Ahad, 21 September 2014

Peranan isteri dan ibu dalam usaha agama

Malu hendak mengaku sudah jadi isteri setahun lebih sebaik mendengar kakak-kakak dan makcik menghuraikan kisah pengalaman emas mereka.

Sebelum berkahwin memang ada pergi kursus kahwin. Selepas kahwin juga ada pergi banyak kursus namun tiada yang seperti kursus ini..... iaitu kursus menjadi isteri dan ibu solehah.

Kata seorang makcik "If you are strong, inshaallah your husband will be strong. But... If you are weak, he will be weak too.. That's why when you see his faith became weak, check yourself first. Did you take care your amal or not?. Allah had guarantee, if you take care Allah, He will take care you and your life."

Bagaikan pelempang ke  muka saya. Rasa mahu menangis pun ada...

Kata seorang kakak pula, "Kita kena tahu malam apa dia ada mesyuarat (mesyuarat usaha agama).. Selalunya malam Rabu dan malam Jumaat. Kita kena pastikan dia pergi. Petang itu selepas asar pastikan dia tidak sibuk. Siapkan pakaian dia awal-awal. Jam 6 petang suruh mandi dan bersiap. Kita yang kena ingatkan dia. Apabila cukup nisab untuk khuruj pun kitalah juga yang kena ingatkan dia untuk keluar."

Sekali lagi pelempang ke muka saya. Bisanya..

Seorang makcik berkata "Di sebalik seorang lelaki yang berjaya pastinya ada seorang isteri. Isteri ini juga boleh jadi penghalang kepada suami buat usaha agama. Pujuk rayu isteri mencairkan suami.. "

Terbayang wajah dan susuk tubuh suami saya.

Saya tak pandai mengurus rumahtangga,Ya Allah.. Bantulah saya Ya Allah..
Saya tak pandai menjadi isteri, Ya Allah.. Bantulah saya Ya Allah..
Saya tak pandai jadi ibu, Ya Allah..Bantulah saya Ya Allah

17 Ogos 2013

Sabtu, 20 September 2014

Fear Factor Jemaah Masturat

Fayyadh gembira sebab ramai makcik dan kakak melayan dia
Alhamdulillah ini kali kedua rumah kami Allah izinkan terima jemaah masturat. Ada kawan-kawan yang takut-takut dengar jemaah masturat. 
Takut kerana belum faham tentang usaha ini. 
Jadi inshaallah saya cuba terangkan sedikit supaya rasa takut 
berubah kepada rasa cinta.. 
Moga Allah bagi faham dan cinta.

FEAR FACTOR 1 : Jadual Program Yang Misteri di dalam rumah berlangsir tutup semua tingkap dan pintu.

Ini jadual program semalam dan hari ini. 
Kaki kecil Fayyadh terselit pula dalam gambar
Program ini sangatlah melindungi wanita daripada hujung kepala hingga hujung kaki. Syarat kepada jemaah yang keluar mestilah tutup satu badan termasuk mata di luar rumah.(Dipimpin suami semasa berjalan masuk dan keluar rumah). 

Bahkan nama turut dilindungi. Nama dirahsiakan.. Yang tinggal nama suami atau ayah. Ahlia ialah isteri kepada... Binti ialah anak kepada.. 

Di dalam rumah boleh pakai pakaian bebas asalkan menutup aurat dan sopan.. Ini yang saya sangat suka. Semasa program boleh menyusukan anak dengan bebasnya tanpa perlu segan silu. Boleh baring-baring. Seronok sangat. Rasa terpelihara. Programnya pula fokus memperbaiki dari dalam jasad iaitu hati hinggalah kepada fikir seluruh alam. Fikir seluruh alam ini maksudnya fikirkan tentang nasib manusia lain di seluruh dunia dengan harapan mahu semua manusia masuk syurga dan jauhi neraka.

FEAR FACTOR 2 : Purdah HITAM

Purdah tutup satu badan termasuk mata dan tangan ini cumalah diwajibkan semasa sedang program ketika di luar rumah. Keseluruhan program di dalam rumah, jadi kita cuma beruniform sedemikian semasa datang ke rumah dan semasa pulang. Waktu program di dalam rumah (99% program) ialah pakaian dalam rumah. 

