Ahad, 23 Januari 2011

Inilah cintaku... Total kepada Dia....

Siapa saya?
Seorang anak gadis yang tinggal di rumah ibu bapanya yang bekerja mengajar anak kecil yang gagal dalam pelajaran supaya lulus dan mengajar anak-anak remaja supaya cemerlang dalam sahsiah dan akademik. Seorang gadis yang bekerja di rumah sendiri, tidak perlu berhias keluar rumah, tidak perlu bercampur gaul dengan lelaki-lelaki sepejabat dan  bekerja secara percuma di masjid selama 2 jam seminggu untuk anak-anak masyarakatnya.Seorang gadis yang mempunyai anak-anak angkat untuk dibimbing dan dikasihi.Kesimpulannya.. Saya seorang gadis yang Allah ciptakan untuk Dia dan bekerja untuk Dia.. Tinggal di rumah untuk Dia dan keluar rumah juga untuk Dia.. Alhamdulillah...

Pagi tadi saya menemani emak melawat adik lelaki saya di Universiti Malaya. Sepanjang dalam perjalanan pergi dan balik kami berborak.Walaupun saya dan emak tinggal serumah, namun masa untuk kami berbual panjang tidak begitu banyak, masing-masing sibuk dengan urusan. Saya sibuk dengan mengajar dan menyiapkan bahan pengajaran. Emak pula sibuk dengan jahitannya. Semenjak kebelakangan ini emak dan staf-stafnya tidak menang tangan menerima tempahan Butik Raudhah (link) . Alhamdulillah.... Semoga cita-cita Butik Raudhah untuk mengeluarkan zakat RM 1 Juta tercapai... Amin Ya Mujib...

"Kakak sangat-sangat bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan kepada kakak... Segala yang Allah berikan sangatlah banyak. Semua yang kakak idam-idamkan Allah berikan.. Kesemuanya.. Malah Allah beri lebih!". Saya meluahkan dengan rasa sebak.

Sungguh saya memaksudkannya!

Setiap hari saya makan tengah hari di meja kecil di ruang dapur luar rumah sambil mendengar kicauan burung. Damai. Setiap hari saya makan makanan kegemaran saya. Sepanjang minggu ini saya lansung tidak memasak. Sebab pertama saya tidak memasak ialah saya sibuk. Sebab kedua ialah setiap kali saya buka peti sejuk, ada sahaja makanan kegemaran saya. Saya cuma perlu memanaskan makanan tersebut dan menikmatinya. Keenakkannya lebih sedap daripada mula-mula  masak, mungkin kerana perencahnya sudah meresap masuk ke dalam daging. Alhamdulillah....

Setiap hari apabila emak saya akan ke rumah jahitan atau nama lain 'Butik Raudhah' yang tidak begitu jauh dari rumah saya. Maka tinggallah saya bersendirian di rumah saya. Lama saya berfikir.. Rumah saya ada semua yang saya mahukan. Malah ada melebihi yang saya inginkan. Ada televisyen yang besar. Ada kemudahan internet. Ada 'air cond' di setiap ruang dan bilik. Ada air panas di setiap bilik mandi. Ada mesin basuh dan pengering. Pendek kata, saya tidak perlu keluar rumah untuk buat apa-apa. Menjemur pakaian juga tidak perlu! Alhamdulillah....

Setiap kali saya makan, kucing liar akan datang meminta makanan daripada saya. Saya memberinya makan. Kadang-kadang kucing itu akan makan makanan saya sekali. Menu saya dan dia sama sahaja. Saya tidak sampai hati hendak memberinya tulang, bimbang kucing itu tercekik. Saya juga akan pastikan kucing itu makan sampai kenyang. Selepas kucing itu kenyang, dia akan pergi meninggalkan saya. Saya sangat suka keadaan ini. Saya suka kucing tetapi saya tidak mahu dia tinggal di rumah saya. Saya sangat bersyukur kucing itu hanya datang untuk makan. Dapatlah saya makan berteman. Alhamdulillah...





Ramai sahabat memberi cadangan supaya saya membuka pusat tuiyen di di rumah kedai dengan harapan saya dapat menambah kelas-kelas dan menambah bilangan pelajar. Ada benarnya kata mereka. Namun saya lihat majoriti anak-anak murid saya berjalan kaki ke rumah saya. Hanya seorang dua yang datang berkereta. Jika saya berpindah ke pusat tusyen, ini akan menyukarkan majoriti anak murid saya. Abah berjanji hendak memberi pinjaman kewangan kepada saya sekiranya saya ingin membuka pusat tuisyen. Ya, mungkin saya akan membuka pusat tuisyen juga akhirnya, namun dalam tahun ini biarlah saya mengukuhkan dulu tusyen di rumah saya. Modalnya kecil dan risikonya kecil. Biarlah saya mengumpulkan pengalaman dan ilmu pengurusan dahulu. Untungnya memang tidak besar tetapi berkat! Bermula dari pendapatan bulan pertama lagi sudah mampu menaja pendidikan anak-anak angkat saya. Alhamdulillah...

