Isnin, 21 Oktober 2013

Bercinta Di Jalan Dakwah (Bahagian 3)

Sudah larut malam, hampir 3 pagi. Selamat pagi rakyat Malaysia! Alhamdulillah masih hidup lagi. Mata masih belum mengantuk. Esok pagi perlu ke klinik untuk pemeriksaan mingguan ibu mengandung. Orang lain selalunya sebulan sekali sahaja perlu ke klinik. Saya pula kes istimewa perlu berulang alik dua minggu sekali (jika saya rajin dan taat pada arahan doktor dan jururawat). Semoga esok saya tidak mengantuk akibat malam ini tidak tidur. Kalau mengantuk pun rasanya tiada masalah, tidur sahajalah di klinik.

Hari ini hari Ahad, jadi saya sangat rindukan Fadilah (adik -bertudung shawl kelabu merah jambu. Kalau dulu hari Ahad selalu hantar beliau pulang ke UPSI. :'( Kini saya sudah ada aktiviti baru iaitu kata suami aktiviti berehat . :)

Saya meneliti email yang penuh dengan iklan dan mesej merepek. Perlu dibuang satu persatu dan pastinya akan kembali penuh dengan email merapu semula. Klik dan klik hingga sampai kepada satu email istimewa. Email kiriman suami saya yang ketika itu adalah tunang saya. Saya tersenyum sendirian. Email itu saya buka dan baca kembali.

Lebih setahun yang lalu hati saya begitu menolak kehadiran calon pilihan abah dan emak ini. Pernah abah memarahi saya kerana menolak calon ini. Abah kata "Kakak nak kahwin dengan mat gian (penagih dadah)? Ataupun mat rempit (pelumba haram) ? Kakak nak calon yang macam mana lagi?"
Saya tersentap dan tidak berani lagi merungut kepada abah. Apabila merungut kepada emak, emak buat tidak tahu sahaja. Maka saya asyik menangis kepada sahabat-sahabat baik saya.

Mengapa hati menolak?

Banyak sebab.... Sangat banyak. Salah satunya kerana saya rasa tidak berkemampuan untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri. 
Sebab-sebab lain adalah bla bla bla... Cukuplah sebab pertama itu untuk menyebabkan saya rasa sungguh tidak layak untuk berkahwin. Tidak! Tidak! Tak nak!

Usaha yang berterusan demi menggagalkan pertunangan

Pejam celik pejam, saya sudah ditunangkan dengan calon abah emak yang soleh, comel dan macho. Saya berusaha memujuk emak dan abah supaya berfikir semula tentang tindakan mereka untuk mengahwinkan saya. Akhirnya abah berkata "Abah tak mampu nak jaga kakak sampai mati. Suatu hari nanti abah pun akan mati. Jadi abah carikan seseorang yang abah rasa boleh jaga kakak sampai mati. Kalau pun dia tak dapat jaga kakak sampai mati, abah harap anak-anak kakak akan jaga kakak sampai mati."

Sekali lagi saya tersentap. Tidak berani lagi saya membuka topik ini dengan abah. Tamat. Saya mahu kahwin. Walaupun tak ada hati kepada calon pilihan emak dan abah yang soleh, comel dan macho itu, saya tetap akan berkahwin.

Jatuh Cinta buat kali pertama

Kira-kira 2 bulan terakhir sebelum pernikahan, emak sibuk menguruskan borang nikah saya. Pada hari terakhir saya perlu menghantar borang nikah, tanpa pengetahuan emak, saya telah mengirim email kepada tunang saya. Itulah kali pertama saya meluahkan isi hati saya kepada beliau iaitu seorang lelaki yang bakal saya berkongsi tempat tidur, berkongsi pinggan, berkongsi kereta, berkongsi anak dan berkongsi hidup.Selepas menghantar email itu saya diserang ketakutan. Andai kesan email tadi lelaki ini hendak memutuskan pertunangan, betapa hancurnya hati ibu bapa saya dan betapa berdosanya saya kerana menyebabkan ibu bapa saya menderita. Lalu saya menangis sepanjang malam sambil berdoa semoga Allah memberikan yang terbaik dan kekuatan kepada kami dalam menempuhi hari-hari mendatang. Sebenarnya hampir setiap malam saya mengerjakan solat istikharah kerana dilema hati ini masih belum selesai. Semoga apa sahaja ketentuan takdir akan mampu kami terima dengan hati yang tenang dan bahagia. 

