Rabu, 26 Januari 2011

Yang Istimewa di hatiku..... !





Hari ini subjek Sains. Kali pertama anak ini datang ke kelas, wajahnya masam mencuka. Ibunya memaklumkan tentang keputusan anaknya yang berderet gred 'E'. Seperti biasa, saya menyambut anak ini dengan ceria. Sepanjang sesi pembelajaran, keningnya berkerut. Saya tahu hatinya memberontak. Saya mencuba pelbagai cara untuk menarik perhatian dia, namun lansung diabaikannya saya. Apabila saya menerangkan pelajaran, dia gagal mengulangi apa yang saya sampaikan. Aduh! Ternyata dia tidak faham! Akhirnya sesi kelas berakhir, tiba masa untuk pulang. Dia mengukir senyuman bahagia sambil memandang wajah saya. Sungguh saya tidak mengerti maksud senyuman itu. Adakah kelas saya ini begitu menyeksakan dia? Timbul rasa bersalah dalam diri saya.... Kasihan dia...





Dia sepatutnya datang lagi ke rumah saya sehari kemudian untuk subjek Matematik.Tetapi ibunya memberitahu yang dia tidak sihat jadi tidak dapat datang. Saya berehat-rehat sahaja malam itu memandangkan kelas malam itu sudah dibatalkan. Wajah anak itu bermain-main di mata saya. Saya tidak boleh melupakan senyuman 'kemerdekaan' dia. Rasa bersalah menyerang jiwa saya. Saya berazam untuk mengukir senyuman bahagia yang tulus daripada hati anak tersebut kepada saya. Saya tidak mahu menyeksa dia lagi di dalam kelas saya... Tidak Mahu Lagi!!


Minggu depannya dia datang untuk kelas Sains. Wajahnya masih mencuka. Saya menyuruh dia berpindah tempat duduk ke kerusi lain. Saya tidak mahu dia mencuri pandang ke arah jam di dinding. Dia akur dan duduk di tempat yang diarahkan. Tetapi wajahnya berkerut, dia memberontak dalam diam. Saya melukis gambar-gambar di papan putih. Dia menirunya. Saya menerangkan gambar-gambar tersebut dan meminta dia menerangkan gambar itu semula. Alhamdulillah, dia dapat menerangkan dengan betul. Lukisan-lukisannya juga cantik. Saya memujinya setiap kali dia memberi respon, dia kelihatan bangga. Matanya sudah boleh menatap mata saya. Bagus! Alhamdulillah... Namun senyumannya masih terlalu mahal! Tidak terbeli senyuman itu!

Sehari kemudian tiba pula kelas Matematik. Risau sungguh saya jika dia datang ke kelas dengan 'zero' kemahiran matematik. Sebaik dia masuk ke rumah saya, dia bertanya di mana patut dia duduk. Oh, saya terkejut. Bagus budak ini, beradab... Saya menyuruh dia memilih tempat yang dia selesa, dan dia memilih tempat duduk yang menghadap jam di dinding.
"Kenapa ***** duduk di situ?" soal saya.
Dia berfikir lama.
"Selesa?"jawab saya.
"Selesa."jawab dia pula.

Satu perkara tentang diri anak ini yang baru saya tersedar ialah dia kerap mengulang ayat saya. Dia akan mengulangi ayat-ayat terakhir saya. *Simptom 1*

Saya sentiasa memerhatikan tingkah lakunya. Saya suka lihat cara dia mengemas buku-bukunya. Semua perlu dipastikan dalam keadaan tegak. Kemas. Dia menyusun buku-buku di dalam begnya mengikut satu arah. Kagum. 

Saya menulis sifir mudah di papan putih dan bersama-sama menghafal dengan anak ini. Alhamdulillah, dia mudah sekali menghafalnya. Saya memuji berkali-kali "Very good.... Very good..."
Kemudian saya menyuruhnya menulis di atas kertas. Semua betul!
Saya terus menerus memuji lagi "Very good...." dan mencoret di kertasnya "Very Good!"

Sedar-sedar wajahnya sudah tersenyum ceria bahagia. Alhamdulillah.... Senyuman mahal itu sungguh bermakna. Hilang segala penat lelah saya! Di penghujung kelas, dia bertanyakan tentang kelas tuisyen tingkatan dua dan tiga. Amboi... baru laju sikit, dah fikir untuk tahun depan... Apapun, ini menunjukkan yang anak ini sudah mula berminat dengan pembelajaran kami... Alhamdulillah...

Hari ini kelas Sains. Saya membuka pintu dan terlihat wajahnya awal-awal lagi sudah tersenyum manis. Matanya memandang tepat ke mata saya. Dia pergi ke meja di tempat yang dia katakan selesa.
"Nak duduk mana?" soal dia.
"Mana-mana yang ***** selesa.."jawab saya.
Sekali lagi dia membuat kejutan. Dia duduk di tempat yang membelakangi jam, tempat yang saya pernah pilih tetapi dia memberontak. Saya ketawa. Saya rasa saya memang banyak ketawa semasa mengajar. Apabila saya ketawa, anak-anak murid saya akan ikut ketawa atau paling tidak pun mereka akan tersenyum.
"Kenapa duduk sana, kenapa tak duduk sini ?" soal saya kehairanan.
"Gilir-gilir.."jawab dia sambil senyum. Saya lansung tidak menyangka jawapan itu yang akan saya terima. Sekali lagi saya ketawa. Dia tersenyum lebar menampakkan barisan giginya yang cantik..
Ya, saya mahukan senyuman dia! =D

Saya menjeling ke arah contengan di bekas penselnya. Contengan itu menunjukkan nama tingkatannya. Ya, saya pernah mengajar di sekolah itu jadi saya tahu kelas itu. Kelas itu untuk pelajar-pelajar yang mempunyai masalah.. Barangkali anak ini autisma? Saya tidak pasti...

