cinta dan sayang seorang lelaki kepada seorang wanita yang cantik sekalipun, kalau difikirkannya akhir penghujung wanita itu, akan kuranglah rasa cinta dan sayangnya itu.. kerana dunia ini memang ganjil.. tiap-tiap kemuliaan di mata manusia mengandungi racun, dan tiap-tiap kesengsaraan punyai penawar. Manusia hidup di dunia diancam 3 anak panah. Panah kejatuhan, panah penyakit, dan panah kematian..

Renunglah garis perjalanan dunia, dunia politik yang lintang pukang.. lihat, baca dan perhatikan akibatnya. Cuba lihat Austria di masa lalu yg dinaungi kerajaan Austria Hongaria. Kemudian menjadi satu bahagian kecil dari Jerman. Kemudian menjadi kota kecil yg miskin. Kekayaannya hanya semata-mata sejarah. Lihat pula Jerman, dari negara yg kalah.. kmudn bangkit menjadi kuat..itu dulu.. politik hari ini? Demikianlah graf negara-negara, pemerintah-pemerintah yang turun naik bersilih ganti.. begitulah aturan kehidupan.. adat dunia..

Sahabat2ku sekalian..

Kalau direnungkan mendalam kisah dunia yang huru hara ini, hilanglah rasa hiba dan pilu memikirkan kekurangan diri sendiri. Dan tidak pula kita tercengang melihat orang lain jatuh.. kita tidaklah meletakkan harapan menggunung untuk nasib kita sentiasa beruntung.. dan kita tidaklah sentiasa gusar memikirkan kita dilanda kerugian dan kehilangan..

Hidup ini bukan sekadar bernafas.. bukan sekadar makan minum.. bukan sekadar mencari mr perfect atau ms gorgeous ..

Carilah tujuan hidup.. berusahalah mencari ilmu.. mencari santapan rohani. Mencari pengalaman.. berjalanlah ke seluruh muka bumi mencari ilmu Allah.. berjalanlah ke celah-celah kemelut permasalahan umat.. dekatilah mereka2 yang sibuk mendekatkan diri dengan Allah, kerana rahsia hidup ini kebanyakkannya tersingkap untuk mereka.. berjalanlah ke tengah-tengah dunia yang sibuk.. lihatlah betapa manusia sibuk berkejaran mengejar dunia. Siang dan malam di dalam kemewahan dan sentiasa mengira-ngira wang yang bakal masuk dan keluar. Janganlah ketawakan mereka tetapi kasihanilah mereka.. mereka terpedaya dan mereka sedang ditipu. Apabila mereka tersedar nanti, pasti mereka sangat sedih, sakit dan kecewa, kasihanilah mereka..

Jangan lupa berjalan di tempat-tempat peminta sedekah duduk bersila dengan anak-anak kecil di riba. Jangan lupa berjalan di lorong-lorong wanita dan orang tua berlindung di bawah bumbung uzur dari hujan lebat..

Pernahkah mereka yang dalam kemewahan itu dirundung kesusahan.. tentu sekali pernah! Dia susah kerana wangnya banyak. Ramai yang menyakiitinya kerana wangnya yang banyak. Pernahkah wanita dan orang tua yang meminta sedekah dirundung kesusahan? Tentulah pernah! Dia susah kerana tiada wang utuk membeli sesuap nasi. Ramai yang menyakitinya kerana dia tidak berharta.

Sahabat2ku yang daku sayangi..

Cuba kita sama2 renungkan.. perkara yang menyusahkan berlainan.. tetapi tetap sama susah juga hidupnya..

Ketika zaman kebangkitan Islam, Rasulullah saw melarang sahabat-sahabatnya menziarahi kawasan perkuburan, dibimbangi iktikad dan kepercayaan mereka kembali rosak kerana masih hampir dengan zaman jahiliah. Tetapi setelah tiba di Makkah, larangan itu dicabut terhadap lelaki, mereka diizinkan menziarahi kawasan perkuburan lantaran dapat mengingatkan mereka tentang kematian.. tidak berapa lama kmdn, kaum perempuan pula diizinkan menziarahi kawasan perkuburan.

Ahli2 tasauf ramai yg mendekatkan diri mereka ke penjara-penjara, hospital2, ke tempat2 org miskin melarat.. dan menjauhkan diri dari istana2..

Mengapa mereka melakukan sedemikian?

