Sabtu, 15 Januari 2011

menjadi orang yang paling bahagia.... =)

 Semalam rasa takut juga nak masuk tidur sebab seorang diri di rumah... Alhamdulillah tetap dapat tidur dengan sangat lena.. Sebaik selesai solat subuh, online internet untuk membaca laman OPRAH - kegemaran saya sambil-sambil mencari idea mempromosi kelas tuisyen saya...Kedengaran bunyi air di luar rumah, adik saya sedang membasuh kereta kesayangan dia.. Mungkin dia balik lewat malam tadi, setelah saya tidur.. Perasaan agak lega kerana ada orang lain di rumah ini...Alhamdulillah.

Sepanjang pagi sambil berselubung dalam selimut di bawah aircond, saya akhirnya berjaya menyiapkan ini
---> http://hometuitionbtp.blogspot.com/2011/01/bantu-anak-anda.html

Pukul 11.30 pagi, barulah saya keluar ke dapur dan menyediakan makanan tengah hari... Hari ini hari Jumaat... Sebentar lagi adik lelaki saya akan ke masjid.

"Min, nak masak apa?" saya mengintai dia yang masih asyik membersihkan keretanya.
"Apa-apa pun tak apa."Jawab dia ringkas.
"O.K" balas saya.

Selepas zohor, emak balik rumah bersama adik bongsu saya yang baru balik dari asrama. Gembira rasanya kerana rumah kembali meriah..... Sekian lama rumah ini sentiasa meriah, rasa aneh pula apabila tinggal bersendirian... Saya senang sekali apabila duduk di satu sudut sementara seorang yang lain akan duduk di sudut lain tanpa perlu bercakap. Masing-masing buat hal masing-masing. Saya rasa selamat begitu...
Paling rasa selamat ialah apabila emak berada di rumah..
fitrah... semua anak akan rasa selamat apabila bersama ibunya kan... =)

pada sebelah petangnya, saya ke masjid untuk mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kepada para pelajar perempuan tingkatan 4. Minggu lepas, saya dimaklumkan cuma 5 orang pelajar. Tetapi hari ini yang hadir 7 orang... dan minggu depan jumlahnya akan bertambah sehingga berbelas... Hari ini ada seorang tidak hadir kerana adiknya kemalangan jalan raya beberapa minit sebelum kelas bermula.

"Boleh kita berkongsi buku? Share-share... Sharing is caring.."pujuk saya.
"Boleh-boleh, tak ada masalah..."jawab mereka.
"Bulan ni, cikgu mampu beli ni je dulu.. Inshaallah bulan depan cikgu belikan untuk yang tak dapat buku lagi...."pujuk saya lagi...

Semua bersetuju. Terima kasih...Alhamdulillah... =)

Saya mendapat berita gembira lagi.. Nazir masjid memaklumkan bahawa mereka sangat mengalu-alukan kehadiran kami. Mereka telah menyediakan dewan di tingkat dua untuk kami.
"Di atas ada white board.. Dan kami akan susun kerusi meja untuk pelajar...."kata nazir.
"Terima kasih.. terima kasih sangat2 ustaz.."jawab saya..
Anak murid saya bersorak keriangan... =)

Alhamdulillah..... =)

"Cikgu...kita belajar Isnin sampai Jumaat ya...?"soal seorang pelajar. Tahun lepas, sebulan sebelum PMR, kami belajar setiap malam. Pulun untuk PMR.
"Tak.. Jumaat je.."jawab saya.
"Cikgu..kenapa kita tak belajar hari-hari?"soalnya lagi. Lembut. Maka saya pun perlulah menjawab dengan lemah lembut juga =)
"Saya kerja hari-hari lain... hari ini pun kerja.. tapi petang ini khas untuk kamu semua..."terang saya. Gadis di depan saya ini dibesarkan oleh ibu saudaranya selepas kematian ibunya. Ayahnya tidak mampu menjaga dia dan adik beradiknya, lalu diserahkan kepada ibu saudaranya. Ibu saudaranya tidak tahu berbahasa Melayu. Saya pernah beraya di rumahnya. Makcikya memasak nasi beriyani khas untuk saya.