Apabila pulang daripada program, silakan berpakaian seperti kebiasaan kita. Yang tanpa purdah boleh tanpa purdah. Yang berpurdah terus alhamdulillah.


FEAR FACTOR 3 : Malu sebab tak kenal dan tak pandai

Kalau kita malu untuk mendekati perkara yang baik nescaya kita sedang melangkah mendekati perkara yang buruk. Masa di dunia ini ibarat 2 saat sahaja dibandingkan dengan masa di akhirat yang selamanya. 
Buat sesuatu kerana Allah inshaallah tidak akan kecewa. Biarlah orang nak kutuk, hina, puji atau boikot... Buat kerana Allah hanya mengharapkan keredhaan Allah. Tidak harap bantuan dan balasan makhluk. Hanya harap bantuan dan balasan Allah.
Itulah kemenangan dan ketenangan dunia akhirat. 


Dunia diciptakan untuk manusia. Manusia diciptakan untuk akhirat. Sungguh beruntung manusia yang memanfaatkan dunia untuk akhirat.


FEAR FACTOR 4 : Nusrah vs Usrah

Usrah itu keluarga. Dalam satu keluarga, kita saling sayang menyayangi, melindungi dan berkongsi.
Nusrah ialah khidmat. Apabila jemaah masturat datang, kita datang untuk nusrah iaitu khidmat kepada mereka. Kita boleh tolong masakkan makanan, beli makanan, beli barang, mengemas dan meluangkan masa bersama mereka. Tujuaannya supaya jemaah dapat fokus ibadah dan dalam masa yang sama kita tumpang pahala mereka. Apabila kita mempermudahkan urusan saudara kita, inshaallah Allah permudahkan urusan kita. Doa orang yang sedang bekorban untuk agama adalah mustajab, jadi mintalah doa daripada mereka...

FEAR FACTOR 5 : Mulut laser, selekeh, bla bla bla (aib manusia)

Pandanglah kebaikan yang ada pada manusia lain nescaya Allah akan melapangkan hati dan urusan kita di dunia dan akhirat. Manusia boleh berubah menjadi lebih baik. 

Jika kita mahu perbaiki diri, bukalah hati menerima teguran. Jika tidak sampai bila-bila pun kita tidak akan berubah. 

Orang yang biasa dikeji dan bersabar akan memiliki hati yang kuat. Priceless!

Semoga Allah berikan kefahaman...
Wallahualam....






Kisah Mi Kuning Nabihan Fayyadh

Setiap makanan yang kita makan akan dihisab kecuali jika kita membaca doa elak hisab selepas makan.
Allah akan tanya dari mana kita dapat makanan itu.
Allah akan tanya bagaimana kita masak dan makan makanan itu.
Allah akan tanya bagaimana kita menggunakan tenaga selepas makan itu.

Rumit.

Alkisahnya suami suka makan mi kuning lalu terdetik di hati mahu menyediakan mi kuning sendiri. Lalu mulalah berazam bukan sahaja mahu menyediakan untuk suami, malah seluruh penduduk Islam di dunia ini. Ketika berkongsi azam di Facebook, muncullah anak murid memberitahu di rumahnya ada mesin mi hendak dijual.

Bermulalah kelahiran Mi Kuning Nabihan Fayyadh....







Buat masa ini, Mi Fayyadh sedang dalam proses eksperimen. Mahu tingkatkan kualiti mi serta persediaan lain seperti mesin yang lebih besar.. Kalau diizinkan Allah mahu mesin yang automatik bermula daripada menguli tepung hingga siap dibungkus.

Perlu lalui piawaian tertentu sebelum boleh menembusi Brunei dan Singapura.

Doakanlah moga usaha ini dipermudahkan.. Inshaallah tahun depan atau tahun berikutnya barulah dapat mesin gergasi ini... Inshaallah.

