Isnin, 26 Disember 2011

Selamat tinggal 2011. Selamat datang 2012 :)

MashaAllah pantasnya masa berlalu.
Sudah tidak sampai seminggu sahaja lagi tirai 2011 akan dilabuhkan.

Alhamdulillah... Disember sudah hampir ke penghujungnya.. Namun kelas belum tamat kerana masih perlu mengajar pada 31 Disember.. Anak murid rajin-rajin, suka belajar... Tahun 2011 penuh dengan kisah menarik, tahun yang sangat banyak perkara berlaku di luar perancangan. ketika ujian bertalu-talu hadir sepanjang 2011, saya tertanya-tanya bagaimana penghujung ujian ini, apakah saya masih mampu bertahan dan sampai bila harus saya bertahan. Hari ini saya mahu mengucap Alhamdulillah sebanyak2nya kerana begitu besar kasih sayang dan pertolongan-Nya. Setiap yang Allah ambil itu telah diganti dengan sesuatu yang lebih baik. Saya juga yakin inshaallah masih banyak lagi yang baik-baik telah disediakan untuk saya di masa depan. Dan yang paling baik ialah apabila Allah menghadiahkan hati yang SABAR dan SYUKUR. Sungguh SABAR dan SYUKUR itu indah. Ya Allah, bantulah aku menjadi hamba-Mu yang penyabar dan bersyukur sepanjang hayatku.. Amiin Ya Mujib...


Ahad, 18 Disember 2011

Aku Manusia

Ya Allah
Aku hadir kepada-Mu
Aku datang menghadap-Mu
Aku mahu bermanja-manja dengan-Mu
Pujuklah aku Ya Allah
Gembirakanlah aku Ya Allah
Basuhlah hatiku ini Ya Allah
Kesatlah air mataku ini Ya Allah
Ya Allah
Aku cuma manusia biasa
Kasihanilah aku Ya Allah


Sabtu, 10 Disember 2011

Wanita Yang Aku Cintai

Wanita itulah yang pernah pengsan sewaktu melahirkan aku ke dunia.
Wanita itulah yang tumpah darah sewaktu melahirkan aku ke dunia.
Wanita itulah yang bangun malam menjagaku sewaktu sakit.
Wanita itulah yang setia disisiku pada saat aku jatuh dan bangun.

Begitu besar jasa wanita itu.
Aku hidup bernadikan jiwanya.

Kini setelah 24 tahun wanita itu mendampingiku.
Aku masih lagi selemah dahulu.

Sepanjang aku sakit di hospital, wanita itu berada di sisiku. Menyuapkan makanan. Memegang tangan. Memberi semangat.

Sepanjang aku keluar dari hospital, aku kembali dengan pelbagai soalan kepada dirinya.
"Emak, kakak boleh ini?"
"Emak, kakak boleh itu?"
Bagaikan anak kecil, masih banyak soalan untuk ditanya kepada seorang emak yang bukan profesor mahupun doktor.

"Emak, kakak boleh ke mengandung dan melahirkan anak?" soal saya ketika kami makan tengah hari bersama.
"Itu tanya kepada Allah," jawab emak.

Wanita itu terus tabah. Bukan sekadar membantu anaknya mengurus diri. Malah wanita itu membantu membina semangat anaknya untuk terus hidup setelah hati anaknya berkeping-berkeping berderai. Segala yang saya sebutkan, emak akan berusaha menunaikan. Adakalanya terdetik di hati saya takut mahu berbicara kerana nanti emak bersusah payah menunaikan. Dahulu semasa saya sihat, saya selalu memandu sendirian ke kedai buku, membeli stok-stok buku. Kedai itu dua tingkat, mustahil saya dalam keadaan ini mampu memanjat tangga itu, berdiri lama sedikit pun sudah rasa sakit seperti pinggang hendak gugur ke lantai. Saya dan emak masuk ke kedai. Ketika di sana, saya dan emak bergaduh kecil kerana kedegilan saya yang berkeras memanjat tangga. Emak menyuruh saya memberi sahaja senarai buku kepada staf yang ada supaya mereka yang ambilkan buku-buku itu. Akhirnya saya akur dengan arahan emak.Saya bukan sengaja berdegil.

