Memaparkan catatan dengan label penyakit gerakan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penyakit gerakan. Papar semua catatan

Isnin, 19 April 2010

terlanjur : padah melayan cinta monyet


semalam ada seorang adik bertanya...
adik : hm..akak..
adik : boleh ke kalu berkawan dgn lelaki...nk bertunang...tp belum bertunang la..
adik : tp parents tau..

adik : cmna nk tegur kwn yg terlibat dgn benda ni ek?

adik : cuak gak...tkut dia terasa...

lillah : letakkan Allah no 1
lillah : dlm stiap tiindak tanduk kita

lillah : demi jaga hati Allah..
tegurlah dia sblm dia menderhaka..
lillah : jgn terlalu menjaga hati dia sbb dia akn buat kita kecewa

lillah : tegurlah dia...

lillah : sayangkan dia, tegurlah dia... krn Allah smuanya
lillah : moga2 Allah memberi kbaikan utk kalian..


dan tadi ada seorang saudari add ym saya, dan meletakkan satu link di YM nya.. Alhamdulilah.. Subhanallah... saya terjumpa sesuatu yang menarik untuk dikongsikan dari link itu
. sila baca komen-komen di bawah artikel di blog asal tu... menarik untuk sama-sama kita renungkan..

sebuah muhasabah cinta.. moga bermanfaat dunia akhirat.. amin..


“Apa yang dimaksud ‘terlajur’ pada ayat ustaz tu?” Tanya seorang pembaca setia laman blog penulis.

“Usahlah ditanya, cukuplah kalimah tersebut menghantui kepala saya sejak kebelakangan ini” Penulis cuba meredakan hati yang sedikit risau melihat gelagat muda-mudi masa kini.

Mungkin para teman dan pembaca tertanya-tanya kenapa terlalu banyak mesej pesanan di yahoo messenger hingga memeningkan sesetengah sahabat-sahabat, tidak cukupkah sekali dihantar?

Penulis terpaksa berbuat sedemikian bagi menjawab banyak pertanyaan sama yang diajukan di dalam e-mail, bahkan yang terbaru betul-betul menguji kesabaran penulis. Apakah ini yang dikatakan darah muda yang berani memperlakukan perbuatan terkutuk ini?

Ada yang mengaku telah ditebuk oleh teman lelaki, terkapai-kapai mencari jalan pulang kepada-Nya.

Allahu Rabbi…!

Namun paling merisaukan penulis, penyakit kronik ini berlaku di kalangan anta anti yang mempunyai asas ilmu agama sebagai pendiding. Ingatkan cerah hingga ke petang, hujan pula dipertengahan.

Inilah yang penulis persoalkan.

وَمَن كَانَ فِى هَـٰذِهِۦۤ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِى ٱلۡأَخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلاً۬

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya” al-Israa’ (17:72)

Ada yang berpendapat fatrah masa pertunangan adalah waktu untuk berkenal-kenalan, jadi apa salahnya untuk keluar bersama ke taman-taman rekreasi, pusat hiburan dan sebagainya. Ini adalah pandangan yang fasad dan tidak diiktiraf oleh agama. Mana tidak semua hujah atau dalil tersebut berbaur khayalan dan bayangan iblis bagi memuaskan nafsu semata-mata.

Pendirian penulis berkenaan dengan no couple sebelum kahwin sememangnya tetap tegar dari sekolah, universiti sehinggalah penulis akan merasai nikmat berkahwin itu sendiri. Mungkin penulis antara individu yang amat tajam dalam mengkritik individu yang bercinta hingga meleret-leret sebelum kahwin.

Terkadang terasa rimas dengan sikap sesetengah daripada kawan-kawan yang bercinta kononnya, sungguh mengajar erti kesabaran. Mabuknya melampau-lampau. Tunduk ego kelakian, dan lembik tengok para wanita.