Abah kata dia mahu saya buka pusat tuisyen di kawasan berhampiran sahaja kerana emak saya ada di sini. Kata abah, dapatlah emak saya membantu saya. Ya, emak sangat membantu saya dari sudut memberi semangat dan nasihat. Saya juga berharap saya akan terus di sini supaya saya dapat menemani emak. Abah jarang balik ke rumah. Adik-adik saya juga jarang balik ke rumah. Setiap pagi atau sebelum tidur, kami akan bersembang bertukar cerita. Walaupun cuma berdua, lansung tidak terasa sunyi. Alhamdulillah...

Minggu lepas Pak Ngah datang. Sebaik mencium tangan Pak Ngah, Pak Ngah berkata "Apa khabar 'business woman'?"
Saya tersenyum.
"Sekarang dia jadi cikgu di rumah je..."sampuk emak sambil menunding jari ke arah 'white board' di sebalik 'blind' di dinding.
"Perempuan memang kerja di rumah yang terbaik. Bagus..."ucap Pak Ngah tulus.
"Anak-anak murid datang rumah.."jawab saya pula.
"Macam tulah bagus... "balas Pak Ngah lagi.

Saya cuba memikirkan kata-kata Pak Ngah. Pak Ngah adalah seorang lelaki yang saya sangat hormati. Peribadinya sangat menarik hati. Dia seorang doktor falsafah yang bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya sebagai seorang saintis dan dalam masa yang sama buat usaha dakwah. Rata-rata manusia memandang rendah dengan pekerjaan saya malah melabelkan saya sebagai tidak tahu menikmati kehidupan ataupun sedang mensia-siakan zaman muda.

Salah seorang adik lelaki saya pernah memujuk saya keluar berfoya kerana katanya saya tidak tahu menikmati kehidupan.
"Apa yang kakak buat dengan duit kakak untuk diri kakak?"soal dia.
"Em.. Sedekah.. Dakwah... Beli emas,"jawab saya.
"Tengok.. kakak tak pernah menikmati hidup kakak! Cubalah pergi berhibur...! Sesekali pergi main-main.."kata dia lagi.

Hm... selepas didesak, saya pun keluar bersama kawan-kawan saya ke tempat berhibur. Balik dari tempat tersebut saya tidaklah rasa seseronok manapun... Lebih seronok lagi apabila saya pergi mengajar di kelas percuma hari Jumaat di masjid. Saya seronok apabila dapat ketawa dengan keletah anak-anak murid saya. Yang itu barulah betul-betul seronok dari hati! Kalau saya demam pun, apabila masuk kelas serta merta saya rasa sihat! Jujur! Alhamdulillah.....

Ketika zaman belajar dahulu, saya selalu bimbang andai saya bekerja di bawah majikan, adakah mudah untuk saya melakukan amalan-amalan sunat? Solat duha? Membaca Quran? Solat awal waktu? Mampukah? Adakah surau itu selesa dan mudah saya beribadah di sana? Saya berdoa bersungguh-sungguh supaya Allah mempermudahkan saya beribadah... Saya minta pada Allah bersungguh-sungguh... Saya tahu tiada sesiapa dapat membantu saya kecuali Dia..

Kini Allah telah pun menjawab doa saya.. Semua yang saya harapkan itu terjadi.....
Malah, kini saya dapat berbangga sebab anak-anak murid saya dapat bersolat di rumah saya. Pada hari Jumaat pula, saya berbangga dapat berjemaah bersama anak-anak murid saya di masjid. Sungguh saya berbangga menjadi hamba-Mu! Alhamdulillah.....

Semenjak kecil, emak abah mendidik kami adik beradik supaya saling sayang menyayangi dan saling melindungi. Dalam masa yang sama, kami dididik untuk berdikari. Apabila saya keluar ke tengah masyarakat, menjadi satu kecenderungan saya untuk menyayangi dan melindungi orang lain. Saya memperlakukan adik dan anak orang lain seolah mereka adik dan anak sendiri. Saya sayangkan mereka, dan ianya lahir secara fitrah tanpa paksaan.

Minggu lepas saya demam. Adik lelaki saya menghantar saya ke klinik. Ketika nama saya dipanggil, adik saya ikut masuk menemani saya ke dalam bilik doktor. Dia melayan saya seolah saya pula adik dia. Benar-benar dimanjakan. Disebabkan kecuaian saya, bateri kereta saya habis. Dia telah bersusah payah mencabut bateri saya dan memasukkan bateri kereta dia. Sakit-sakit tangan dia dibuatnya. Kemudian sepanjang tengah hari yang panas dia menunggu di luar rumah untuk mengecas bateri kereta saya. Saya pula sedang berbaring di katil kerana demam. Sebelum dia balik ke UTP, dia memasang 'mobile holder' di kereta saya supaya memudahkan saya menjawab telefon ketika memandu dan menggunakan GPS. Tidak dilupakan dia telah mensedekahkan pensel mekanikalnya kepada saya kerana saya tiada pensel mekanikal.