Saya cuma manusia biasa yang pernah sihat. Setiap hari saya merindukan sebuah kehidupan yang sihat, seperti dahulu. Saya juga manusia biasa yang adakalanya malu apabila orang memandang saya sebagai seorang cacat. Mujurlah saya tidak memanjat tangga itu, kerana selepas 15 minit saya sudah resah gelisah mencari tempat berpaut. Segera emak menyuruh saya menunggu di dalam kereta. Sebaik pulang dari kedai, saya dapati ada beberapa jenis buku tiada. Saya merahsiakannya daripada emak kerana saya takut akan menyusahkan emak. Akhirnya tentulah saya tiada pilihan lain dan memberitahu emak. Emak segera keluar mencari buku-buku tersebut di kedai. :')

Semasa zaman sekolah dahulu, saya selalu berpesan kepada diri sendiri supaya meneguhkan ekonomi sendiri supaya dapat membela nasib emak. Saya mahu menjaga emak sehingga emak meninggal atau saya yang meninggal. Saya juga memilih untuk bekerja sendiri supaya jika ada kecemasan yang menimpa diri emak, saya boleh segera meninggalkan kerja dan menjaga emak. Saya juga sudah merancang bersama adik-adik saya. "Sekiranya emak sudah uzur, kakak akan berhenti bekerja untuk menjaga emak. Kalianlah yang perlu menghulurkan kewangan kepada kakak." Adik-adik saya bersetuju, mereka lelaki dan mereka Alhamdulillah memahami tanggungjawab mereka.

Namun Allah sebaik-baik perancang. Segalanya sudah menjadi terbalik.
Saya tidak tahu bagaimana hari esok.

Apa sekalipun yang terjadi, saya sentiasa berdoa semoga Allah menjaga emak dengan baik di dunia dan di akhirat. Seandainya bukan diriiku yang menjadi penjaga dirinya tatkala emak uzur nanti, semoga Allah mengirimkan insan terbaik untuk menjaga dirinya. Ya Allah, aku mencintai ibuku, maka cintailah kami Ya Allah.... :')
Adik dan emak yang banyak membantu

Sabtu, 3 Disember 2011

Jangan Takut, Allah kan ada! (Part 3)


Sepanjang saya di hospital, ramai sahabat yang menghubungi saya. Ada mesej berbalas. Namun kebanyakkannya terbiar begitu sahaja. Ada ramai yang membuat panggilan namun tiada satupun yang saya jawab. Mengapa? Kerana telefon mode 'silent'. Kedua-dua pergelangan tangan kiri dan kanan  serta belakang tapak tangan saya lebam dan sangat menyakitkan menyebabkan adakalanya saya tidak mampu menggenggam tangan. Itupun saya masih boleh update facebook menggunakan satu jari! Subhanallah... Syukurlah ada jari! Syukurlah ada laptop yang boleh digerakkan mouse menggunakan satu jari! Syukur ya Allah... :) Seronok bermain facebook :)


Sabda Rasulullah saw
Sesungguhnya Allah akan bertanya di hari kiamat nanti, “Di manakah orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Mereka itu akan Aku berikan naungan (lindungan) pada hari (ini) yang tiada naungan melainkan naungan-Ku.”
[Diriwayatkan oleh Muslim]

Alhamdulillah.. Akhirnya saya dibenarkan untuk balik ke rumah. Hati saya agak berat semasa hendak balik kerana risau memikirkan urusan kerja yang sudah tergendala dan saya masih belum sembuh sepenuhnya. Sepanjang tiga hari saya di hospital, urusan-urusan kerja saya diambil alih oleh sahabat saya, Romlah. Kasihan Romlah... Romlah terpaksa menghubungi kesemua ibu bapa yang terlibat untuk memaklumkan penangguhan kelas dan menjawab pelbagai soalan daripada ibu bapa. Setiap hari Romlah terpaksa berulang alik ke rumah saya dan rumah dia. Walaupun tidak jauh jarak rumah kami, cuma 10 minit berjalan kaki, namun saya tahu betapa Romlah sendiri sudah sibuk menguruskan urusan kerjanya.

memori... 