Bahkan penulis sering beranggapan golongan yang bercinta sebelum kahwin ini kadang-kadang boleh menjadi munafik. Bagaimana pula? Kenapa tidak, semasa bercinta semuanya sikap yang baik-baik ditonjolkan, daripada cakap-cakap romantik, hadiah yang tidak pernah putus-putus, puji-pujian yang melangit dan sebagainya. Tetapi selepas kahwin, berapa ramai yang kekal dengan lakonan masa cinta tengah mekar subur sebelum ini, jarang sekali akan ketemu mereka yang masih ingat pada skrip yang pernah dihamburkan dulu.

Inilah salah satu puca perceraian yang tinggi di tanah air kerana pasangan berasa tertipu selepas belang sebenar pasangan mereka terdedah bilamana merasai sendiri bayangan rumahtangga yang sebenar.

TIADA MATLAMAT HIDUP JELAS

Bagi yang sudah terdedah dengan gaya hidup bebas, keluar bersama untuk dating, beriba dan bertepuk tampar bukanlah sesuatu yang pelik. Penulis terkedu mendengar kisah hidup masyarakat muda-mudi Malaysia yang sudah ala-ala barat. Masalah ber-couple dan membawa balik pasangan ke rumah sudah menjadi perkara biasa, yang hairannya ibu bapa sendiri yang merestui hubungan haram itu.

Belum cerita lagi tidur sekatil yang makin menjadi ‘biasa’. Maksiat? Dosa? Semunya tidak terasa dek kerana matlamat menghalalkan cara.

“Niat kami baik, bukan nak main-main pun, sampai masa kami kahwin la. Kamu sibuk kenapa? Macamlah baik sangat”

Biasa dengarkan ayat di atas?

Lain pula ceritanya dengan pasangan yang berkopiah dan bertudung litup, terkadang penulis tergelak keseorangan dengan lakonan wara’ mereka. Berhenti solat di masjid semasa keluar bersama, maklumlah alim dan wara’, miscall qiamullail, sms tazkirah dan sebagainya antara skrip murahan harian mereka.

Mabuk orang bercinta ni memang dahsyat. Mengapa mabuk, rindu dendam yang sama tidak diaplikasikan dalam bercinta dengan Allah Taala. Pelik bukan? Mulut kita mengaku cinta Allah Taala, sayang Rasul s.a.w, namun amalannya masih jauh daripada hakikat sebenar.

“Macam mana nak kenal peribadi bakal isteri kalau tak bergayut dulu” antara alasan yang pernah diberikan kepada penulis.

Teringat penulis cerita lama orang tua kita yang berkahwin dan hanya mengenal pasangan masing-masing pada hari perkahwinan. Bahagia mereka lebih daripada pasangan moden yang kenal sampai ke dalam kain sebelum di-Ijab dan Qabul.

Pastinya kenyatan ini dijawab kembali:

“Ala itu dulu, sekarang dunia sudah maju, takkan nak ikut cara datuk nenek kita zaman jepun dulu” Penulis terkedu mendengar ayat berapi ini.

SAY : “NO COUPLE”

Persoalan cinta sebelum kahwin ini merupakan tajuk yang panjang. Cinta tidak semestinya membawa kepada couple, namun bahkan cinta boleh menjadi wasilah kepada mungkar lain yang mungkin berlaku tanpa couple.

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٲجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٍ۬ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa” al-Furqan (25:74)

Magnet jantina ini sebenarnya satu fitrah dalam kehidupan manusia. Hal ini bukanlah perkara baru bagi kehidupan pelajar ditambah lagi dengan faktor umur di alam kampus tarikan untuk berpasang pasangan merupakan perkara lumrah dan mendarah-daging dalam diri mereka.

Perkenalan di alam sekolah, kenal semasa kursus persediaan, kenal sebab sekelas atau satu universiti, kenal kerana pertukaran nota, bahkan kenal sewaktu sama-sama berprogram merupakan noktah pemulaan kepada eposid cinta remaja, mungkin cinta monyet.

Jadi bagi yang sudah bermula untuk mencari, semak balik niat anda. Bagi yang sudah tersasar jauh jadikan cinta Allah Taala benteng ampuh dalam mengawal karenah cinta anda yang bergelora. Akhirnya pesanan penulis kepada semua yang ingin dan tengah bercinta, jangan jadikan couple anda punca tawar hubungan suami isteri selepas kahwin.