Kerana hendak menimbulkan keinsafan dalam diri mereka bahawa tidak boleh berdukacita atas kesusahan, dan tidak boleh gembira atas kemuliaan..kerana dunia ini penuh.. penuh.. sarat.. sarat dengan rahsia kehidupan.

Sahabat2ku yg dikasihi..

Dalam kita menyelusuri kehidupan ini, waspadalah selalu.. jangan tersalah merujuk idola atau contoh yang ingin dijadikan model.. atau teman seperjuangan.. ingatlah selalu bahawa mereka juga insan lemah yang Allah ciptakan dgn kelemahan. Hanya Allah yang Maha Sempurna.. dan berhentilah cuba mencari insan sempurna selain Rasul kita..

Bertanya kepada seorang : mengapa kamu buat begini?

Orang itu menjawab : kerana aku lihat dia buat begitu. Aku ingin menjadi megah seperti dia.

Aduhai sahabatku.. role model kita yang sebenar pun, Rasulullah saw tak pernah bermegah dengan statusnya.. setiap malam baginda menangis dan menghina diri di depan Allah.. apalah pula nilai si hamba biasa yang kita megah-megahkan tu..???

kiSah seMut dan kelkAtu..

Alhamdulillah.. Alhamdulillah… Alhamdulillah..

Alhamdulillah yang pertama saya lafazkan kerana Allah memberi saya pelbagai nikmat dan rahmat yang mencurah-curah.. termasuklah dengan mengizinkan jari jemari saya menaip pada malam yang dingin ini.. Alhamdulillah.. smoga jari-jari ini menjadi saksi yang dapat membantu di hari perbicaraan di Mahsyar nanti.. Amin Ya Rabb..

Alhamdulillah yang kedua saya lafazkan kerana insan-insan yang saya sayang semakin gigih mendekati Pencipta mereka.. sekalipun dugaan yang menimpa mereka amat berat mata memandang, namun saya yakin tiada sesuatu perkara yang Allah berikan pada hambaNya untuk menzalimi hambanya.. bahkan tanda kasihNya pada hambaNya, lalu diuji hambanya itu.. Alhamdulillah ya Allah.. andai dengan ujian2 ini, kami semakin dekat kepada Dirimu ya Rahim, ujilah kami... Alhamdulillah ya Allah...

Alhamdulillah yang ketiga saya lafazkan kerana saya terlihat suatu kejadian menakjubkan semalam di surau yang membuatkan saya begitu bersyukur-bersyukur sangat.. hingga sekarang masih terasa nikmatnya..

Saya ingin berkongsi kejadian ini. Mungkin perkara ini sangat kecil dan ramai yang menganggap remeh, namun bagi saya.. Ya Allah, betapa hamba kerdil sangat takjub dan terpesona dengan segala aturan kerajaan Mu wahai Yang Maha Sempurna..

Malam semalam saya berbuka puasa di bilik.. maka saya tak turun bersolat jemaah maghrib tu. Selepas berbuka puasa, saya lekas-lekas ke surau di tingkat bawah blok saya. Surau kosong.. saya terfikir sendiri sama ada ada atau tidak solat berjemaah maghrib tadi? Kebiasaannya cuma 2-3 orang sahaja makmumnya.. segera saya solat maghrib. Kemudian sambung beberapa solat sunat sikit. Tiba-tiba ketika sujud terakhir sesuatu benda bergerak lalu di bawah tempat sujud saya. Bila saya bangun untuk tahayat terakhir, rupa-rupanya saya dikelilingi banyak sangat kelkatu.. selepas solat saya sambung berdoa.. ketika tu saya pejamkan mata, cuba menghayati setiap rintihan demi rintihan.. saya dapat rasakan kelkatu yang banyak2 tu dah merayap ke dalam telekung saya..! saya menghabiskan doa dan meninggalkan sejadah lalu ke suatu sudut yang kosong tanpa kelkatu. Selepas selesai segala ’dating’ dengan Allah, saya kembali ke sejadah tadi. Subhanallah.. sejadah saya teggelam dalam kelkatu. Saya mula bimbang. Ada sesetengah kelkatu dah mula tercabut sayapnya dan mula bergerak berpasangan.. Ya Allah.. macam mana nak buat ni? Mata saya mencari-cari sesuatu di surau yang kosong itu untuk membersihkan kelkatu yang banyak tu. Tetapi betul-betul tak ada apa-apa yang boleh saya gunakan untuk membuang kelkatu2 yg banyak tu..

