Ahad, 3 Julai 2011

Orang Mukmin Sentiasa Muraqabah Terhadap Allah SWT

Sahabat yang dirahmati Allah,
Untuk menjadi mukmin sejati, perlu kepada pengorbanan dan usaha-usaha yang berterusan, iaitu berkorban dan berusha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Muraqabah terhadap Allah SWT adalah sifat jiwa seorang mukmin.Dia sentiasa merasai dan yakin sepenuh hati bahawa Allah SWT mengawasi segala perjalanan hidupnya, perasaannya, bisikan hatinya samaada dia berseorangan atau bersama orang lain.

Mukmin sejati yakin peristiwa di Padang Mahsyar tempat di hisap dengan seadil-adilnya segala amalan dan perbuatannya ketika di dunia ini. Perasaan takut, malu dan gementar untuk berhadapan di Mahkamah Allah SWT nanti membuatkan hati dan jiwanya sentiasa muraqabah terhadap-Nya.Ingatlah ketika di sini nanti lidah akan dikunci, giliran anggota lain yang akan berkata-kata mengeluarkan pengakuan dan saksi bagi semua perbuatan si tuan badan. Mata, telinga, tangan dan kaki serta alam yang ada disekitarnya, hari dan masa semuanya akan mengaku perbuatan itu dan ini. Ketika itu manusia akan terperangkap dengan perbuatan dosa kerana anggota badan sendiri tidak menyebelahinya. Terbongkarlah rahsianya!

Di tambah pula akan di tayangkan 'video clip' semua perbuatannya semasa di dunia.Ia tidak boleh berbohong dan berdalih. Semua ini akan menyingkap kekejiannya. Memalukan dan membawa segunung penyesalan kepadanya.

Orang yang muraqabah , bertakwa dan muhsin akan tenang walau pun mendapat nikmat, pujian, atau menghadapi kesusahan, tohmahan dan seumpamanya. Dia merasa bimbang sekiranya kehilangan reda dan pertolongan dari Allah SWT

Nabi SAW pernah berpesan yang bermaksud "Seorang mukmin itu tidak akan mencuri, ketika mana melakukan perbuatan itu dia adalam mukmin." Maknanya , ketika dalam hati seseorang itu ada iman atau hatinya hadir, maka dia tidak akan melakukan kesalahan. Orang beriman tidak akan mencuri jika dia merasai pengawasan Allah SWT. Ini kerana, hati yang di miliki itu adalah hati yang sedar dan mampu merasai Allah SWT melihat serta mengawasi segala amalannya. Itulah hakikat muraqabah.

Hati orang mukmin dan hati yang dapat muraqabah bersedia menerima tarbiah dan peringatan, kerana segala peringatan akan memandu seluruh anggata kita melakukan ketaatan. Firman Allah SWT yang bermaksud "Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermenfaat." (Surah al-A'laa, ayat 9). Dengan saling memberi peringatan ini juga akan melahirkan perasaan takut untuk melakukan kesalahan terhadap Allah SWT seperti firmanNya yang bermaksud "Orang yang takut kepada Allah akan mendapat pelajaran." (Surah al- A'laa, ayat 10).

Latihan paling utama ke arah mendidik hati yang hadir ialah menerusi ibadat solat. Apabila di dalam solat sesaorang itu merasai Allah SWT mengawasinya, maka ketika di luar solat atau di mana jua berada hatinya akan tetap muraqabah.

Nabi SAW di waktu malam banyak menghabiskan masa untuk bersolat tahajud, bermunajat, berdoa dan memohon ampun kehadrat Allah SWT. Contoh peribadi mulia ini semestinya menjadi pedoman dan amalan setiap para da'i untuk merapatkan hubungan dengan Allah SWT, mencari tenaga baru untuk meneruskan kerja-kerja dakwah dan tarbiah.

Sayydina Omar al- Khattab berkata "Hisablah dirimu sebelum di hisab pada hari kiamat"

Setiap mukmin perlu sentiasa muhasabah diri demi kebahagiaan masa hadapan. Firman Allah SWT yang bermaksud "Hai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan hendaklah (tiap-tiap) orang memperhatikan apa yang di usahakannya untuk hari esok (hari kiamat), dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan" (Surah ai- Hasyr ayat 18).

Kecemerlangan hidup manusia sebagai hamba Allah SWT adalah terletak kepada ketaatan pada perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya, mematuhi tanpa soal Kitab Allah SWT dan sunnah NabiNya.

Nabi SAW bersabda maksudnya "Orang yang pandai adalah yang menghisab dirinya serta beramal untuk kehidupan sesudah kematiannya, sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah SWT" (hadis riwayat Imam at- Turmudzi)

Imam Mubarakfuri berkata "Orang yang lemah adalah bersambong dengan lemahnya ketaatan kepada Allah s.w.t dan selalu ikut hawa nafsunya tidak pernah minta ampun kepada Allah s.w.t bahkan selalu berangan-angan bahawa Allah SWT mengampunkan doas-dosanya"

Panjang angan-angan atau berangan-angan adalah satu sifat peribadi yang tidak di sukai oleh Nabi SAW. Panjang angan-angan adalah sifat malas berusha, mengikut hawa nafsu dan terpengaruh dengan pujukan syaitan laknatullah.Setiap barang yang berharga perlu di bayar dengan harga yang mahal, kejayaan untuk mendapat sekeping ijazah perlu di sertakan dengan usaha yang gigih dan berterusan, begitu juga SYURGA ALLAH SWT, untuk memilikinya perlu pengorbanan, jihad yang berterusan, mujahadah,muraqabah dan muhasabah.