Mengapa perlu mencari marah Allah Taala semata-mata mencari bahagia manusia yang tiada jaminan.

Jauhilah maksiat bercinta sebelum kahwin, sinonimnya cinta monyet ini.

“Ya Allah. Kami ingin belajar untuk mentaati perintah-Mu. Kami belajar untuk menjadi hamba-Mu yang soleh dan solehah. Kami seringkali jatuh dan bangun, jatuh dan bangun lagi, dan lagi. Semoga kami terus dipimpin oleh-Mu. Duhai Allah”

ameen



sila rujuk komen-komen asal di sini ---->artikel asal

Ya Allah... aku tidak mahu menyesal.. aku mahu mengingati Mu setiap detik dan saat dalam hidupku..

Rabu, 9 September 2009

betapa sepinya sebuah lorong perjuangan....



lillah dan kawan2 sedang dalam perjalanan membawa juadah berbuka puasa ke sebuah kampung yang kelaparan... bahagianya dapat beri orang lapar makan.. happy nya... alhamdulillah..

entah kenapa jalan yang lillah pilih ini semakin sepi..
semakin lama semakin sakit rasanya memijak onak-onak di lorong ini...
takpe.. takpe... sabar.... sabar........

kenapa seorang demi seorang teman-temanku menghilang?
jasad mereka ada dekat tetapi roh mereka entah ke mana..
(roh = roh perjuangan)

kenapa semakin lama bahasa mereka semakin lillah tak faham?
adakah kerana kami sebenarnya menuju ke destinasi yang berbeza?
apa ni?? tak fahammm
kenapa ni?
kenapa korang semua ni???

:'-(

kenapa kalian menangis?
pelik..
pelik kalian menangis untuk perkara yang kecil.. terlalu murahkah air mata itu?

kalian minta nak berehat kejap.. katanya penat berjalan.. nak rehat kejap.. tapi hari dah nak senja.. kalian kata 'lillah.. pergilah dulu.. nanti kami menyusul..'

ok.. lillah pun pergi dulu.. takut.. takut sangat2.. sebab kene jalan sorang2... dan makin lama makin jauh.. hari makin gelap.. dah nak masuk waktu berbuka puasa... lillah kene cepat sebab nanti orang-orang yang lapar tu nak berbuka puasa...

dan lillah toleh belakang.. kot-kot nampak bayang-bayang korang.. tapi tak nampak pun.. takpe.. lillah jalan lagi... dan terus berjalan..
tapi korang tak pernah sampai kepada lillah...

lillah ternanti-nanti.. lillah mengharap.. dan lillah menangis... perlu ke lillah patah balik dan mencari kalian?
tapi kalau lillah patah balik, nanti tak sempat nak hantar makanan ni kepada orang-orang yang lapar tu.. takpelah..lillah jalan dulu..

tolonglah sedar..
tolonglah bangun dari mimpi...
lillah perlukan kalian dalam perjuangan ini...

janganlah biar diri lillah yang makin lama semakin lemah ni tersungkur....
tolonglah.........
ramai yang kelaparan di sana menanti kita.. dan makanan yang ada pada lillah ni tak cukup untuk menampung bilangan mereka yang lapar tu...

takpelah... semua yang berlaku tu dengan keizinan Allah..
cukuplah Allah untukku.. menemani setiap langkahku...

Ya Allah.. andai ini yang Engkau mahukan.. aku redha.. aku terima.. bantulah aku untuk mentaatiMu sepenuh jiwa ragaku sehingga aku menghadapMu di syurga Mu..
tetapkan hatiku.. janganlah Kau bolak balikkan hatiku setelah Kaau beri aku petunjuk...

dan.. ketika lillah sampai ke destinasi.. ternyata makanan itu terlalu sedikit untuk menampung bilangan mereka. bahasa mata mereka menagih meminta lagi.. di tangan lillah ada sedikit makanan untuk lillah sendiri berbuka puasa..

dan tiba-tiba ada tangan kecil mengambil makanan bahagian lillah tu..
'kak.. nanti saya nak jadi macam akak.. nak bawa makanan untuk orang lain..'kata si kecil tu sambil menyuapkan makanan tu ke mulut saya...

berderai air mata sebaik mendengar kata-kata si kecil tu..
bukan kerana terharu yang lillah akan punya teman..
tetapi lillah sedih kerana si kecil ini mungkin akan merasai kesakitan batin yang lillah pernah rasai ini...

p/s : aku belajar bekorban supaya mereka yang aku sayang tak tekorban.. dan aku tak mampu menyelamatkan mereka semua sendirian.. dan apa yang mampu aku buat ialah menangis melihat mereka yang aku sayang mati tekorban seorang demi seorang...