Saya seorang guru tuisyen. Saya menyewa sebuah rumah yang mempunyai tiga bilik untuk dijadikan kelas tuisyen. Disebabkan saya sakit dan tidak mampu memandu, saya akhirnya terus menetap di rumah tersebut. Romlah pula seorang pengurus butik online. Romlah bekerja dengan ibu saya. Setiap hari banyak tempahan yang diterima daripada dalam negara dan luar negara. Alhamdulillah perniagaan yang bercita-cita tinggi untuk mengeluarkan zakat 1 juta ini semakin berkembang. Doakanlah semoga impian ini terkabul... :)

Home Tuition BTP
Butik Raudhah

Ketika saya masih sihat, jadual harian saya penuh. Bermula 8 pagi penuh sehingga 10 malam. Kini, dalam serba kekurangan ini, mampukah saya memerah tenaga seperti dahulu? Mampukah saya mengukir senyuman lebar bermula 8 pagi sehingga 10 malam? Mampukah saya berdiri lama seperti sebelum ini? Mampukah saya menconteng whiteboard dan bersuara lantang? Mampukah saya bercakap dengan nada penuh bersemangat?
Akhirnya saya menangis sendirian. Tidak tahu bagaimana hendak meluahkan apa yang terbuku di dalam hati... Terdetik di hati betapa diri ini sudah menyusahkan emak, abah, adik- beradik dan kawan. Ada pula seseorang berkata kepada saya "Kan bagus mati je, tak adalah rasa susah dan menyusahkan."

Di celah-celah kebuntuan itu, saya masih bergantung kepada ubat penahan sakit. Lalu kebanyakkan masa saya cuma tidur dan berada dalam keadaan khayal. Saya tidak dapat berfikir. Sedikit sebanyak membantu saya melupakan kebuntuan yang melanda. Apabila ada ibu bapa yang menelefon, saya menjadi BLURR....Otak tidak berfungsi. Lalu saya cuma diam. Kelu. Terkilan rasanya kerana tidak mampu melayan panggilan tersebut. Takut diri ini dikatakan mungkir janji kerana sebelum ini sudah memberikan harapan kepada ibu- bapa yang mendaftarkan anak-anak bahawa inshaallah saya akan cuba melakukan yang terbaik.

Saya benar-benar berasa lemah. Otak dah tak berfungsi, lansung tidak dapat berfikir. Begitu hebat penangan pain killer. Ya Allah, bantulah aku! Help me!! I'm dead meat! Checkmate!

Sebenarnya ketika saya di hospital, ada seorang sahabat bermesej dengan saya di facebook. Namanya Fazleana. Saya pernah mengajar di sebuah sekolah yang sama dengan Kak Faz. Tetapi kami tidak pernah berkenalan rapat, kami cuma sekadar berbalas senyuman sahaja. Setelah saya meninggalkan sekolah tersebut, kami mula berkenalan di facebook, namun setakat Like Status sahaja.. Ketika saya sedang mendapat rawatan di hospital, Kak Faz menawarkan diri untuk membantu saya. Namun saya tidak begitu memberikan harapan kerana saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak membantu diri sendiri.




  • November 24
    Fazleana Khairul
    • salam dik..kalau perlu akak boleh tolong gantikan kelas sekolah rendah/men rendah..mungkin tak dpt ajar sebaik kamu dik, cuma ikhlas nak kurangkan sedikit masa utk khalillah gantikan kelas pelajar2 nanti..

    • wslm..btul ke kak? :) trimaksh sgt2...subjek apa yg akk bole bantu?

