:) Alhamdulillah... Begitu banyak perkara yang berlaku dan tidak sempat untuk dicoretkan di sini.
Inshaallah semoga coretan ini akan terus bermanfaat untuk kita bersama dunia akhirat...
Penjaga yang 'asing'
Kalau sewaktu zaman bujang, emak dan abah adalah orang yang selalu menjaga diri ini. Ke mana sahaja hendak pergi perlu diminta izin daripada emak dan abah. Jika mahu membeli barang juga perlu berbincang dengan emak dan abah. Kalau gembira dan kalau sedih, emak dan abah menjadi orang pertama yang menjadi rujukan.
Tayangan video di majlis pernikahan kami 17 Ogos 2013
Kini segalanya berubah. Manusia yang paling berhak terhadap diri sendiri bukan lagi abah dan emak sebaliknya seorang 'lelaki' bernama suami. Semasa zaman bujang, sangat jarang berbual dengan lelaki, kini bangun tidur ada lelaki tidur di sebelah. Betapa dunia berubah 360 darjah, saya jadi lupa pada perkara yang saya suka dan saya biasa. Semuanya lebih tertumpu kepada 'apa yang dia suka dan biasa'. Begitulah hati seorang isteri, selagi boleh mahu menunaikan semua hajat di hati suami. Namun sedar diri cuma manusia biasa. Hendak keluar rumah perlu minta izin, selalunya suami bukan sahaja berikan keizinan malah turut menemani. Hendak ke tandas perlu bagitahu (kalau di luar rumah), selalunya suami akan mencari kalau isteri tak nampak depan mata. Jika sakit perlu bagitahu (kalau tidak nanti muka masam suami salah faham). Semasa bujang, diri ini biasa menyendiri dan sangat sukakan privasi. Kini hampir 24 jam berteman suami, pastinya agak sukar menyesuaikan diri pada permulaan. Semasa bujang, diri ini tidak biasa buat kerja-kerja rumah dan ada pembantu rumah, sangat jarang ke dapur dan segala aktiviti rumahtangga begitu jauh ketinggalan. Kini suami sangat berharap isterinya ini cuba sedaya boleh menjaga makan minumnya. Ada masanya lauk termasin, tercair, termanis dan terpahit. Apabila suami tertegur, isteri pula cepat merajuk. Akhirnya suami belajar menahan diri daripada memberi komen, sedap ke atau tidak sedap diam-diam sahaja. Isteri juga belajar menahan diri daripada terlalu cepat terasa hati dan tebalkan hati. :)
Selebat-lebat hujan di luar, lebat lagi hujan dalam hati.... kalau suami marah dan kalau isteri merajuk...
Alhamdulillah selalunya kalau suami marah pun tidak lama...
Kalau isteri merajuk pun tidak lama....
Yang penting ada yang memujuk....:)
Bak kata suami "Nak jadi suami ni persediaan utamanya adalah menjadi pemaaf. Walau apa sekalipun dosa isteri pada suami, kalau suami boleh maafkan, isteri itu sudah selamat dunia akhirat."
Terima kasih kanda.....Semoga Allah memberkatimu dunia dan akhirat...
Pasangan Cerminan Diri Sendiri
Suami adalah penjaga isteri.. pelindung isteri... suami tidak semestinya sempurna namun jika kita yakin pada ketentuan Ilahi, Allah sentiasa memberikan sesuatu yang terbaik kepada kita. Tiada sesuatu pun ciptaan Allah sia-sia. Ini janji Allah dalam Quran. Allah menciptakan setiap sesuatu berpasang-pasangan. Siang berpasangan malam, terang berpasangan gelap, bumi berpasangan langit dan segala macam pasangan lagi.
Sebelum kahwin diri ini tidak terasa pun 'kesunyian' bersendirian kerana dikelilingi kawan-kawan, keluarga dan kesibukan kerja. Tatkala diri dilamar dan perjalanan takdir menentukan bahawa diri ini sudah sampai masanya menjadi isteri orang lain. Setelah kahwin, baru berkenalan dengan suami dan terkejut bercampur gembira kerana kami mempunyai banyak persamaan. Kami ketawa bersama sambil bercerita tentang diri dan keluarga masing-masing. Kami berterus terang tentang kelebihan dan kelemahan diri. Ini bukan masanya hendak mencela keaiban masing-masing sebaliknya masa untuk bekerjasama saling memperbaiki diri, saling memperbaiki pasangan, saling menutup kelemahan, saling mengukuhkan kekuatan dan saling mencintai..... ya, saling mencintai!
... belajar mencintai.... kerana kami tidak kenal sebelum berkahwin... jadi kami baru belajar bercinta... belajar memikat,... belajar menggoda.. belajar merindu.. dan belajar ucap 'I love you'.
Alhamdulillah sudah dua bulan kami menjadi suami isteri. Perjalanan kami entah berapa lagi masih berbaki. Setiap kali ternampak keaiban suami, cepat-cepat muhasabah diri dan beristigfar. Adakalanya ia ujian untuk si isteri supaya lebih dekat kepada Allah dan supaya selalu mendoakan suaminya. Apabila memasak, jampi-jampi dengan doa yang panjang lebar dan diulang-ulang... Suami juga begitu. Apabila suami ternampak keaiban isteri, segeralah beristigfar dan berdoa untuk isteri.
Suatu hari nanti... Mungkin isteri mati dulu, atau mungkin suami mati dulu... atau mungkin mati serentak berdua... Semoga yang hidup dapat mendoakan yang telah mati.. Semoga sebelum mati, ada zuriat yang soleh solehah mendoakan kami hingga ke syurga Allah...
Semoga doa yang sama untuk dirimu sahabatku... :) Aamiin...
BalasPadamtahniah lillah atas berita gembira.. semoga sabar dan gembira selalu melalui saat manis getir mengandung dan kepada Dia jualah kita berdoa dan berdoa...
BalasPadam