Rabu, 22 April 2009

rasa hati seorang pembimbing..


separuh dari hidup ini sibuk memikirkan utk orang lain.. ops bukan je orang lain.. makhluk lain.. binatang2 juga termasuk.. dulu masa zaman sekolah dulu bercita-cita nak kerja sbg veteriner.. nak bekerja di Sepilok,Sabah.. nak selamatkan endangered species.. :p

rupa-rupanya bukan endangered species yang tidak berakal yang Allah pilih untuk diri ini selamatkan.. tetapi endangered species yang berakal-->manusia.. manusia sedang mengalami krisis kepupusan akidah..

sekarang musim exam.. tapi seperti biasalah semenjak dari dulu, exam ke tak exam ke, otak ni dok sibuk dengan hal lain.. my first paper pada Friday lepas.. saya baru je balik USM penang pada 15hb tu.. dan dari 15-17 tu sepatutnya saya fokus utk exam.. tapi saya pulak pergi jumpa dengan ramai orang untuk sesi kaunseling atau meting atau solving problems.. kalau saya tak jumpa orang, orang pulak jumpa saya.. sehinggalah malam before exam pun ada adik yang datang ke bilik.. ada sahabat terdekat yang memberi cadangan supaya saya duduk dalam bilik dan tutup lampu utk mengelakkan gangguan orang lain terutamanya time exam ni.. hehe..

perlukah?

lillah tak buat apa yang lillah suka.. lillah buat apa yang lillah perlu buat.. dan lillah menyukai apa yang lillah perlu buat.. bila kita mahu menjadi pembimbing atau pendidik atau sahabat atau kakak.. kita kene sentiasa dalam keadaan bersedia untuk berkhidmat kepada orang lain.. mereka yang datang jumpa lillah atas pelbagai urusan kebiasaannya bukan sekadar borak-borak kosong.. majoriti datang dengan masalah yang boleh mengugat akidah mereka..
jadi perlu untuk lillah available for all of them. kalaupun mereka tak dapat jumpa face to face, lillah perlu make sure yang mereka boleh reach melalui my phone..atau email..


seriuskah?

manusia adalah makhluk Allah yang paling istimewa.. ada hati dan perasaan..ingin sayang dan menyayangi.. dan fitrah membuktikan manusia akan dipengaruhi oleh manusia yang mereka sayangi.. tatkala kristian missionary datang berdakwah kepada anak-anak orang Islam.. wahh.. semua orang bencikan si kristian.. mengapa? mengapa marah kepada orang yang sayangkan anak-anak kita lebih dari kita sendiri menyayangi anak-anak kita? tahukah kalian bahawa orang-orang kristian yang berdakwah ni kerana mereka meyakini bahawa untuk selamat dari neraka, kita perlu beriman kepada Jesus... maka kerana sayang pada kita, nak selamatkan kita, mereka ni dengan tak malu-malu datang berdakwah pada anak-anak kita.. kita ni pulak yang kononnya sayangkan anak-anak kita tak pulak selamatkan anak-anak kita.. sebab? yang kita asyik ajarkan anak-anak kita cuma cara nak cari duit dan nak jadi cantik.. cara nak cari iman dan nak cantikkan iman kita abaikan..

bila anak-anak ikan menyayangi adik2 kita.. tak lama lepastu adik kita pun jadi sama anak ikan..
bila geng night club menyayangi adik2 kita.. tak lama lepastu adik kita pun jadi kaki night club..
bila geng couple peluk2 menyayangi adik2 kita.. adik2 kita pun couple peluk2..
nauzzubillah..

