Khamis, 24 April 2014

Bersahabat Hingga ke Syurga, Inshaallah.

Kami bertukar senyuman. Wanita tabah ini duduk di hadapan saya sambil tangannya menyuap nasi ke mulut.
"Cuba teka di manakah tempat pertama kami bertemu?" Soal wanita ini kepada dua orang lagi yang turut makan bersama kami.
Saya ketawa riang. Serta merta fikiran mengimbau memori sekitar tahun 2007-2008, ketika saya masih menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM).


"Kami berjumpa di dalam hutan, di perkampungan orang asli!" Dia ketawa.
Serta merta memori berputar mengulang tayang pahit dan manis sekumpulan anak muda mendaki dan menuruni bukit, becak dan tersangkut dalam lubang demi menyampaikan mesej dakwah hingga jauh ke dalam hutan.

"Kemudian kita ada berjumpa di R******, pusat pemulihan akhlak...."sambung saya pula. Memori terus berputar, terbayang sekumpulan gadis yang sudah pernah bergelap gelita diselubungi maksiat duduk bersimpuh berbaju kurung manis dan bertudung labuh comel.

"Lepas itu di Thailand," sambungnya pula. Sekali lagi memori berputar terbang ke zaman silam, sewaktu menjadi sukarelawan ke Selatan Thailand. Bumi Yala, Songkhla dan Narathiwat bermain-main di ruang mata.

Setiap kali bertemu dirinya, saya suka mendengar perkongsian perjalanan hidupnya yang cukup berbisa namun diceritakan sambil ketawa. Baginya tiada duka yang terlalu menyakitkan dan tiada masalah yang terlalu besar. Hidupnya ceria. Walaupun besar beban digalas, namun ia kerdil apabila berada di bahunya. Setiap kali memandangnya jiwa saya kembali hidup, semangat saya kembali menyala. Dirinya memberi inspirasi kepada saya supaya ayuh lekas ketawa kepada diri sendiri, betapa lucunya manusia yang hidupnya penuh liku dan betapa mudahnya bahagia walaupun tiada bunga-bunga cinta.


Hidup ini tidak pernah sempurna, ia cuma medan ujian. Andai kita mahu berbahagia di dunia ini, ingatlah selalu bahawa semua ini sementara - sakit ini sementara. Adakalanya kita lupa, maka kita jadi menderita. Di sinilah peranan teman, untuk mengingatkan kita selaku manusia yang mudah lupa. Berdoalah semoga Allah mengurniakan kita teman-teman yang soleh untuk memimpin kita ke arah syurga-Nya.

Walaupun latar kami sungguh berbeza, namun banyak kali kami dipertemukan Allah. Setiap kali bertemu itu inshaallah semoga sentiasa atas tujuan mencari keredhaan Allah.

#Ukhwahfillah abadan abada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....