Rabu, 9 Disember 2009

hati yang jahil dan hati yang beriman

sekiranya Allah mahu hambanya baik, maka
diperelokkan isi hatinya dengan mengenali Allah dan sifatnya serta memahami
segala ilmu agama dan hikmah keagungan ilmu itu sendiri.

Manakala jiwanya
merasai betapa nikmatnya memahami sesuatu bidang ilmu dengan mendalam
dan baik dengan merasai kemanisan ilmu seperti mana ia merasai kemanisan
iman.

‘Kemanisan ilmu bila dikuasai oleh orang yang ada kemanisan iman bagaikan kemanisan tamar yang terhidang di hadapan orang yang sedang berbuka puasa.’

~pepatah Arab~


Pepatah ini menggambarkan perwatakan orang yang beriman dan
berilmu apabila disertai dengan kesabaran terasa senang dan tenang serta sejuk
setiap mata yang memandang.

(^,^)


Itulah peranan hati dalam kehidupan.
Hati dapat mencorak kewibawaan
seseorang melalui gerak geri dan perilaku yang disenangi dalam pergaulan
harian sama ada di tempat kerja seperti majikan dengan pekerjanya atau
sebaliknya ataupun di mana sahaja atau sesiapa yang berdamping dengannya.


Sesiapa juga yang ada kaitan dalam melaksanakan sesuatu perbincangan dan
tunjuk ajar darinya sering kali tidak mudah melatah dalam memutuskan sesuatu
keputusan. Inilah sikap orang yang tetap pendirian dengan erti kata jati diri
yang berlandaskan iman, ilmu, dan akal yang mantap yang dapat merealisasikan
keadaan pergaulan yang sempurna dan tenang.

Sebaliknya orang yang mati hati
itu tidak mahu mengambil berat soal tuntutan yang disyariatkan oleh Allah dan
tidak mahu memahami adab di dalam pergaulan atau hubungan sesama
manusia sama ada soal memberi salam atau menerima salam orang lain tidak
disampaikan kepada penerima.

Begitu juga soal keizinan untuk memasuki ke
dalam rumah orang lain, jauh sekali hendak menghormati hak sesama manusia
atau berterima kasih kepada orang yang memberi pertolongan kepadanya.
Secara tidak langsung balasan buruk baik selepas mati tidak sekali-kali
dihiraukan, jauh sekali hendak memikir kebesaran Allah dan keagungan maha
pencipta.

Sebab itu Allah menggambarkan kedudukan mereka dalam al Quran
seperti binatang ternakan dalam firman-Nya dalam surah al A'raf, ayat 179:

‘Mereka itu seperti binatang ternakan bahkan mereka lebih sesat dari itu.’


Itulah gambaran orang yang mati hati tidak dapat memahami apa
maksud segala kejadian Allah, maka ia tidak mampu menghasilkan segala
kelebihan yang Allah anugerahkan kepadanya. Akhirnya mereka lengah dan
tidak mengambil berat akan segala suruhan Allah. Hidup mereka dalam
kejahilan yang mati dari kesedaran akidah yang menjadi asas kepada agama
Islam, sedangkan ia mengaku dirinya adalah Islam.

Golongan inilah yang
digambarkan hidup mereka sebagai kubur kepada nyawa dan roh mereka
sendiri seperti mana yang digambarkan oleh penyair di dalam syairnya dibawah
ini.

‘Dalam kejahilan sebelum mati ia merupakan mati kepada si jahil
dan jasad
mereka sebelum berkubur telah terkubur. Roh mereka telah bersangkar dalamkekejian jasad yang jahil maka bagi mereka tiada harapan sebelum jasad mereka hancur mereka telah hancur.’


Maksud jahil di sini ialah mati hati dan rohani, iaitu jahil untuk mengenali
Allah dan segala ilmu yang disyariatkan kepada hambanya untuk mendalami
dan beramal dengannya semasa roh dikandung jasad. Kerana ilmu itu dari Allah
khusus untuk hamba Nya yang beriman dan ilmu Allah itu merupakan cahaya
yang dapat menghidupkan hati dari segala kejahilan. Seandainya seseorang
hamba itu menjauhkan diri dari ilmu Allah maka hatinya terus mati, ibarat tanah
tanpa hujan tiada tumbuh tumbuhan yang menghiasi di permukaannya.