Email saya ialah :
Assalamualaikum wbt..Apa khabar? Ada beberapa perkara nak bertanya..
1) Nak minta biodata diri saudara.. :)
2) Nak tahu  31/8/2013, saudara available tak? Sebab saya bercadang nak buat majlis walimah untuk jiran2, students dan kawan2. Yang 17/8/2013 tu hadirinnya cuma keluarga dan kawan2 abah. Kasihan jiran2,students dan kwn2 saya... :(  Kalau saudara tak available tarikh 31/8, boleh bagi cadangan tarikh yg available ?:)
3) Boleh saya tahu apa planning saudara bulan Ogos, September, October dan November ? Kita merancang, Allah menentukan. Saya sekadar nak tahu supaya saya cuba dapat susun jadual aktiviti..
4) Saya tak pasti sama ada mak abah ada bagitahu yang saya ada slip disc di tulang belakang atau tak. Saya dah pesan mereka bagitau. Saya pernah ambil epidural injection tahun lepas. Saya pernah naik wheel chair. Dulu doktor pakar yg merawat pernah bagitau yg keadaan saya mungkin jadi lebih serius dan dia berikan ubat pain killer shj. Doktor kata saya terlalu muda kalau nak operate, dan chances cuma 50-50. Kalau operation fail, saya mungkin lumpuh seumur hidup. Punca slip disc sbb jatuh. Tak ingt jatuh time bila, sbb bnyk kali dah jatuh. Sakit on off. However, Allah bagi saya sihat, boleh berjalan-jalan melompat berlari :). Saya tak makan pain killer tu sebab nanti asyik tidur. Sebagai langkah berjaga-jaga, saya elakkan angkat barang berat, overwork, atau terlalu aktif. Sekali sekala tersibuk, saya akan sakit. Bila sakit, kadang-kadang saya jadi slow sikit berfikir, lambat respon, sbb slip disc ni melibatkan saraf tunjang. Selalunya bila saya letih sayaakan sakit. Time sakit tu menggigil nak berdiri, duduk dan tiada posisi yang tak sakit, even berjalan pun rasa sakit bawah tapak kaki. Masa sakit tu memang tak tidur malam, duduk di meja sampai lena. Saya cuba elakkan dari sakit, cuma kadang-kadang terlalai. :) Ini ujian untuk saya, bahagian saya. Saya terima diri saya seadanya. Dulu saya sudah lama sihat, baru 4 thn sakit, baru 2 thn serius sakit. :) Saya tak tahu sama ada saudara boleh terima ia atau tidak. Apapun saya terima apa shj respon saudara. Acik ** tu melarang saya bagitahu.. :) Saya beranikan diri bagitahu semua ini sebab saya tak nak saudara rasa teraniaya. Saya rasa saudara berhak tahu perkara ini.
Erm... Mohon maaf andai terkasar bahasa.Sejujurnya, saya takut nak melangkah ke alam baru menjadi isteri dan ibu mengenangkan diri saya masih banyak weakness.Inshaallah saya cuba buat yg terbaik, selebihnya saya bergantung kepada Allah. Mohon doakan saya juga ya :)
Assalamualaikum wbt..
:) 


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Keesokkan harinya selepas selesai menghantar borang nikah dan dalam perjalanan ke Masjid Shah Alam untuk menempah bilik nikah, saya membuka email. Calon pilihan emak sudah membalas email saya malam semalam. Menggigil tangan membuka email itu. Selepas membacanya saya menangis. Emak yang sedang memandu menjadi panik. Akhirnya saya berterus terang memberitahu kepada emak yang saya telah menghantar email kepada tunang saya. Emak kata "Sekarang puas hati?!" Saya menjawab dengan air mata...

Email calon menantu abah dan emak :

Wa'alaikumsalam dan salam kembali.Sihat datang dari Allah dan sakit pun datang dari Allah. Jika kekasih memberi sesuatu pasti akan sangat2 gembira menerimanya. Seorang yg dikasihi pasti akan memenuhi segala keinginannya. Masa kita sihat Allah nk lihat kita belajar buat amal yg soleh kerananya, semasa Allah bagi sakit segala amal yg dilakukan masa sihat terus Allah terimanya.Beruntungnya sapa2 yg diterima oleh Allah.
Saudari, saya dan seluruh umat islam kena bawa fikir yg satu iaitu apakah keinginan Allah dan kekasihnya Nabi muhammad saw.Saya bukan xmau menjawab soalan yg diajukan saudari tetapi biarlah lepas di ijab kabulkan kita mesyuarat semuanya sekiranya Allah mengizinkan kita hidup lagi. Cuma yg saya tau tarikh nikah 15hb dan malam itu juga majlis walimah di lakukan.Untuk pengetahuan saudari insyaAllah saya nak keluar 40h ke kota bharu bergerak esok sampai 2 ogos atas maksud takaza agama dari masjid saya sendiri.Doakan untuk saya ye.:-). 
Sy akan cuba untuk pulang sebentar kerana ayah saudari berkeinginan nak saya ada bersama pada 7.7.13..
Soalan1Nama diberi mohd rizuwan bin borhan.marhala sekarang gombak utara. Lahir di kl dan xmau mati di kl. Belajar di dunia dip dn degree in electronic. Anak ke 4 dari 5orng adik beradik. Belum berkahwin dan berhasrat nak bernikah dengan nur khalillah rasyidah bt abd karim.
Hope jawapan saya diterima oleh Allah dan saudari.
Yg sedang bersafar,Rizuwan
Sent from Yahoo! Mail on Android

