Selasa, 8 November 2011

Nikmat manakah yang kamu dustakan? Jawab....!



Minggu ini saya sudah pun selesai melakukan ujian MRI. Alhamdulillah, keputusan seperti yang sudah dijangkakan oleh doktor. Malam ini malam terakhir saya akan menelan ubat-ubat pain killer yang sememangnya pembunuh sel-sel saya. Oho.. Esok pagi saya sudah bersedia untuk menanggung sakit. Doktor kata selepas ni kalau sakit, makan panadol. Fisioterapi perlu diteruskan dengan harapan dapatlah membantu kurangkan sedikit kesakitan. Doktor kata dia beri saya tempoh 6 minggu untuk cuba kurangkan sakit ni, jika saya masih tak dapat tahan maka satu sahaja pilihan iaitu pembedahan. Tiba-tiba berharap ada keajaiban akan berlaku. Apapun saya redha dengan kehendak Allah.


Saya sudah berusaha, sekarang terserah kepada-Nya. Saya sudah pernah sihat, hampir merata dunia saya jelajahi. Sekarang apabila nikmat kesihatan itu ditarik sedikit demi sedikit, mengapa harus bersedih? Semalam singgah di R&R, saya pergi ke toilet. Saya terlupa yang saya tidak mampu menampung badan ketika mencangkung, apalagi serta merta kepedihan menyerang seluruh pinggang dan kaki saya.. lalu tidak sengaja menangis di dalam tandas. Nampaknya selepas ini saya akan menggunakan toilet yang bersimbol orang kurang upaya (OKU). Semasa dalam perjalanan ke kampung, pinggang terasa sakit lalu air mata menitik dan.... tiba-tiba menjadi laju seperti hujan. Driver (adik saya) yang mungkin tersedar segera singgah R&R dan memaksa saya berdiri dan berjalan-jalan. Oh, tiada posisi yang tidak sakit.

Betapa mudah air mata ini mengalir
Betapa lemahnya aku menahan sakit ini
Betapa gerunnya azab akhirat nanti
Biarlah sakit ini menghapus dosa-dosa diri

Esok ayah angkat di Padang Serai Kedah mengadakan kenduri. Ayah kata dia  akan tumbangkan seekor lembu. Hati saya berbunga-bunga mahu ke sana. Saya merancang awal-awal lagi untuk ke sana. Semua kelas saya batalkan. Tiba-tiba 3 minggu lepas, sakit saya menjadi kuat sehingga tidak mampu untuk memandu. Akhirnya tadi saya menelefon ibu angkat. Bergetar suara menceritakan hal sebenar dan memohon maaf kerana tidak dapat ke sana. Selepas telefon diletakkan,seluruh tubuh terasa lemah. Perasaan bagaikan terperosok ke bawah meja.

Ah, sudah jemu menangis untuk hal yang remeh!

Tadi online dan terbaca berita tentang Marina Mahathir nak saman TV3.
http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/marina-mahathir-livid-over-free-sex-slur-on-seksualiti-merdeka/
Semoga Allah beri hidayah kepada Marina. Kesian pulak rasa pada Marina ni....

Minggu lepas saya menerima seorang pelajar baru untuk kelas personal coach. Pelajar ini bakal menduduki SPM 2011. Dua minggu lepas dia telah terjatuh tangga dan hilang ingatan selama 5 tahun. Dia berumur 17 tahun tetapi hanya mempunyai memori 12 tahun. Sepanjang kelas berlansung dia begitu ceria. Personalitinya yang manja benar-benar menghiburkan saya. Kehadiran dia benar-benar menyentuh hati saya. Semoga dia terus tabah menghadapi hidup ini dan akan berjaya dengan cemerlang di dunia dan akhirat. Aamiin...

"Cikgu nak baring kejap, cikgu sakit pinggang.."kata saya.
"Okay!" Dia senyum.

Walaupun saya sudah tidak mampu berjalan jauh, semoga Allah mengizinkan saya terus memartabatkan Islam merentasi benua. Semoga jari jemari ini akan terus menaip menegakkan syiar Allah. Semoga pembaca yang dikasihi Allah akan mendapat kebaikan dunia dan akhirat apabila membaca coretan saya ini. Andai suatu hari nanti saya berhenti mencoret, doakanlah semoga roh saya berada dalam kalangan orang-orang soleh... :)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....