  • November 24
    Fazleana Khairul
    • akak berani ajar sc n math..sbb mmg dh biasa..cume akak risau nak tawarkan diri dr pagi td lagi..akak rasa cara lilah bagus akak pula sebaliknya
    • n akak free dr pukul 2 ptg sampai 8 mlm..kalau ade slot2 yg akak boleh bantu bgtau ya

    • takdelah kak,saya biasa2 je... :) hari apa yg akk free ya?

  • November 24
    Fazleana Khairul
    • jap lagi sambung ya dik.akak ajar student jap k

    • ya... Baik..terima kasih byk akak :)

  • November 24
    Fazleana Khairul
    • sorry ya pasal td..akak free isnin hingga khamis dr 2ptg hingga 8malam mggu depan.n jumaat akak free dr 11 sampai la ke malam dik..mane2 slot kelas lilah yg boleh akak tolong bgtau ya ;)

    • kak,bole tak kalau nk mnta akk tlg ganti math & science darjah 6? hari isnin science(ganti minggu ni yg cancel). Hari rabu math. Hari khamis science.. Kelas math & science ni guna buku darjah 4&5.. Kiranya ulgkaji dgn murid subjek darjh 4&5. Math minggu ni kami dah hafal dlm kelas sampai sifir 6. Jadi mnggu depan minta akk bantu mreka hafal sifir 7-9.. Kmdn akk minta mreka buat latihan dlm buku stkt sifir 9(sy tak pasti berapa chapter). kelas 1jam 30min. Sy biasanya gunakan 1jam utk mnghafal sifir. 30min latihan.kalau x siap budak2 bawa buku balik. Budak2 dbnarkn tenGk Jwpn blkg. Kalau mreKa x fhm baru mreka tanya cikgu.

    • kelas math & science ada 2 group(2x2=4).. actually mreka pagi, tp nnti sy mnta kwn sy msg parents minta kelas ptg 2.30-4.00 group 1 & 5.00-6.30ptg group 2. Masa tu ok ke? Atau akk ada cdgn yg lbh baik?Buku2 math sy dh bg budak2.buku sc blum bg lg tp ada d simpan dlm kelas...akk bole trus gunakn..

  • November 25
    Fazleana Khairul
    • ok..akak macam dh faham arahan..tp ttg jadual tu boleh tak lillah summarised kan ikut hari n masa dan juga subjek..akak tolong lilah start isnin ni ya dik n bg akak alamat ya



Subhanallah.... Sudah setahun lebih kami tidak bersua wajah. Sebelum ini bersua pun cuma setakat berbalas senyuman sahaja. Tidak pernah menduga inilah insan yang Allah pilih untuk sudi membantu insan lemah seperti saya dan pada saat-saat kritikal yang begitu menghimpit ini! Sungguh Allah Maha Hebat...

Kita merancang namun jangan lupa ada Perancang yang Maha Hebat sedang merancang untuk kita! :')


Akhirnya pada keesokkan hari ketika saya sedang mengambil wudhuk, saya terdengar suara anak-anak murid saya bersama seseorang. Kak Faz? Berdebar jantung. Saya menyelak langsir dan Kak Faz sedang duduk di sofa rumah saya. Kak Faz bangun merapati saya yang sedang berjalan perlahan. Sebaik memeluk Kak Faz, air mata saya turun mencurah. Saya menarik Kak Faz ke dalam bilik dan saya duduk di katil, tujuannya sebab saya tidak larat berdiri lama. Kak Faz duduk di atas lantai sambil tangannya memegang kepala lutut saya.

"Rugi kita tak berkenalan dulu kan.. Siapa sangka hari ini kita boleh duduk begini. Akak sayang kamu. Walaupun akak tak kenal kamu, akak rasa sayang kamu. Ramai orang sayang kamu. Ramai orang mendoakan kamu... Kenapa nangis?" Pujuk Kak Faz sambil mengesat air mata saya dengan jarinya.

