Khamis, 6 Januari 2011

Kelas Tuisyen Percuma : Semoga Allah redha....




Pada tahun lepas, 2010 saya telah mengadakan kelas tuisyen percuma untuk sekumpulan pelajar tingkatan 3 yang bakal menduduki PMR. Para pelajar terdiri daripada golongan pelajar yang kurang berkemampuan kewangan dan tercicir di sekolah. Kebanyakkannya daripada kelas-kelas terakhir di sekolah.

Tujuan kelas tuisyen percuma ini adalah untuk menaikkan prestasi pelajar yang 'GAGAL' kepada 'LULUS'.
Buku-buku pelajar turut diberikan secara percuma. Sebulan sebelum PMR, saya mengadakan kelas pada tiap-tiap malam untuk memastikan anak-anak murid saya cukup persediaannya. Saya menjemput dari rumah dan menghantar pulang ke rumah pelajar-pelajar yang tinggal jauh. Ada sesetengah ibu bapa yang tidak mempunyai kesedaran terhadap kepentingan pendidikan anak-anak yang memarahi saya. Kami juga berpindah randah tempat belajar mengikut keadaan. Adakalanya kami belajar di anjung masjid dan adakalanya di rumah salah seorang pelajar.

Pelajar-pelajar ini kebanyakkannya mempunyai masalah psikologi yang agak kritikal memandangkan datang daripada keluarga yang kucar kacir. Saya mengambil peluang ini untuk mendekati hati anak-anak ini dan memberikan santapan rohani supaya mereka lebih jelas dengan tujuan hidup dan berfikiran positif dengan ujian-ujian hidup.

Alhamdulillah, keputusan PMR 2010 telah keluar dan keputusannya lebih baik daripada yang saya jangkakan.
Paling mengembirakan saya ialah apabila salah seorang pelajar saya yang keciciran selama 2 tahun lebih kerana tidak bersekolah semasa tingkatan 1 dan 2 serta separuh tingkatan tiga, telah lulus semua subjek dalam PMR.

Kini pelajar-pelajar ini telah masuk ke tingkatan 4 dan inshaallah akan menduduki SPM pada tahun 2012. Dua subjek terpenting dalam SPM ialah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Dua subjek ini perlu untuk melayakkan mereka mendapat sijil SPM. Bahasa Inggeris sangat penting untuk memberikan mereka keyakinan dalam hidup. Kerana itulah saya menawarkan kelas tuisyen percuma subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk para pelajar.


Inshaallah kelas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sesi 2011 akan bermula
Penyertaan terbuka kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang yang bakal menduduki SPM 2012


tarikh :
7 Januari 2010.

hari :
Jumaat

tempat :
Masjid Bandar Tasik Puteri, Rawang.


masa :
3-5 petang

Semoga Allah meredhai usaha ini dan semoga anak-anak ini akan menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Amin.

maklumat lanjut : hometuition btp


2 ulasan:

  1. hmmm, sejarah macam mana teacher, subjek sejarah ni subjek yang paling saya keliru, macam mana ni...

    BalasPadam
  2. ^_^ kita tunggu cikgu sejarah yg baik hati offer diri utk keja sukarela........

    BalasPadam

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....