Yang peliknya semua tingkap tertutup. Satu tingkap je buka. Tapi tak ada lansung kelkatu di bahagian tu, itulah bahagian tempat saya beriktikaf tadi.. aneh, tapi saya tak sempat nak fikirkan. Saya duduk merenung gelagat kelkatu yang comel bergerak-gerak cuba hendak memanjat kain saya..

”Ya Allah.. maafkan hambaMu ni, hambaMu tak tau nak buat macam mana sekarang.. terlalu banyak kelkatu ni, terbang-terbang.. ” saya mula berbisik perlahan.

Saya mencapai Al- Quran dan mencari sudut lain untuk melepaskan rindu kepada kitab suci itu. Selepas habis beberapa muka, badan saya mula gatal-gatal.. kelkatu masuk dalam baju pulak ke?! Tapi tak ada kelkatu di situ. Saya berpusing- pusing dan sekali lagi terkejut besar. Punyalah banyak semut di sekeliling saya.. semut hitam, kecil.. semua tentera semut tu sedang menuju ke arah tentera kelkatu yang comel.. saya merangkak melihat apa yang berlaku di atas sejadah saya. Subhanallah... tentera semut yang kecil sedang mengangkat kelkatu-kelkatu yang besar pergi .. saya tidak tahu berapa lama saya berada dalam keadaan terpaku di situ, tetapi hinggalah sejadah saya habis bersih dari kelkatu.. hingga dengan mudahnya saya dapat melipat sejadah tersebut dan menyimpannya di tempat sejadah. Ya Allah.. hambaMu sangat bahagia.. sangat-sangat bahagia.. sangat-sangat terpesona.. Ya Allah.. Engkau mengajarku bahawa Engkaulah yang mengatur segala urusan alam ini.. tiada sesuatupun walau sekecil kelkatu dan semut hitam yang tidak Engkau tahu perihalnya..

Sepertimana Allah menghantar kelakatu itu ke surau untuk menemani aku, kemudian menghantar pula tentera semutnya ke surau.. untuk mengangkat pergi kelkatu selepas selesai aku beriktikaf.. Ya Allah.. aku tahu Kau tak pernah biarkan aku bersendiri.. Aku tahu setiap sakit, setiap persoalan dan setiap masalah yang Engkau beri pasti ada ubat dan penyelesaiannya.. Cuma aku yg sering lupa dan cepat sangat hilang sabar.. ampunkan hambaMu ya Allah.. Kasihanilah aku ya Allah.. Aku lemah tanpaMu..

Maghrib tadi saya ke surau. Surau sangat-sangat bersih. Saya mencari-cari kelkatu.. kemudian mencari pula semut.. saya sangat berharap kalau saya dapat jumpa seekor semut pun jadilah.. tapi tak ada lansung..

Saya berjemaah maghrib berdua dengan Dila.. kemudian isyak turun pula k.iffah.. wahai semut dan kelkatu, sudikah kalian bersahabat dengan diriku manusia yang menggunung dosa ini? sedangkan diri kalian suci tanpa dosa.. izinkan aku melafazkan kata bicara hati yang mudah diterjemah betapa aku gerun pada kemurkaanMU...

Sabtu, 15 Mac 2008

kasihmu saudara.. mengenalkan ku cinta sebenar

Sabda Rasulullah saw:

"Sekuat-kuat iman adalah bersahabat kerana Allah, bermusuhan kerana Allah, cinta kerana Allah dan membenci kerana Allah. " (Riwayat Tabrani)

"Sesungguhnya Allah menyayangi hamba-hambaNya yang berkasih sayang."
(Riwayat Bukhari)

"Barangsiapa menjenguk orang sakit atau mengunjungi saudaranya kerana Allah, maka dia akan dipanggil oleh Allah , "Berbahagialah langkahmu, dan engkau telah menyediakan tempat tinggalmu di syurga.""
(Riwayat Tarmizi)

"Tidaklah (sempurna) keimanan salah seorang di antara kalian sehingga dia mencintai saudaranya (dala hak kebaikan) sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri."
(Riwayat Bukhari, Muslim, Abu 'Awaah, Nasa'i, Tarmizi, Darimi, Ibnu Majah, Thayalisi, Ahmad)

kasih suami..memimpin ke syurga



"akan tetapi, para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya."
(Al-baqarah 228)

"kaum laki-laki itu pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita)."
(An- nisa 34)