Sungguh bagaimana boleh diterangkan perasaan ini?

Ya Allah....
Hanya Engkau Maha Mengerti...

Jadikanlah aku seorang anak yang Engkau cintai...
Jadikanlah aku seorang sahabat yang Engkau cintai...
Jadikanlah aku seorang guru yang Engkau cintai...

Inshaallah ada rezeki saya sambung lagi... :')
Take care iman..




Khamis, 1 Disember 2011

Jangan Takut, Allah kan ada! (Part 2)


Bergetar jiwa ini. Sudah beberapa orang staf memberi jawapan yang sama. Apabila saya bertanya sahabat-sahabat mengenai insan yang senasib saya, mereka juga memberi jawapan yang sama.

Mereka berkata penyakit saya ini sukar untuk sembuh dan selalunya kalau sembuh pun lambat.

Lalu saya bertanya "Adakah orang yang sudah sembuh walaupun lambat itu?"

Mereka diam.

Saya kembali diam. Sepatutnya saya menangis tetapi tidak pula kali ini. Jiwa ini begitu damai.

Terubat hati sebaik terpandang kalimah Lailahaillallah di dinding. Baca dan baca. Baca banyak kali. :) Rasa lebih kuat!

Ya Allah, andai ini kehendak-Mu, aku tidak apa-apa... Aku yakin kebahagiaanku adalah dengan bersama-Mu. Andai jasad ini terkulai layu sekalipun, itu tidak akan mampu merampas kebahagiaanku.

Sepanjang hari saya bersendirian di bilik. Ketika pukul 12 tengah hari saya mula rasakan tegangan yang amat kuat. Sekali lagi serangan itu datang. Saya bergelut sendirian di bilik. Betapa sakit sehingga rasanya hendak terkencing. Saya cuba untuk bangun tetapi gagal. Lalu saya menekan butang kecemasan memanggil jururawat. Seorang jururawat pun muncul memapah saya ke tandas. Sepanjang perjalanan empat langkah itu saya menangis semahu-mahunya. Terfikir apakah saya akan mati? Selepas keluar dari tandas, saya berbaring mengerekot menahan kesakitan. Kaki tidak dapat diluruskan kerana tegangan di bahagian pinggang begitu kuat. Saya terdengar jururawat berkata yang beliau akan pergi mendapatkan bantuan. Kemudian saya tidak ingat apa-apa.

Pukul 2.30 petang saya terjaga. Tiada kesakitan. Saya berjalan perlahan ke tandas untuk mengambil wudhuk dan bersolat zohor. Alhamdulillah. Meskipun cuma solat baring, namun hati  ini sangat bersyukur! Saya cuba untuk membaca Quran tetapi kepala ini terlalu mamai untuk meneruskan bacaan. Tangan juga tidak berdaya memangku Quran. Lalu saya baringkan kepala selaras dengan Quran di atas tilam supaya saya dapat membacanya. Akhirnya saya terlena....

Keesokkan harinya, masuk hari kedua saya di hospital, saya terkejut apabila seorang sahabat telah menulis satu artikel mengenai saya di web Halaqah Maya. Saya menangis membacanya. Dalam pukul 9 pagi, saya dibawa ke unit fisioterapi. Saya ke sana menaiki kerusi roda yang ditolak oleh staf hospital. Saya terlalu lemah, tidak mampu berdiri lama. Apabila mandi pun saya akan duduk. Apabila memberus gigi juga saya akan duduk. Duduk pun tidak lama, baring pun tidak lama. Jika tidak dicucuk penahan sakit atau menelan pil tidur, saya pasti mengerang dan menggelisah.

Baru sahaja 15 minit rawatan fisioterapi bermula, saya sudah menggigil. Tangan dan kaki saya kesejukan. Saya sudah tidak dapat bergerak. Saya tidak mampu bersuara. Hanya linangan air mata yang memberi isyarat kepada staf-staf bahawa saya dalam azab yang dahsyat. Saya masih ingat bunyi telefon bimbit saya yang jatuh ke lantai kerana saya tidak mampu menggenggamnya. Ketika itu ada bunyi mesej baru masuk. Segera mereka menyelimutkan saya. Saya dibawa menaiki stretcher untuk ke bilik saya dan dicucuk penahan sakit. Sekali lagi saya tidak sedarkan diri.

