Projek ini dilaksanakan sebagai satu usaha untuk mengembirakan golongan asnaf, memastikan anak-anak makan sebelum pergi ke sekolah dan membantu meringankan beban ekonomi keluarga terpilih ini..
Pada tahun sebelum ini, saya cuma melaksanakan projek ini pada bulan Ramadhan sahaja. Keriangan anak-anak sewaktu menyambut saya setiap kali hampir waktu berbuka menyebabkan saya menjadi 'ketagih' untuk tampil setiap hari menghantar makanan. Itu kisah zaman bujang...
Tahun ini sudah dapat geng baru untuk berprojek.. Siapa lagi kalau bukan suami tercinta. Hehe. Ke hulu ke hilir setiap kali berprojek, saya ajak suami bersama. Alhamdulillah suamilah pakar motivasi saya yang banyak membantu setiap kali saya lemah semangat. Dua bulan lepas, saya meluahkan hasrat untuk melaksanakan projek infak makanan. Saya ceritakan kepada suami tentang saya mahu setiap minggu ada 'keep in touch' dengan golongan asnaf ini. Dalam erti kata lain, saya mahu ziarah mereka setiap minggu! Dan apabila ziarah perlu bawa buah tangan!
Akhirnya saya pun belajar memasak.. (Mesti ramai yang tidak percaya bahawa saya belajar memasak demi mahu menjayakan projek ini. Sepanjang hidup saya cuma tahu memegang kertas, buku dan laptop kerana saya sibuk belajar kemudian sibuk bekerja. Apabila kahwin, sahih tidak tahu masak! Suamilah yang selalu terpaksa telan masakan yang entah apa-apa itu. Jika ditanya kepada emak, emak pasti kata saya ini tidak suka masuk dapur, cuma suka menghadap buku.). Saya mengkaji resepi nasi ayam, nasi tomato, nasi lemak dan pelbagai resepi lain. Kemudian saya buat eksperimen memasak berulang kali hingga mendapat 'rasa' yang dikehendaki. Agak mencabar kerana saya ini tergolong dalam manusia 'ketiadaan deria rasa' kerana saya makan sahaja masakan yang tidak sedap, tidak suka komen makanan. Bukankah begitu sunnah yang Rasulullah saw ajarkan, supaya jangan 'complaint' makanan... *_* Sebenarnya semasa saya sakit tulang belakang sekitar tahun 2011- 2012 yang lepas, saya tidak mampu masak.. Jadi staf yang hari-hari memasak untuk saya. Apa sahaja yang dimasaknya, saya makan. Apa sahaja rezeki yang Allah bagi, syukurlah.
Siri pertama projek infak, saya cuma mensasarkan infak maksimum 70 bungkus. Sebaik berkongsi projek ini di facebook, ramai sahabat-sahabat yang ingin menyertainya menjadikan 140 bungkus! Pada minggu yang berikutnya juga begitu. Bagai mahu melompat keriangan apabila usaha kecil ini mendapat sambutan. Memandangkan saya tiada pengalaman berniaga makanan, setiap kali hari Khamis dan Jumaat, saya jadi kelam kabut, tidak cukup tidur dan kepenatan sungguh. Sudahlah sibuk dengan kelas mengajar, Sabtu dan Ahad pula ada kursus... Rasa macam tiada keyakinan untuk meneruskan projek ini.
Suami kata "Tempah sahaja makanan daripada orang lain, tidak sepah, tidak penat dan dapat rehat,"
Saya berdegil. Mahu teruskan memasak. Tentulah berbeza apabila memasak sendiri berbanding membeli makanan. Apabila memasak sendiri, puas hati beli ayam bahagian peha dan atas peha (kegemaran anak-anak), puas hati basuh ayam (penting ni!!), puas hati goreng ayam (yang ini letih sungguh), puas hati bungkus makanan dan paling puas hati semasa menghantar makanan kepada asnaf... Siapa tidak gembira menerima hadiah? Pastinya orang yang memberi hadiah lebih gembira apabila tahu orang yang menerima hadiah itu sungguh gembira. Bagi suami saya, aktiviti mengedarkan makanan ini paling mencabar. Ada rumah yang penghuninya sudah tertunggu-tunggu kedatangan kami. Ada rumah yang kami baru dapat info sebagai asnaf jadi berpusing-pusing mencarinya. Minggu lepas 90 bungkus diedarkan kepada asnaf dan 50 bungkus kepada buruh jalanan. Apabila mencari buruh jalanan, sekali lagi kami berpusing pusing...
Genap sebulan pertama, saya menutup akaun bulan pertama. Ada baki RM37.50 sahaja. Saya ketawa bersama suami. Kami masukkan duit ini dalam tabung dakwah luar negara. Inshaallah Rm37.50 ini dengan keberkatan daripada Allah, semoga ia akan beranak pinak di dalam tabung sehingga puluhan ratusan ribuan ringgit. Semoga dengan permulaan ini, Allah pilih suami saya untuk dihantar ke seluruh pelusuk dunia menyebarkan kalimah tauhid La ila haillallah Muhammadurrasulullah... Semoga Allah pilih suami saya untuk sibuk berdakwah dan meninggal di hujung dunia ketika melaksanakan misi dakwah.
Masuk bulan kedua, kandungan saya semakin sarat. Pernah dua kali saya ada pembantu, kemudian tiada lagi. Akhirnya kami suami isteri sahaja yang memasak. Pasti ada hikmahnya semua ini. Sekarang saya sedang menunggu hari untuk bersalin. Semoga Allah permudahkan sesi bersalin dan sesi berpantang. Inshaallah projek infak ini akan diteruskan semasa dalam pantang.
Semoga usaha kecil ini menjadi pencetus semangat kepada ramai lagi insan lain di luar sana untuk bersedekah makanan kepada asnaf. Moga usaha kecil ini menjadi asbab turunnya hidayah Allah ke seluruh alam.....
Masuk bulan kedua, kandungan saya semakin sarat. Pernah dua kali saya ada pembantu, kemudian tiada lagi. Akhirnya kami suami isteri sahaja yang memasak. Pasti ada hikmahnya semua ini. Sekarang saya sedang menunggu hari untuk bersalin. Semoga Allah permudahkan sesi bersalin dan sesi berpantang. Inshaallah projek infak ini akan diteruskan semasa dalam pantang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum... :)