Lantaran itulah Lukmanulhakim telah menasihati anaknya dengan
katanya:

‘Wahai anakku, dudukiah bersama sama ulama dan berbincanglah bersama
mereka dengan penuh dedikasi, maka sesungguhnya Allah akan menghidupkan
segala isi hati hambanya dengan cahaya hikmah ilmu-Nya seperti mana
menyubur bumi dengan titisan hujan’.


Demikian juga Muaz bin Jabal pernah menegaskan:
"Tuntut olehmu akan
ilmu sesungguhnya menuntut ilmu kerana Allah akan menjadikan kamu takut
kepada-Nya. Menuntut ilmu adalah ibadat, mengingati ilmu merupakan tasbih,
membincangnya pula adalah jihad dan sekiranya kamu ajar kepada orang yang
tidak mengetahui adalah sedekah. Manakala menghabiskan masa dengan ahli
ilmu merupakan pendekatan diri kepada Allah dan ilmulah yang memberi
pengetahuan terhadap kamu soal halal haram, makruh atau syubhah yang akan
terpelihara diri kamu dari api neraka".
Oleh itu, sentiasalah dekati dengan ilmu
kerana ia menyegarkan hati dan
rohani yang telah terkulai layu.

Sekiranya kita patuhi segala kehendak ilmu
pengetahuan yang kita ketahui ia akan menerangi jalan kebahagiaan dunia dan
akhirat, kerana ilmu satu satunya yang dapat menjinakkan jiwa yang liar serta
menghidupkan hati yang mati.

{inilah pentingnya beramal dengan ilmu!}


Dengan demikian hati yang mati ini tiada yang
dapat menghidupkannya melainkan ilmu dan iman serta keikhlasan beribadat
kepada Allah sahaja. Yang dimaksudkan dengan menghidupkan hati dengan
ilmu ialah dengan sentiasa berzikir, istighfar, selawat ke atas Rasulullah,
memaafkan kesalahan orang lain, ikhlas, murah hati dan jauh daripada maksiat.

Dengan demikian bolehlah dikatakan hati yang hidup.
Kita boleh mengenali hati yang hidup ini kerana ia mempunyai ciri-ciri
tertentu, iaitu menunjukkan sikap berhemah tinggi serta sifat-sifat seperti
pemaaf, pemurah, tidak meninggi diri atau menunjuk nunjuk, tidak sombong
dan tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan orang
lain.

Di samping itu, apabila dilihat kepadanya,
maka akan nampaklah ciri-ciri
keimanan seperti khusyuk, lemah lembut, sabar mendengar dan menerima
pendapat orang lain dan tidak mementingkan diri sendiri serta bersimpati
dengan orang yang kurang bernasib baik dan bersifat tolong menolong, dan
bertimbang rasa.
Inilah gambaran orang yang hatinya tidak mati.
Manakala hati yang mati amat ditakuti oleh setiap insan yang beriman.


Bagi orang yang beriman, mereka tidak takut mati
apabila sampai ajalnya kerana
bekalan sudah sempurna, tetapi yang amat ditakuti ialah sekiranya mati hati.

Ini kerana mati hati menjadikan
jasad hidup dalam keadaan hina disebabkan nafsu
tidak berpandukan akal.
Ketika itu kedudukan jasad tidak berguna lagi sama
ada di sisi Allah atau pada pandangan masyarakat. Oleh yang demikian, hati
yang mati adalah pembunuh jiwa yang sihat, manakala jiwa yang sihat berpunca
dari hati yang hidup bernafaskan iman.

Lantaran itu hati memainkan peranan
yang sangat penting ke arah jiwa yang baik dan tenang serta sanggup memikul
segala cabaran yang mendatang, ibarat bunga yang segar mengeluarkan
keharuman yang menyegar setiap individu dan masyarakat yang
mendampinginya. Sebaliknya hati yang mati tiada keharuman jiwa, ibarat bunga
yang busuk sentiasa mengeluarkan bauan yang tidak menyenangkan orang lain.
Dengan kata lain, orang yang mati hati tidak hertimbang rasa terhadap orang
yang kurang bernasib baik.

wallahualam..

p/s : berilah diriku, keluargaku, sahabat-sahabatku & keturunanku hidayahMu....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....