nak contoh lagi ke?
tak payahla..

dan sahabat-sahabat.. adik-adik yang ada di sekeliling kita.. datang dari kelompok mereka yang memang sedang mencari-cari manusia yang ingin menyayangi mereka.. untuk mereka berpaut. tak salahkan mereka hendak berpaut? terbebankah? mereka memang bukan adik kandung kita.. bukan saudara se datuk se nenek.. tapi mereka manusia makhluk Allah yang subhanallah mempunyai potensi untuk dibentuk menjadi khalifah yang adil.. seorang khalifah yang mampu meneruskan dakwah membimbing insan lain.. sebelum itu mereka perlulah dibimbing..

ya Allah.. permudahkanlah..

Alhamdulillah.. berada di bahagian pimpinan dalam sebuah gerakan menjadi suatu bonus utk lillah.. bonus dari segi pengiklanan.. hehe.. ramai orang yang tak kenal pun akan datang meminta nasihat.. kadang-kadang selalu rasa nak lepaskan jawatan ni cepat2.. tapi bila fikir semula, i need to be here for them.. sekalipun pada masa akan datang saya dah jadi mantan gerakan, saya still kene letakkan diri di tempat yang orang lain boleh cari untk meminta bantuan.. dan lillah mengharapkan supaya kawan2 yg lain pun buat perkara yg sama... please...

bagaimanakah?
secret~

tolonglah.. lillah merayu... usahlah kalian memberi 1001 alasan untuk mengabaikan mereka yang kita sayangi.. alasan boleh dicipta.. bertanyalah pada diri sendiri dengan jujur. betulkah aku betul-betul tak boleh nak peduli tentang mereka?


sekarang ni kesihatan lillah pun makin tak berapa baik.. peluang untuk mengaktifkan diri dengan program2 luar semakin terbatas.. tapi ini bukan alasan.. ini juga peluang untuk dekat pada Allah.. peluang untuk memantapkan iman yang sering goyah.. kalau dahulu masa sihat, bila nak pergi program tak ada rasa diri ni tak mampu.. kategori ganas juga saya ni sebab program yang hard core pun saya join.. masa tu memang tak ada alasan untuk saya tak berdakwah.. masa tu pergi ke kawasan yang ustad2 jarang atau tak masuk langsung untuk berdakwah.. cth: bawah jambatan , pedalaman etc..

sekarang ni bila dah sedar diri tak sekuat yang dulu.. lillah beralih fokus.. sekarang fokus bukan terus kepada golongan sasaran directly.. tetapi kepada adik2 yang hendak pergi berdakwah.. erm, selalunya mereka tak sedarpun yang kakak diorang ni sedang train mereka menjadi daie.. sebab bahasa yang selalu lillah gunakan 'kita kene sampaikan tentang kebaikan'..
kebanyakkan adik2 ni datang dari insan yang sakit hati yang baru nak sembuh..

ubat sakit hati ialah?
hantar ke program dakwah :)

anda sakit hati? jom pergi program dakwah.. sebabnya ialah orang yang mengalami penyakit hati ni selalu fikir tentang diri sendiri je.. fikir tentang kelemahan diri je.. selalu fikir yang orang lain tak fikirkan diri mereka.. macam2 la..
bila kita bawa orang-orang yang sakit hati ni untuk berfikir tentang umat yang jauh lebih serius penyakitnya.. wabak merbahaya yang dapat memupuskan akidah.. masa tu baru mereka yang sakit hati ni tak sibuk nak fikir tentang diri sendiri.. masa tu mereka akan fikirkan bagaimana diri yang ada kelemahan ini boleh dimanfaatkan untuk menyelamatkan umat yang sakit tu..

wahai kawan2 yang disayangi...
kita hanya akan tahu betapa berharganya diri kita bukanlah bila hadirnya kita membuat orang ketawa.. tetapi.. betapa kita berharga adalah apabila kita tiada lagi membuatkan orang menangis..

manfaatkanlah masa muda & sihat ini..
permudahkanlah urusanku ya Allah.. kerja ini untukMu.. :'-)

terangi jalan hidupku
dengan cahaya kasihMu
bimbinglah daku dengan hidayahMu
Ya Allah..
di malam syahdu ini ku merayu
ampunilah...
segala dosaku yang lalu..
sujudku..
mendambakan keredhaanMu
tempatkan daku dalam rahmatMu
Ya Allah tunjukkan jalan kebenaran
suburkan jiwaku dengan keimanan
hanya padaMu ya Allah..
ku sandarkan harapan..

