Nota kecil di borang pendaftaran |
Sebak. Saya membaca perlahan nota kecil yang ditampal dengan salotape pada borang penyertaan Program Motivasi Sayangi Remaja. Anak kecil ini sungguh istimewa. Dalam ribuan manusia, Allah telah memilih anak ini untuk menyertai program ini. Paling istimewa adalah kerana anak ini hadir bersama hatinya. Hati yang bukan sekadar seketul daging malah sebutir permata yang bersinar. Ada air mata bergenang di kelopak mata saya. Maha Suci Allah!
Serta merta hilang rasa penat bertungkus lumus mengerjakan program ini!
Antara Slot Program Motivasi Remaja : Pengakuan remaja terlanjur yang telah bertaubat. Belajar daripada beliau mengapa perlu kembali ke pangkal jalan dan bagaimana untuk kembali kepangkal jalan.
|
Mengimbau memori silam
Sepanjang zaman persekolahan saya, saya sudah biasa mendengar dan melihat kawan-kawan yang terjebak dengan zina, rokok, dadah dan gaduh. Emak dan abah sendiri pernah memelihara anak-anak angkat kepada penagih dadah. Saya pernah tidur sekatil dan bersembang hati ke hati bersama seorang gadis yang baru bebas dari pusat juvana. Saya dan mereka terlalu dekat. Erat. Syukur berkali syukur betapa dekat sekalipun, Allah masih memelihara saya daripada terjerumus ke lembah hina itu. Setiap kali saya tersedar, saya sedang menarik tangan kawan-kawan saya yang sedang berada di tebing curam. Adakalanya saya menangis dan adakalanya saya menjerit. Adakalanya saya menggigil ketakutan dan adakalanya saya kesakitan yang teramat! Bagaimana Allah melindungi saya? Allah mencampakkan rasa takut kepada dosa di dalam hati saya.
Peserta-peserta Program Motivasi Sayangi Remaja mengalirkan air mata, bermuhasabah diri.
|
Hati yang tersiat
Semasa saya di zaman kampus, saya berpeluang untuk belajar kaedah membuat program. Senior-senior mengajar saya cara untuk menulis surat rasmi dan membuat modul. Saya dibimbing secara teori mahupun praktikal. Betapa galak saya di USM selama 3 tahun setengah. Ada suara sumbang memperleceh dengan mengatakan "Alah, setakat bergegar di kampus lansung tidak bermakna. Nantilah sahaja di medan sebenar selepas tamat kampus, semuapun senyap...".
Masa berlalu dan akhirnya segulung ijazah berada di genggaman. Nawaitu hati masih tidak berubah. Aku mahu memikul amanah Allah yang satu ini, yang sangat sedikit manusia sudi melakukannya. Saya bertekad menolak untuk bekerja di bawah majikan kerana mahu meluangkan masa untuk berbakti bersama anak-anak remaja yang tersisih dalam dunia yang sepi. Bergetar tangkai hati apabila adik sendiri memperleceh diri ini seolah manusia yang merangkul gelaran pelajar terbaik sekolah ini begitu bodoh kerana memilih pekerjaan yang lansung tidak bergaya.
Seorang anak murid saya bersuara "Yela, takkan cikgu sampai bila-bila pun nak menjadi macam ini.. "
Saya tersentak. Apabila anak murid sendiri turut merasakan saya seolah menzalimi diri sendiri, saya menjadi sangat tertekan. Saya sedih. Beberapa hari kemudian saya menerima pula sepucuk surat oleh pelajar lain. Di dalam surat itu pelajar itu mengeluh kerana dirinya tidak dihargai oleh saya sedangkan saya rasa dialah sebenarnya yang tidak tahu menghargai saya dan kawan-kawan dia. Kasih dan perhatian yang bagaimana lagi yang dia tagihkan?! Dimana kekurangan saya dan dimana silapnya saya?! Tidak. Ianya tiada kaitan dengan saya. Saya sudah berusaha memberikan yang terbaik. Hanya kini Allah sahaja yang memegang hati mereka. Berserah kepada Allah.
Saya tidak suka manusia menganggap saya menzalimi diri sendiri. Sabarlah dahulu.. Saya baru memulakan alam kerjaya. Berilah saya kepercayaan...... Berilah saya masa....... Berilah saya peluang! Keadaan saya ini tidaklah seteruk mana. Saya tidak meminta lansung walau 1 sen daripada emak dan abah semenjak saya tamat alam kampus. Saya bekerja sendiri. Kini saya mengusahakan kelas tuisyen dan menjadi rakan kongsi konsultan program motivasi. Allah Maha Kaya mengizinkan saya untuk memberi emak saya lebih RM1000 pada setiap bulan semenjak saya mendapat gaji pertama saya. Walaupun pendapatan saya tidak sebanyak jurutera yang bekerja di pelantar minyak, saya masih boleh bersedekah! Bukankah itu suatu keberkatan? Malah saya mampu bersedekah dengan tenaga dan bakat saya yang nilainya sangat mahal! Bukankah itu suatu nikmat?!
Apabila Allah mengesat air mataku......
Walaupun pembaca sekalian terasa membaca bait-bait di blog ini adalah percuma, namun kalian mungkin tidak tahu betapa mahalnya bait-bait yang ditulis dari hati ini..... Saya juga baru mengetahuinya. Beberapa hari yang lepas saya bertemu dengan bekas guru besar sekolah saya, Puan Ho Chee Lian. Sudah 7 tahun tidak bertemu. Kata Puan Ho, Tuhan mendengar doa beliau supaya dapat bertemu saya.
Katanya surat yang pernah saya serahkan kepadanya 7 tahun lalu telah mengubah hidupnya. Pada tahun 2009, beliau telah meninggalkan sekolah saya. Namun beliau telah dipanggil semula sebagai pengetua pada tahun 2010. Jika diikutkan hati, beliau tidak mahu kembali ke sekolah yang kritikal dengan pelbagai masalah. Namun kerana surat saya, beliau kembali dengan penuh semangat ke sekolah lama saya. Tentulah saya sangat terkejut mendengar kata-kata beliau. Saya bertambah terkejut apabila beliau menghadiahkan saya sebuah buku himpunan cerpen pengetua sekolah Selangor, 2009.
Petikan daripada tulisan Puan Ho |
Di dalam tulisannya, saya merupakan satu-satunya pelajar yang disebut namanya. Saya lansung tidak pernah berharap ini semua. Suatu masa dahulu, beliau pernah berasa tiada orang yang menghargai diri beliau. Tiba-tiba saya muncul dan memberi penghargaan kepada beliau. Kini, pada saat saya berasakan diri ini lansung tidak dihargai, tiba-tiba beliau muncul dan memberi penghargaan kepada saya. Maha Suci Allah! :')
Alhamdulillah...
Maafkan diriku andai ada yang terguris.. Diri ini manusia biasa. Bukan wali Allah yang kental jiwanya. Saya cuma menaip sekadar coretan hati seorang fisabilillah...Moga-moga dengan berkongsi pengalaman ini dapat meransang insan lain untuk turut sama meletakkan diri di jalan kebaktian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum... :)