Pagi ini badan rasa tidak cukup rehat, jadi semangat hendak bekerja di hari ini agak terjejas (Petang ini ada kelas Fizik Tingkatan 4 dan 5 diikuti malam ini kelas Sejarah Tingkatan 4). Mata pun masih kelat, tapi tidak boleh dilayan sangat. Jadi awal pagi sudah buka laptop. Suami pun pukul 8 pagi sudah ke taska, jadi tidak wajarlah saya bergulung dalam selimut.
Minggu lepas jadual mengajar saya bertambah dan tekanan darah tinggi juga bertambah. Berat pula sudah 100kg jadi memang 'torture' apabila terpaksa menaiki tangga dan berdiri semasa di kelas. Nak jadi emak punya pasal, tak apa mama sanggup! Semangat kan mama ni.. Hehe. Pembantu-pembantu saya sudah berusaha membantu mengurangkan kelas saya, namun ada subjek-subjek tertentu yang saya perlu 'cover'. Lagipun saya cuma rasa sedikit seksa sebelum dan selepas kelas sahaja. Sewaktu kelas berlansung hati memang bahagia, lagi-lagi sebab dapat pandang wajah anak-anak murid yang disayangi.
Sabtu dan Ahad pula.. bermula jam 8 pagi hingga 6 petang, kami suami isteri menghadiri Kursus Asuhan Kanak-Kanak Permata. Bagi yang tidak tahu, Kursus Permata ini wajib bagi pengusaha dan pekerja taska untuk memohon lesen beroperasi. Kursus ini mengambil tempoh kira-kira dua bulan lebih. Maka kursus kami inshaallah berakhir hujung bulan April dan kemudian ada praktikum 5 hari di taska-taska tertentu. Kami juga dikehendaki mengambil ujian bertulis, jadi kena belajar.. Tak boleh bermain-main ataupun berkhayal semasa berkursus.
Alhamdulillah hari pertama dan kedua kursus sudah selesai..dan ternyata walaupun masanya panjang iaitu dari awal pagi hingga ke lewat petang, saya benar-benar rasa sangat berbaloi menghadirinya. Niat asal datang untuk menemani suami, konon-konon memberi semangatlah.. dan menimba ilmu, sebab nanti nak mengasuh anak-anak sendiri. Paling penting niat untuk mencari keredhaan Allah.
Sebelum menyertai kursus ini, kami telah mencari banyak tempat untuk mendaftar. Ada banyak agensi yang menawarkan khidmat menganjurkan kursus permata ini. Jadi selepas memikirkan faktor masa, tenaga dan jarak perjalanan (orang mengandung tidak tahan berjalan jauh)... akhirnya kami mengambil kelas di Damansara, yang cuma 30 minit perjalanan (kalau pecut lagi cepat rasanya). Kursus Permata yang kami hadiri di bawah Persatuan Taska dan yurannya cuma RM400 sahaja setelah menerima subsidi RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Harga buku teks tebal pula RM100. Kursus kami diselia oleh Puan Farihan dan Cik Siti Hazirah. Kedua-duanya sudah biasa mengendalikan kursus ini...
Hari pertama kami bersama dengan seorang professor dari UPSI yang terlibat sebagai ketua dalam menggubal kurikulum Taska Permata Negara.
Hak kanak-kanak dalam Islam. Sangat menarik mendengar Prof bercerita tentang pendekatan psikologi terhadap kanak-kanak. Pendek kata ibu bapa dan pengasuh perlu sentiasa memberi dorongan demi dorongan demi dorongan dan sokongan kepada perkembangan anak-anak. Caranya adalah dengan melayani soalan-soalan pelik anak, melayani kerenah anak yang sentiasa mahu meneroka sesuatu yang baru dan meraikan semangat anak-anak.
Inilah 4 komponen utama dalam bidang pengasuhan....
Saya beri 9.5 bintang daripada 10 bintang kepada penceramah ini. Memang sangat seronok.
Percaya ataupun tidak, kami suami isteri bawa bekal Sabtu dan Ahad ini.. Hehehe. Punyalah semangat kan.. Semangat berkelah! :)
Majoriti peserta adalah perempuan.. Eh.. ada dua kumbang..
Walaupun seronok... Tidak dapat dinafikan tulang belakang saya sakit, punggung saya sakit.. Kaki saya bengkak... dan saya solat macam orang sakit, duduk senget dan tidak selesa. Tidak mengapa, saya tahu Allah Maha Pemurah akan bagi saya pahala lebih.. Lelaki-lelaki dan orang-orang yang tidak mengandung, tolonglah jangan malas solat atau mensia-siakan waktu solat, tolong malu kepada ibu-ibu mengandung yang kakinya bengkak dan masih mampu solat.
Hari Sabtu, balik rumah sebelah malam saya mengajar Kimia dari 8.30 malam hingga 10.30 malam. Tak penat ke? Memang penat.. Tapi berbaloi. Anak murid datang dari jauh, dari Gombak, naik motor 45 minit menuju ke sini semata-mata nak belajar. Alhamdulillah dipermudahkan Allah, 2 jam itu berjaya menyelesaikan 1 bab iaitu Electrochemistry beserta dengan soalan 'past year'. Walaupun baru pertama kali anak murid ini mendengar bab ini, dia dengan pantasnya menyerap dan memahami bab ini. Saya anggap ini adalah sesuatu yang berkat, kerana dia cepat dapat. Terima kasih kepada Allah...
Hari Ahad, balik rumah belajar Fizik untuk kelas hari Isnin (hari ini). Minggu ini kena buat ulangkaji dengan para pelajar sebab awal Mac mereka ada ujian di sekolah. Saya perlu buat kelas ulangkaji untuk Fizik Tingkatan 4 dan 5, Matematik Tambahan Tingkatan 4 dan 5, Sejarah Tingkatan 4 dan 5 dan.. Bahasa Malaysia Tingkatan 1 hingga 3.
Alhamdulillah..
Begitulah catatan kehidupan seorang cikgu tusyen yang pergi ke kursus permata sewaktu mengandung.:)
Terima kasih kepada kanda yang banyak memberi bantuan... serta bersabar dengan kerenah isteri. :)
Semoga 'baby' kita dapat menyerap sifat-sifat yang baik pada mama dan papanya..:)
Salam, Puan Damansara kat area mana ya...Boleh Puan bagi saya details x? My email siti81atif@yahoo.com TQ
BalasPadamWaalaikumussalam... Boleh rujuk Persatuan Taska Selangor... Nanti inshaallah mereka bagi lokasi terkini kursus...
PadamSalam...syukur dpt membaca blog puan...sy sdg mencari maklumat tntg aktiviti di dlm klas kap...dlm usaha untuk persediaan mental...^_^ bedebar2 untuk masuk kelas hujung ogos ini..semoga segalanye dipermudahkan ^_^
BalasPadamSalam...syukur dpt membaca blog puan...sy sdg mencari maklumat tntg aktiviti di dlm klas kap...dlm usaha untuk persediaan mental...^_^ bedebar2 untuk masuk kelas hujung ogos ini..semoga segalanye dipermudahkan ^_^
BalasPadam