Apabila waktu Asar semakin hampir, bacaan ayat suci Al-Quran dimainkan di corong pembesar. Kelas ditangguhkan untuk bersiap sedia solat Asar. Saya terharu melihat betapa gembiranya mereka bersiap untuk solat.
"Tak sabarnya saya... Tak sabar nak solat.. Selalu di rumah tak rasa pun macam ni."kata salah seorang pelajar kepada kawannya.
"Ye la, sebab ni kan di masjid. Tu yang semangat."jawab seorang lagi.

Telekung yang disediakan di masjid tidak mencukupi.

"Cikgu.. macam mana ni.. tak ada kain.."seorang pelajar mengadu kepada saya.

Mujurlah saya memakai stokin, jadi saya tidak perlu memakai kain telekung.

"Minggu depan bawa telekung ya.."pesan saya.

"Mesti!"jawab dia.



 Selesai solat Asar, jam sudah 5 lebih. Lewat!
"Cikgu.. tulis surat.. nanti mak ayah saya marah.. mereka tak percaya kalau saya cakap..."pujuk seorang pelajar.

Saya akur...
Saya menulis surat ringkas dan menanda tangan di hujung surat.

"Siapa tak ada 'transpot', balik dengan saya.."pelawa saya..

Selepas menghantar semua pelajar pulang, saya singgah ke kedai membeli barang untuk rumah.
Kalau dahulu saya tidak begitu terperinci dalam soal duit. Kini setiap sen yang keluar masuk perlu saya hitung.
Al maklum saya tidak mahu terbelanja lebih tanpa sedar. Saya tidak mahu menyesal setelah nasi menjadi bubur. Saya manusia biasa, bernafsu apabila melihat barang-barang mewah.. bernafsu apabila melihat jenama-jenama hebat.

    Syukurlah ada anak-anak angkat mengelilingi saya. Daripada saya melabur untuk menghiasi diri, bilik dan kereta... lebih baik saya membelanjakan duit untuk masa depan anak-anak angkat ini...Adakalanya saya berperang dengan nafsu sendiri.


'kau bodoh.. kau kerja siang malam.. kemudian kau beli buku mahal-mahal bagi pada budak-budak tu.. mereka tu bukannya boleh bagi kau apa-apa' hasut syaitan.

'kau cerdik... kau kerja siang malam.. kemudian kau beli buku-buku berkualiti bagi pada budak-budak tu... mereka manfaatkannya dan pahala mengalir sepanjang ilmu tu diamalkan.. dan duit tu masuk ke akaun akhirat... inilah bekalan untuk kau bawa balik jumpa Allah nanti...' bisik iman.

=)
petang tu mak suruh saya mencari kerja lain supaya dapat menambah pendapatan saya. Bagi emak abah, pendapatan saya ini sangat kecil. Mereka tidak tahu bahawa dalam jumlah yang kecil ini, saya cuma mengambil sebahagian yang kecil untuk diri sendiri. Andai mereka tahu semua itu, saya tidak pasti apakah reaksi mereka..... mungkin saya akan dikata 'gila'

=(


Selepas maghrib, saya berdoa memohon petunjukAllah  sama ada saya perlu mencari kerja lain atau menambah bilangan pelajar dengan cepat... ='(

Selepas melipat telekung, telefon berbunyi.. erm, ada seorang pelajar mendaftar untuk dua subjek.. =D Alhamdulillah... cepat betul Allah memakbulkan doa saya ....

   malam ini pula saya mengajar subjek Math Form 2 di rumah.. Seronok mengajar.. Tak kiralah mengajar berbayar atau tidak, saya sangat-sangat bahagia apabila dapat mengajar...

Syukur Alhamdulillah =)

jika ada orang yang sedang bahagia, sayalah orang tu.... =D

perancangan hidup saya melibatkan dua fasa... fasa hidup. yang pertama. dan fasa hidup kali kedua...
saya mahu berbahagia di kedua-dua fasa ...

perkenankanlah ya Allah... =')

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....