Di dalam syurga yang penuh nikmat dan rahmat hanya layak di duduki oleh mereka-mereka yang memiliki hati yang cinta kepada-Nya, hati yang sejahtera, hati yang bersih, hati yang ikhlas dan hati yang bebas daripada syrik kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW mengajar kita untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT maksudnya " Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindungan-Mu daripada kelemahan, kemalasan, sifat pengecut, kedekut, nyanyuk dan azab kubur. Ya Allah berikanlah ketakwaan kepadaku dan sucikanlah ia, kerana Engkaulah sebaik-baik Tuhan yang menyucikan, Engkau pelindung dan memeliharanya. Ya Allah, aku memohon perlindungan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, nafsu yang tidak puas dan doa yang tidak di kabulkan"
(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Luqman Hakim, Rasulullah SAW menceritakan, pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang terkenal dengan kerja-kerja sehariannya hanyalah mencuri. Hampir setiap malam dia mencuri harta benda kepunyaan jiran tetangganya. Jirannya sentiasa menasihati beliau agar meninggalkan pekerjaan yang keji itu.

Pada suatu malam, ketika dia hendak pergi mencuri tiba-tiba dia bertemu dengan seorang miskin yang sentiasa duduk di dalam mesjid. Dia tidak mengetahui bahawa orang yang bercakap dengan dia itu adalah orang miskin yang sangat soleh dan zuhud terhadap dunia. Maka tanpa segan silu pencuri itu mengajak lelaki miskin itu pergi mencuri bersama-sama dengannya.

"Hai orang miskin," kata pencuri itu.

"Mengapa engkau selalu duduk di dalam mesjid sambil menanti belas kasihan orang lain. Marilah ikut aku nescaya engkau akan memperoleh pekerjaan yang menguntungkan. Kalau engkau bersetuju marilah kita pergi mencuri bersama-sama," ajak pencuri itu.

"Baiklah" jawab orang miskin itu ringkas.

"Kalau begitu marilah kita pergi sekarang kerana hari sudah gelap" ajak pencuri itu

"Lebih baik kita atur rancangan dahulu" kata pencuri lagi.

"Aku masuk kedalam kedai manakala engkau nampak orang datang segeralah beritahu aku, ingat... jangan sampai kita tertangkap."

Setelah mereka merancang dengan teliti maka pencuri itu pun memulakan tugasnya mengikut apa yang telah di rancangkan. Pencuri itu pun masuk kedalam kedai manakala orang miskin yang soleh itu menanti di luar. Setelah agak lama pencuri itu berada di dalam tiba-tiba orang miskin yang soleh itu berteriak :
"Hai kawan, cepat keluar, ada orang datang kemari?"

Mendengar teriakan orang miskin itu pencuri itu kalang-kabut lari keluar untuk menyelamatkan diri bersama-sama dengan kawannya itu. Setelah keadaan agak tenteram, dia pun berkata kepada kawannya itu.

"Tadi engkau kata ada orang datang, tapi mana orang itu?"

Maka orang miskin itu menjawab dengan lemah lembut :
"Benar kata engkau hai kawan, tidakkah engkau sedar bahawa Zat Yang Maha Melihat yang sentiasa melihat kita. Walaupun kita tidak melihat-Nya, Dia sentiasa melihat kita. Dia itulah Allah Yang Maha Pemurah yang telah menyediakan rezeki untuk semua hamba-Nya."

Orang miskin itu terus berkata :
"Hai kawan, engkau telah mengajak aku untuk mencari kekayaan dengan cara mencuri. Sekarang bolehkah engkau membuktikan kepada aku manakah pencuri yang telah menjadi kaya di dunia ini ?"

Pencuri itu termenung mendengar kata-kata orang miskin itu lantas dia pun menyatakan keinsafannya serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang terkutuk itu.

Berdasarkan kisah tersebut dapatlah kita menyedari bahawa hidup kita ini sentiasa di perhatikan dan diawasi oleh Allah SWT. Apabila kita tergerak untuk membuat sesuatu maksiat atau sesuatu perkara yang di larang oleh agama ingatlah Allah SWT. Maha Melihat di atas segala amalan perbuatan kita, keyakinan yang tertanam dalam hati nurani kita sebenarnya adalah akidah Tauhid Rububiyah kepada Allah SWT. Sehinggakan niat dan bisikan hati kita dapat di ketahui oleh Allah Azzawa Jalla. Kita tidak boleh membuat sesuatu yang lari dari peraturan dan kehendak Allah SWT.

Pengajaran yang boleh di ambil :

1.Kita digalakkan untuk membantu dan bersedekah kepada orang fakir miskin, dan dilarang kita menghina mereka di sebabkan kemiskinan.

2.Islam melarang umatnya menjalankan pekerjaan haram seperti mencuri kerana orang yang mencuri telah mengambil hak orang lain tanpa kebenaran.

3.Kita di suruh oleh Islam untuk amar makruf nahi mungkar dan memberi nasihat yang baik kepada mereka yang melakukan kemungkaran dan perbuatan haram.

4.Sebagai pendakwah dan para da'ie perlulah mengambil pendekatan cara hikmah untuk mengajak manusia kembali kepada ajaran Islam sebenar.



by Abu Basyer on Sunday, July 3, 2011 at 7:28am

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum, terima kasih atas perkongsian...

    Cuma satu soalan, apa tu muraqabah?

    BalasPadam
  2. Waalaikumussalam...

    Muraqabah tu ialah perasaan diawasi oleh Allah...

    BalasPadam

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....