Kelas dimulakan dengan lukisan demi lukisan. Penerangan saya semuanya berdasarkan lukisan. Kali ini saya masih terus memuji lukisannya. Saya juga mengambil gambar-gambar lukisan dia. Dia bangga, saya tahu!
Di penghujung kelas, ada sesi 'January Test'. Dia hanya mampu menjawab 1/4 sahaja soalan. Saya tidak mahu mengecewakan dia. Saya mahu menulis 'Very Good' di kertas ujiannya itu! Saya tidak mahu membunuh semangat yang baru tumbuh itu.

"Buka nota, salin yang ini.."arah saya.
"Tiru je ke?" Dia tersenyum memandang saya. Sepanjang masa wajahnya dalam senyuman.
"Iya.. Ini ujian pertama, jadi boleh tiru... Ujian lain-lain kena buat sendiri ya.. ***** balik rumah, buat ulangkaji ya..."pesan saya.
"Minggu depan ujian lagi ya?"soal dia lagi.
"Eh tak.. bulan depan baru ujian lagi.."terang saya.

Kelas berakhir. Ibunya sudah menunggu di depan pintu rumah saya. Dia begitu ceria menyambut ibunya. Saya juga ceria. Hati ini berbunga-bunga. Saya mencari maklumat di internet mengenai autisma. Hati saya kuat mengatakan anak ini menghidap autisma. Anak autism tidak mampu memberi arahan. Kerana itulah dia tidak dapat mengulangi penerangan saya. Bukannya dia tidak faham, tetapi dia tidak mampu berbuat sedemikian. Anak autism juga akan mengulangi perkataan kita kerana otaknya sedang memproses perkataan itu. Anak autism ini mempunyai dunianya sendiri. Kita perlu menjadikan dunia realiti kita sangat menarik, barulah dapat menarik perhatian anak ini.

Setiap perubahan kecil yang ditunjukkannya membawa erti yang besar untuk saya. Kegembiraan yang dia beri kepada saya boleh membuatkan saya ceria sehingga ke hari berikutnya. ^_^

Dia autism. Jika andaian saya tidak benar, Alhamdulillah.. Jika andaian saya benar, Alhamdulillah.. Allah memberi saya insan istimewa untuk disayangi... Saya sudah sayangkan dia! ^_^

2 ulasan:

  1. :) Lillah.. syukurlah kerana insan ini di pilih ALLAH untuk lillah..

    Hm dari cerita lillah..mungkin ada slow learner( masalah pembelajaran).. Kalau dia pandai menulis dan membaca dengan baik baguslah. Kalau dia ada problem dalam mmbezakan d dan b (dll) dia di gelar dileksia.

    Skrang ini, Pndidikan khas kat malaysia baru nak membangun. Dan kalau lillah nak tahu method yang terkini, try tgok Pendidikan khas di luar neg. Mereka sudah maju bertapak2 dari kita.

    Budak2 mcam ini selalunya kita letak di kelas pemulihan. Dan sehinggallah dia gagal semua peperiksaan dan jadi kutu rayau atau terlibat dalam gejala sosial. Tak pun mereka kerja kampung sahaja atau buruh kasar.

    Hm skarang dh ada PK( pend. khas). Alhamdulillah.. malaysia sudah sedar bahawa mereka boleh belajar dan berjaya dalam hdup mereka cumanya mereka perlu cara dan teknik istimewa/khas untuk mereka.

    Bagi pendapat orang, lillah try face to face dengan ibu dia. Tingkahlaku dia di rumah dan di sekolah. Penting untuk tahu dari mulut ibunya sendiri. Sekadar bertanya dan mendengar.

    Kadang-kala mereka ini bukan tak boleh.. boleh cuma MALAS! Cara lillah yang beri perhatian memang cara terbaik untuk budak cmni. Kita kesan kelemahan dia dan beri latihan demi latihan selain kata galakan yang positif. Itu sememang cara mengajar di sini(PK)

    Kami mengajar ikut kemampuan budak itu bukan mengikut silibus. Kami bantu budak itu bukan budak itu bantu untuk pencapaian sekolah. Kejayaan walaupun kecil contohnya , mengubah tempat duduk yang lillah sarankan itu adalah kejayaan. Itu di namakan tingkah laku dia baik. Dia mendengar arahan dengan baik. Seharusnya di beri pujian dan galakan. :)

    Hmm.. lillah survey ciri2 autisme.

    Saya budak baru belajar..
    masih banyak tak tahu dunia PK.. Sama2 kita belajar ye :)

    BalasPadam
  2. :)
    Semalam Lillah dah cari ciri-ciri tu di internet.
    Dan cari juga kaedah pembelajaran yang sesuai.
    Maklumat banyak daripada luar negara..Barat.

    Fairuz, cepat sambung Master ambil tentang autisme! Hehe

    p/s : Rasa macam nak ambil bidang ini untuk sambung Master...

    BalasPadam

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....