Sabda Rasulullah saw:
"tidak akan beruntung suatu kaum yang menyerahkan kepimpinan mereka kepada seorang wanita."
(riwayat Bukhari & Muslim)

Sabda Rasulullah saw:
"orang yang terbaik di antara kalian adalah orang yang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah yang terbaik (antara kalian) terhadap keluargaku."
(Riwayat Tarmizi)

Sabda Rasulullah saw:
"Mukmin yang paling sempurna imannya adalah mukmin yang paling baik akhlaknya dan mukmin yang paling lemah lembut terhadap isterinya."
(Riwayat Tarmizi)


"Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. kami tidak meminta rezeki daripadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat yang baik itu adalah untuk orang-orang yang bertakwa."
(Thaha 132)

kasih isteri.. menemani ke syurga

Wanita yang taat suaminya , semua ikan di laut,burung di udara, malaikat di langit,matahari dan bulan , beristigfar baginya selama mana dia taat akan suaminya dan direlakannya(walinya)(serta menjaga sembahyang dan puasanya).


Aisyah ra berkata : “Aku bertanya kepada Rasulullah saw, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab baginda, “Suaminya,”. ”Siapa pula berhak terhadap lelaki?”Jawab Rasulullah saw, “ibunya.”



Pperempuan apabila sembahyang lima waktu,puasa bulan ramadhan,memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dia kehendaki.



Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah swt memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).



Apabila seorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristigfarlah para malaikat untuknya.Allah swt mencatatkan baginya setiap hari dengan 1000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1000 kejahatan.



Apabila seorang perempuan mulai sakit hendak bersalin,maka Allah swt mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad di jalan Allah



Apabila seorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan anak yang baru lahir dari perut ibunya.



Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susu diberi satu kebajikan.



Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah swt memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah.

redhamu ibu.. hidupku sejahtera



*Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah swt memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah.


*Doa wanita lebih makbul dari lelaki terutama doa ibu terhadap anaknya kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki.Ketika ditanya kepada Rasulullah saw akan hal tersebut, baginda menjawab :
“Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.”

Aisyah ra berkata : “Aku bertanya kepada Rasulullah saw, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab baginda, “Suaminya,”. ”Siapa pula berhak terhadap lelaki?”Jawab Rasulullah saw, “ibunya.”

kasih ibu ayah.. membawa ke syurga


Sabda Rasulullah saw:

  • “Semua dosa akan ditangguhkan Allah (balasannya) menurut kehendakNya hingga ke hari kiamat, kecuali (balasan) menderhaka kedua ibu bapa, maka sesungguhnya Allah menyegerakan (balasan) kepada pelakunya di masa hidupnya sebelum matinya. ”

(Riwayat Hakim)

  • “Tiga manusia tidak akan masuk syurga; iaitu: Orang yang menderhaka kedua ibu bapanya, lelaki yang tidak punya maruah terhadap keluarganya(dayus) dan perempuan yang menyerupai lelaki.” (Riwayat Nasa’i, Bazzar dan Hakim )

Ya Allah.. ku harap Kau memahami luahan hati ini yg ingin dicintai.. kuharap Kau menghayati sentuhan jiwa ini yang ingin disayangi..Ya Allah.. Engkau telah mengurniakan daku apa yang daku sukai maka jadikanlah daku dapat menggunakan kurniaan itu seperti yang Engkau cintai..

Kata Abdullah ibn Mas’ud : “Ada sekali kutanya pada Rasulullah saw “Amalan (manusia) yang manakah yang paling diredhai Allah swt? ” Jawab baginda saw “Solat.” Kemudian kutanya, “Yang mana pula selepasnya (mengikut susunan keredhaan)?” Jawab baginda saw “Menghormati dua orang ibu bapa,” Katanya lagi, “Selepasnya apa lagi?”. Jawab baginda “Jihad”.”

Di dalam sebuah hadith diriwayatkan bahawa: “Pintu-pintu terbaik untuk memasuki syurga ( Jannah) ialah bapa. Jikalau kamu ingin, jagailah dia; jikalau kamu suka , binasakanlah dia.” Seorang sahabat telah bertanya kepada Rasulullah saw : “Apakah hak-hak seorang bapa?” Baginda saw pun menjawab “Merekalah Jannahmu dan Jahannammu.”

kasih Allah.. tidak bertepi

kasih pemimpin.. sanggup bekorban

sayang Allah tiada bertepi kasih Allah kekal selamanya...