Selasa, 3 Februari 2009

Konsep Hazar (Kerahsiaan) Dan Kepentingannya


PENGERTIAN HAZAR

Hazar pada bahasa memberi makna menjaga, mengumpul, dan menghimpun, tersembunyi, tersimpan dan hati-hati.

Kesemua pengertian hazar pada bahasa ini membentuk pengetiannya dari segi istilah, iaitu suatu sikap berhatihati dengan menjaga dan menyimpan maklumat-maklumat serta himpunan rahsia dari segi perkara yang menakutkan dan dari orang-orang yang benci kepadanya. Sikap ini disebut dalam bahasa sebagai waspada.

Perkataan hazaran, (pecahan-pecahannya) disebut sebanyak 21 kali di dalam 12 surah di dalam al-qur’an. 4 surah daripadanya adalah Makkiyah sementara 8 lagi adalah Madaniyyah. Kesemuanya ini memerlukan kepada satu pemerhatian yang lain.

SALAH ANGGAP TERHADAP WASPADA / HAZAR

Dari maksud pengertian di atas, dapat disimpulkan bahawa waspada itu sebenarnya bersumberkan ilmu pengetahuan terhadap sesuatu. Dalam erti kata lain ialah sesuatu sikap yang akan diambil ekoran dari tuntutan waspada adalah didasarkan kepada satu kajian mengenai sebab dan akibat juga kesan terhadap akibat yang menimpa. Ini bukan berlaku secara membabi buta.

Sikap waspada juga adalah bertunggakkan perancangan jamaah yang berusaha mengurangi akibat yang menimpa jamaah dan diri individu dalam jamaah.

Waspada bukanlah yang mendorong orang kian takut untuk menjalankan kerja-kerja Islam. Waspada bukan membuatkan orang berputus asa dan menyerah kepada takdir. Sebaliknya waspadalah yang menjadikan seseorang semakin cekal untuk ‘amal Islami’, sebab dia tahu jatuh bangun kerjanya melalui pengalaman yang panjang dan perancangan yang teliti. Namun demikian perlu diingatkan kepada anggota gerakan bahawa kewaspadaan haruslah kena pada tempatnya.

Akibat dari mengambil sikap yang terlalu berhati-hati akan menyebabkan seseorang menjadi takut bayang-bayang sendiri. Inilah yang perlu dielakkan kerana ini bukanlah sifat terpuji, bahkan ia adalah sifat yang keji.

Ramai penggerak-penggerak harakah Islamiyyah yang tertipu dengan ungkapan berhati-hati dan berwaspada yang menyebabkan akhirnya mereka tidak boleh bergerak, keluar dari kepompong kehinaan, kejahilan dan kelemahan.

Bahkan akibat terlalu takut ramai dikalangan penggerak Islami ini yang lari dari medan pertempuran dan jihad yang menjadi kewajipan mereka.

Lihatlah betapa ramai yang beralasan untuk tidak berjuang dalam gerakan Islam kerana takut dipecat, diambil tindakan, terikat dengan akujanji dan seumpamanya, yang semuanya bermain dengan alasan.

Oleh itu, hazar dengan maksud di atas adalah merupakan sifat yang terpuji, sifat orang beriman dan berakal yang mengetahui sebab akibat. Orang-orang jahil, mereka tidak mengetahui hazar, mereka menjadi berani tidak bertempat, takut tidak berwaktu. Orang-orang jahil dan orang kafir tidak mengamalkan hazar kerana mereka tidak pernah mengalami kesukaran sepertimana yang dialami oleh pejuang-pejuang Islam.