Lagi dua minggu hendak berkahwin, saya buat hal lagi. Saya memberitahu tunang saya yang saya rasa takut nak berkahwin. Maka tunang saya berusaha memujuk saya untuk berkahwin.



Penutup cerita yang Gembira

Saya benci penutup cerita yang sedih. Kalau menonton cerita kemudian penutupnya menyayat hati, memang saya menyesal menonton cerita itu. Dalam kisah saya ini, saya juga tidak mahu para sahabat di luar sana menyesal membaca kisah ini. Walaupun kisah saya ini bukanlah seperti kisah Cindirella ataupun Snow White ataupun Shrek yang 'Happy Ever After', inilah kisah sebenar hidup saya. Sama ada suka ataupun tidak, setiap manusia ada perjalanan hidup masing-masing, ada ujian masing-masing. Dipendekkan cerita saya pun selamat dinikahkan oleh abah dengan pasangan hidup Mohd Rizuwan.



Bak kata adik lelaki saya "Kakak tidak akan berkahwin dengan putera idaman, tetapi kakak akan berkahwin dengan jodoh yang tidak sempurna dan kakak perlu menerima dia seadanya."

Selepas berkahwin suami saya masih berusaha gigih memikat saya kerana beliau tidak mahu saya berada dalam keterpaksaan menerima status isteri ini.

Kesungguhan beliau menyebabkan hati saya cair. Walaupun beliau tidak sempurna, semoga Allah sempurnakan beliau dimata saya. Walaupun beliau mempunyai banyak keaiban selaku manusia yang lemah, semoga Allah sorokkan daripada pandangan saya. Semoga saya dapat menjadi isteri beliau di syurga Allah nanti...Semoga Allah permudahkan jodoh orang-orang yang belum bertemu jodoh. Semoga Allah memberikan kebahagiaan dan ketenangan kepada orang-orang yang sudah berkahwin. Semoga Allah memberikan zuriat yang soleh kepada orang-orang yang belum beroleh zuriat. Semoga Allah mengurniakan kesabaran dan keikhlasan kepada orang-orang yang mendidik anak-anak. Semoga Allah menjadikan kita sebagai asbab turunnya hidayah kepada orang di sekeliling kita... Ya Allah terimalah solat kami, pengabdian kami, hidup dan mati kami untuk Mu...


Tamatlah drama saya kepada emak dan abah. Tentu emak dan abah sudah lega. Semoga emak dan abah akan terus mendoakan kebahagiaan kami. Semoga Allah memberi kebahagiaan kepada emak dan abah di dunia akhirat....

Pengajaran yang diperoleh adalah :
1) Buat solat istikharah berulang kali sampai puas hati. Amalkan doa-doanya selepas solat 5 waktu.
2) Taat perintah ibu bapa selagi tidak bertentangan syariat
3) Setelah berusaha, bertawakal.... Berdoa sepanjang masa dari sebelum hingga selepas...
4) Yakin apa yang Allah berikan adalah yang terbaik
5) Tiada kalau-kalau dalam hidup ini
6) Berkahwin untuk mendapat ketinggian darjat, pahala berganda, keredhaan Allah
7) Kebahagiaan bukanlah terletak kepada mengahwini orang yang kita suka tetapi terletak kepada keredhaan Allah. Allah yang berkuasa memberikan cinta dan menghapuskan cinta. Berdoalah kepada Allah supaya hati kita cinta kepada orang yang Allah cinta dan berdoalah semoga Allah titipkan cinta orang beriman kepada kita.
“Rasulullah s.a.w. bersabda, diantara doa Nabi Daud a.s.adalah :
“Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepadaMu cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu dan aku memohon kepadaMu perbuatan yang dapat mengantarkanku kepada cintaMu. Ya Allah, jadikanlah cintaMu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin. ”
Dan bila Rasulullah mengingat Nabi Daud beliau menggelarinya sebaik-baik manusia dalam beribadah kepada Allah.” 
(HR. at Tirmidzi dari Abu Darda/3828)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....