Wanita itulah yang tumpah darah sewaktu melahirkan aku ke dunia.
Wanita itulah yang bangun malam menjagaku sewaktu sakit.
Wanita itulah yang setia disisiku pada saat aku jatuh dan bangun.
Begitu besar jasa wanita itu.
Aku hidup bernadikan jiwanya.
Kini setelah 24 tahun wanita itu mendampingiku.
Aku masih lagi selemah dahulu.
Sepanjang aku sakit di hospital, wanita itu berada di sisiku. Menyuapkan makanan. Memegang tangan. Memberi semangat.
Sepanjang aku keluar dari hospital, aku kembali dengan pelbagai soalan kepada dirinya.
"Emak, kakak boleh ini?"
"Emak, kakak boleh itu?"
Bagaikan anak kecil, masih banyak soalan untuk ditanya kepada seorang emak yang bukan profesor mahupun doktor.
"Emak, kakak boleh ke mengandung dan melahirkan anak?" soal saya ketika kami makan tengah hari bersama.
"Itu tanya kepada Allah," jawab emak.
Wanita itu terus tabah. Bukan sekadar membantu anaknya mengurus diri. Malah wanita itu membantu membina semangat anaknya untuk terus hidup setelah hati anaknya berkeping-berkeping berderai. Segala yang saya sebutkan, emak akan berusaha menunaikan. Adakalanya terdetik di hati saya takut mahu berbicara kerana nanti emak bersusah payah menunaikan. Dahulu semasa saya sihat, saya selalu memandu sendirian ke kedai buku, membeli stok-stok buku. Kedai itu dua tingkat, mustahil saya dalam keadaan ini mampu memanjat tangga itu, berdiri lama sedikit pun sudah rasa sakit seperti pinggang hendak gugur ke lantai. Saya dan emak masuk ke kedai. Ketika di sana, saya dan emak bergaduh kecil kerana kedegilan saya yang berkeras memanjat tangga. Emak menyuruh saya memberi sahaja senarai buku kepada staf yang ada supaya mereka yang ambilkan buku-buku itu. Akhirnya saya akur dengan arahan emak.Saya bukan sengaja berdegil.
Saya cuma manusia biasa yang pernah sihat. Setiap hari saya merindukan sebuah kehidupan yang sihat, seperti dahulu. Saya juga manusia biasa yang adakalanya malu apabila orang memandang saya sebagai seorang cacat. Mujurlah saya tidak memanjat tangga itu, kerana selepas 15 minit saya sudah resah gelisah mencari tempat berpaut. Segera emak menyuruh saya menunggu di dalam kereta. Sebaik pulang dari kedai, saya dapati ada beberapa jenis buku tiada. Saya merahsiakannya daripada emak kerana saya takut akan menyusahkan emak. Akhirnya tentulah saya tiada pilihan lain dan memberitahu emak. Emak segera keluar mencari buku-buku tersebut di kedai. :')
Semasa zaman sekolah dahulu, saya selalu berpesan kepada diri sendiri supaya meneguhkan ekonomi sendiri supaya dapat membela nasib emak. Saya mahu menjaga emak sehingga emak meninggal atau saya yang meninggal. Saya juga memilih untuk bekerja sendiri supaya jika ada kecemasan yang menimpa diri emak, saya boleh segera meninggalkan kerja dan menjaga emak. Saya juga sudah merancang bersama adik-adik saya. "Sekiranya emak sudah uzur, kakak akan berhenti bekerja untuk menjaga emak. Kalianlah yang perlu menghulurkan kewangan kepada kakak." Adik-adik saya bersetuju, mereka lelaki dan mereka Alhamdulillah memahami tanggungjawab mereka.
Namun Allah sebaik-baik perancang. Segalanya sudah menjadi terbalik.
Saya tidak tahu bagaimana hari esok.
Apa sekalipun yang terjadi, saya sentiasa berdoa semoga Allah menjaga emak dengan baik di dunia dan di akhirat. Seandainya bukan diriiku yang menjadi penjaga dirinya tatkala emak uzur nanti, semoga Allah mengirimkan insan terbaik untuk menjaga dirinya. Ya Allah, aku mencintai ibuku, maka cintailah kami Ya Allah.... :')
Adik dan emak yang banyak membantu |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum... :)