Orang-orang jahil yang saban harinya diulit dengan kesenangan, kekenyangan, dan kemudahan tidak ada apa yang ditakuti, kegiatan mereka juga tidak ditakuti dan dicemburui kerana mereka tidak pernah membawa panji-panji dakwah Islamiyyah. Tetapi lihatlah apa yang dialami oleh pejuang-pejuang Islam, sejak zaman Nabi a.s., Nabi saw sendiri sehinggalah kepada zaman mutakhir para pejuang Islam akan sentiasa diburu, dibunuh, dipenjarakan, diseksa, ditekan dan ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan. Inilah yang mendewasakan pejuang Islam dan dengan amalan hazar ini akan menjadikan gerakan Islam sentiasa bernafas dan bergerak setiap zaman.

PERINTAH MENJAGA HAZAR.

Perintah menjaga hazar dapat digali dalam sirah baginda saw, iaitu yang masyhur adalah ketika baginda berhijrah ke madinah bersama-sama sahabat setianya Abu Bakar r.a. para ulama’ berpendapat bahawa tindakan Nabi saw berhijrah bersama-sama dengan Abu Bakar r.a. dalam keadaan hazar (berwaspada) dalam suasana malam dan sunyi, yang mana tempat tidurnya diganti oleh Saidini Ali r.a. adalah tindakan yang septutnya diambil oleh manusia biasa yang lainnya.

Inilah sunnah yang perlu diikuti oleh setiap penggerak harakah Islamiyah iaitu mengambil langkah berhati-hati mengelakkan dari ditangkap oleh musuh-musuh. Nabi saw mengamalkan hijrah dalam keadaan rahsia walaupun baginda sentiasa dipelihara oleh Allah menunjukkan bahawa taktik dan strategi sirr dan hazar adalah sunnah yang patut diamalkan, berbeda dengan tindakan Saidina Umar r.a. yang berhijrah dalam keadaan mengisytiharkan dirinya dalam keadaan pedang terhunus, bukan juga menunjukkan tindakannya adalah keterlaluan ataupun jahil, tetapi sebagai petanda bahawa Umar memiliki keistimewaan tersendiri.

Selain itu dalam Al-Qur’an Allah swt berfirman:

“Jika engkau Muhammad berada di antara mereka yang Islam,
lalu ingin mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan dari mereka berdiri solat besertamu dan menyandang senjata,kemudian apabila mereka (yang solat bersamamu) sujud (telah menyempurnakan satu rakaat),maka hendaklah datang golongan kedua yang belum bersembahyang, lalu bersembahyanglah mereka denganmu dan hendaklah mereka bersiap siaga dan menyandang senjata. Orang-orang kafir ingin supaya kamu lengah terhadap senjatamu dan harta bendamu, lalu mereka menyerbu kamu dengan sekaligus, dan tidak ada dosa atasmu meletakkan senjata-senjatamu, jika kamu mendapat sesuatu kesusahan kerana hujan atau kerana kamu menanggung sakit, dan siap sedialah kamu. Sesungguhnya Allah telah menyediakan azab yang hina bagi orang-orang kafir.”

(An-Nisa’ : 102)

ayat di atas dengan tegas menunjukkan wajib berhazar dengan diterangkan kaedah dan cara-cara berwaspada, diperintahkan memegang senjata dalam solat, diperintahkan agar kaum muslimin yang lain berdiri di belakang orang-orang yang sedang sembahyang agar memelihara mereka dari serangan musuh. Kaum muslimin dibahagikan kepada dua kelompok, satu kelompok mengerjakan sembahyang dan satu lagi kelompok menjaga mereka.

Diterangkan juga orang-orang kafir ingin melalaikan kaum muslimin dan berusaha menghancurkan mereka sekaligus. Semua ini membuktikan wajib hazar dari sesuatu yang tidak disenangi.

Firman Allah swt :

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman berwaspadalah kamu dan majulah (ke medan pertempuran) bersama-sama” (An-Nisa’ : 81)

Perintah ini ditujukan kepada kaum muslimin agar berjihad terhadap orang-orang kafir, berperang pada jalan Allah dan berusaha mempertahankan agama dan diperintahkan kepada orang yang berkemampuan untuk menyebarkan dakwah. Mereka juga diperintahkan supaya tidak menyerang musuh membuta-tuli, tetapi harus terlebih dahulu mengetahui apa yang dimiliki oleh musuh dan mengetahui bagaimana cara menolak serbuan mereka. Itulah kaedah pertahanan yang baik.