Nota : Jom LIKE https://www.facebook.com/Mifayyadh

Ahad, 14 September 2014

Hati Yang Tenang ialah Hati Yang Bersih

Dalam merentasi kehidupan ini, kita mungkin ada berasa rendah diri terhadap orang sekeliling. Barangkali rendah diri terhadap sahabat-sahabat sebaya. Boleh jadi rendah diri terhadap adik beradik dan ipar duai. Boleh jadi rendah diri terhadap jiran dan teman sekerja. Rasa rendah diri yang tidak diasuh dengan baik menumbuhkan rasa cemburu melihat kejayaan dan kegembiraan orang lain malah boleh menyebabkan rasa benci timbul terhadap orang lain. Paling kritikal apabila mula membenci diri sendiri. Segala yang dipandang matanya terasa sakit hingga ke hati.
Ayuh ubat hati. Ingatlah kita akan mati bila-bila sahaja. Biar sekarang hodoh, yang penting di akhirat cun kalah bidadari. Biar sekarang miskin, yang penting di akhirat kaya raya. Biar sekarang lemah, yang penting di akhirat sihat dan gagah.
Apabila hati bersih, tiada benci dalam hati. Maka manisnya syurga akan terasa semenjak di dunia. Kaya tanpa harta, sejuk mata memandang biarpun tanpa hidung mancung, wajah bercahaya biarpun berkulit gelap, berkuasa biarpun tanpa pangkat dan disayangi makhluk di bumi dan di langit.

Belajar Jadi Isteri dan Ibu

Saat ini suami dan anak sudah tidur.. Aduhai kasihan mereka. Rasanya belum selesai hak-hak mereka yang ada pada saya. Jadi isteri dan ibu ini bukanlah sentiasa rasa rajin, kreatif, positif dan inovatif. Selalu juga suami yang buat kerja-kerja rumah dan menjaga anak sewaktu saya sibuk dengan urusan tusyen, taska dan persatuan. Nah! Saya bukan superhero, kadang emosi dan tekanan kerja-kerja dibawa pulang ke rumah. Ada masanya terfikir bagaimana boleh Allah jadikan aku isteri dan ibu sedangkan aku sendiri berterabur? Suami pula kata untuk berkahwin tidak semestinya perlu pandai mengemas, pandai memasak dan pandai jaga suami dan anak. (Setuju ke? Senyum isteri dengar..Hihi) Lepas kahwin kita masih dalam proses belajar untuk jadi isteri dan ibu. Jadi jangan tunggu sudah pandai baru mahu melangkah ke fasa berkahwin. Sepanjang hayat kita belajar. Mengimbau zaman bujang sebelum berkahwin, fuh memang saya pulun bekerja 7 hari seminggu, kemudian mesyuarat sampai larut malam dan asyik mengembara ke sana sini di samping membela kucing hingga 20 ekor di apartmen yang sangat cantik pada pandangan mata saya. Masa bujang, segala yang dirancang mudah dilaksanakan. Tiada orang kacau perancangan kita. Jadi buatlah amal soleh sebanyak-banyaknya. Nak tidur awal senang, boleh bangun awal hari-hari untuk tahajud. Tiada gangguan. Nak istiqomah duha dan quran senang. Macam-macam senang. Apabila sudah berkahwin dan beranak....ha..baru tahu kenapa Allah bagi ganjaran solat 70 kali ganda. Bukan amalan solat sahaja berganda, segala amalan lain pun berganda pahalanya. Puasa, sedekah, jaga aurat dan khidmat. Semua ganjaran berganda-ganda... Sebab susah, banyak cabaran. Serius!! Sehari solat duha.. Lepas tu seminggu kemudian baru dapat solat duha. Sehari bangun tahajud.. Dua tiga minggu lagi baru tahajud. Memang mujahadah! Syukurlah dapat ganjaran 70 kali ganda. Terubat hati. Rasa bersemangat.' Nak berjaya, kena ikut sunnah Rasulullah saw. Berkorban untuk bina keluarga yang ikut sunnah. Itulah kejayaan sebenar. Walaupun susah, takut dan sakit.. Inshaallah di situ ada kejayaan. Biarpun nampak mama serabut dan semakin sibuk, inshaallah ada kebahagiaan yang Allah campakkan ke dalam hati mama. Tidak perlu kesempurnaan, cukuplah kebahagiaan.... Sasaran kita mahu raih cinta Allah dan Rasulullah saw.

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....