Saya juga masih ingat ketika saya terlena sewaktu menanda kertas, adik bongsu saya telah menyambung menanda kertas saya. Ketika saya tersilap mencetak tarikh di pamplet, adik bongsu saya telah menolong membuat pembetulan pada kertas-kertas yang banyak.Tidak dilupakan dia telah mensedekahkan pen merahnya kepada saya kerana saya tiada pen merah.

Alhamdulillah....

Saya juga punyai sahabat-sahabat yang baik yang sangat membantu saya.. Pendek kata, setiap hamba Allah yang menjadi sahabat saya pasti akan membantu saya... Mungkin kecil bantuan itu bagi mereka, tetapi besar ertinya bagi saya. Romlah menemani saya ke hulu ke hilir melayan kerenah saya yang suka mencari masalah. Adakalanya di tengah malam saya mengajak Romlah secara mengejut menemani saya ke sesuatu tempat. Saya tidak ingat jika dia pernah menolak, selalunya dia pasti akan temankan...

Nini pula sahabat saya yang sudah seperti 'P.A' kepada saya. Setiap kali saya tidak cukup tangan untuk membuat sesuatu tugasan, saya akan meminta dia membantu saya. Dia tidak pernah berkata 'tidak', dia akan berusaha menyelesaikannya walau apa cara sekalipun. Saya masih ingat seorang junior mahu datang ke bilik saya untuk meminta bimbingan pengurusan projek persatuan. Saya kebetulan ada urusan lain di luar USM, lalu saya arahkan dia ke bilik Nini. Saya tidak tahu sama ada Nini tahu atau tidak menyelesaikan masalah junior itu. Tetapi saya yakin Nini pasti akan selesaikannya dengan baik. Alhamdulillah, selepas urusan saya selesai, saya telefon junior itu dan masalahnya telah selesai dengan baik sekali.

Hidayah, Fairuz, Zailiana, Kak Na, Asma, Kak Wa, Asyikin, dan ramai lagi... Termasuklah adik-adik kesayangan Azila, Rafeah, Abel, Husnil dan semua yang pernah bersama saya. Saya sangat sayang pada semuanya!

Alhamdulillah.....

Memang saya pernah melalui ujian-ujian yang apabila saya kongsikan membuatkan insan lain menangis. Namun terlalu kecil derita yang saya pernah lalui jika dibandingkan dengan nikmat yang Allah berikan....Jika orang menyangka dengan memiliki duit yang banyak baru mampu memiliki sesuatu. Silap! Saya tidak punya wang yang banyak. Tetapi Allah masih menganugerahkan nikmat-Nya yang tidak putus. Saya melancong mengelilingi dunia sedangkan saya tidak punya wang. Ibu bapa saya juga tidak memberi wang kepada saya untuk saya melancong. Tetapi hadir pula insan lain yang menyayangi saya dan mahu saya bersama dia melihat alam ciptaan Allah. Tahun ini, inshaallah saya ditaja untuk ke India. Semoga ziarah ini akan dapat mendekatkan saya kepada Allah. Masih banyak lagi nikmat Allah yang saya tidak senaraikan.... Dah panjang sangat artikel ini.

Cubalah anda renungkan pula kehidupan anda... Singkaplah hijab yang menjadi tabir hati anda. Moga-moga anda nampak betapa banyaknya nikmat Allah kepada anda.. Sebenarnya Allah telah pun memberi kita segala keperluan dan kelengkapan untuk kita memberi yang terbaik dalam beribadah kepada-Nya. Namun, manusia sentiasa mencari alasan untuk memberi yang terbaik dalam berbakti kepada-Nya. Jangan sangka setelah kita berubah status atau berpoket penuh barulah kita mampu berbakti dengan terbaik kepada-Nya. Satu takut andai manusia terlalu banyak mengeluh hingga menjadi kufur. Tiba-tiba mati pula di saat kufur. Nauzzubillah! Semoga kita sentiasa menjadi hamba yang bersyukur pada setiap detik. Apalah sangat pada dunia ini jika dibandingkan akhirat yang kekal abadi..... Semoga hidup mati kita sentiasa bersyukur padaNya.

Alhamdulillah.... :)


4 ulasan:

  1. Assalamulaikum
    (",)
    seronoknya mendengar coretannya
    moga akn berbahagia bersama pilihan hidupnya
    pilihan untuk hidup sbgai seorang mujahidah solehah
    (",)

    BalasPadam
  2. Waalaikumussalam wbt....
    :)
    Amin Ya Mujib.....
    Moga kebaikan itu juga Allah kurniakan untuk ukhti mardhiah.... :)
    Amin Ya Rabb...

    BalasPadam

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....