HAZAR DAN KEPENTINGANNYA DALAM PERJUANGAN ISLAM

Bentuk-bentuk hazar dalam perjuangan dapat dibahagikan kepada dua bentuk:
1. Hazar terhadap musuh luaran
2. Hazar terhadap musuh dalaman

Hazar terhadap musuh luaran ialah waspada terhadap orang-orang kafir dan munafik yang sentiasa berusaha menghancurkan Islam. Kerosakan yang menimpa kaum muslimin akibat perbuatan orang-orang munafik mengikut sejarah Islam amat besar. Kadang-kadang menghadapi mereka adalah lebih sukar kerana orang-orang kafir jelas nyata permusuhannya terhadap Islam, sedangkan orang-orang munafik menyembunyikan permusuhan mereka, jangan sama sekali mempercayai kata-kata manis mereka bahkan harus berusaha menutup pintu di hadapan mereka serta berusaha menghancurkannya. Allah swt berfirman tentang sifat orang-orang munafik dan harus waspada menghadapi mereka.

“Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum, dan jika mereka berkata-kata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu tersandar. Mereka mengira bahawa setiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya). Maka waspadalah terhadap mereka, semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka dipalingkan dari kebenaran” (al-Munafikun : ayat 4)

HAZAR TERHADAP MUSUH DALAMAN

1. Waspada dari kemaksiatan
2. Waspada dari mengikut hawa nafsu
3. Waspada dari keluarga dan anak-anak.

1. Waspada dari kemaksiatan

Firman Allah swt;

“Dan Allah mewaspadakan kamu terhadap diriNya” (Ali Imran : 2 8)

Mewaspadakan di dalam ayat tersebut ialah mempertakutkan dengan siksaanNya apabila kamu mengerjakan kemaksiatan lantaran kemaksiatan itu menyebabkan kemurkaan Allah dan membatalkan pertolonganNya.oleh itu, pendakwah harus merasa takut dan waspada dengan turunnya azab Allah, terhentinya bantuanNya dan terbatal setiap bentuk pertolonganNya.

Da’ie perlu sentiasa berpegang teguh kepada Allah, menyerah dan bertawakkal kepadaNya serta menjauhi diri dari kemurkaanNya. Ingatan daie harus terus menerus kepada Allah tanpa ada rasa riya’, suka dipuji dan ujub.

2. Waspada dari mengikut hawa nafsu

Pendakwah tidak sewajarnya mengikut dorongan nafsu yang menyeretnya meninggalkan kebenaran atas alasan ramainya pengikut, meluasnya dakwah dan sebagainya.

Firman Allah swt:
“ Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka mengikut apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka, dan berhati-hatilah kamu terhdapa mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian peraturan yang Allah turunkan kepadamu” (Al-Maidah: ayat 49)

3. Waspada dari keluarga dan anak-anak
Cinta kepada keluarga dan anak-anak kadangkala menjadi fitnah dan penghalang kepada daie untuk berjihad dan berdakwah atas alasan berada di tengah-tengah keluarga adalah tenang dan tenteram.

Justeru, setiap tipudaya keluarga harus disingkirkan lantaran tuntutan jamaah adalah lebih aula dan hak.

Firman Allah swt:
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isteri dan anak-anak kamu ada yang menjadi musuhmu. Maka hendaklah kamu hazar dari mereka” (At Taghabun : 14)

PENUTUP
Semoga perbincangan ringkas ini memberikan kesedaran kepada kita akan peri pentingnya hazar dalam gerak kerja dakwah. Kesilapan yang lalu tidak perlu diulangi dan segala pengalaman perlu dipelajari. Kita perlu menyedari bahawa musuh-musuh Islam sentiasa mengepung dan sentiasa mengintai-intai peluang untuk menghancurkan Islam dari segenap penjuru.

p/s: ni la pentingnya kita berkawan baik dgn org2 yg thiqah... yang boleh dipercayai.... :)

rujukan click sini

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....