Firman “sayang” Allah untuk Hamba-Nya


Sebuah Riwayat yang diceritakan oleh
Husain, tentang firman Allah Swt yang
berbunyi:
“Demi kemuliaan dan kebesaran-Ku dan
juga demi kemurahan dan ketinggian
kedudukan-Ku di atas Arsy. Aku akan
mematahkan harapan orang yang berharap
kepada selain Aku dengan kekecewaan.
Akan Aku pakaikan kepadanya pakaian
kehinaan di mata manusia. Aku singkirkan
ia dari dekat-Ku, lalu Aku putuskan
hubungan-Ku dengannya
Mengapa ia berharap kepada selain Aku
ketika dirinya sedang berada dalam
kesulitan? Padahal, sesungguhnya
kesulitan itu berada di tangan-Ku dan
hanya Aku yang dapat menyingkirkannya.
Mengapa ia berharap kepada selain Aku
dengan mengetuk pintu-pintu lain,
padahal pintu-pintu itu tertutup?
Padahal, hanya pintu-Ku yang terbuka
bagi siapapun yang berdoa memohon
pertolongan dari-Ku.
Siapakah yang pernah mengharapkan Aku
untuk menghalau kesulitannya lalu Aku
kecewakan? Siapakah yang pernah
mengharapkan Aku karena dosa-dosanya
yang besar, lalu Aku putuskan
harapannya? Siapakah pula yang pernah
mengetuk pintu-Ku lalu aku tidak bukakan?
Aku telah mengadakan hubungan yang
langsung antara Aku denga angan-angan
dan harapan seluruh makhluk-Ku.
Akan tetepi, mengapakah mereka malah
bersandar kepada selain Aku? Aku telah
menyediakan semua harapan
hamba-hamba-Ku, tetapi mengapa mereka
tidak puas dengan perlindungan-Ku?
Akupun telah memenuhi langit-Ku dgn para
malaikat yg tiada pernah jemu bertasbih
kepada-Ku, lalu Aku perintahkan mereka
supaya tidak menutup pintu antara Aku
dan hamba-hamba-Ku. Akan tetepi, mengapa
mereka tidak percaya kpd firman-firman-Ku?
Tidakkah mereka mengetahui bahwa
siapapun yang tertimpa oleh bencana yg
Aku turunkan, tiada yg dpt
menyingkirkannya kecuali Aku? Akan
tetapi, mengapa Aku melihat ia dgn sgala
angan-angan dan harapannya itu slalu
berpaling dari-KU? Mengapakah ia sampai
tertipu oleh selain Aku?
Aku memberikan kpdnya dgn sgala
kemurahan-Ku, apa-apa yg tdk sampai
harus ia minta. Ketika semua itu aku
cabut kembali darinya, lalu mengapa ia
tdk lagi memintanya kepada-Ku untuk
segera mengembalikannya, tetapi malah
meminta pertolongan kepada selain Aku?
Apakah Aku yang memberi sebelum diminta,
lalu ketika di minta tidak Aku berikan?
Apakah Aku ini bakhil, sehingga di
anggap bakhil oleh hamba-Ku? Tidakkah
dunia dan akhirat itu semuanya milik-Ku?
Tidakkah dermawan dan kemurahan itu
adalah sifat-Ku?
Tidakkah hanya Aku tempat bermuaranya
semua harapan? Dengan demikian, siapakah
yang dapat memutuskannya daripada-Ku?
Apapula yang di harapkan oleh
orang-orang yang berharap, andaikan Aku
berkata kepada semua penduduk bumi,
“MINTALAH KEPADAKU!”.Aku pun lalu
memberikan kepada masing-masingorang,
pikiran apa yg terpikir pada semuanya.
Dan semua yg kuberikan itu tdk akan
mengurangi kekayaan-Ku meskipun sebesar
debu. Bagaimana mungkin kekayaan yg
begitu sempurna akan berkurang,
sedangkan Aku mengawasinya?
Sungguh, alangkah celakanya orang yg
terputus dari rahmat-Ku. Alangkah
kecewanya orang yang berlaku maksiat
kepada-Ku dan tdk memperhatikan Aku, dan
tetap melakukan perbuatan yg haram
seraya tdk malu kepada-Ku”

Teruntuk hamba-Ku yg Tiada Lelah Berdoa,,,

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....