Selepas saya bangkit, saya segera ke tandas untuk berwudhuk. Mahu solat zohor. Tiba-tiba kedengaran suara doktor dari luar tandas. Doktor meminta emak menandatangani satu borang. Saya diam di dalam tandas, sengaja berlama-lama. Takut.

Selepas solat, saya makan tengah hari. Rasa sangat lapar. Selepas habis makan, emak suruh saya segera ambil wudhuk dan bersedia untuk solat asar.

Selepas bersolat asar, muncul seorang jururawat memberi saya pakaian khas untuk disalin. Saya terkejut. Emak dan abah buat lawak. Selepas saya bersalin pakaian, abah mengambil gambar saya. Semuanya begitu pantas, saya tidak sempat Google apakah yang bakal saya hadapi. Saya dibawa ke dewan pembedahan. Hanya Allah yang tahu betapa takutnya saya. Geram sebab handphone tidak dapat dibawa bersama, jika tidak dapatlah saya Google maklumat dahulu.... Sekarang saya betul-betul takut.

Istigfar.
Istigfar.
Istigfar.

Akhirnya saya dibawa ke dalam bilik sejuk itu, dewan bedah. Belakang tapak tangan kanan saya dicucuk. Doktor kata urat saya tidak kembang. Lalu dicucuk kali kedua di bahagian pergelangan tangan kanan. Saluran darah pecah! Lalu dicucuk kali ketiga di belakang tangan kiri! Kemudian gagal juga. Selepas itu dicucuk di pergelangan tangan kiri. Akhirnya kali kelima barulah berjaya. Darah menitik di hadapan mata saya, kerana saya berada dalam posisi meniarap. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa terseksanya ketika itu. Saya sepatutnya tertidur apabila ubat tidur disuntik tetapi setelah puas doktor menunggu saya masih lagi berjaga. Akhirnya dalam keadaan sedar tulang belakang saya disuntik dan disuntik dan disuntik entah berapa kali. Saya dapat rasakan tangan yang begitu kuat memegang pergelangan kaki saya di kiri dan kanan. Tangan-tangan saya juga dipegang begitu kuat bagi mengelakkan saya menggelupur.
Semua staf di dalam dewan bedah berzikir. Suara mereka begitu kuat membuatkan tagisan saya tenggelam.

Tidak banyak yang saya ingat. Apabila saya terjaga tengah malam, emak sedang duduk di sebelah saya dalam gelap sambil menghadap laptop saya. Dia bercakap-cakap dengan saya. Entah apa yang dibualkan, rasa-rasanya dia sedang membaca komen-komen facebook kawan-kawan saya. Saya meminta air.Dahaga. Saya tidak mampu mengankat kepala lalu emak menggunakan straw dan cawan pendek yang direndahkan ke paras bantal. Tiba-tiba kedengaran suara adik lelaki saya. Semenjak saya masuk hospital, itulah kali pertama saya bertemu Amin. Amin menggosok kepala saya. Serta merta saya menangis.

Emak membuka bekas plastik, emak hendak makan. Saya menarik lengan mak memberi isyarat mahukan makanan itu. Emak menyuapkan saya sambil dia juga makan bersama. Bukankah tadi saya sudah makan? Entah kenapa begitu kebuluran.

Selepas makan, saya sudah mendapat sedikit tenaga untuk bersolat. Sebenarnya tenaga itu digunakan untuk mengambil wudhuk.:)

Selepas bersolat saya pun sambunglah tidur.

Setakat ini dulu, inshaallah ada rezeki sambung lagi.... ;)



Hadiah daripada ibu tiri saya, kek coklat nyummy nyummy... 

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....