Sabtu, 5 November 2011

Seksualiti Merdeka Menempah Bala


Rata-rata umat Islam hari ini memandang jijik dan mencela golongan Gay, Lesbian, Bisexual dan Transgendar (GLBT). Golongan tersasar ini bukan sahaja dibuang keluarga, dibuang tempat kerja malah dipukul dan dianiaya secara terbuka. Mereka dilayan bagaikan haiwan seolah sudah kering rasa perikemanusiaan manusia terhadap mereka. Akhirnya golongan minoriti ini bangkit mengumpul kekuatan dan meminta bantuan kumpulan-kumpulan sefahaman mereka dari luar negara untuk memperjuangkan nasib mereka. Mereka berjuang bersungguh-sungguh untuk membolehkan suara mereka didengari melalui You Tube, Blog dan pameran.

Dalam kelelahan para daie berjuang menegakkan syiar Islam, golongan GLBT ini turut merangka sebuah program yang berlansung pada 1 hingga 13 November 2011 di ‘The Annexe Gallery’, Tingkat 2, Central Market Annexe yang terletak di Jalan Hang Kasturi Kuala Lumpur. Program ini bertajuk Seksualiti Merdeka 2011 : Queer Without Fear.
Merujuk kepada blog www.seksualitimerdeka.org :
Seksualiti Merdeka adalah suatu acara tahunan mengenai hak seksualiti yang diadakan di Kuala Lumpur, dengan kerjasama segabungan NGO Malaysia (di antaranya Malaysian Bar Council, SUARAM, Empower, PT Foundation, United Nations, Amnesty International) dan individu-individu. Kami mengadakan bengkel-bengkel, perbincangan, pemutaran filem, penulisan surat dan hal-hal yang lain berkaitan seksualiti. Kami menggunakan istilah 'Seksualiti Merdeka' untuk mengingatkan bahawa walaupun kita telah berpuluh tahun Merdeka, namun tidak semua rakyat Malaysia yang dapat melahirkan diri mereka yang sebenar. Kami percaya bahawa setiap orang di Malaysia berhak untuk bebas dari diskriminasi, keganasan ataupun gangguan hanya kerana orientasi seksual dan identiti jantina mereka. Kami percaya bahawa kita semua berhak untuk bertanggungjawab terhadap tubuh kita sendiri. Kami percaya setiap orang berhak untuk menyayangi dan disayangi, sama ada dia gay, lesbian, biseksual, transgender, heteroseksual, aseksual, pansexual dan sebagainya.

Program ini mendapat tentangan pelbagai pihak kerajaan dan bukan kerajaan. Adakah anda sudah boleh berasa lega? Adakah anda rasa kumpulan tersebut akan berhenti berjuang hanya kerana usaha mereka yang satu ini dihalang? Bukankah masih banyak lagi ruang-ruang yang terdedah dan sukar untuk dihalang? Bukankah adik-adik kecil kita pada hari ini sudah pandai melayari internet? Bukankah abang kakak kita pada hari ini siang dan malam menghadap internet ? Bukankah ibu dan ayah kita juga selalu berdua-duaan dengan internet? Tahukah anda terdapat berjuta-juta video GLBT yang dimasukkan ke dalam internet pada setiap hari? Tahukah anda video GLBT sudah menjadi satu industri yang lebih hangat daripada filem-filem Box Office?


Kemurkaan Allah Terhadap Kaum Luth 

Songsang akidah ini bukanlah suatu perkara yang baru. Di dalam Al-Quran banyak disentuh kisah kemurkaan Allah dan bala yang menimpa Kaum Nabi Luth.
(Al-A'raf : 81-82)
Allah begitu murka sehingga azab yang maha dahsyat dibalas di dunia lagi. Betapa pedih azab di akhirat yang menanti. Adakah kita juga sedang menanti azab yang sama? Astagfirullahalazim.

(Hud :81-82)

Apakah Reaksi Kita?

Walau sebesar mana dosa yang mereka lakukan, mereka tetap adalah manusia dan mereka adalah makhluk Allah. Kita perlu membenci perbuatan mereka yang derhaka tetapi kita tidak boleh membenci mereka. Mereka bukan najis, mereka adalah manusia. Sampai kiamat sekalipun, mereka tetap bukan najis. Anjing dan babi adalah najis, namun menyentuh dua makhluk Allah ini tidaklah mendatangkan dosa. Menyakiti anjing dan babi boleh mendatangkan dosa kerana Allah benci kepada kezaliman.

Wahai sahabat yang dikasihi Allah, kita ini juga manusia biasa dan tidak terlepas daripada dosa. Barangkali manusia-manusia yang sedang bergelumang dengan dosa itu adalah kerana kejahilan namun kita pula bagaimana? Adakah kita pasti hujung hidup kita? Adakah kita pasti tempat kita adalah syurga selepas mati nanti? Maka berfikirlah seperti orang yang akan mati, bercakaplah seperti orang yang akan mati dan bertindaklah seperti orang yang akan mati. Jangan terlalu beremosi sehingga mudah sahaja lidah menuturkan kalimah ‘sial’, ‘celaka’, ‘bangsat’ atau sewaktu dengannya. Ingatlah setiap perkataan itu akan dibicarakan di Mahkamah Allah. Jangan kerana kalimah beremosi itu menyebabkan hati-hati manusia yang ingkar menjadi bertambah benci dengan Islam disebabkan akhlak umatnya yang buruk. Serulah dengan berhikmah seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Nabi Musa terhadap Firaun.



Virus Tidakpedulisme

Setiap masalah yang timbul tidak boleh dicantas bahagian pucuknya sahaja kerana pucuk baru pasti akan tumbuh semula. Kita perlu melihat sesuatu masalah itu dari akar umbinya. Bukankah saya sudah nyatakan tadi kebangkitan golongan GLBT ini adalah kerana mereka telah dianiaya dan terbuang di negara sendiri lalu mereka meminta bantuan golongan sefahaman dari luar negara? Ketika mereka disakiti dan menangis saban malam, dimanakah kita wahai sahabatku? Adakah kita bersedia untuk membantu mereka sewaktu mereka memerlukan bantuan itu? Adakah kita bersedia untuk memberi perlindungan dan pendidikan kepada mereka? Di manakah kita ketika itu wahai sahabatku? Dan di manakah juga kita sekarang pada hari ini? Adakah kita masih tiada di tempat untuk mereka mengadu nasib dan berkongsi rasa? Sebenarnya sahabat, kita ada masa dan ruang itu. Namun, kita sendiri yang menutup pintu hati kita untuk membantu mereka. Kita sendiri yang memilih untuk memejam mata dan mengunci mulut. Adakah kita terlupa kita akan mati dan kita akan dipersoalkan di akhirat nanti? Jujurlah kepada diri sendiri. Bertanyalah pada diri sendiri : Apakah aku sudah melakukan sesuatu untuk membantu saudara-saudaraku ini?


Sahabatku yang dikasihi Allah. Kita ada adik beradik dan ada anak-anak yang kita tidak mampu mengawal mereka 24 jam sehari. Semoga dengan usaha kita membantu adik-adik insan lain kembali ke jalan Allah, kita berharap Allah akan menghantar insan-insan lain membantu adik-adik dan anak-anak kita untuk kembali ke jalan Allah. Semoga dengan berkat usaha kita memelihara akidah hamba-hamba Allah ini, kita berharap Allah akan memelihara akidah adik-adik dan anak-anak kita. Wahai sahabat, bekorbanlah supaya orang-orang kesayangan kita tidak terkorban. Hanya kerana Allah kita berusaha, berdoa dan bertawakal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....